Khamis, 18 Mei 2017

BICARA YB/SELAMAT HARI GURU


Alhamdulillah.

Setiap tahun, sambutan  Hari Guru tetap dinanti oleh semua guru.
 Buat saya yang telah bersara hanya kenangan masih bermain
di dalam mata. Saat indah ketika diraikan oleh anak-anak
didik tercinta.

Mungkin saya  tidak diraikan lagi seperti sebelum ini.  Namun
 saya masih terkenangkan seseorang yang   pernah saya  raikan
 hari guru bersamanya meskipun pada ketika  itu dia juga
 bergelar pesara seperti saya.

Dia adalah seorang ustazah yang mengajar saya semasa
di Sekolah Kebangsaan Padang  Temu Melaka. Setelah lama
 berpisah  kami bersua dan rapat kembali  apabila  bertugas
di  Sekolah yang  sama iaitu Sekolah Kebangsaan Ujong Pasir,
Melaka. Saya juga dapat meraikan hari persaraannya di sekolah
tersebut.

Selepas persaraannya, setiap tahun pada 16 hb Mei ,  saya akan
kerumahnya  bagi meraikan Hari Guru bersama.

Dia amat gembira melihat kehadiran saya. Banyak cerita yang
 kami kongsikan setiap kali  pertemuan singkat itu. Banyak nasihat
yang dihulurkan kepada saya. Diantara nasihatnya  yang saya
tidak akan lupa hingga sekarang ialah:

Jangan bersikap  sombong meskipun telah berada di puncak .

Semuanya kini  adalah sebuah kenangan yang tidak mungkin
saya  lupakan.  Setiap kali saya menghulurkan hadiah hari guru
 buatnya dia akan berkata.

“Kenapa susah-susah, awak datang inipu,  sudah cukup untuk saya”.

Masa itu saya kurang memahaminya.  Namun, setelah bersara,
 kefahaman mula datang dalam diri saya akan ertinya  ucapan
 keramat  itu.

Kini rasanya telah 3 kali sambutan hari guru tidak dapat  dirai
 bersama dia.

Dia telah pergi buat selama-lamanya.

Allahuakbar.  Kasih sayang antara kami rupanya dipandang
oleh Allah.  Saya amat yakin tentang perkara itu.

 Jika tidak,  mana mungkin pada hari pemergiannya  untuk
selama-lamanya ,  hati saya digerakkan oleh Allah  untuk
mengambil cuti rehat.

Syukur yang tidak dapat saya luahkan dengan perkataan. Hanya
dengan linangan  airmata.

Masya Allah pada hari itu saya dipilih oleh Allah untuk  sama-sama memandikan jenazah bekas guru saya.

Al fatihah buat Ustazah Mariah binti Man.
Selamat hari guru buat semua insan yang bergelar guru.

BICARA YB/MACAM ABAH

Alhamdulillah.

Saya menghantar satu barang ke sebuah pejabat
 kerajaan melalui pos laju.

Apabila saya mengajukan pertanyaan kepada pegawai
yang sepatutnya menerima bungkusan tersebut, jawapan
sangat  menghampakan.

Pegawai itu tidak menerima meskipun maklumat terkini
menunjukkan barang tersebut telah diterima oleh seorang
wanita bernama Ani ( bukan nama sebenar).

Kasihan juga saya kepada pegawai terbabit. Perlu menjawab
atas kecuaian orang lain.

Ketidak sampaian barang tersebut  membuatkan saya
meramalkan beberapa kemungkinan.

1. Mungkin penerima barang itu telah TERbuka
    bungkusan  tersebut dan serbasalah untuk
    memulangkan kepada pegawai berkenaan.

2.  Mungkin barang itu menarik perhatian penerima
     kerana boleh digunakan untuk jangkamasa panjang.

3.  Mungkin tersalah letak. Namun satu perkara yang pasti
     bungkusan pos laju itu tidaklah kecil sangat. Ia boleh
     dilihat walaupun terselit di mana-mana.

4. Mungkin penerima tidak mengetahui bahawa pegawai
    pos laju yang menghantar barang tersebut  ada
    menyimpan maklumat penerima dan dia sebenarnya
    telah menjelmakan  ketidak jujuran diri sendiri kepada
    majikan.

Asalnya hati saya sakit juga. Namun apabila saya mengenangkan
sebuah kisah lama menyebabkan sakit itu   terubat.

Masa itu di rumah ada majlis perkahwinan. Salah seorang
daripada abang saya membawa seorang rakan  lelaki ke rumah kami.

Menjadi kebiasaan abah ialah, menggantungkan seluar
yang telah dipakai pada paku yang terlekat di dinding
di ruang tamu rumah.

Pagi itu sewaktu abah mengambil seluar  untuk dipakai,
abah terkejut kerana  mendapati  duit abah  telah hilang.

Jika tidak silap saya berjumlah RM  200. Pada masa itu,
jumlah tersebut  sangat besar, tambahan kepada abah yang
 bukannya orang berduit.

Setelah diselidek dengan beberapa bukti sokongan ternyata
wang tersebut diambil oleh kawan abang saya yang juga
bermalam dirumah kami.

Dia telah meninggalkan rumah kami sebelum subuh.

Salah seorang abang saya yang merupakan seorang anggota
polis bercadang untuk melaporkan kejadian tersebut di balai
polis. Namun abah melarang.

Suasana yang mulanya riuh tiba-tiba jadi sayu apabila
sambil menangis abah bekata.

"Tak apa, abah halalkan. Mesti dia betul-betul nak guna
duit, kalau tidak takkan dia sanggup mencuri".

Walaupun  kisah ini telah hampir 20 tahun berlalu dan
abah juga telah lama meninggalkan kami, namun kami
adik beradik amat menyanjungi sikap abah.

Lembutnya hati abah. Seorang pemaaf dan amat
menyantuni orang susah meskipun masa itu dia juga
sangat memerlukan.


Saya juga ingin menjadi seperti  abah.  Memaafkan,
apa juga yang sebenarnya telah berlaku. Jika benar
wanita yang menerima barang tersebut memerlukan
barang yang saya hantar itu, saya  juga telah menghalalkan.

Semoga barang itu dapat memberi manfaat kepada
kerjayanya dan menjadi asbab saya mendapat pahala.

SETIAP SESUATU YANG BERLAKU PASTI ADA HIKMAH. SAYA AMAT MEYAKININYA.




Sabtu, 13 Mei 2017

BICARA YB/ PERKONGSIAN

Alhamdulillah.

Jumaat pagi.

Semasa saya membuat urusan di Bank Islam Ayer Keroh
saya dijemput minum pagi oleh pegawai di dalam
bank tersebut.

Asalnya rasa janggal kerana dalam otak saya dah disetkan
bank bukan untuk urusan selain  kewangan.

Namun setelah melihatkan kesungguhan pegawai- pegawainya
saya minum dan makan juga.

