Memaparkan catatan dengan label aku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label aku. Papar semua catatan

Ahad, 12 November 2017

BICARA YB/BERSARA

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.

Mengambil keputusan untuk bersara awal bukannya
satu perkara mudah.

Meskipun ianya adalah perancangan awal saya.

Namun setelah beberapa kali bermunajat kepada
Allah, memohon petunjuk,  saya akur dengan keputusanNYA.

Alam pekerjaan yang telah lebih 30 tahun sebati  dalam diri,
saya tinggalkan.

Ramai yang mempersoalkan.

Mengapa ye?

Pada awalnya, persoalan sama  sering bermain di kepala sendiri.

"Mengapa  Allah memilih saya untuk bersara sedangkan hati
 masih ada cinta".

Namun, setelah beberapa orang  saudara seagama,  tiba-tiba
muncul dihadapan saya,  memohon bantuan sebaik saya bersara,
persoalan terjawab  sendiri.


Pertama. Sebaik sahaja  bersara, saya diketemukan dengan
seorang wanita yang benar-benar mengharap bantuan untuk
mengajarkan beliau mendirikan solat.

Alhamdulillah. Telah berjalan lancar dan berjaya.

Kedua. Bulan Ramadhan tahun lepas,  seorang suami
menghantar ke rumah saya isteri keduanya yang baru memeluk Islam.

Seminggu wanita itu dirumah saya memperbaiki solatnya agar
lebih sempurna.

Ketiga. Semenjak bersara,   sahabat dan jiran tetangga mula
belajar mengaji di rumah saya.
Bermula daripada iqraq 1- 6. Seterusnya Al Quran.

Keempat. Kini saya menjadi penasihat kepada Taska, Tadika
dan Pusat Jagaan Kanak-Kanak yang diuruskan oleh anak-anak
dan menantu-menantu saya.

Tugas saya ialah,  sebulan sekali memberi ceramah dan bimbingan
kepada semua kaki tangan Taska, Tadika dan Pusat Jagaan. Agar 
mereka  berperanan sebagai guru yang sewajarnya.

Kelima. Sudah ada beberapa orang ibu bapa yang mempunyai 
anak istimewa merujuk kepada saya untuk program intervensi
anak mereka.

Hati saya berat.  Komitmen saya berbagai.
Saya tidak mahu terikat kuat dengan jadual kerja yang
melibatkan saya menerima  bayaran.

Sedangkan saya kurang kesempatan untuk menunaikannya
dengan baik.

Urusan dirumah, kelas  mengaji dan majlis-majlis ilmu
yang perlu saya hadiri, menulis dan kadangkala menghadiri
jemputan ceramah dan kenduri, sudah cukup buat saya terbaring lesu.

Namun. Allah mengetahui.

Saya memang cinta dengan bidang pendidikan khas.

"Sayang ilmu dan pengalaman saya tidak ada anak yang mewarisi"

Itulah perkara yang sering bermain di kepala saya.

Alhamdulillah. Seorang daripada anak perempuan saya bersetuju.
Ilmu ingin disambut daripada ibunya ini.

Tugas baharu ini sedang saya galas dengan berbesar hati.

Menyediakan bahan bantu dan menurunkan ilmu.

Masya Allah. Bila dikenang semula, hati saya mekar berbunga.

Benar. Keputusan Allah yang terbaik.

Usahlah dipersoalkan. DIA lebih mengetahui  tentang diri kita
 berbanding kita sendiri.

Allah mahu saya berhenti daripada menjadi penjawat awam.
Bukan berhenti daripada menjadi seorang guru.

Guru adalah dunia saya.
Dulu kini dan selamanya.
Alhamdulillah.

Sabtu, 9 September 2017

BICARA YB/SURAH ASY-SYARH

Alhamdulillah. Diizinkan untuk saya menulis.

Semasa dia duduk rapat di sebelah saya pada hari reunion
rakan-rakan sekolah menengah itu, sempat juga dia bercerita 
perlahan. Umpama berbisik.

“Betul Mah”. (singkatan  daripada nama penuh saya Hasmah)

“ Allah beri kepada saya dan keluarga  apa yang kami inginkan
selepas ujian berat haritu”

Saya terpegun  seketika mendengar pengakuan ikhlas daripadanya.

Fikiran saya terus melayang akan musibah yang telah menimpa
sabahat lama saya itu.

