Memaparkan catatan dengan label istimewa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label istimewa. Papar semua catatan

Sabtu, 27 Februari 2016

BICARA YB/ ZIARAH

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.

ZIARAH.

Sembang  pagi itu aku mulakan dengan bertanya khabar.
Ternyata ibu tunggal yang sedang aku  ziarahi adalah seorang
penghidap penyakit diabetes yang serius. Bacaan kandungan
gulanya mencapai angka 16 meskipun beliau  mengambil insulin
4 kali sehari.

Kebimbangan hati diluahkan kepadaku. Tergambar  juga di wajahnya.

Aku menyarankan  beberapa petua yang dirasa dapat membantu
mengatasi masalah  berdasarkan pengalaman dan pembacaan sendiri.
Daripada penjelasannya,  dia telah mengamalkan sebahagian
daripada petua yang aku berikan. Alhamdulillah.

Kami rancak berbual meskipun pertemuan baru  kali ke dua.

Sebelum mengundur diri aku sempat menghulurkan nasihat.

"Yang memberi penyakit ialah Allah. Yang berhak untuk 
menyembuhkannya juga Allah".

Dia mengangguk tanda faham.Hanya menundukkan kepala.
Tidak memandang wajahku.

"Solat jangan ditinggalkan. Banyakkan solat sunat.  Cuba amalkan solat dhuha.
 Banyakkan berdoa". Aku menambah.

Tiba-tiba. dia  memandang kearahku dan  bersuara sambil menangis.

"Saya tidak tahu solat kak. Dari kecil tak pernah solat.
Saya jahil. Saya tak pandai, Saya banyak dosa".

Kenyataanya diulang beberapa kali dengan esak tangis.
Aku merasa sebak dan turut sama  mengalirkan airmata
melihatkan  keadaan itu.

"Syukur awak sudah sedar. Tidak mengapa nanti saya boleh
ajarkan". Ujarku. bagi meredakan kesedihannya.

Setelah tangisannya reda aku meminta nombor telefonnya untuk
mudah berurusan selepas itu.

"Saya tidak boleh membaca kak. Jadi akak jangan sms . Lebih 
baik call". Dia menerangkan sambil menghulur kepadaku secebis
kertas yang diambilnya diatas almari dan  telah tersedia bertulis
nombor telefon .

Sekali lagi aku terpana. "Kasihnnya," bisik hatiku .

Akhirnya aku meminta diri untuk pulang. Semasa bersalam dia memelukku
dan berkata.

"Dah lama saya berdoa. Minta  Allah hantar kepada saya orang
yang boleh ajar saya solat. Rupa-rupanya akak yang datang.
Terima kasih kak, terima kasih". luahan hati dibisikkkan kepadaku.

"Bersyukurlah,  sebab  Allah  perkenankan doa awak  walaupun
awak belum berdoa dalam solat" . Jawabku.

"Nanti saya akan telefon awak dan maklumkan waktu sesuai  
untuk  mula belajar solat" Aku menyambung.

Nampak jelas wajahnya kembali ceria. Aku melangkah menuju ke kereta.

"Allahuakbar!. Kau Maha Pengasih Ya Allah. Mengaturkan
pertemuan ini". Bisik hatiku dan terus memandu pulang kerumah.








Ahad, 8 Jun 2014

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ TIDAK SIA-SIA



Jika keadaan ini masih membolehkan mereka berusaha dan
mungkin  akan berjaya, apatah lagi murid-murid kita 
yang sempurna sifatnya.

Allah sediakan anak-anak yang sempurna dihadapan
mata kita dengan berbagai kelebihan.

Kita tidak menyedarinya kerana kita tidak pernah
cuba  untuk mencari dan  mengenali.

Tingkatkan usaha dalam mengenali kelebihan anak-anak
murid yang kita didik kerana .....

Allah tidak pernah menjadikan hambanya dengan sia-sia.




Isnin, 10 Februari 2014

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/KURSUS KEPIMPINAN PUSATSUMBER

Tarikh: 11 February 2014
Tempat: Perpustakaan awam negeri Melaka
Perasmian: Y.Bhg Mohamed Aizamuddy bin Mohamad Idris
Pengarah perbadanan perpustakaan  Melaka.






















Rabu, 14 Ogos 2013

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ SYILING

Aku merenung  muka remaja perempuan dihadapanku.
Dia adalah kakak kepada seorang daripada muridku yang 
tidak membayar yuran pada awal tahun itu.

