Sabtu, 25 Februari 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ PROGRAM BAHARU

Diberi   tugas   melaksana   dan   memajukan  beberapa    program  telah  mengajar aku  banyak  perkara  tentang yang  sepatutnya    dilakukan  oleh  sesorang   guru  pendidikan khas.
Pernah  sekali   semasa melapor diri  di sebuah sekolah aku rasa  agak dukacita.    Sebagai  orang lama  dalam bidang  ini  aku  dapat  merasakan  kehadiranku di sekolah  tersebut  bukanlah sesuatu  yang diinginkan  oleh  guru besar.
“Saya dah cakap dengan Ketua Unit  Pendidikan Khas bahawa  saya  tidak  mahu ada program pendidikan khas di sekolah ini kerana  sekolah saya  tidak ada  bilik kosong.”  Kenyataan   yang    amat memeranjatkan aku. Aku  hanya  diam.  “Mengapa  dihantarnya juga  awak kesini,  di mana   saya  nak  letakkan awak?”  Dia  menyoal  lagi.
Aku  hanya membatukan diri  dan buat-buat  tersenyum  memandang  kearahnya.  Hati ini  bagai  dihiris  sembilu  mendengar  kata-katanya itu.  Untuk   menunjukkan aku  faham akan luahan hatinya  aku  memberi  sedikit respond”   Saya pun  tidak tahu cikgu,  mengapa  Ketua Unit Pendidikan Khas   hantar  juga  saya  ke sekolah  ini,  sedangkan  cikgu dah maklumkan masalah  yang ada,  saya  hanya  ikut arahan” . Dia   mengangguk faham
TUMPANG   KELAS PEMULIHAN
Akhirnya  aku  ditempatkan   di bilik pemulihan khas . Ku  lihat  pembantu am  pejabat  diarahkan menghantar sebuah meja dan kerusi  guru  ke bilik tersebut untuk kemudahanku.
Dalam otakku berfikir ligat bagaimana  aku boleh  memujuk guru  besar itu  memberi aku sebuah bilik   sendiri  walaupun kecil.  Rasanya  aku  tidak  mahu  terlalu lama  menumpang  di bilik  itu  tanpa  melakukan  sesuatu  yang  boleh  memberi  manfaat   kepadaku  sebagai  guru  pendidikan khas.
BUKU REKOD   MENGAJAR
Aku  meminta buku  rekod  mengajar daripada  guru penolong kanan 1 .  Walau  belum mempunyai  seorang  muridpun    aku tetap menyediakan semua  perkara yang sepatutnya ada  di dalam sebuah buku rekod mengajar.  Kuminta guru  besar menandatanginya  sepertimana  yang dilakukan kepada  guru lain.
Dimasa yang sama aku berbincang dengan guru pemulihan khas bagi  mengenalpasti  murid-murid  yang  boleh kuuji  untuk  kemasukan ke program pendidikan khas.  Aku  mentadbir ujian  ke atas mereka.
Surat  kebenenaran  daripada ibubapa kusediakan juga bersama  lapuran  guru  pemulihan khas tentang  perkembangan  murid  yang  telah dikenalpasti bagi tujuan  pemeriksaan doktor.
Aku  sendiri  yang  membawa  murid-murid ini  ke klinik  kerajaan bagi  mendapatkan  rawatan  dan pengesahan  daripada  doktor  setelah mendapat   kebenaran ibubapa. 
Melihatkan kesungguhanku,  akhirnya  guru  besar  memberikan kepadaku   sebuah bilik komputer lama  berukuran  1 bay di tingkat  2  bagi tujuan  dijadikan  sebuah Program   Pendidikan Khas.   Aku benar-benar gembira.  Mungkin  dia boleh membaca hatiku  yang tidak suka duduk-duduk  sahaja.

SIKAP  KITA  SEBENARNYA  MEMBERI  GAMBARAN KEPADA  ORANG LAIN  SAMADA  KITA SEORANG YANG  BERKESUNGGUHAN   ATAUPUN  SEBALIKNYA.



  

Jumaat, 24 Februari 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ BOS


           MERUNGUT
Mendengar  rakan-rakan  guru  selalu merungut penat apabila  mengajar di program pendidikan khas  membuatkan aku ingin menulis sesuatu.  Sebenarnya jika  kena  cara   rungutan  seperti ini tidak  akan  timbul.