Sebenarnya mereka sedang melancarkan pembukaan
akaun Al- Awfar. Bagus juga program tersebut. Saya tertarik.


Sebelum pulang sempat bersembang dengan pengurus
Bank Islam  Cawangan  Ayer Keroh itu.

Satu perkongsian yang menarik.
1. Hidup ini Allah dah atur cantik untuk kita.
    Kita hanya usaha dan serahkan segalanya kepada
    Allah.
2. Jadi pemimpin bukan mudah. Satu proses memanusiakan
    manusia.
3. Pemimpin hebat ialah apabila semakin berada dipuncak
     membawa dia semakin banyak sujudnya.
4. Wanita sebenarnya tidak sesuai untuk menjadi pemimpin
     tertinggi. Namun apabila telah dipilih oleh Allah amanah
    perlu digalas dengan sungguh-sungguh tanpa merasa ego
    dengan kebolehan diri sendiri.

Kadangkala fikir kita boleh menyatukan hati manusia.




Rabu, 10 Mei 2017

BICARA YB/MASUK LUBANG

Alhamdulillah.
MASUK  LUBANG

TEMUDUGA

Seorang sahabat  memohon bantuan daripada saya .
Menemuduga pekerja untuk bertugas di dalam syarikatnya. 
Kebetulan ada masa yang terluang,  saya turun membantu.

Seorang ibu muda adalah calon yang saya temuduga. 
Jangkaan saya tepat tatkala melihat wajahnya. 
Dia  seusia dengan anak ke dua saya. 29 tahun .

Dia hanya membawa sehelai sijil kursus berkaitan dengan 
jawatan yang dipohon. Lain-lain sijil akademi tertinggal katanya. 

Saya hanya menerima alasan yang di berikan tanpa banyak 
 soal. Setelah hampir 15 minit bersoaljawab, saya mengemukakan
 satu soalan yang saya rasakan juga penting.

“Tempat tinggal puan jauh daripada  sini. Dapatkah
 puan sampai tetap waktu bekerja  nanti?”

“Insya Allah boleh puan. Saya dah biasa”. 
 Dia menjawab yakin, saya juga menerima dengan yakin.

“Satu perkara lagi  saya nak tanya” .
“Ye puan, apa dia?”  Dia bertanya kembali.
“Kalau hujan, siapa nak hantar puan datang bekerja?
Boleh bawa kereta sendiri ke?
Kali ini dia  tidak menjawab. Cuma memandang wajah saya.
“Oh, mungkin suami puan boleh hantar ”.

Saya menjawab semula  soalan yang saya ajukan
 setelah melihat ibu muda  itu mendiamkan diri.

HABIS  EDDAH
“Sebenarnya saya  dah bercerai, hari ini baru habis eddah”
 tiba-tiba dia menjawab perlahan.

“Oh, maafkan saya” Kata saya serbasalah.

Soalan saya tidak berjawab dan topik perbualan  telah melencong .

Daripada  cerita ibu muda  itu  saya dapat tahu suaminya sudah ada buah 
hati baru  dan akan berkahwin . Dia  kini tinggal dengan bapanya
dan memelihara 2 orang anak. Yang sulung berusia 13 tahun 
dan yang bongsu berusia 3 tahun.

MINTA PANDANGAN
Apabila  sesi temuduga selesai, tiba-tiba ibu muda itu  bersuara
meminta pandangan daripada saya. Tentang  seorang lelaki bergelar ustaz, 
sudah berkeluarga dan bertugas sebagai  tentera  dan ingin menikahinya.

Terkejut dan terdiam saya .

“Allahuakhbar, cepatnya dia mendapat pengganti”. Hati kecil saya berbisik.

 Setelah diam  seketika saya bertanya kepada ibu muda  itu kembali.
“Puan tahukah bahawa di dalam angkatan tentera terdapat kelayakan
 tertentu sahaja yang membolehkan anggota mereka berpoligami?”

“Tahu ” Dia menjawap ringkas.

TERPAUT
Saya hanya diam dan mendengar   ibu muda itu bercerita tentang
 anggota tentera tersebut. Rasanya dia dan ayahnya sudah terpaut
kepada kebaikan  dan kesolehan lelaki itu.

Masya Allah. Ceritanya menggambarkan mereka memang bercadang 
untuk  bernikah. Mungkin di negeri Thailand.

Saya cuba mengingatkan ibu muda itu dengan menyuakan satu soalan berani.
“Puan  masih  kecewa kerana  suami puan dirampas oleh  orang lain.
 Ni puan juga buat perkara  yang sama. Tidak rasa bersalahke? “

Ibu muda itu mendiamkan diri. Tidak memandang wajah saya, 
 sebaliknya memandang ke luar.

“Saya rasa lebih baik puan solat istikharah dahulu sebelum 
membuat  apa-apa keputusan. Jangan terburu-buru. 
Ini soal masa hadapan puan dan anak-anak”

Nasihat  terakhir saya kepadanya.

BERSERABUT

Setelah dia pergi, fikiran saya pula yang berserabut  memikirkan halnya.

Pertama,  setelah menghitung usia dia dan anak sulongnya bererti 
dia bernikah semasa berusi 15 tahun. Usia yang sangat muda.

Kedua, rasanya dia tidak menghabiskan persekolahan. Itu sebabnya dia
 tidak ada sijil PMR dan SPM yang boleh ditunjukkan kepada saya.

Ketiga, andai dia meneruskan pernikahan rahsia itu, jika pihak atasan 
dapat mengesannya, dan nasib tidak menyebelahi, bakal suaminya
boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Keempat, jika rahsia tidak terbongkar, lelaki itu boleh  mengabaikan
 tanggungjawanya dengan mudah kerana tiada siapapun tahu mereka 
telah bernikah.

Alahai. Apabila difikir-fikirkan saya rasa macam jadi  tukang sibuk 
pula memifikirkan  masalah orang lain.


Bukan apa, kisah yang berlaku di sekeliling saya menyebabkan 
saya khuatir ibu muda itu masuk lubang  yang sama dua kali.  

Isnin, 8 Mei 2017

BICARA YB/NASIHAT

Alhamdulillah.

Kisah ini berlaku awal tahun yang lalu ketika saya berurusan  di sebuah   pejabat kerajaan.

Oleh kerana masa itu waktu minum pagi, iaitu sekitar jam 10,
maka pejabat itu kosong kecuali terdapat seorang pegawai wanita
di dalamnya.

Ternyata, Allah mudahkan urusan saya pagi itu. Pegawai yang
 seorang itulah sebenarnya yang sepatutnya saya temui.

Subhanallah. Maha suci Allah.

Bukan kali pertama saya terjebak di dalam situasi ini.
Rasanya kali ketiga semenjak saya bersara.

 Orang yang  baru saya kenali berkongsi masalah peribadi.