"Ada  apa awak mahu jumpa saya?" Aku inginkan kepastian.
Dia menghulurkan bungkusan plastik yang penuh berisi  wang 
syiling  kepadaku.

"Ayah kata, ni aje duit yang  ada, cikgu ambil untuk yuran,
lebihnya  ayah suruh  bawa  balik " jelas remaja itu  bersahaja.

Aku merenung plastik kecil yang penuh dengan syiling ditangannya .
Kelu lidah seketika.

"Kalau belum ada duit biarlah dulu" kataku kepadanya.

Terasa serbasalah apabila berada dalam situasi begitu.

Adakah bapa muridku itu marah dengan peringatan yang
selalu aku berikan melalui anaknya tentang yuran . Aku pun tidak
pasti.

Untuk  pengetahuan pembaca bapa itu memang terkenal dengan
sikap keras kepalanya  yang tidak mahu membayar yuran.

Tak apa cikgu, ayah  kata bayar saja  dulu , takut cikgu nak guna
 duit untuk beli buku  adik ".

"Oh ye ke? Aku menyoal.

Nampaknya tekaanku meleset.  Rasanya bapa  itu tidak marah.

Setelah  mengira wang syiling   bersama -sama , remaja itu
meminta kebenaran untuk pulang.

Semasa bersalaman dia sempat berkata
"Sebenarnya  ayah suka sangat sejak adik masuk kelas khas.
Masa kat kelas perdana dah sampai darjah 3  adik masih tak 
 boleh membaca. Ni adik dah boleh baca sikit-sikit"

Aku tersenyum mendengar penjelasan daripada remaja itu.

"Syukur padamu Allah kerana memudahkan  banyak urusanku
sepanjang bergelar  guru pendidikan khas"









Selasa, 2 Julai 2013

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/CHEF

Kekurangan dan kecacatan bukan satu halangan untuk
insan OKU ini  bergelar Chef di Bustani Hotel Jitra Kedah
Darul Aman.

Namanya Muhammad bin Mohd Isa. Berusia 38 tahun.
Bermasalah  anggota tangan yang tidak cukup sempurna
serta  bermasalah pertuturan.

Kepada Pemilik Hotel Lt.Col.(R) Zulkifli bin Yusuf
dan  isteri Puan Hjh Zarinah kudoakan semoga berjaya
dunia dan akhirat.  Kemuliaan hati kalian  berdua di
harap dapat menjadi contoh tauladan kepada  pengusaha
lain.

Terima  kasih kerana memberi peluang dan menghargai OKU
seperti  Muhammad.



Menjamu  selera
resepi  Nasi  Arab
hasil tangan
Chef Muhammad






Bersama CHEF dan
Puan Wan Nomi
pegawai  BP Khas






Bersama pengusaha
Hotel  dan rakan
daripada BP Khas





Chef Muhammad






Puan Wan  Nomi,
Pengusaha  Hotel
dan  rakan dari Hotel
Amanpura




Pengusaha Hotel dan
Chef Muhammad

Isnin, 20 Mei 2013

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ REDHA DAN SYUKUR

Redha dan sentiasa bersyukur dengan ujian  Allah adalah satu sifat yang
terpuji. Bukan satu perkara mudah untuk kita memiliki sifat ini. Dengan
ujian berat yang Allah beri,  Bukan  semua orang boleh lalui.


Ibu muda itu adalah antara insan yang terpilih. Diberi  ujian oleh
Allah memiliki anak istimnewa .

Sebaik  sahaja dia telah mengenalpasti anaknya bermasalah haiperaktif,
doa ibu muda itu tidak pernah berhenti.  Surah yasin menjadi mainan dibibirnya.
Solat hajat menjadi amalan hariannya.

Meskipun adakalanya dia seperti  mengalah, namun usahanya tidak
pernah berhenti. Seawal 4  tahun anaknya telah dihantar belajar membaca
di rumahku pada hujung minggu. Meskipun jarak rumah kami jauh, tetapi
tidak pernah mengeluh.

Dia amat menitikberatkan soal solat dan mengaji anaknya itu. Meskipun
pahalanya Allah sahaja yang tahu, namun dia teruskan usaha. Rupa-rupanya
anak haiperaktif itu ada istimewanya.

Dia begitu mudah mengingat.  Quran telah khatam dibacanya semasa berusia
10 tahun. Meskipun bacaan tajwidnya tidak sempura, namun  Allah maha
menerima.

 Zikir selepas solat telah ada dihujung jarinya.  Azan sudah boleh
dilaungkannya.  Menjadi imam dirumah sudah jadi basahannya.