Mungkin  untuk  memulakan tulisanku  ini aku terpaksa bercerita  semula tentang  situasai  di program pendidikan khas tempat   aku bertugas  dahulu. Seikhlasnya kukatakan sesiapa  sahaja yang masuk melapur  diri di program itu perlu   sentiasa bersedia dari  segi mental  dan fizikal  . 

Budaya kerja yang telah aku amalkan selama bertugas di sana memang amat mencabar. Perancangan  pembelajaran  yang fleksible    telah aku  susun  sejak  dahulu  lagi.  Ianya  memaksa  semua  guru  yang datang  mengajar  di programku  menjadi orang yang sentiasa  tidak duduk diam sepanjang waktu  persekolahan.

TIGA  BULAN  PERTAMA
Bagi  kami  tiada istilah waktu free yang dapat  kami  jadikan  sebagai  waktu rehat  untuk  bersembang-sembang   atau berbual  kosong.  Semuanya terisi dengan aktiviti. Selalunya tiga bulan  pertama  waktu persekolahan adalah  waktu  paling  sibuk bagi kami semua.

Pada  masa ini murid-murid pendidikan khas yang mempunyai masalah tingkahlaku yang kritikal akan menjalani intervensi awal  dan pengajaran secara individu  bagi membantu mereka pulih dengan lebih cepat . Kaedah ini telah lama aku perkenalkan di program pendidikan  khas tempat  aku bertugas. 

Jadual waktu yang disusun melibatkan semua waktu free guru-guru termasuk aku.  Pada  waktu itu kami bergilir-gilir  mengajar murid-murid ini secara  individu di bilik yang disediakan khas.  Rakan-rakanku tidak pula  merungut tentang tidak ada waktu free, malah kulihat mereka gembira bekerja bersama-sama.

BERSETUJU
Sebenarnya aku memang  selalu beruntung kerana  setiap kali apabila  merancang  sesuatu aktiviti baru,  rakan-rakan tidak pernah membantah.  Mereka  sentiasa memberikan sokongan dengan cara   bersungguh-sungguh untuk menjayakannya.

Memang   ada  seorang atau  dua  daripada  guru-guru ini  yang macam   bercanggah  pendapat , tetapi  setelah  berbincang  dan melihat hasil  daripada  pelaksanaan aktiviti  yang dirancang,  mereka juga  turut  berubah  dan sama-sama membantu menjayakannya.

Rasanya  sepanjang berada  di SKUP  aku tidak pernah kecewa dengan apa yang  telah dilakukan oleh rakan-rakan guru di sana. Tidak  salah jika kukatakan ini semua berlaku kerana aku sentiasa memantau dan juga turut  turun padang bersama-sama untuk  menjayakan  semua perancangan.

Memang  sukar jika berhadapan dengan guru yang  mempunyai budaya kerja yang berkira.  Aku tidak menafikannya.  Walaubagaimanapun, aku mempunyai pandangan  tersendiri dalam mengatasi masalah guru serupa ini.

JIKA SEMASA  MENERIMA JAWATAN  BARU KETUA UNIT  PEND KHAS MENGHANTAR SMS KEPADAKU IAITU: BOS- BUAT ORANG SENANG BUKAN BUAT  ORANG   SUSAH. PADAKU PULA BOS MEMBAWA  ERTI BUAT  OPERASI  SAMA-SAMA.


BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ YOGA KE TIDUR?