Rumahnya hangus terbakar, kereta anak lelakinya yang berada
ditempat letak kereta juga turut musnah.

Kejadian yang bermula akibat kerosakan perkakas elektrik dirumah itu, 
berlaku semasa dia dan suami keluar bekerja.

Syukur, anak bongsunya  yang berada di rumah ketika itu berjaya
menyelamatkan diri.

Mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang. Semuanya musnah
dalam sekelip mata sahaja.

Semua perkakas persiapan perkahwinan anak lelakinya yang hanya tinggal 
sebulan juga turut musnah.

Subhanallah.
Berat sungguh ujian yang menimpa mereka sekeluarga. Mungkin hanya
mereka dan Allah yang tahu ketika itu.

Ingatan lama itu berhenti seketika,  apabila sahabat saya bersuara lagi.

“Sudah lama saya dan dan suami berhajat mengubahsuai rumah yang
kami duduki, tapi tak dapat”

“Anak saya pula,  telah lama mengidamkan sebuah kereta 
Honda tetapi tak tercapai.”

“Dengan insuran daripada  bahagian    pinjaman perumahan dan 
insuran daripada bank yang memberi pinjaman untuk  kereta,  
saya dan anak saya telah dapat apa yang kami hajatkan”.

Dia kelihatan gembira mengakhiri ceritanya.

Allhuakbar.

Allah turunkan ujian  dahulu untuk menilai kesabaran. 
Melihat seteguh  mana hambannya menjadikan DIA tempat 
pergantungan.

Dibakar hangus rumah  dan kereta.

Kemudian,   diganti baru mengikut apa yang dipinta.

Betapa Pengasih dan Pemurahnya DIA.

Kisah rakan saya ini semakin menguatkan keyakinan saya.
Pesanan Allah kepada hambaNYA. 

Melalui surah Asy- Syarh  ayat  lima  dan enam yang membawa makna.

“Sesungguhnya bersama kesukaran pasti ada kemudahan.”


“Dan bersama kesukaran pasti ada kemudahan

BICARA YB/ SEKADAR LUAHAN

Alhamdulillah. Diizinkan untuk saya menulis.

Memang itulah sikap sebahagian daripada kita.

Disanjung melangit andai satu fikir, satu kepala.

Dicaci cerca buruk baiknya andai bertentang idea.

Sampai bila semua ini perlu berlaku?
Sampai nyawa nak sampai ke kerongkongkah?

Jangan terlepas pandang tentang seperkara.

Kita akan di hisab daripada setiap inci,
percakapan dan perlakuan.

Di SANA semuanya perlu ditangani sendiri nanti.
Tanpa sesiapa di sisi buat membela diri.

Sebenarnya......

KITA TIDAK AKAN TAKUT, 

Sebab kita tak nampak dan tidak yakin
dengan balasan kehidupan selepas MATI.

Itulah yang menjadi punca kita sangat berani, 

Tidak berjaga-jaga dan tidak berhenti,
dalam  mengata dan mengumpat keji.


Sabtu, 19 Ogos 2017

BICARA YB/ MUDAH


Alhamdulillah. Diizinkan untuk saya menulis.

Yang pergi pasti tidak  akan kembali.

Pergi dengan cara mudah,
semasa menghadap  Ilahi adalah impian semua,

 Muhasabah diri untuk kita,
yang masih bernyawa 

Suatu hari nanti
kita juga akan mengalami cerita serupa.

 Oleh itu,  sebelum kita kesana,
 berusahalah untuk permudahkan segala perkara.

Samada  untuk  keluarga kita,
untuk rakan kita,
untuk kerjaya kita,
untuk semua manusia.

Permudahkanlah,   
Agar  segala usaha kita juga akan lebih menjadi mudah.
Hidup kita menjadi mudah .
Yang penting kita pergi menghadapnya dengan cara yg lebih mudah 
Insyaallah 



Khamis, 18 Mei 2017

BICARA YB/MACAM ABAH

Alhamdulillah.

Saya menghantar satu barang ke sebuah pejabat
 kerajaan melalui pos laju.

Apabila saya mengajukan pertanyaan kepada pegawai
yang sepatutnya menerima bungkusan tersebut, jawapan
sangat  menghampakan.

Pegawai itu tidak menerima meskipun maklumat terkini
menunjukkan barang tersebut telah diterima oleh seorang
wanita bernama Ani ( bukan nama sebenar).