Itulah hasil daripada  redha dan sentiasa bersyukur  dengan apa yang dimiliki.
Setiap kali anak itu berselawat, mengaji, melaungkan azan , menjadi imam pada
rakan-rakannya sewaktu solat,  tidak siapa menduga anak ini sebenarnya 
sentiasa menimbulkan huru-hara di rumahnya.

Apa yang tidak pecah bila dipegangnya.  Apa  yang tidak hilang bila  diamanahkan
menjaganya. Siapa yang tidak jatuh bila dilanggarnya. Lauk mana yang tidak
tumpah bila dia menceduknya. Air mana yang tidak melimpah bila dia yang menuangnya.
Dan paling lucu,   siapa yang tidak ketawa kerana setiap kali kenduri dialah
orangnya yang sering jatuh terduduk di dalam dulang hidangan.

Pun  begitu, rasa syukur dan redha menghilangkan kemarahan. Ia juga jadi
penawar segala kesedihan. Menggantikan kedukaan kepada kegembiraan. 

Pernah sekali apabila anaknya yang normal buat perangai ibu itu berkata.
"Bila fikir-fikir semula, lebih senang lagi  saya  jaga yang istimewa"


Redhalah dengan ujian pasti kebahagiaan menjelma.


Isnin, 13 Mei 2013

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/PRIHATIN

Setelah keluar daripada  wad kerana jangkitan kuman pada
paru-paru aku menyambung cuti selama seminggu di rumah.
Batuk masih tidak  berhenti  meskipun ubat telah habis  kutelan .

Sejarah dalam  hidup ku, cuti begitu lama .  Selama  bergelar guru 
aku memang sukar  untuk  ambil cuti sakit kecuali   semasa cuti
bersalin.

Selalunya jika pening atau demam-demam air ia akan sembuh 
apabila sampai sekolah.  Bersama anak- anak istimewa ini buatkan 
semua kesakitan ku hilang.  Itu lah keindahannya hidup  sebagai 
guru Pendidikan Khas.

Sewaktu mengandung  Allah lebih banyak membantuku. Aku tidak
pening dan loya sepanjang berada di sekolah. Waktu mabuk hanya
datang selepas maghrib.  Betapa besar nya kuasa Allah .
Memberi mengikut keperluan insan. Dia  maha mengetahui akan segala
yang  tersirat.

Berbalik cerita batuk tak henti-henti , akhirnya aku bertugas semula.
Batuk yang tidak henti-henti amat mengganggu  tuigas harianku.
Meskipun begitu, terpaksa  kulalui.

Dalam keadaan batuk tidak henti-henti itu tiba-tiba terasa ada jari-jari halus 
mengurut belakang ku. Aku menoleh.  Seorang murid lelaki bermasalah
ADHD  berdiri dekat dibelakang  sambil tersenyum manja.

Hati kecil ku tersentuh.  Anak itu kerap aku marahi  kerana sikap
nakalnya dan tidak mengikut arahan. Rupanya dia tidak mengambil hati.
Dia tetap menghulurkan bantuan, meskipun kerap dimarahi.

Itulah  nilai keperibadian yang  tinggi dan sukar untuk kita cari dalam
kehidupan normal kini.

Jumaat, 10 Mei 2013

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ ENTAH DI MANA














\



Sebagai orang yang beragama, semua kita yakin akan adanya
kematian.  Samada kita adalah insan sempurna mahupun  bergelar
istimewa kematian adalah penghujung  sebuah perjalanan.

Cara kematian, bukan kita yang tentukan.  Ia adalah ketetapan
Tuhan .  Meskipun begitu, amalan semasa hidup akan mempengaruhi
cara kita dijemput   menghadapNYA.

Percaya atau tidak, ingin aku tuliskan sedikit kisah. Tentang seorang
insan istimewa yang bermasalah terencat akal.  Dia adalah  anak
saudara sulongku

Perjalanan hidupnya  meskipun istimewa tidaklah dipersiakan oleh
ahli keluarga.

Meskipun tidak pernah belajar di program Pendidikan Khas,
tidak  tahu menulis   dan membaca , namun atas didikan keluarga
dia  boleh  berdikari.


Remajanya  dihabiskan di surau dan masjid. Membersih, dan
mencuci apa yang telah diamanahkan kepadanya.

Siangnya dia bertugas sebagai tukang cuci.  Yang indahnya dapat
kutuliskan disini ialah dia tidak pernah tinggal solat magrib, isya dan
subuh berjemaah. Diterima atau tidak pahalanya  Allah yang tentukan.