Saya juga terlupa bagaimana pegawai wanita itu boleh mengaitkan
 urusan saya dengan masalah yang dihadapi.

Cuma yang pasti dia bercerita penuh emosi sehingga air jernih bertakung  di dalam kelopak matanya.

 Perkara yang bermain di dalam fikiran saya apabila mendengar ceritanya ialah,   rumahtangganya  ketika itu  umpama retak sedang menanti belah.

Saya menjadi serba salah  di saat wanita itu meminta nasihat daripada  saya. Bagaimana mungkin saya memberi sedangkan saya selayaknya menerima.

Saya hanya mampu membawa kisah pengalaman saya sendiri  dalam menyelesaikan masalah  rumahtangga kepada wanita itu sebagai  satu
nasihat.

 Mungkin kurang sesuai  dengan masalah besar yang dia sedang hadapi.
Namun itu sahaja yang saya mampu lakukan.

" Mesti ada hikmahnya semua ini berlaku kepada puan".

 Itulah penutup perbualan kami . Pegawai -pegawai lain sudah mula
 memenuhi pejabat dan saya  berlalu pergi setelah bersalaman.

Selang beberapa hari saya menerima  whatsapp daripada wanita tersebut. Nasihat saya bersambung kembali.

Saya banyak mengingatkan dia  tentang muhasabah diri dan  taubat.

 Tidak lupa juga saya menuliskan semula nasihat yang pernah  saya dengar daripada penceramah-penceramah ternama melalui radio IKIM.

Kita akan merasa penat dan kecewa jika ingin mengubah manusia, kerana hidayah milik Allah bukan kita. Oleh itu ubahlah diri sendiri terlebih dahulu kerana ia lebih mengembirakan hati kita.

Oleh kerana nasihat-nasihat tanpa suara daripada saya banyak berbunyi meminta dia mengubah dirinya berbanding suami yang baginya penyebab  masalah berlaku  menjadikan  perbincangan kami jadi hambar.

 Itulah perasaan saya setelah membaca semula perbualan di paparan telefon pada hari itu.

Sejak itu juga saya tidak lagi mendengar berita daripadanya. Apatah lagi apabila telefon saya diformat semula, nombor telefon wanita itu juga telah hilang.

Namun hingga kini saya masih terkenangkan dia. Persoalan bermain difikiran saya.

"Adakah wanita itu masih bergelar   isteri ataupun  telah berpisah?"

Memang mudah memberi nasihat.
Namun jika masalah yang datang umpama ombak ganas menghempas dihadapan kita, mampukah kita mengharunginya?

Hanya Allah yang mengetahui.



Ahad, 7 Mei 2017

BUCARA YB/ REDHA

Alhamdulillah.
Menziarahinya  bulan lepas masih terasa baru.
Semasa mencium tangannya sebelum balik dia memegang
tangan saya dan berkata:


 "Pokteh dah lama hidup,
Dah lama sihat.
Pokteh redha dengan sakit pokteh ni.
Kalau Allah nak ambik Pokteh sekarangpun Pokteh redha"

Masya Allah. Perkataan redha yang menjentik
naluri kewanitaan saya.


Sepanjang pemanduan pulang ke rumah  hati
 saya tertanya-tanya.

 "Bolehkah saya berkata begitu jika saya ditimpa
musibah seperti Pokteh?"

Kanser usus tahap 4.

Al fatihah untuk Hj Ibrahim bin Abu
Kembali kerahmatullah pada 1.00 pagi 7 Mei 2017.

Kini emak saya tinggal 2 beradik bersama adik bongsunya.
Hj Saleh bin  Abu.

Hidup lawannya mati. Mati itu pasti. Sudah bersediakah
kita menghadapi?

Selasa, 2 Mei 2017

BICARA YB/YAKIN

Alhamdulillah.
Saya amat yakin dengan perkara ini.

Kegembiraan anak-anak istimewa adalah satu
doa untuk kita yang sempurna.
Semuanya tertulis di dalam buku ini.
Teristimewa Untukmu.
Boleh dapatkan daripada saya jika berminat.
Fb. Hasmah Hitam



Ahad, 30 April 2017

BICARA YB/INSAF

Alhamdulillah.

Jangan berbangga    jika masa lalu kita adalah kebahagiaan.
Masa kini kita adalah kegembiraan. Kerana  masa hadapan
yang bakal mendatang tidak berada di dalam pengetahuan.

Tatkala kita memandang dengan mata dan hati yang sakit
kepada orang yang telah tua dan nyanyuk sebenarnya kita
terlupa satu perkara. Pengakhiran hidup kita bukanlah
mengikut yang kita pinta.

Rasa insaf dan simpati adalah sangat bermakna berbanding
 menghina.





Khamis, 13 April 2017

BICARA YB/TERPILIH


ALHAMDULILLAH.

Pagi ini mendapat berita tentang saudara sebelah suami
yang  meninggal dunia.

Penghulu segala hari yang penuh keistimewaan. Beruntung
dan bertuahlah hamba Allah  yang TERPILIH.

Al fatihah.
Semoga Allah menjadikan kita insan TERPILIH  juga.
BERDOALAH.


Isnin, 10 April 2017

BICARA YB/KETENTUAN

Alhamdulillah.

Kadangkala kita sering  mengatakan sesuatu perkara yang
berlaku adalah  kebetulan.

Bagi saya pula, semuanya adalah ketentuan tuhan.

Sebenarnya masalah katarak di mata saya telah hampir 2 tahun
memerlukan pembedahan. Namun saya biarkan sahaja,  kerana
masih mampu melihat dan tidak mengganggu sangat penglihatan
saya.

Pada  bulan Februari yang lalu saya dan suami pergi ke Hospital
Trendak Melaka. Sebagai bekas tentera,  suami   berhajat menggunakan kemudahan pembedahan oleh doktor pakar mata yang ada
di hospital tersebut.

Disebabkan suami tidak membawa bersama maklumat sejarah
 perubatannya yang lalu, maka tarikh temujanji untuk suami
bertemu doktor pakar tidak dapat dilakukan, sedangkan saya
 beroleh tarikh pada 22.5.2017.

Atas kehendakNYA.  Allah temukan saya dengan pegawai bertugas
 yang berhati mulia di bahagian pakar mata. Dia menempah awal
nama suami dan nama saya untuk tarikh serupa meskipun suami
tidak melepasi pemeriksaan pertama.

Alhamdulillah. Setelah diusahakan,  dua minggu selepas itu, suami
juga berjaya mendapatkan maklumat sejarah perubatan lama daripada
klinik kesihatan Ayer Keroh .

Sahlah bahawa pada  22.5.2017 kami akan bertemu doktor pakar.

Pada pertengan bulan Mac pihak hospital menelefon saya.
Memaklumkan, ada kekosongan pesakit untuk pembedahan.

Jadi saya dan suami diminta hadir untuk bertemu doktor pakar pada
 28 .3.  2017.