Kasihan juga saya kepada pegawai terbabit. Perlu menjawab
atas kecuaian orang lain.

Ketidak sampaian barang tersebut  membuatkan saya
meramalkan beberapa kemungkinan.

1. Mungkin penerima barang itu telah TERbuka
    bungkusan  tersebut dan serbasalah untuk
    memulangkan kepada pegawai berkenaan.

2.  Mungkin barang itu menarik perhatian penerima
     kerana boleh digunakan untuk jangkamasa panjang.

3.  Mungkin tersalah letak. Namun satu perkara yang pasti
     bungkusan pos laju itu tidaklah kecil sangat. Ia boleh
     dilihat walaupun terselit di mana-mana.

4. Mungkin penerima tidak mengetahui bahawa pegawai
    pos laju yang menghantar barang tersebut  ada
    menyimpan maklumat penerima dan dia sebenarnya
    telah menjelmakan  ketidak jujuran diri sendiri kepada
    majikan.

Asalnya hati saya sakit juga. Namun apabila saya mengenangkan
sebuah kisah lama menyebabkan sakit itu   terubat.

Masa itu di rumah ada majlis perkahwinan. Salah seorang
daripada abang saya membawa seorang rakan  lelaki ke rumah kami.

Menjadi kebiasaan abah ialah, menggantungkan seluar
yang telah dipakai pada paku yang terlekat di dinding
di ruang tamu rumah.

Pagi itu sewaktu abah mengambil seluar  untuk dipakai,
abah terkejut kerana  mendapati  duit abah  telah hilang.

Jika tidak silap saya berjumlah RM  200. Pada masa itu,
jumlah tersebut  sangat besar, tambahan kepada abah yang
 bukannya orang berduit.

Setelah diselidek dengan beberapa bukti sokongan ternyata
wang tersebut diambil oleh kawan abang saya yang juga
bermalam dirumah kami.

Dia telah meninggalkan rumah kami sebelum subuh.

Salah seorang abang saya yang merupakan seorang anggota
polis bercadang untuk melaporkan kejadian tersebut di balai
polis. Namun abah melarang.

Suasana yang mulanya riuh tiba-tiba jadi sayu apabila
sambil menangis abah bekata.

"Tak apa, abah halalkan. Mesti dia betul-betul nak guna
duit, kalau tidak takkan dia sanggup mencuri".

Walaupun  kisah ini telah hampir 20 tahun berlalu dan
abah juga telah lama meninggalkan kami, namun kami
adik beradik amat menyanjungi sikap abah.

Lembutnya hati abah. Seorang pemaaf dan amat
menyantuni orang susah meskipun masa itu dia juga
sangat memerlukan.


Saya juga ingin menjadi seperti  abah.  Memaafkan,
apa juga yang sebenarnya telah berlaku. Jika benar
wanita yang menerima barang tersebut memerlukan
barang yang saya hantar itu, saya  juga telah menghalalkan.

Semoga barang itu dapat memberi manfaat kepada
kerjayanya dan menjadi asbab saya mendapat pahala.

SETIAP SESUATU YANG BERLAKU PASTI ADA HIKMAH. SAYA AMAT MEYAKININYA.




Selasa, 24 Januari 2017

BICARA YB/DAPAT DILIHAT

Alhamdulillah.

Keikhlasan dan kesungguhan dapat dilihat daripada hasil kerja kita.
In sya Allah.

Selasa, 10 Januari 2017

BICARA YB/PENGAJARAN


Alhamdulillah. Diizinkan untuk saya menulis.


.















Kereta yang dipandu oleh suami menyusur  perlahan keluar 
daripada kawasan pusat membeli belah.

Fikiran saya  melayang. Mencongak beza usia kami. 
Usianya telah menjangkau  tujuh puluh empat tahun, berbanding saya.
 Lima puluh empat tahun. Dua puluh tahun perbezaannya.

Namun, mereka nampak sihat  dan  kemesraan bersama pasangan 
 tidak luntur  meski sudah berusia.

Saya membayangkan. Dua puluh tahun akan datang, bolehkah saya
 dan suami sesihat dan semesra mereka?

Subhanallah.  Semua itu urusan Allah.
 Namun kita perlu berusaha untuk mendapatkannya.
·         Sentiasa tersenyum .
·          Hubungkan silaturrahim.    
·         Kasih sayang antara suami isteri jangan dibiar layu
        biarpun usia telah mencapai senja.