Kayuhan basikalnya akan membelah dingin subuh seawal 5.30 pagi.
Allah sentiasa memeliharanya.  Meskipun penghidap lelah yang
serius tetapi dia tidak pernah mengalah untuk meneruskan kehidupan.


Suatu malam, semasa duduk  di masjid mendengar ceramah  agama dia
rebah.   Dia dikejarkan kehospital.  Semua ahli keluarga bergegas kehospital
menziarahinya.

Sarat  tubuhnya dilekatkan bermacam alat bantuan  bagi membantu
dia bernafas kembali.   Kami sekeluarga berkumpul di luar bilik kecemasan.

Membaca yasin berarami-ramai  minta Allah permudahkan segalanya.

Yang pergi tetap akan pergi bila telah tiba masa. Dia pergi juga tengah malam
itu semasa berusia 38 tahun.  Meskipun telah berlalu beberapa tahun, namun aku
 masih terkenang akan satu kisah.

Tepat 10 Muharam  yang lalu dia datang dalam mimpiku.

Subhanallah, terlalu kacak hingga aku tidak mengenalinya.  Seperti
raja sehari. Wangi  semerbak kasturi. Senyumannya hingga kini dapat
aku bayangkan. Dia memelukku. Nafasnya dapat aku rasakan.

Mimpi terganggu. Allah  mengejutkanku. Pertemuan singkat  di alam
roh  membuat aku semakin  yakin.  Maha  suci Allah telah meletakkan
insan istimewa itu disyurganya.

Kita yang serba sempurna, penuh dosa yang dibawa, entah akan
berada di mana.


Rabu, 8 Mei 2013

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ CERITA

Dalam  hidup  ada banyak cerita yang kita ada. Sebahagiannya
boleh dilupakan. Tidak  kurang yang sentiasa berlegar diingatan.

Cerita remaja perempuan  bermasalah slowlearner  itu sukar
untuk aku lupakan.     2 bulan yang lalu ceritanya aku dengar
daripada mulut seorang rakan. Kesohihannya  kuragukan.

Hari ini Allah menghantarnya di hadapan sekolah untuk memberi
ingatan kepadaku. Nasib anak istimewa ini sebenarnya memang
tidak terbela.

Pengesahan dari mulutnya sendiri amat melukakan hatiku.
Tanpa aku sedari airmata ini mengalir. Apalah nasib malang
yang dia ada.

Setelah dirogol beramai-ramai di dalam ladang sawit dia telah
diberhentikan persekolahannya .  Selama 3 tahun dia diasuh  akhlaknya
dipusat pemulihan .

Terlalu panjang dan beronak duri cerita perjalanan hidupnya.
Tidak tergamak untuk aku menulisnya di sini.  Yang pasti aku
menasihatinya untuk berubah.

Allah tidak pernah zalim pada hambanya.  Allah  lebih mengetahu
segalanya. Pasti ada hikmah  disebalik apa yang berlaku.

Kuberikan kepadanya seutas tasbih sebagai hadiah sebelum
dia meninggalkan pejabat sekolah. Kupesankan dia untuk terus
bertaubat dari dosa lalu.  Jaga aurat dan jangan tinggal  solat.

Apa  yang ada pada anak  remaja ini lagi, selain melalui sisa
hidup dengan disahkan menghidap kanser rahim dalam usia
yang begitu muda.

Kudoakan dia akan selamat dan terus  tabah.

Semoga  ada sinar mentari  buat anak-anak istimewa yang senasib
dengannya.





Selasa, 7 Mei 2013

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ BELAJARLAH DARIPADA MEREKA

























Melihat anak-anak autisme membuatkan kita selalu
memberi tanggapan  bahawa mereka tidak
peka  kepada persekitaran.

Dalam fikiran kita semua, mereka ada dunia tersendiri.
Sukar untuk dibantu.

Meskipun begitu, pengalaman  yang kulalui memberi aku
ruang untuk berfikir dari sudut yang berbeza.

Sepertimana  biasa, setiap kali perhimpunan pagi,  3 atau
4 buah kerusi akan disusun oleh Pembantu Pengurusan Murid
untuk menempatkan  2 orang murid yang severe serta tidak
boleh berdiri lama.

Apabila tamat perhimpunan, kerusi itu biasanya diletakkan
semula  oleh Pembantu  Pengurusan Murid  ditempat asalnya.