PENGALAMAN
Pengalaman  mendidik  anak-anak  istimewa   memang mencuit hati.   Semuanya  masih  segar  dalam ingatan  walaupun telah berlalu begitu lama.  Jika  ingin ku tuliskan rasanya boleh  menjadi  sebuah novel yang tebal juga.
Kali  ini aku  ingin menulis lagi tentang  murid  autisme  yang kugelarkan MN. Selain daripada  suka bertanya MN juga telus  dalam memberikan  pandaNganya di atas sesuatu perkara yang dirasakannya betul  tanpa  memikirkan perasaan orang lain.  
YOGA KE TIDUR ?
Pernah  sekali  aku  tinggal  seorang diri mengendali    hampir  10 orang murid termasuk  MN.  Apabila telah  hampir  waktu persekolahan tamat,   badanku terasa  letih  melayan kerenah mereka.  Aku juga kehabisan idea untuk  menjalankan  aktiviti yang boleh  menarik  perhatian serta  tumpuan   mereka pada  masa itu.. 
Tiba-tiba  aku  terfikirkan satu aktiviti yang boleh memberi peluang kepadaku  untuk berihat sebentar.  Kuminta  semua murid bangun  daripada  kerusi dan duduk berkumpul   di ruang informasi.
Mereka  kuminta bersila .Kuarahkan mereka meletakkan tangan diatas paha dan pejamkan mata untuk  5 minit.   Kuterangkan kepada mereka bahawa  mereka  sedang melakukan  senaman  YOGA.
Sebenarnya niat dihatiku  pada  masa itu ialah untuk  melelapkan mata sebentar kerana teramat letih akibat  tidak ada waktu rihat sejak  awal pagi.  Tidak  seorangpun kubenarkan membuka mata sehingga menerima  arahan seterusnya daripadaku.
Tiba-tiba  MN  bersuara.  “Cikgu, ini  senaman yoga ke tidur? Hatiku  tercuit lucu.  Rupanya NM  telah boleh  membaca  apa yang aku fikirkan.  Dia  memang murid autisme  yang hebat. Apapun  aku menjawab  “ Ini   senaman yoga,  waktu  senaman  tidak boleh bercakap.  NM akur dan berkata “ baik cikgu”
Tak  sempatpun nak terlena lama.  Selang beberapa minit  ada  suara kata nak ketandas, ada pula nak minum.  Akhirnya senaman   yoga tidak  menjadi. Aku mengarahkan mereka    semua kembali  ketempat duduk masing-masing  sambil  aku terpaksa  memikirkan  aktiviti  yang boleh menarik perhatian  mereka  sementara menunggu loceng berbunyi.
Itulah  tugas  guru pendidikan khas. Ruang rihat  memang terhad.   Walaubagaimanapun semuanya tetap  mengembirakan hati.
TERINGAT MN PERNAH BERTANYA  KEPADAKU SETIAP  KALI AKU MARAH” MENGAPA CIKGU  SUKA MARAH-MARAH,  TAK BAIK TAU MARAH-MARAH”  TINGGAL    KENANGAN.....

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ GURU PENDIDIKAN KHAS YANG BAIK


          GURU  BARU

Aku    pernah  menerima  seorang  guru  yang  sudah  mempunyai  keluarga mengajar  di programku.  Penempatan   guru ini   memang  dirancang  oleh Unit Pendidikan Khas.  Aku  diminta  memberi    sedikit kerjasama membimbing   guru ini yang dikatakan mempunyai  sedikit  masalah peribadi.
Sebenarnya  jauh  dilubuk hati  aku  terfikir   akan  kemampuanku  dalam membantunya menjadi seorang guru pendiidkan khas  yang baik. Tidaklah  semudah yang dituturkan.  Ini   adalah  kerana  dia  bukan   merupakan   orang baru  dalam bidang pendidikan.  Aku  khuatir budaya   yang telah  diamalkan  di sekolah  sebelumnya  sukar  untuk  ditinggalkan.
Demi  arahan, aku  memikul tanggungjawab   itu  dengan tangan terbuka.   Setelah  beberapa  minggu berada  bersamaku,  aku telah  mula mengenalinya  dengan lebih dekat  lagi.  Orangnya sedikit sukar  untuk  ditegur, kerana  walaupun  nampak  lembut tapi  keras dan tidak  suka  menerima  pandangan orang lain. 
BUKAN  MUDAH
Banyak  tugasan  yang diberikan kepadanya dibuat  sambil lewa sahaja.  Suka  menolak  kerja dengan kerap  memberi  berbagai  alasan.   Dia juga cuba  mempengaruhi  rakan-rakan lain untuk sama-sama  tidak  menjalankan tugas.  Ternyata memang bukan mudah  untuk  melentur  seseorang jika  sudah bergelar buloh.
Banyak  perkara yang cuba kulakukan. Teguran  sambil bergurau, nasihat   secara  individu   dan bimbingan  berterusan di atas  semua  tugasan  yang diberikan kepadanya.  Ternyata guru ini lambat belajar .  Dia agar  sukar  mengamalkan  budaya kerja yang dilakukan olehku dan rakan-rakan.