Itulah pengajaran yang saya dapat daripada pertemuan dengan pasangan itu.
Wallahua’lam.

Semoga bermanfaat untuk  saya dan rakan semua.




Isnin, 9 Januari 2017

BICARA YB/MASA

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.

Masa umpama pedang. Akan memancung kita jika lalai.
Masa umpama emas. Berharga dan jangan dibiarkan begitu sahaja.

Jika ingin berjaya di dunia hargailah masa.
Jika ingin berjaya di akhirat hargailah.masa.

Allah bersumpah demi  masa melalui surah Al Ashr. MEMBUKTIKAN betapa pentingnya masa.

Oleh itu ....
Jangan  biarkan masa berlalu  sia sia.
Solat awal waktu.
Al quran dan zikir jangan ditinģgalkan.

Selesaikan segala amanah yang diberikan kepada 
kita mengikut masa yang telah ditetapkan.

In sya Allah.
Nikmat dunia dapat dikecapi.



Nikmat diakhirat yang kekal abadi akan kita nikmati.

Ahad, 8 Januari 2017

BICARA YB/BERJAYA

Alahamdulillah. Diizinkan untukku menulis.

Ramai orang yang telah berjaya hari ini di
atas kegagalan semalam.

Teruskan usaha, kuatkan azam, tepati masa.

Solat awal waktu. Al Quran dan zikir jangan
dilupakan. Banyakkan berdoa.

Seterusnya serahkan kepada Allah.
DIA penentu segalanya.

Jumaat, 4 November 2016

BICARA YB/KEMBARA IMAN, ILMU DAN AMAL

Alhamdulillah. Allah permudahkan semua urusan kami.

Seperti yang telah dijelaskan dalam jemaah kami
Terdapat 2 orang jemaah OKU.

Pak Uda .  Abang kandungku sendiri. (57 TAHUN)
Fairuz. Jemaah dari Johor. (28 TAHUN)

Kadangkala aku terfikir juga adakah dengan adanya
mereka dalam jemaah kami maka banyak keistimewaan
yang Allah berikan kepada kami semua.
Hanya Allah yang mengetahuinya.

Semua ahli jemaah banyak membantu mereka berdua.
Alhamdulillah.

Semasa tawaf Pak Uda dipimpin oleh ustaz Fared
Manakala Fairuz dibantu oleh ahli keluarganya.

Sesunguhnya sepakat membawa berkat.
Sepanjang di Mekah keresahan kami tentang
amalan mereka berdua terlerai dengan baik.

Ada yang menakutkan kami sebelum berangkat.

Susah bawa OKU. Nanti kena dam apabila
mereka melanggar pantang larang.

Alhamdulillah. Allah Maha Mengetahui.

Mereka istimewa. Penerimaan terhadap
amalan mereka juga hanya Allah yang mengetahui.
Mumgkin juga istimewa.

Pak Uda suka bergambar. Terlalu banyak gambar
yang ada. Sebahagiannya aku poskan disini.

Guru istimewa untuk murid istimewa
Dulu hinģga dah bersara.

Sesungguhnya Allah Maha Besar. Menyusunnya
dengan cantik sekali.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah


Pak Uda dan isterinya. Di KLIA
Aku, suami, emak dan Pak Uda


Pak Uda dan susmiku di lapangan terbang Jeddah
Pak Uda di pasar buah Taif

Pak Uda dan Ustaz Fared

Bersama Muhamad Fairuz dan ibunya

Khamis, 3 November 2016

BICARA YB/ KEMBARA IMAN, ILMU DAN AMAL.


Gambar selepas tawaf wida'

















Alhamdulillah. Semua perkara  dipermudahkan sepanjang
Di Kota Suci Mekah.

Kerana musim haji baru berakhir, kota itu sunyi dari suasana
jual beli. Kedai yang dibuka boleh dikira dengan jari.
Hikmahnya ialah,  tumpuan kami  lebih  kepada beramal
berbanding  membeli. Alhamdulillah.

Allah kumpulkan  kami   sebilik dengan insan insan yang  sama
fikirnya.  Tempuh yang  singkat  {3 hari}  kami , dipenuhi dengan
 ibadah.   Tawaf, Saie , solat, membaca al Quran , berzikir dan berdoa.