Subhanallah. Memang DIA telah permudahkan.

Hari ini saya dan suami akan menjalani pembedahan katarak  mata.

Suami di tingkat 1 dan saya di tingkat 3 Hospital Trendak Melaka.

Masih terbayang dimata saya semasa hendak menentukan tarikh
 pembedahan.

 Jururawat itu berkata.

"Ok,  makcik dengan pakcik saya beri tarikh pembedahan yang sama ye,  11.4.2017". Tanpa kami minta. 

Saya dan suami tersenyum. Tapi dalam hati saya tertanya-tanya

"Siapa nak jaga siapa ni?"

Allah akan menjaga kami. Doakan kami.











Bersama pesakit lain sedang menunggu giliran untuk pembedahan.








Ahad, 2 April 2017

BICARA YB/ PERTEMBUNGAN EMOSI


PERTEMBUNGAN EMOSi

Di dalam mendidik anak -anak yang istimewa  cabaran 
sentiasa menanti.  Semakin berat masalah yang dihadapi
oleh anak-anak ini,  makin besarlah cabaran kepada ibu bapa
di rumah  dan guru di sekolah  di dalam membantu mereka.

PERANAN GURU

Apabila anak ini mula bersekolah, guru mesti  menentukan
objektif yang perlu   dicapai   selepas dilakukan ujian diagnostik 
atau pemerhatian keatas mereka.

RPI (Rancangan Pengajaran Individu) jangan sekali kali diabaikan. Ia merupakan panduan penting untuk  membantu   guru melaksanakan pengajaran dan pembelajaran  dengan lebih terarah.

RPI yang tidak dirancang dengan teliti akan melambatkan
pencapaian objektif pembelajaran.

Guru perlu ada inisiatif yang lebih untuk memikirkan cara  
bersesuaian dengan keperluan murid. Bersungguh-sungguh di dalam membantu murid mencapai objektif yang telah dirancang.

Kesungguhan guru sangat penting di dalam membantu perkembangan 
dan kemajuan  anak istimewa ini. 

Masalah-masalah yang ditimbulkan oleh anak-anak ini semasa 
pengajaran dan pembelajaran di sekolah, harus ditangani dengan 
lebih rasional dan bukan mengikut emosi.

Terutama sekali masalah berkaitan pengurusan  tingkahlaku 
dan urusdiri.

Menyalahkan ibubapa sahaja tentang masalah anak-anak 
adalah kurang tepat. 

Peranan guru ialah menyampaikan maklumat tentang kemajuan 
murid mengikut jangkamasa yang telah ditetapkan di dalam RPI, 
disamping selalu berbincang dengan ibubapa tentang kepentingan 
bantuan daripada mereka di rumah. 
 

PERANAN IBU BAPA

Di rumah pula, ibu bapa perlu ada inisiatif untuk melakukan  
kesinambungan pengajaran dan pembelajaran.

Masa mereka di rumah lebih panjang berbanding di sekolah.  
Oleh itu peluang ini tidak sepatutnya dilepaskan  oleh ibu bapa 
begitu sahaja.

Semakin banyak latihtubi atau pengulangan sesuatu kemahiran
 berlaku, harapan untuk melihat mereka berdikari  semakin cerah.

Tidak dinafikan terdapat sesetengah ibubapa yang tidak 
mempunyai sebarang pengalaman atau pengetahuan di dalam
membantu meningkatkan perkembangan pendidikan anak-anak ini.

Meskipun begitu, situasi  ini tidaklah wajar dijadikan alasan 
oleh ibu bapa untuk berlepas tangan daripada  melaksanakan 
tanggungjawab   mereka di rumah.

Pelbagai media boleh  digunakan untuk  mencari bahan rujukan
 yang boleh dijadikan panduan.


Kini peluang mendapatkan  ilmu tentang pendidikan ke atas 
anak anak istimewa terbentang luas berbanding di awal tahun 
90an, semasa bidang pendidikan ini  baru diperkenalkan di Malaysia.

PERBINCANGAN

Adakalanya kegagalan anak anak ini menguasai sesuatu 
kemahiran yang dipelajari,  menimbulkan keresahan hati  
ibubapa yang tidak bersabar. 


Tahniah kepada ibu bapa  yang sudi untuk bertemu guru dan  
bertanya serta berbincang tentang perkembangan anak anak 
mereka. 

Namun terdapat juga ibubapa yang lebih suka berbunyi 
di belakang  berbanding bersemuka sehingga menimbulkan 
cerita negatif tentang guru.

Keadaan ini akan menimbulkan kemarahan di kalangan
guru-guru yang telah berpenat lelah membantu anak anak 
ini di sekolah.  

Akan timbul juga salah faham yang menyebabkan  kedua
dua belah pihak saling menuding jari  dan  berusaha
 mengenengahkan kelemahan antara satu sama lain. 

Jika emosi  marah yang bertembung antara guru dan ibu
bapa ini telah menjadi perkara utama yang dibincangkan 
setiap hari , maka objektif untuk membantu anak istimewa
 ini tidak lagi merupakan satu kepentingan.


Meskipun tidak ada bukti yang tepat tentang perkara ini 
namun pengalaman saya selama hampir 31 tahun menjadi
 pendidik menunjukkan bahawa pertembungan emosi marah 
 diantara guru dan ibu bapa  adalah antara faktor penyebab yang
 boleh membantutkan pekembangan ilmu anak istimewa ini.

Segera membuat perbincangan untuk menyelesaikan masalah 
adalah lebih baik berbanding terus salah menyalah.

Sabtu, 1 April 2017

BICARA YB/PENGURUSAN TINGKAHLAKU

Alhamdulillah.

Allah menjadikan anak-anak istimewa dengan berbagai
masalah tingahlaku. Pengurusan tingkahlaku untuk mereka
bukanlah  satu mata pelajaran yang patut di ajar apabila tiba
waktunya.

Malahan pengurusan tingkahlaku untuk mereka adalah
merentas kurikulum dan perlukan tindakan  sertamerta
setiap kali ianya berlaku.

Berbagai tingkahlaku negatif boleh mereka lakukan sepanjang
waktu berada di sekolah.

Contohnya, menjerit di tapak perhimpunan, berlari
di dalam bilik darjah, bermain air di dalam tandas,
bertolak-tolak di kantin ataupun merayau-rayau di dalam
kawasan sekolah sewaktu menanti ibubapa untuk pulang.

Pendek kata sebaik mereka sampai ke sekolah sehinggalah
mereka pulang, tingkahlaku negatif mereka perlu diperhati dan
dilaksanakan pengurusannya oleh guru dan pembantu
pengurusan murid.

Jika semua guru dan pembantu pengurusan murid
bertindak membantu mereka dan ibu bapa membuat
kesinambungan di rumah,  Insya Allah tingkahlaku negatif
mereka dapat diatasi dengan cepat dan jayanya.