Rakan-rakan lain sudah  mula merungut.  Aku cuba meredakannya walaupun  aku sendiri sudah mula kurang sabar. Sikapnya yang tidak mahu   bekerja dalam pasukan dan  tidak  suka  bertanya  apabila  tidak  faham telah menimbulkan banyak masalah hingga menyebabkan  beberapa aktiviti  yang telah kami rancang menjadi tergendala.
 
TEGURAN 
Teguran  demi teguran kubuat.  Ternyata ianya bagaikan menyiram air ke daun keladi. Nampak nyata rakan-rakan lain makin sakit hati.  Akhirnya mereka semua tidak mahu menegur  guru itu lagi . Semua masalah yang ditimbulkan oleh guru itu diserahkan kepadaku bulat-bulat untuk menyelasaikannya.

Pada  masa itu  aku mula bertindak  agak tegas.  Rasanya  aku sudah mula kurang bertolak ansur.   Banyak tugasan yang kuberikan  akan kususul berkali-kali hingga  dia berjaya  menyelesaikannya.  Itu  sahaja yang mampu kulakukan bagi membimbingnya.  Walaupun ianya agak keras dan  kuku  besi tetapi  terpaksa  kubuat.
Pernah sekali  soalan peperikaan  yang  dibuat  tidak mendapat pengesahanku.   Apabila  peperiksaan  dijalankan kebetulan aku bertugas menjaga kelas tersebut.  Soalan yang dibina memang tidak  mengikut format yang telah aku tetapkan.
Pada hari yang sama  dia tidak hadir  ke sekolah. Aku  bertindak memberhentikan  peperiksaan   bagi  mata pelajaran  tersebut.   Hari berikutnya  apabila hadir  ke sekolah dia kuminta  membina semula  soalan baru mengikut format yang kutetapkan.  Kemudian  kuarahkan  dia  menjalankan  peperiksaan semula kepada murid- murid.  
Memang tindakan itu agak keterlaluan.   Aku dapat  merasakan dia betul-betul marah dengan  sikapku.   Sekali lagi  dia kupanggilkan.  Aku memberi  ceramah  yang  panjang  lebar  tentang sikap  dan kesannya yang akan dihadapi  oleh  semua rakan guru yang lain.
Kujelaskan  kepadanya  dia boleh  menjadi guru  yang baik  jika dia menghendakinya. Dia perlu  banyak  bertanya dan terima teguran.   Sebenarnya dia tidak  sedar bahawa ada banyak  kelebihan  dalam dirinya  yang boleh diketengahkan.   Semuanya amat bergantung  kuat  kepada keinginannya   sendiri.
Apapun  kunasihati  diri  sendiri dan  rakan-rakan agar  hubungan dengan guru itu jangan dibiarkan renggang.  Waktu makan  perlu bersama seperti biasa.  Jangan bercerita  mengenainya  di belakang.  Insyallah dia akan sedar akhirnya nanti mengapa semua  tindakan itu dilakukan keatasnya.
Hampir setahun  masalah yang ditimbulkannya semakin  berkurangan.   Perlahan-lahan rupanya budaya kami  telah menyerap  dalam dirinya.   Dukacita akhirnya dia dipindahkan atas sebab lebihan guru  dan  alamat rumahnya berdekatan  dengan sekolah  baru  tersebut.
AKU  TERKENANG  KEMBALI   APABILA  TELAH  DITUKARKAN  DIA KERAP  BERTEMUKU BAGI  MENYAMBUNG ILMU YANG TIDAK HABIS  DITUNTUT . RUPANYA DIA  BARU  HENDAK  BELAJAR  MENJADI  GURU PENDIDIKAN KHAS YANG BAIK.

Jumaat, 17 Februari 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ TETAMU

TERIMA  TETAMU

Melihat rakan-rakan  di PPKI  begitu  sibuk  membuat persediaan untuk  menerima tetamu  membuat aku terkenang kisah lama. Sebagai  program  yang selalu dilawati kami  sekeluarga  memang sentiasa  berada  di dalam keadaan  sibuk. 