Namun pagi itu kemungkinan besar PPM terlupa.  Aku melihat
semua murid dan  guru yang lalu di situ mengelak  supaya kerusi
itu tidak mengganggu perjalananan mereka.

Allahhuakhbar.  Allah yang lebih mengetahui  segala rahsia
yang tersimpan di  dalam seketul hati.  Tanpa bicara tiba-tiba
seorang  murid autisme mengangkat kerusi  itu dan meletakkannya
di  tempat asal.

Tidak ada siapa yang terperasan dengan bakti  yang telah
dia  curahkan. Tidak ada  pujian dari orang sekeliling kerana
dia hanya seorang murid istimewa.

Aku yang melihat daripada jauh, mengucap subhanallah di
dalam hati  kerana sebenarnya autisme adalah lebih peka
pada  persekitaran daripada kita  semua yang normal.

Belajarlah daripada anak-anak istimewa ini kerana dalam

beberapa perkara adakalanya mereka lebih mulia daripada 

kita  semua.



Jumaat, 19 April 2013

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ TAHNIAH

TAHNIAH... KALIAN  HEBAT DAN BOLEH  LAKUKAN  DENGAN
BAIK  APABILA DIBERI  KEPERCAYAAN


















PERSEMBAHAN TARIAN MURID PEND KHAS DI KARNIVAL PENDIDIKAN

















TAHNIAH KEPADA PEGAWAI UNIT DAN RAKAN-RAKAN GURU .
ANAK-ANAK  ISTIMEWA YANG  DIKASIHI. KALIAN MEMANG HEBAT

   




BERSAMA  BEKAS MURID SKUP
















BEKAS MURID  DAN  RAKAN GURU






















Isnin, 8 April 2013

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ KITA ATAUPUN MEREKA

Dalam kesamaran awal pagi itu kami masuk ke pejabat. Berbekalkan
cahaya daripada jendela,  kami  menyemak isi fail  yang baru
diambil  daripada rak.

Sama menyemak ialah Cikgu  Siti  Zairin.  Ada perkara penting
yang harus kami selesaikan  pada pagi itu.  Maklumatnya ada
di dalam fail tersebut.

Puas  menyelak namun  masih tidak pasti. Kedua-dua kami  merapatkan
pandangan ke arah tulisan  yang kami rasa agak samar pagi itu.  Mengapa ya?
tidak  tahu puncanya.

Tiba-tiba kesuraman pejabat itu bertukar ceria. Subhanallah.  Rupa-rupanya 
kerana  tergesa-gesa lampu yang sepatutnya membantu,  kami terlupa.

Dan berdiri dipintu  pejabat, sedang memetik suis lampu seorang anak istimewa
bermasalah autisme. Rupa-rupanya dia   boleh membaca apa yang sepatutnya
ada. Dengan ikhlasnya  dia membantu  tanpa diminta.

Hanya Allah  yang tahu perasaan kami pada masa  itu. Menilai sebenarnya
siapa yang lebih mulia hatinya . Kita ataupun mereka?

Hanya Allah Yang  Lebih Tahu







Jumaat, 22 Mac 2013

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ TAHAN KERETA

Anak-anak istimewa terlalu tulus hati mereka. Sukar untuk
dinilai dengan kata-kata.  Meskipun tidak  semua orang
boleh memahaminya  namun ketulusan  mereka tetap  menyentuh
hati.

Setelah  aku  diarahkan berpindah  ke  sebuah  sekolah lain,
anak bongsuku tidak aku  pindahkan  sesi  sekolah agamanya
pada waktu petang.  Dia  amat menyayangi  rakan-rakan
lama. Perkara ini  telah memaksa  aku menghantarnya ke sekolah
tersebut pada setiap petang Rabu  sehingga  Jumaat.



















Pada suatu petang, aku dikejutkan oleh satu perisitiwa .
Semasa  sedang memandu melalui   sebuah lorong pintas
untuk ke sekolah  tersebut,  tiba-tiba muncul seorang kanak-kanak
lelaki berdiri  ditengah-tengah lorong sambil mendepa tangan
sebagai isyarat menyuruh  aku berhenti.


Mujur kereta tidak kupandu laju. Aku merungut  kerana marah
dan  terkejut.


"Nak mati agaknya budak ni?"

Apabila  telah  berada dijarak dekat dengan kanak-kanak itu,
aku memberhentikan kereta. Anakku yang duduk di sebelah  telah
mula ketawa geli hati.

"Anak murid  mak lah" celah anakku.