Khamis, 23 Mac 2017

BICARA YB/ HURAIRAH

Alhamdulillah.


Sebenarnya saya sendiri tidak menjangkakan umurnya panjang.
Kecederaan yang  ia alami akibat langgar lari setahun lalu amat parah.

Allah masih memberi usia kepadanya. Memberi peluang untuk
ia melihat dunia ini hinggalah saat saya menulis kisahnya.

Akibat  kemalangan itu, ia mengalami kecacatan kekal. Daging
bahagian bibir bawahnya tidak lagi tumbuh.

Giginya juga tidak tumbuh sempurna. Kasihan. Memang nampak
sukar apabila ia ingin makan.

Makanannya bersepah-sepah sewaktu ia makan. Saya selalu
mengumpulkan makanan itu  di tengah bekas agar mudah untuk
 dikunyah.

Akibat daripada kemalangan itu juga   ia trauma. Ia sering "menjerit" dan berlari tidak tentu arah  di dalam rumah.

 Seisi rumah pada mulanya terkejut dan takut melihat keadaan itu.

Setelah saya menjelaskan kepada ahli keluarga mungkin peristiwa
kemalangan itu masih menghantui dirinya, semua ahli keluarga bersetuju.

Kami hanya membiarkan sahaja apabila  ia "mengamuk". Akhirnya ia reda sendiri dan duduk semula.

Satu hari pada minggu lepas ia menghampiri saya dan terus merebahkan diri. Seperti mengadu sakit. Saya mendekatinya dan melihat kaki kanannya bengkak.

Tidak tahu apa puncanya. Namun hati kecil saya berkata mungkin ia
bergaduh atau dipukul semasa bermain di luar rumah.

Saban hari kelihatan bengkak kakinya semakin parah. Telah bernanah. Akhirnya semalam anak saya menghantarnya ke klinik.
Doktor mengesahkan dia perlu mendapatkan rawatan lanjut dan
 terpaksa ditahan wad.

Seharian  ia tiada saya terasa sunyi. Betapa tidaknya, ialah yang
paling sibuk bersama saya apabila saya memasak di dapur.

Ia  juga yang sering baring di hujung sejadah apabila saya solat.
Ia juga akan tidur lena disisi saya apabila saya mengaji quran.

Ia juga yang tiba --tiba berdengkur disebelah saya atau dihujung kaki saya apabila saya baring-baring. Jika saya masuk ke bilik air juga setia menanti dihadapan pintu.

Pendek kata ia sentiasa bersama saya kecuali saya keluar bersama suami.
iIa akan  menanti di rumah hingga kami kembali.

Itulah kisah kucing yang dibela di rumah saya. Saya  namakan ia "Hurairah".  Dia juga sudah  ada "orang  rumah" yang kami namakan "Lisa".


"Orang rumah"nya telah melahirkan 3 "cahaya mata".

Sifat tanggungjawab  "Hurairah" sangat terserlah. Ia akan sibuk
berkawal di pintu pagar untuk memastikan tidak ada "sesiapa"
masuk mengganggu,  apabila anak-anak dan "orang rumah"nya saya
 lepaskan bermain di hadapan rumah.

Dia akan meninggalkan  pintu pagar apabila "orang rumah" dan
anak anaknya telah masuk ke sangkar.

Bila teringatkannya  saya selalu terpandang akan  kekuasaan Allah.

Betapa Allah menjadikan dunia sebagai tempat ujian untuk semua
makhluk termasuk seekor kucing.





Selasa, 7 Mac 2017

BICARA YB/TERUJA

Alhamdulillah.
Saya adalah bekas Guru Pendidikan Khas.

Semasa menjadi guru kepada anak-anak ini
saya dapat merasakan nikmat sihat yang Allah
berikan kepada amat berbeza.

Dengan izinNya boleh dikira dengan jari saya
cuti sakit.

Demam saya hilang apabila saya ke sekolah
dan sibuk melayan mereka.

Perkara besar yang membuatkan saya sangat
sangat bersyukur menjadi guru kepada mereka ini
ialah saya tidak mengalami mabuk dan loya
sepanjang mengandung.

4 kali saya mengandung tanpa situasi itu sehingga
tidak ada orang perasan  saya mengandung jika saya
 tidak memberitahu.

Atas kehendak Allah juga. Berkat mendidik mereka rasanya.

Malah ada guru yang menegur saya.

"You nampak lebih kuat bekerja apabila mengandung"

Mengenangkan kembali pengalaman lama itu membuat saya teruja
dan gembira apabila terjumpa guru-guru dan sesiapa saja yang terlibat
dengan anak istimewa ini untuk mengkhabarkan kepada mereka.

"Bersyukurlah dengan kehadiran mereka".



Sabtu, 4 Mac 2017

BICARA YB/GURU PK

Alhamdulillah.

Saya adalah bekas guru yang mengajar anak anak istimewa.

Bermula daripada tahun 1992  hinggalah saya bersara,
saya banyak belajar  erti bersyukur dengan  nikmat yang Allah beri
melalui kerjaya ini .

Saya juga dididik oleh Allah mengenal erti sabar dengan hadirnya
mereka  di sisi saya.

Lebih membuatkan saya raaa teruja dengan menjadi guru
kepada anak anak syurga ini ialah,   Allah limpahi saya banyak rezeki
yang tidak diduga.

Sesungguhnya semua perkara yang Allah jadikan tidak pernah sia-sia.

Jumaat, 3 Mac 2017

BICARA YB/HARAPAN

Alhamdulillah.

Setiap kali melihat statusnya di Muka Buku saya terbayangkan
 wajahnya semasa masih bergelar murid sekolah rendah
  di sebuah  Program Pendidikan Khas Integrasi.

Amat jauh berubah. Umpama langit dan bumi.
Ketika dia datang ke sekolah untuk menziarahi
saya, hampir tidak dapat saya mengenalinya.


Dahulu. Semasa saya mengajarnya di sekolah rendah
 tubuhnya berisi. Keadaan itu menjadikan dia kelihatan rendah.

Kini dia sangat jauh berubah. Tinggi lampai dan
sangat tampan.

Mujur tahi lalat di dagunya berjaya mengembalikan
Ingatan lama saya kepadanya.

Itu kisah 2 tahun lalu. Semasa dia sedang menunggu
keputusan SPM.

"Saya fikir nak buka bengkel motosikal cikgu"

Itu jawapannya semasa saya bertanya tentang cita cita.
Sayapun mencadangkan beberapa perkara yang boleh
 dia lakukan untuk menubuhkan sebuah bengkel.

Pertemuan kami tidak berakhir disitu.  Selang beberapa
 minggu saya mempelawanya untuk bercakap sedikit tentang
cita-cita kepada rakan-rakan  senasibnya di sebuah Program
Motivasi untuk murid Pendidikan Khas yang dianjurkan oleh
mahasiswa dan mahasiswi sebuah IPTA.