Selalunya apabila  menerima surat  untuk  kehadiran tetamu semua  guru sudah arif tentang  tugas masing-masing. Kami   amat gembira jika surat pemberitahuan itu diterima awal. Ini adalah  kerana persediaan  buku program,  persembahan power point, persembahan murid, penyediaan hasil  kerja murid untuk jualan 
serta keceriaan dan kebersihan kelas dapat  dijalankan  dengan  lebih teratur.

MERUNGUT

Ada  juga rakan yang merungut dengan  kehadiran tetamu yang tidak henti-henti.  Kadangkala dalam satu  bulan sehingga 2 kumpulan ltetamu  yang terpaksa kami terima. Aku  memahami situasi ini.  Bukan aku tidak mahu menerima pandangan rakan-rakan.  Sebaliknya sepanjang menjadi guru pendidikan khas aku dapat
merasakan hikmah  di sebalik semua ini.

Biarku jelaskan hikmahnya di sebalik menerima tetamu:
1. Kami sentiasa berada di dalam keadaan bersedia, terutama dari segi keceriaan kelas,   penyediaan    bahan
    bantu mengajar murid, penulisan RPI dan segala bentuk dokumentasi lain yang sepatutnya berada di 
    dalam       sebuah program pendidikan khas. Kelas  dan persekitaran kelas sentiasa dalam keadaan bersih 
    dan    teratur.

2. Bukan aku ingin  membanggakan diri, tetapi hasilnya ialah semua rakan-rakan guru yang ada di programku
    menjadi guru yang amat rajin juga kreatif. Mereka sentiasa berlumba-lumba menceria dan  membersihkan 
    stesen pembelajaran masing-masing.

3. Dapat  membina keyakinan diri murid setiap kali  mereka  membuat persembahan di hadapan tetamu.

4. Kami  menjadi satu team work yang amat akrab  dan saling berganding bahu dalam semua keadaan.

5. Walaupun ini adalah perkara terakhir dalam susunan yang kutuliskan ini , tetapi sebenarnya ia adalah yang
    pertama dan paling besar ertinya dalam kehidupanku sebagai guru pendidikan khas iaitu  banyak  masalah     di programku  yang dapat   selesai  dengan baik  kesan   daripada kerap  menerima tetamu.  

HANYA AKU DAN RAKAN-RAKAN DI SKUP SAHAJA YANG MEMAHAMINYA KERANA KAMI  YANG SENTIASA MELALUINYA....



















Sabtu, 11 Februari 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ MINTALAH KEPADANYA



1992
Pada  tahun 1992,  semasa  baru melaksanakan  program  pendidikan khas, aku   bersendirian telah  menerima lebih kurang   13 orang murid  bermasalah pembelajaran  daripada berbagai  kategori. 
 
Mereka   terdiri  daripada yang  menghadapi  masalah  haiperaktif, down syndrome, terencat akal ,   slowlearner, bermasalah pertuturan    dan  autisme. 
  
KELAM KABUT

Hingga  kini aku masih dapat  membayangkan keadaanku  yang  kelam  kabut  pada  masa itu.   Dalam keadaan    sarat  mengandung,   tidak ada langsung waktu rehat  aku harungi  semuanya seorang diri. 

Setelah  beberapa  bulan bersendirian   menerajui program ,  aku  ditemankan oleh    seorang  guru  pemulihan khas yang luhur hatinya  dalam  membantu   anak-anak istimewa  itu. Terubat sedikit  keletihan  yang  kutanggung   sebelumnya.

AUTISME

Murid  autisme  yang ada didalam programku  pada  masa itu berbangsa Cina.  Aku  gelarkan dia  TS.  Memang  kami  menghadapi  kesukaran  dengannya   kerana  TS  tidak  ada pertuturan. Dia  juga tidak langsung  memahami   Bahasa  Melayu.  Oleh itu,  segala  arahan kami adalah dalam Bahasa  Inggeris.

Dia  tidak suka  berkawan  dan suka  menyendiri.   Dia  jua  tidak  mahu berkongsi  apa  juga  bentuk  peralatan  dan  permainan. 
  
Kelebihan  yang ada pada  TS  ialah  dia  amat suka dengan  permainan puzzle  dan begitu  cekap   menyusun alat  permainan ini.    Dalam  jangkamasa yang singkat  puzzle   yang paling kecil  dan rumitpun  pun dia  boleh selesaikan.  