Daripada marah, aku turut ketawa. 

" Kenapa  dia tahan kereta?", aku menyoal di dalam hati.

Dia merapati tingkap kereta di sebelahku. Aku lantas menurunkan
cermin kereta.

"Kenapa ni", aku menyoal.

"Saya  nak salam cikgu".

Tidak jadi  aku hendak memarahinya.
Dia adalah seorang murid istimewa(haiperaktif) yang belajar
di sekolah aku  bertugas sebelum ini.

Begitu ikhlasnya dia.  Ingin menujukkan kasih sayang dan hormat
tanpa mengetahui  perbuatannya itu merbahaya.  Hanya untuk
bersalam dia sanggup menahan  kereta yang sedang bergerak
tanpa memikirkan keselamatan diri sendiri.

Terkenang aku anak-anak normal bijak yang pernah aku ajar.
Adakalanya,  berselisih bahupun mereka tidak akan menegur.

Itulah yang dikatakan ketulusan hati  yang sukar untuk kita
cari di  dunia ini.  Hanya orang dipilih Allah dapat merasai.




Sabtu, 9 Mac 2013

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ PERGI JUA

Tahun   2011 pada hari yang sama   peperiksaan  PMR  diumumkan,
anak  ini aku  temui  di  sebuah  pusat membeli   belah bersama ibu  dan
adik-adiknya. Berkerusi  roda  khas . Petah  berkata-kata meskipun
OKU.  Melalui  cerita  ibunya, anak ini menjadi  pelajar cemerlang OKU
negeri  Melaka  dalam  peperiksaan tersebut.

Hari  Khamis  7 Mac 2013  semasa taklimat berlangsung di  kediaman
Ketua  Menteri  Melaka sebuah  tabung derma diedarkan  kepada semua
pengetua  dan guru  besar negeri  Melaka.

Sumbangan untuk  keluarga  anak  ini. Rupa-rupanya anak  ini telah
 meninggal  dunia  di dalam  bilik  darjah pada 4  Mac 2013.

Pilu  hati   apabila  menerima khabar    ini. Dia  pergi  juga menemui tuhan.
Meskipun  harapan menggunung untuk  belajar dan  meneruskan  sisa-
sisa hidup   sebagai  OKU  yang berjaya, namun  Allah  lebih  mengetahui
segala rahsia.

Innalillahiwainnailaihirajiun....Semoga  rohnya  dirahmati  Allah.
Beruntunglah  insan-insan  yang pernah membantu  sepanjang
hayatnya  masih  ada. Diluar sedar sebenarnya kalian  telah  berbakti
kepada ahli  syurga.

















Wajah  masih  dalam kenangan
















Ada  cerita  di sebalik  setiap  pertemuan.





Isnin, 11 Februari 2013

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/TOLONGLAH CIKGU























"Tolonglah cikgu" Ibu  itu  terus  meminta aku mempertimbangkan
permohonannya. Berbagai alasan  aku berikan  sebagai tanda  menolak .
Bukan  tidak   mahu  membantu.   Bukan  hendak jual  mahal.
Sebaliknya  aku tidak  sampai hati.

Jarak  rumahnya dengan  rumahku  terlalu jauh. Hampir  45  minit
perjalanan  dengan kereta.  Rumahnya  terletak   di sempadan negeri
antara Melaka   dengan  sebuah  negeri  jiran.

Bagi  sampai kerumahku  semata-mata untuk  belajar  membaca
dan  menulis  memang tidak bebaloi.  Aku mencadangkan ibu
itu mencari  guru  yang berdekatan  dengan  tempat  tinggalnya
agar  anaknya  dapat  dibantu   dengan  lebih  baik  dan berkesan
lagi. Ternyata ibu itu  keberatan untuk menerima cadangan yang
diberikan.

Keputusannya seperti  sudah muktamad .  Dia tidak mahu 
berganjak  daripada terus merayu agar aku bersetuju  dengan
permintaannya.

"Saya  risau  cikgu,anak  saya  sudah  berumur  13 tahun, tapi
menulispun belum boleh. Dah 7 tahun di kelas Khas. Yang dibawa
balik selalunya ialah kertas gambar untuk diwarna" .jelasnya
dengan  nada sedih.

Aku menyelak buku-buku latihan yang dibawanya.  Penuh  dengan
tulisan huruf-huruf abjad yang cantik dan kemas.  Apabila kutanya
anak itu menjawap cikgu yang tolong tuliskan.