 Tidak terlupakan, membaca  doa-doa yang dikirim oleh anak-anak
 menantu, saudara mara,  sahabat handai  samada yang tertulis di buku
 nota,  di kertas mahupun whatsapp.  Diulang berkali-kali di hadapan
Pintu  Kaabah mahupun di Hijir Ismail. 

Itulah nikmat besar daripada Allah  yang  amat  kami syukuri.

Bukanlah satu bebetulan. Namun ia adalah  satu hadiah buat
kami. Di dalam jemaah kami terdapat   seorang  mutawwif wanita
yang berpengalaman. Dia banyak  membantu kami  sepanjang
di Kota Suci itu. Terutama dalam soal ibadah.  Semoga Allah
merahmati beliau.

Oleh kerana makanan tidak tersedia dihotel, maka kami  tidak
perlu pulang  kehotel apabila tiba waktu makan. Beli  apa yang ada,
asal mengeyangkan perut dan dapat  memberi  tenaga. Masa kami
lebih banyak di masjid berbanding  bilik hotel.

Hari Ahad  malam kami sampai di Kota Suci itu, hari
Rabu pagi kami perlu meninggalkannya.  Hari- hari yang
berlalu terasa   amat singkat  sekali. 

Namun kami amat bersyukur  kerana  dalam waktu singkat
itulah kami dapat beribadah  dengan selesa  dan kyusuk.

Mutawwif  berkali-kali mengingatkan  perkara- perkara  yang
dilarang  bagi  jemaah untuk melakukannnya selepas Tawaf Wida'.
Antaranyanya ialah  tidak dibenarkan  bergambar. Kami patuhi 
semua syarat demi umrah yang mabrur.

Airmata bercucuran. Membaca doa dan maknanya  selepas tawaf wida'.
Penuh keinsafan dan harapan. Semoga kami dijemput
beribadah dan mengucup hajar aswad sekali lagi di Baitullah itu
sebelum meninggalkan dunia yang  fana ini.

Amin , Amin, Amin  Ya Allah.


Selasa, 30 Ogos 2016

BICARA YB/UJIAN

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.

Menahan kemarahan bukanlah satu perkara mudah
untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.
Perlukan latihan hati berterusan dengan mengharap
bantuan Allah.

Ia juga adalah ujian untuk menjadikan diri insan
soleh dan solehah hingga saat bertemu Allah.

BICARA YB/KEBERSIHAN

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.

Islam suka kepada kebersihan. Menjaga kebersihan
adalah satu daripada suruhan Allah. Mengapa tidak
 kita sama-sama mengamalkannya?


Sabtu, 6 Ogos 2016

BICARA YB/DOA

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.

Sesungguhnya kesukaran  hidup  adalah asam dan  garam 
di dalam  resepi kehidupan.  Akan mengenakkan 
 jika kita pandai  menyukatnya sehingga menjadi secukup rasa.

Sedikit kisah lama inginku kongsikan bersama.

Cuaca yang tadinya cerah tiba-tiba bertukar gelap.Hujan 
hmulai  turun renyai-renyai. Semakin menunjukkan 
tanda-tanda akan  lebat. Keadaan yang tidak kami jangkakan
rupanya berlaku petang itu.  Persediaan untuk membawa baju
hujan tidak langsung terfikir. Rumah sewa kami masih terlalu jauh.

Allahuakhbar.  Hanya DIA  yang mengetahui perasaan kami
saat itu. Bukan tentang keselamatan diri, namun anak kecil yang
ada bersama  kami.

Tayar motosikal yang kami tunggangi  pula tiba-tiba bocor.
Aku memerhati sekeliling   untuk mencari  tempat  berteduh.
Namun, tidak kelihatan.

Atas persetujuan bersama   kami meneruskan perjalanan.
Mencari tempat berteduh atau bengkel motosikal.
Aku berjalan pantas mengharungi  air hujan di atas jalan besar
dengan sikecil di dalam dukungan. Sesekali air dari tempias
kereta  yang lalu lalang menyimbah tubuh kami.

Tudung  kepalaku yang menutupi sikecil  juga telah basah kuyup.
Dia mula menangis. Mungkin kesejukan dan ketakutan.
Suami mengekori di belakang sambil menyorong motosikal .
Saat itu airmata lebat membasahi pipi sama lebatnya dengan hujan
yang sedang turun.