Rakan-raknnya  yang  berbangsa  Melayu  pun  hairan  dan   suka  datang dekat   untuk  melihat kecekapannya.   Malangnya   TS  langsung  tidak boleh  didekati,   hanya  guru-guru  sahaja  yang boleh  berbuat  demikian.

Dia  akan  menjerit  sekuat- kuat  hati   dan boleh didengari  oleh semua  warga  sekolah sebagai tanda marah jika  ada rakan  yang mendekatinya.   Sebagai  orang yang  cetek   pengalaman dan ilmu bagi   mengatasi  masalah TS pada  masa itu terpaksa  dia kubiarkan  bersendirian.

MELAWAT   RUMAHNYA

Aku   memang   bercadang   melihat keadaannya di rumah.   Bagiku  didikan  dirumah  adalah salah  satu faktor   yang  telah  menjadikan TS begitu.  Peluang  terbuka  kepadaku   apabila  suatu hari  ibunya  memaklumkan   bahawa   TS  demam  dan tidak boleh  hadir sekolah  untuk beberapa  hari.

Pada  hari  berikutnya selepas  waktu  persekolahan  aku dan rakan menuju  kerumahnya.   Baru  terjawab segala persoalan  yang  berlegar dalam fikiranku   selama  ini. 

Di rumah TS  ibu bapanya  menyediakan  sebuah  bilik khas  untuknya.   Di dalam bilik  itu   terdapat  sebuah  komputer  dan bermacam-macam  jenis  puzzle.    Daripada  puzzle  pecahan   4  hinggalah  pecahan beratus-ratus.   Semuanya  tersusun  dengan kemas  sekali.   Semasa  kami datangpun,   TS   sedang  menyusun puzzle dan   kehadiran kami langsung  tidak  dihiaraukan . 

Menurut  ibunya,  sebagai  anak bongsu  daripada  dua  orang adik  beradik, TS  tidak  banyak  menimbulkan masalah.   Ibunya  rasa  ia mudah   menguruskan TS  kerana TS tidak banyak  kerenah dan  lebih banyak  menghabiskan masa di bilik tersebut  sendirian bagi  menyusun  puzzle.   Abangnya  sendiri  tidak  dibenarkan   masuk  dan  bermain  di  dalam bilik itu. 

KURANG   TEPAT

Dengan  rasa  berat  hati aku  terpaksa  menjelaskan kepada ibu TS  bahawa  tindakannya itu  kurang tepat.  Dia harus sedar bahawa  apa   yang TS  lalui  selama ini telah memberatkan  lagi  masalah   yang dihadapinya.  

Sebagai  murid  yang bermasalah autisme,  TS  perlu  kepada  persekitaran  yang boleh  membantu dia bersosial dengan orang lain.  Segala   kelengkapan  dan kemudahan  yang disediakan  telah  membuatkan TS  lebih  anti kepada  sosial.

Kunasihatinya  untuk  bertindak   segera   agar  masalah yang  dihadapi oleh TS boleh  dibantu dan diseleaikan   dengan  lebih  berkesan.

BERUBAH

Selepas  beberapa  hari   tidak  tidak  hadir ,TS hadir   semula  ke sekolah.   Semasa  menyambutnya pada  waktu  pagi,  kami ternampak di tubuhnya  ada banyak  tulisan-tulisan Cina berwarna merah. Tulisan itu  seperti   menggunakan cop  tertentu. 

Hari itu  juga  perubahan besar berlaku pada TS.  Dia  tidak  menjerit seperti  selalu apabila  didekati   rakan-rakan.  Kami  begitu  gembira  dengan perubahan  mendadak  itu.  Meskipun  tidak mahu berkongsi  tetapi  TS  boleh  didekati .

Semasa  balik kami  menceritakan  perubahan  TS  pada ibunya. Kami  juga bertanyakan tentang cop-cop  tulisan China yang ada pada tubuh TS. Penjelasan  ibunya membawa kami  faham   bahawa ibunya telah membaca  TS berubat  di sebuah tokong  pada  hari  sebelumnya.   