Saya amat terkejut. Masa 10 minit yang saya beri kepadanya dapat dimanfaatkan. Macam penceramah.

Memberi nasihat kepada adik-adik, mengingatkan dan
 menjelaskan cita citanya iaitu  ingin menjadi seorang pensyarah.

Saya yang berada di sudut pentas ketika itu terpegun.

"Tinggi rupanya cita-cita dia . Bukan mekanik bengkel".
Tersentuh hati saya.


"Ya Allah perkenankanlah cita-cita anak muridku ini"

Itulah doa seorang guru untuk muridnya ketika itu.

Cerita  beliau seterusnya di Muka Buku ialah beliau telah
berjaya menyambung pelajaran ke tingkatan 6.

Ketika membacanya saya seolah-olah tidak percaya.
Teringat sewaktu mula mula melaksanakan program
 Pendidikan Khas Integrasi dia adalah antara murid
terawal yang berada di program itu.

Ketika itu dia baru mengenal perkataan 2 sukukata meskipun
 telah berusia 9 tahun. (Kalau tak silap)

Dia adalah antara murid yang banyak mulut di program saya.
Selalu menjawab sehingga terpaksa ditegur dan dimarahi.
Lambat menerima,  namun ada usaha.


Sewaktu melatih dia untuk pertandingan bercerita dia
masih belum lancar membaca. Saya telah menaip isi cerita
 menggunakan saiz huruf yang besar dengan warna berbeza.

Sebenarnya masa itu kemahiran 2 dalam 1 telah dia kuasai.
 Membaca dan bercerita.

Saya juga  meminta ayahnya menghantar dia ke rumah saya
setiap hari Sabtu untuk menyamhung latihan.

Setiap kali pertandingan berlangsung saya yang berada di bawah
pentas tidak berhenti berzikir, berselawat dan berdoa agar dia
 dapat bercerita dengan baik.

Alhamdulillah. Walaupun saya tahu dia  sakit hati dengan saya
 sebab selalu memaksa, namun kejayaan telah berjaya dia raih.

Johan bercerita di peringkat zon, negeri dan akhirnya tempat
 ke 2 di peringkat kebangsaan.

Dari cerita dan gambarnya di muka buku saya tahu dia anak
 yang soleh. Masjid dan majlis ilmu adalah antara  tempat
 tumpuan dia.


Hingga kini saya sentiasa mengikuti perkembangannya di
Muka Buku.

Menyimpan harapan tinggi agar nama saya tidak dilupakan
 di dalam doanya  kepada Allah tentang keampunan. Samada
 saya masih ada atau telah meninggalkan dunia ini.

Itulah sebenarnya harapan melangit tinggi daripada
seorang guru yang semakin hampir waktu  pertemuan
 dengan pencipta.





BICARA YB/PENYESALAN

Alhamdulillah.

Jarum jam menunjukkan angka 12. Saya berdiri di hadapan
pintu kelas  buat  melepaskan lelah. Majlis menandatangi rekod
 kemajuan murid baru selesai.

Kemarahan salah seorang daripada bapa murid  jelas terbayang
 di dalam mata saya. Tuan Hj Ahmad  yang selalunya saya lihat
 tenang serta lemah lembut bertukar watak  pagi itu.

"Saya tidak puas hati dengan kemajuan pelajaran Siti". (bukan
 nama sebenar anaknya).
Jelasnya dengan nada keras kepada guru kelas.

"Tiada kerja rumah, latihan di buku juga sangat sedikit
Macam tak belajar di sekolah."
Dia menambah.

Lontaran kata -kata dan suaranya yang semakin meninggi
 membimbangkan saya.

Saya yang sejak tadi hanya memasang telinga terpaksa campur tangan.

Saya lantas menghampirinya. Berbincang bagi meredakan kemarahan. Perbincangan berlanjutan hampir 2 jam.

Setelah saya meminta maaf bagi pihak rakan- rakan, Tuan Haji Ahmad meninggalkan kelas dengan wajah mencuka.

Masih kurang berpuas hati dengan alasan yang saya berikan.


Tiba tiba fikiran yang sejak tadi melayang dikejutkan
oleh kehadiran anak bongsu saya.

Dia berjalan perlahan menghampiri saya dengan memeluk rekod
kemajuan di dadanya.

Dengan linangan air mata dia berkata.

"Cikgu kata waktu tandatangan rekod kemajuan dah habis. Mak tak perlu datang ke kelas. Tantangan buku rekod di rumah dan esok pulang
 semula pada cikgu."

Allahuakbar. Tidak ada ungkapan yang dapat saya luahkan waktu itu.  Saya betul - betul terlupa.

Anak saya kelihatan benar benar sedih dan kecewa. Jelas tergambar di wajahnya.

Sepanjang perjalanan pulang dia mendiamkan diri. Langsung tidak memandang kearah saya.

Airmata  tidak berhenti  mengalir dipipinya. Saya hanya mampu
 mengatakan, "mak minta maaf, mak terlupa sebab ada masalah
 di kelas tadi".

Kisah itu telah berlalu lama. Penyesalan masih menebal hingga kini
di hati saya. Ada beberapa kali sesi ceramah kisah ini saya kongsikan.
Saya akan menangis bersama ibu bapa yang mendengar.

Kini, saya sedang berusaha  membayar hutang tanggungjawab yang terabai. Semoga anak-anak dapat memaafkan saya dan Allah mengampuni saya.

Mencari Bahagia









Selasa, 24 Januari 2017

BICARA YB/DAPAT DILIHAT

Alhamdulillah.

Keikhlasan dan kesungguhan dapat dilihat daripada hasil kerja kita.
In sya Allah.

Isnin, 23 Januari 2017

BICARA YB/ POSITIF

Alhamdulillah. Diizinkankan untuk saya menulis.

MENULIS

Menulis semula kisah hidup sendiri boleh menimbulkan  tanggapan 
yang berbeza daripada pembaca.

Tak sanggup saya, nak menceritakan kisah sendiri pada orang lain.
Itu adalah ungkapan yang pernah saya mendengarnya.

Namun pandangan  daripada seorang penulis yang juga
 merupakan seorang ustaz ini,  berbeza pula.

Teruslah menulis kerana kadangkala ada orang  yang telah
menghadapi masalah bertahun lamanya dapat menyelesaikan
 masalah mereka hanya melalui membaca karya  kita.

Dengan mengambil  nasihat ini  ingin saya menuliskan sesuatu
 buat tatapan semua.

Menjadi guru adalah cita cita saya. Hampir 31 tahun saya 
 menceburi bidang ini di sepuluh buah sekolah di empat  buah 
negeri di Semenanjung Malaysia .

Bermula pada tahun 1986 sehingga tahun 1990 bergelar guru
 Bahasa Melayu di Tahap 1 di 3 buah sekolah.