"Kalau  cikgu   dapat  tolong  setiap  hujung  minggu. saya  rasa
dia boleh juga  sikit-sikit.  Saya  bukan  nak  suruh pandai  sangat, boleh
baca perkara penting pun  dah  cukup"  katanya  lagi sebagai memujuk.

Akhirnya  setelah puas berbincang aku mengalah.  Anak lelakinya
itu aku terima juga untuk belajar membaca dan menulis di rumahku
pada setiap hari Sabtu  dan  Ahad daripada pukul 8.00 -10.00
pagi..

Setelah hampir 3 bulan  belajar ibunya telah mula merasa  senang hati .
Anaknya telah mula boleh menulis tanpa bantuan titik-titik
dan boleh membaca beberapa perkataan kvkv.

Pun begitu, Allah  lebih mengetahui  segala rahsia disebalik  setiap
kejadian. Anak itu dijemput  beristirehat   dengan tenang disampingnya
setelah berjaya menguasai hanya setitik ilmu daripadaku. Dia
ditemui ibunya telah meninggal dunia semasa dikejutkan untuk
bangun pada suatu  pagi.

Semoga anak itu aman dan bahagia di alam  sana.

Ahad, 10 Februari 2013

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ SUSAHLAH CIKGU...

"Susahlah cikgu, nak uruskan anak-anak kita ini (anak istimewa)
apabila mereka dan habis sekolah".
Luahan  hati ibu itu kepadaku.


Pertemuan petang itu  walaupun singkat memberi kepadaku
banyak maklumat tentang bekas-bekas muridku yang kini
telah menamatkan sekolah.

Jawapan kepada setiap soalan berkenaan bekas-bekas
muridku itu membuat aku tidak berhenti berfikir.

Apa lagi yang boleh aku bantu. Sedih memikirkannnya.
Ada murid yang berkahwin telah diceraikan dan kasihsayang
ibu dan anak dipisahkan. Alasan diberikan bekas muridku
gila.

Ada yang kini  tinggal sebumbung dengan pekerja Indonesia
tanpa ikatan yang sah kerana ibu berkahwin lain dan bapa
baru tidak mahu terima anak tiri istimewa.

Ibu yang kutemui itu pula cuba menghantar anaknya menjadi
sukarelawan di sebuah pusat jagaan.  Malangnya pula,  tenaga
anaknya disalah guna.


Adakah lagi mentari terbit buat anak-anak ini jika perkara
sebegini  berterusan?





Selasa, 15 Januari 2013

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ISTIMEWA


ANAK  ISTIMEWA ADALAH CIPTAAN ALLAH.

Kelebihan
Mereka masih mempunyai kelebihan tertentu meskipun bergelar istimewa. 
Mereka layak untuk dihargai.  Bagaimana  hendak menghargainya banyak
bergantung kepada kepakaran guru yang mengajarnya.

Cara kita menilai kelebihan yang mereka miliki amat penting. Ianya  boleh 
membantu  dalam membimbing mereka  menjadi anak isitmewa yang lebih 
berdikari.Kelebihan mereka meskipun hanya  kecil  seharusnya digunakan
untuk mendapat manfaat yang lebih besar. Anggaplah bahawa meskipun
istimewa mereka boleh berjaya. Bukan  untuk masuk  university, tetapi
untuk menjadi insan  berdikari. 

Kuasa Allah
Lahirnya anak istimewa ini adalah dengan kuasa Allah.  Mereka 
menjadi istimewa juga dengan kehendak Allah.  Dengan melihat 
kekurangan yang mereka ada membawa kita selalu berfikir tentang
kekuasaan Allah.

Allah berhak menjadikan sesuatu tanpa meminta kebenaran kita 
berbanding  kita yang  boleh  melakukan sesuatu hanya setelah 
mendapat keizinananya. Kuasa Allah tidak ada tolok bandingnya.
Kekurangan  yang Allah ciptakan punya rahsia tersendiri di luar 
pengetahuan kita.  Dalam diri anak istimewa ini Allah meminta kita
berfikir bahawa DIA  boleh lakukan apa sahaja yang diingin kerana
kekuasaannya.


Merenung
Allah   menjadikan  anak-anak  istimewa  ini  sebagai  agen  untuk 
kita  merenung. Merenung tentang  kekurangan yang anak-anak ini
miliki. Merenung  juga akan nikmat yang  kita punyai . Merenung 
sejauhmana kita  rasa syukur  meskipun nikmat yang diterima hanya 
sedikit.