ADALAH  KEPERCAYAAN SETIAP  PENGANUT APA JUGA  AGAMA,  SEGALA  MASALAH ADALAH  DATANG  DARIPADANYA . OLEH ITU KEMBALI  DAN MINTALAH SESUATU  DARIPADANYA  PASTI   ADA JALAN PENYELESAIAN

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ ADA CIRI-CIRI AUTISME


SAMBUNG KISAH   TRS
Bercerita semula kisah N  yang  dipindahkan oleh ibunya selepas  3 bulan berada  di taska anak-anakku, aku  begitu  teruja ingin menyambung   kisahnya sepanjang  3 bulan  di TRS. 

Anak-anakku masih  terlalu muda dalam  mengurus  sebuah taska.  Memang banyak perkara  sepertimana   yang kunyatakan adalah  dirujuk   kepadaku.  Suami  adalah  penasihat   paling tinggi  yang  banyak  memberi  idea  bagi tujuan penambahbaikan   TRS.

Setiap  kali  mensyuarat TRS  diadakan (selalunya seminggu sekali),  semua   masalah  dan perkembangan   TRS   dari semua aspek dibentangkan oleh anak-anakku.   Kadangkala ada juga perkara  yang  mereka tidak sentuh  kerana tidak tahu   akan kepentingannya   di dalam sebuah  taska, aku  dan suami yang mengesyorkan   dan minta  di buat tindakan.

 N  MURID  EMAK 

Dalam mesyuarat biasanya   aku   akan minta   laporan perkembangan murid  dibuat   secara  individu kepadaku  dan suami.   Tujuannya adalah untuk  melatih anak-anakku  memberi   perhatian  kepada  semua murid   tanpa  ada rasa pilih kasih.

Apabila  menyentuh nama N , anak-anakku   terus   berkata  bahawa   mereka rasa   N  macam muridku  yang  bermasalah  autisme.  Sebenarnya semua ahli  keluargaku   samada suami  atau anak-anak  memang  telah  banyak tahu  tentang anak-anak  istimewa ini. 

Ini adalah kerana aku rajin bercerita  dan  menunjukkan gambar-gambar aktiviti murid-murid ini kepada mereka. Powerpoint  yang  kusediakan untuk sesi ceramahpun selalunya akan kutunjukkan kepada suami  dan anak-anak.minta komen untuk tujuaan penambahbaikan.

Oleh  itu  mereka  kenal betul  dengan anak-anak istimewa. Tidak hairan  setiap   kali  bertemu  anak-anak istimewa di mana  sahaja  mereka akan kata itu macam murid emak,

CIRI-CIRI
Satu  persatu anak-anakku  menceritakannya kepadaku.
1. Tidak ada eye contact
2. Tidak  mahu  bertutur
3. Pertuturannya    sukar   difahami
4. Suka  menonton  telivisyen  dan banyak  perkataan yang disebut   adalah  daripada
     perkataan  yang dilihat di tv   tetapi   ianya   tidak  jelas.
5. Suka   menyendiri  dan tidak  suka  berkawan
6. Tidak   boleh  berkongsi  permainan
7. Suka   menarik  tangan guru apabila inginkan sesuatu

Ternyata    ianya  memang  tepat.   N   memang  menunjukkan  ciri-ciri  murid autisme.  Setelah   berbincang,  keputusannn telah  diambil  bahawa  aku  yang  layak  untuk    berbincang  dengan ibu atau bapa  S  bagi  menjelaskan   perkara ini.
Bukan    semua  orang   boleh  menerrima   dengan lapang dada apabila  anak  mereka  dikatakan istimewa.   Ternyata ibunya  menolak  mentah-mentah  apa    yang  kuperkatakan.

Bagi   mengelakkan   hubunganya  dengan kami  jadi  renggang,   aku  merendah  diri  menyusun jari  sepuluh memohon maaf  kepadanya  jika  aku  tersalah tafsir   terhadap  puteranya  itu.   Walaubagaimanapun   aku  ada   mencadangkan   agar dia merujuk  doktor bagi  mendapatkan kepastian.


AKU  SIMPATI  PADA  N ….  TERASA  INGIN  MEMBANTU KERANA  MASIH   ADA PELUANG.   KEEGOAN  IBUNYA  TELAH  MEMBUATKAN  AKU  SERAHKAN  SEMUANYA   KEPADA  KETENTUAN  ALLAH.