Bertukar bidang menjadi guru Pendidikan Khas pada
 tahun 1992 setelah melalui pengalaman berkursus selama setahun
 di Maktab Perguruan Ilmu Khas di dalam bidang tersebut.

Bermula pada tahun 1992 juga saya sudah bergelar pemimpin kecil.
 Seorang Penyelaras yang ditugaskan mengetuai sekumpulan kecil
 guru  dan pembantu pengurusan murid di Program Pendidikan Khas
 Integrasi  di 4 buah sekolah.

Memegang jawatan sebagai guru besar di 3 buah sekolah. 
Bermula dengan sekolah Gred B dengan jumlah  murid 200 orang, 
dipindahkan ke sebuah sekolah dengan pertambahan jumlah  murid
 seramai 400 orang sehinggalah ke sekolah besar yang jumlah muridnya
 seramai 1000 orang.

Alhamdulillah. Pengalaman yang telah berjaya membina kematangan
 diri dan mengubah cara saya berfikir dan bertindak apabila menghadapi masalah.

SMS

Saya tidak seronok untuk datang bekerja apabila cikgu menjadi ketua di sini.

Itulah antara bunyi ayat dalam sms yang saya terima pada  pagi itu.

Allahukhbar. Hanya Allah sahaja yang tahu hati dan perasaan.  
Berulang kali  membacanya  untuk  memastikan saya tidak tersilap.

Sepanjang hari fikiran saya tidak tenang. Selera makan saya hilang.
 Hakikatnya saya sedang berhadapan dengan satu masalah sangat besar.

Corak pengurusan saya telah menyebabkan orang bawahan tidak
 gembira bekerja. Itu kesimpulan yang telah dibuat oleh fikiran  saya 
yang sedang berserabut.

BERBINCANG
Pada keesokan harinya saya memberanikan diri bersemuka dengan
 guru tersebut. Berbincang  empat mata, dari hati ke hati.

Subhanallah. Daripada penjelasan ikhlasnya  saya dapati banyak 
yang buruk daripada yang  baik ada pada  saya di matanya.
 Itulah punca dia tidak seronok datang bekerja.

Kenyataannya saya terima dengan berat hati kerana
 bercanggah dengan keadaan sebenar.

Dari ceritanya saya juga dapat menangkap sesuatu.
 Ada seseorang di belakang tabir yang sedang menabur fitnah. 
Seorang guru senior yang  berada dalam zon selesa, 
namun kehadiran  saya di sekolah itu  mengganggu keselesaannya.

Saya banyak mengalah pada waktu itu.

Mengalah bukan bererti saya salah. Tidak juga kalah.
Namun menghormati pandangannya tentang saya.
Memang saya seorang hamba yang banyak kelemahannya.

Saya menjelaskan  perkara sebenar tentang tanggungjawab 
saya sebagai ketua  agar dia tidak terus bersalah sangka.

 Dalam hati saya berdoa agar  cikgu itu menyedari satu perkara. 
Segala tindakan saya adalah kerana menunaikan tanggungjawab 
sebagai seorang ketua.

Diakhir perbincangan kami bersalaman dan berpelukan. 

Kami menangis sebak. Bagi dia mungkin kerana telah berjaya
 melontarkan apa yang terbuku di hatinya.
 Saya pula terharu kerana gagal menjadi ketua yang baik.

Syaitan gagal mengapi-apikan kami. Allah sedang memerhatikan,
 malaikat juga menulis  kebaikan untuk kami berdua pada saat itu.

PENYELESAIAN

Kesedihan saya bawa pulang ke rumah. 
Tidak dapat saya gambarkan melalui perkataan.
Hanya Allah yang tahu.

Dengan biji tasbih di tangan, akhirnya kalimah
lahaulawalakuwataillahbillahhilaliyilazim yang telah saya
 ulang entah berapa ratus kali berjaya memujuk hati dan melelapkan 
mata saya yang tidak mahu lena  pada malam itu.

Pagi menjelang.

Masalah mesti dihadapi dengan tenang. 
Tugas mengajar dan mengurus perlu diselesaikan.

Itulah yang terlintas di kepala saat itu.
Sampai di sekolah, fikiran saya kosong. Entah mengapa
 saya sendiri tidak memahaminya. Pun begitu,  kaki melangkah longlai ke kantin.

“Dik, hari ini harga makanan cikgu  Siti (bukan nama sebenar) saya akan bayar”.

Jelas saya   kepada pekerja kantin sekolah. Itu sahaja yang terlintas
 dihati bagi memujuk perasaan sedih yang sedang melanda.

Tengahari itu saya menerima sms berbeza  daripada  guru yang sama.

Terima kasih cikgu, sebab belanja saya makan. Saya minta maaf 
atas peristiwa semalam. Saya sedar saya  juga banyak kurangnya.
 Saya akan berusaha untuk lakukan yang terbaik selepas ini.

Saya tersenyum bahagia membaca sms itu.

Alhamdulillah. Itu yang terlintas di hati saya.

Selepas peristiwa itu, keadaan menjadi lebih baik. 
Banyak kejayaan yang telah dibawa oleh cikgu Siti untuk 
sekolah di dalam bidangnya.

Kepada semua yang membaca. Bukan penilaian ke atas saya,
 atau cikgu Siti mahupun guru senior itu yang ingin saya perjelaskan.

Namun, sama sama kita mengambil ibrah daripada cerita ini 
bahawa dengan berdoa dan berserah diri   kepada Allah kita akan tenang.

Dengan  berlapang dada dan bersikap positif di atas semua perkara
akan membawa kita membina sebuah empayar bahagia bukan
sahaja pada diri sendiri malahan orang lain yang berada di sekitar kita.

Semoga semua yang saya tulis dapat memberi manfaat kepada saya
dan anda semua.
In Sya Allah.



Jumaat, 13 Januari 2017

BICARA YB/ ISTIMEWA

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.

Tanggal 16 hingga 27 hb Oktober 2016 yang lalu saya 
dan suami telah dipilih oleh Allah untuk menunaikan
 ibadah umrah dan ziarah. Destinasi kami ialah Bandar Suci Mekah,
 Jordan, Masjidil Aqsa (Palestin) dan Madinah. 
Ahli jemaah kami tidak ramai. Hanya 25 orang termasuk seorang mutawwif.

Di dalam kumpulan  kami terdapat seorang remaja  OKU berusia 24 tahun. 
Menurut ibunya dia bermasaalah epilepsi  (sawan) dan sentiasa 
mengambil ubat bagi  mengawal masalahnya itu.
 Dia saya namakan Ali (bukan nama sebenar).

Pada   24 hb  Oktober 2016,  kami akan berangkat ke Kota 
Madinah dari  Amman Jordan setelah berada disana dan 
di Palestin  selama 4  hari.

Sebelum itu selama 4 hari kami berada di Kota Mekah bagi
 menunaikan umrah. Madinah adalah ziarah kami yang terakhir
 sebelum berangkat pulang ke tanah air.