“Ya Allah, jangan kau biarkan anak-anak serta zuriat keturunanku
 melalui  kesulitan serupa  ini”. Doaku berkali-kali . Terkesan dihati.


Jangan berhenti berdoa . Doa adalah ibadah. Doa adalah Sunnah.
Bersyukur dan terima seadanya kekurangan pasangan kita kerana ia
adalah  rezeki ketetapan Allah.



Rabu, 3 Ogos 2016

BICARA YB/ BERSYUKUR

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.

3 hb Ogos, Setiap tahun berganti.  Tarikh penting yang
 pasti kami ingati . Tarikh ini  kami diijabkabulkan.

Subhanallah.  Terasa  pantas masa berlalu. Meninggalkan
 kenangan pahit dan manis yang rupanya  semakin
mematangkan kehidupan. Mengeratkan cinta dan memahatkan
 kasih sayang dalam rumahtangga.

Dalam jarak masa 31 tahun,  asalnya sebagai sepasang suami isteri
kini keluarga kami  telah  bertambah menjadi  12 orang ahli.
6 orang cahaya mata , 3 orang menantu dan seorang cucu.

“ Puan, harga semua barang  RM 200”. Jelas peniaga itu.
Kami berdua saling berpandangan. Kelu. Malu.  Ternyata  wang
yang ada di tangan tidak mencukupi. Baru kami menyedari.
Mujur tiada pelanggan lain ketika  itu.

“Duit kami tidak cukup. Saya pulangkan semula sebahagian
 barang-barang  ini. Bolehke?”
Aku  bersuara sebagai menyelesaikan kegusaran bersama.
Itulah  kisah kami di awal gerbang perkahwinan. Pahitnya
masih terasa namun ia amat berharga.

Kami tidak pernah berhenti menghantar belanja kepada ibubapa
dikampung , meskipun masa itu kami sendiri sering kekeringan.
“Inginkan keberkatan rezeki” Itulah yang kami pelajari dari ustaz.
Balasannya sedang kami nikmati kini.  Allah Maha Mengetahui.


Allah mengurniakan rezeki amat murah kepada kami. Aku mengandung
selepas bernikah. Permohonan bertukar daripada  negeri Pahang 
ke negeri Kelantan tempat suami bertugas  juga diluluskan.
Namun, pada masa itu  3 bulan pertama aku tidak menerima gaji.

Allahuakbar.  Ujian besar.  Jauh di negeri orang. Dengan pendapatan
suami yang kecil dan anak di dalam kandungan yang semakin membesar.
Baju kurung perlu diganti jubah yang lebih selesa, selera  berubah adakalanya.

Saat itu,  airmata sering mengalir setiap kali ingin menjamah makanan.
Yang mampu kami sediakan ialah nasi goreng  setiap kali waktu makan di hujung
bulan.  Pinggang kain baju kurung yang tidak boleh dicangkuk,  dipasangkan
tali.  Buat  menutup perut yang semakin berisi.

Kenangan itu…telah 31 tahun berlalu. Bukan kenangan   kosong.
Namun  terselit makna tersendiri.  Sedih, sebak mengingatnya kembali. 
Namun nikmatnya semakin terasa kini.

Syukur Allah. Menghulurkan kepada  kami semua kenangan itu.
Kepada anak-anak dan menantu. Kisah masih terlalu banyak yang
belum sempat dikongsi.

Namun, yakinlah dengan perkara ini.  
 Bersyukurlah   dengan apa yang telah Allah telah beri. 




Sabtu, 16 Julai 2016

BICARA YB/BERSYUKUR

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.

















Terlalu kerap nasihat kuhulur.
Tidak pernah jemu.
Juga tidak akan berhenti.
 Selagi  roh ada ditubuh.
Kepada anak-anak dan menantu.
Kepada sesiapa saja  yang sudi mendengar juga membaca.

Jadilah hamba yang sentiasa bersyukur.
Pasti nikmat dariNya akan bertambah.

Biar tidak nampak kaya harta di mata manusia,
Namun tidak pernah putus asa  dalam beruaha.
Allah amat cinta.

Yakinlah...
Orang bersyukur sentiasa merasa cukup dengan apa
yang ada.
Tidak iri apabila orang lebih darinya.

Sesiapa juga yang bersyukur.
Akan tenang dan  berlapang dada.
Tidak suka berburuk sangka.
Dikasihi Allah juga manusia.