Berapa kali kita mengeluh dan berputus asa apabila  kita diuji.
Allah meminta kita merenung bahawa ada insan  yang lebih malang 
daripada kita di dunia yang fana ini. Apa yang kita guru-guru lakukan
selama ini dalam membantu mereka. Apakah telah tertunai amanah
yang diserahkan kepada kita? 




Anak  ini telah dijemput Allah menjadi  tetamunya 
yang mulia, Kita entah bila.
 Al-fatihah








 



Adakah kita merenung akan hakikatnya mereka sebenarnya beruntung
dengan kenikmatan  akhirat  yang kekal abadi berbanding kita yang 
sempurna tetapi akan dipersoalkan dengan setiap perkara yang kita miliki.

KEISTIMEWAAN MERERA ADALAH SATU AMANAH  KEPADA KITA.
. 


Khamis, 10 Januari 2013

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ PENSEL WARNA

 Setelah mengira dan mendapati pensel warnanya telah kurang sebatang.
anak muridku itu merengek.   "Saya hendak pensil  warna oren (jingga)
saya."

Ok, esok  kita cari, Mi  balik  dulu ayah dah tunggu" aku memujuknya.

"Tak mahu balik, pensel warna oren  saya hilang. Tadi ada, ni dah
tak de "dia terus merengek.

"Mesti Tika ambik,  dia duduk sebelah saya tadi" Mi mula membuat
tuduhan.



















Berbagai helah kuberikan untuk memujuknya tetapi  dia tetap berdegil.
Ayahnya di luar kelas mula resah menanti. Akhirnya  setelah jemu
ayahnya melangkah ke dalam kelas dan berjaya memujuknya
untuk pulang.

Anak ini memang cermat dengan barang keperluannya.  Mungkin
telah dilatih dirumah oleh ibubapanya. Setiap hari sebelum balik dia akan
memastikan semua peralatan sekolahnya cukup sepertimana dibawa
semasa datang ke sekolah.


Keeseokan paginya aku terus memeriksa beg sekolah  murid perempuan
yang disebut oleh Mi  pada hari kejadian. 

Aku tergamam kerana memang betul ada sebatang pensel warna yang
berwarna oren(jingga) dalam beg murid itu.

Yang menjadi tandatanya kepadaku bagaimana Mi boleh mengenalpasti
pensel warna yang hilang itu adalah berwarna oren(jingga) kerana ada 24
batang pensel warna di dalam kotak itu dan setiap warna utama mempunyai
beberapa batang pensel warna yang hampir serupa sedangkan dia tidak
nampakpun pensel warna yang diambil oleh Tika.

Hebatnya Allah menjadikan anak autisme.

Sabtu, 29 Disember 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ AUTISME

Sedarkah kita semua bahawa anak autisme adalah insan yang
teristimewa daripada  yang istimewa. Perkembangan  mereka
yang amat unik adalah kurniaan Allah  sebagai satu bukti DIA
berkuasa keatas segala sesuatu .

Cara mereka menerima segala tunjuk ajar adalah berbeza daripada
kita semua.  Ketika rakan  lain memandang kita semasa  pengajaran
dan pembelajaran dia langsung tidak memberi perhatian.

Ketika  rakannya yang lain menyebut semula apa yang diajarkan,
dia hanya berdiam diri bagai orang tidak mendengar.

Setelah sekian lama sesuatu tajuk diajar, rakan-rakan yang tekun
belajar selama ini telah lupa, tiba-tiba dia bersuara sebagai memberitahu
kita, dialah yang memahami dan mengingati semuanya.


Itulah  anak autisme, bukan mudah hendak didekati, sukar untuk
difahami. Namun  segala yang didengar dan  dilihat tidak akan
mereka lupakan mungkin hingga ke akhir hayat.

Tidak  semua anak autisme yang mempunyai kekuatan
begini. Pun begitu, mereka patut dihargai kerana keistimewaan
yang mereka miliki.

Semua perkembangan yang mereka tunjukkan memberi  pengajaran
kepada kita bahawa Allah boleh melakukan  segala sesuatu mengikut
kehendaknya tanpa siapapun boleh menghalang.












Teruskan usaha mendidik  mereka kerana  autisme  adalah anak
istimewa bijak  yang Allah jadikan sebagai ujian kepada kita untuk
lebih kuat berusaha.

Ahad, 23 Disember 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ DOWN SYNDROME

Mereka  juga ingin dikasihi  dan  dihargai .  Berilah perhatian
kepada  mereka tanpa  berkira tenaga.