BERSYUKURLAH


BICARA YB/ BlLANGAN

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.

Bilangan ahli keluarga bertambah sebagaimana bertambahnya
bilangan usia. Peringatan daripadaNYA silih berganti. 
Bahawa usia berbaki tidaklah banyak bilangannya lagi.


















Rabu, 30 Mac 2016

BICARA YB/ ZIARAH

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.

Persaraan awal memberi ruang kepadaku melakukan
aktiviti yang sebelum ini tidak berkesempatan untuk
dilakukan.

Salah satu daripadanya ialah menziarahi emak. Meskipun
jarak tempat tinggal kami hanya 20 minit perjalanan
kereta namun tidak dapat untukku tunaikan semasa
masih bekerja.

Alhmdulillah. Alhamdulillah. Tidak tergambar
gembira hati ini apabila saban  pagi hari Jumaat aku dapat
bersarapan bersama emak.

Ternyata emak nampak ceria. Sentiasa menanti
di teratak yang menjadi tempat rehat dan mengajar
mengajinya.

Melihatkan emak makan dengan begitu seleranya juadah
yang kubawa,  hatiku  berbaur gembira dan sayu.

Emak  bertuah, di hujung hayatnya  telah terlakar
kebahagian. Dilayan umpama permaisuri oleh
anak-anak dan menantu saban hari dan minggu.

Kita entah bagaimana....
Semoga Allah beri yang terbaik.
Insyaallah.


Jumaat, 11 Mac 2016

BICARA YB/RINDU

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.

Tatkala rindu menerjah, jiwa dijentik resah.
Baruku kenal erti cinta yang tinggi nilainya.

Berpisah kami  sementara keranamu
Ya Allah.

Permudahkanlah musafirnya.
Di dalam mencari keredhaanMU.





















Rabu, 2 Mac 2016

BICARA YB/ SYUKUR

Alhamadulillah. Diizinkan untukku menulis.

Sebagai tanda bersyukur dia menadah tangan dan berkata
"Syukur Ya Allah. Terima kasih banyak-banyak kak".
Kelopak matanya  kelihatan bergenang air.

Telah puas dia menangis setiap kali gagal menghafal bacaan
tahiyat akhir . Setelah hampir 20 hari akhirnya dia berjaya.

Aku terkenang kembali.

"Susah betul  saya nak ingat bacaan ni kak. Rasanya dah
lebih 100 kali saya mengulangnya".

 Dia mula mengeluh. Telah beberapa kali ungkapan susah untuk
mengingat dilontarkan. Kekecewaan  tergambar  di wajahnya.

Aku merenung mukanya. Mencari idea untuk mengembalikan
semangatnya yang mula luntur.

Aku bersuara kembali setelah diberi ilham oleh Allah.

"Saya nak tanya satu perkara boleh ke"

"Boleh kak. Jawabnya

"Awak mula datang haid  semasa berumur berapa tahun?". 

"9 tahun kak". Pendek jawapan diberikan..

Aku mengambil telefon bimbit dan membuat kiraan. Dia nampak
kehairanan namun tidak pula mengemukakan soalan,

"Mengikut kiraan saya sehingga sekarang jika  awak  telah
mula bersolat semasa berusia 9 tahun  sepatutnya awak telah membaca
sebanyak 7,065  kali bacaan tahiyat awal dan 8,386 kali bacaan
tahiyat akhir". Aku menjelaskan kepadanya apabila selesai menghitung.

Dia nampak kehairanan dan mula bertanya.

"Apa maksud akak? Saya tidak faham"

"Maksud saya,  bacaan  tahiyat yang awak baca sepanjang belajar
dengan saya ini masih berlum dapat menampung bacaan yang awak
tinggalkan selama lebih kurang 42 tahun yang lalu"

"Jadi jangan risau kalau lambat mengingatinya. Semakin banyak kali
awak membaca semakin  banyak pahala yang awak dapat untuk
membayar semula hutang awak selama ini". Aku menambah.

Ternyata dia terkesan dengan penjelasanku. Sejak itu tidak jemu-jemu
dia mengulang bacaan yang tidak dikuasainya sehingga kadang
kala aku disebelahanya yang menyemak bacaan hampir terlelap.

"Terimalah Ya Allah, sedikit usaha hambaMU ini. 

"Bantulah kami Ya Allah. Selepas ini bacaan doa Qunut
yang lebih mencabar."