Di awal pagi lagi kami telah bersiap  untuk bersarapan. 
Sedang asyik bersarapan,  tiba-tiba saya melihat Ali berjalan
 pantas menuju kearah seorang daripada jemaah lelaki yang
 sedang bersarapan sama.

Dia  memukul kuat di atas tengkuk lelaki tersebut lantas berjalan
 dengan pantas  memasuki  tandas berdekatan. Lelaki tersebut 
bangun dan cuba mengejar Ali namun dihalang  oleh isterinya.

 Semua yang melihat kejadian itu tergamam. Keadaan jadi kelam
 kabut dan hingar bingar seketika.

Ibu Ali mengejarnya daripada  belakang. Beliau masuk 
ke dalam  tandas dan kedengaran riuh memarahi anaknya itu.
 Semua pelayan di tempat makan mengerumuni pintu tandas
 untuk menyaksikan kejadian.

Mangsa nampak sangat marah dan menghamburkan rasa
 tidak puas hati. Atas pujukan isterinya dia duduk semula 
dan menghabiskan sarapan.

 Saya yang sejak tadi memerhatikan kejadian dari tempat duduk 
 meyambung semula memakan makanan yang terbiar hampir 5 minit.

Beberapa minit kemudian keadaan mula reda. Tidak kedengaran 
lagi suara ibu Ali. Saya melihat mereka berdua keluar daripada  tandas,
 mungkin balik ke bilik.

Sebenarnya kejadian yang berlaku itu  adalah satu perkara biasa bagi
 saya sepanjang mengajar anak anak istimewa.

Tiba-tiba marah,  tiba-tiba menangis ,  tiba-tiba menjerit ,tiba-tiba 
 berlari dan berbagai lagi  tingkahlaku yang tidak diduga boleh 
berlaku di kalangan mereka. Kadang kala bersebab dan kadangkala
 kita sendiri tidak tahu puncanya.

Sejurus selepas  bersarapan saya dan suami bersandar di sofa
berhampiran lobi. Tiba-tiba saya melihat Ali berjalan pantas
keluar dari pintu besar hotel menuju kearah jalan raya utama. 
Ibunya berlari-lari anak mengekorinya sambil memujuk.

Saya dan suami panik. Dengan pantas saya berlari ke dewan
 makan dan memanggil  mutawwfif kami.

Dia yang sedang mencedok makanan berlari ke pintu utama
 hotel untuk mengejar Ali. Dari jauh saya  melihat Ali  berjalan
 pantas tanpa menoleh ke belakang. Dibelakangnya mutawwif  
berlari mengejar diikuti oleh ibunya.

Kereta yang lalu lalang sangat laju. Menyeramkan perasaan saya.
Berbagai prasangka  berlegar di fikiran waktu itu.
Dari kejauhan,  saya hanya mampu berdoa di dalam hati.

Ya Allah, selamatkanlah dia.

 Janganlah berlaku apa-apa yang tidak diingini.

Kami jauh dari negara sendiri , Ya allah.

Bantulah kami

Setelah mereka tidak kelihatan di pandangan  mata, saya melangkah
 kelobi hotel dan bersandar kembali di sofa. Waktu itu juga saya
 teringat Amrizal, Khairi Zayani juga  Cassy. Mereka adalah anak 
murid haiperaktif yang pernah saya ajar.

Kepantasan berlari yang mereka ada tidak boleh ditandingi
 oleh tenaga wanita saya. Berbagai langkah pengajaran kami 
susun bagi membantu mengurangkan masalah tingkahlaku haiperaktif 
yang mereka ada.  Tersangat mencabar dan menguji kesabaran.

Bagaimanakah agaknya mereka diuruskan oleh ibubapa masing-masing. 
soalan  berlegar di kepala.

Kenangan saya  terhenti sebaik suami bersuara mengajak  balik ke bilik.
 Waktu berangkat ke lapangan terbang telah hampir. Kami perlu membawa 
beg ke lobi untuk dimuatkan ke dalam bas apabila tiba masanya.

Sepanjang menuju ke bilik fikiran saya masih tertumpu kepada Ali, 
mutawwif dan ibunya. Hati saya tidak tenang dan berdebar-debar.

Dapatkah mutawwif  dan ibu Ali memujuknya?

Soalan berlegar di kepala saya.

Allah telah tentukan segalanya. DIA lebih mengetahui  akan 
hikmah disebalik semua peristiwa. Bisik hati kecil saya.
Insya Allah. Semua akan okay.
 Tiba-tiba hati saya jadi tenang.

Sebaik selesai memastikan semua barang tidak tertinggal saya
 dan suami menarik beg menuju ke lobi. Setiba dilobi  saya menjengah 
ke luar hotel. Hati saya teringat Ali.

Alhamdulillah. Saya menarik nafas lega. Kelihatan Ali sedang 
duduk bersama ibunya . Mukanya masam mencuka.

Saya menghampirinya.

Boleh makcik duduk di sebelah?

Saya mengajukan pertanyaan kepada Ali.

Dia cuma memandang  wajah  saya dan membisu. 
Ibunya yang mempersilakan  saya duduk.

Sambil berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W.  
saya mengurut belakangnya. Memberikan kata-kata nasihat
 yang biasa saya berikan kepada anak anak didik saya di
 Program Pendidikan Khas.

Walaupun dia tidak memberi sebarang respond,
 namun saya mengerti  dia mendengar dan memahaminya.

Hati saya sentiasa berdoa.

Bantulah, bantulah Ya Allah.

Itu yang termampu.

Bas bergerak perlahan meninggalkan perkarangan hotel 
Bandar Amman Jordan. Seperti yang diputuskan  bersama mutawwif 
 saya akan   memberi sedikit penerangan kepada ahli jemaah tentang 
anak istimewa yang ada dalam kumpulan kami itu.

Alhamdulillah. Dalam masa lebih kurang 10 minit saya telah 
berkongsi pengalaman dan panduan ringkas dengan mereka 
tentang anak-anak istimewa khususnya  Ali. Ahli jemaah  nampak
 berpuas hati dengan penjelasan saya.

Air mata ibu Ali kelihatan mengalir. Saya boleh memahaminya
 setelah mendengar isi hati beliau  sebelum kami menaiki  bas.

Ali pula kelihatan memejamkan mata seolah tidak mendengar
 meskipun saya tahu dia sedang memasang telinga.

Saya faham juga ada yang kurang puas hati dengan penjelasan saya. 
Seolah-olah memihak kepada Ali. Namun pada masa itu saya hanya
 mampu memejamkan mata seolah tidak melihat. Mengunci  pintu hati 
Seperti tidak memahami. Semua itu bersebab, dan hanya saya mengetahui.

Kepada ibu bapa yang ada anak istimewa, saya mendokan kalian tabah. 
Berikan didikan sebaik mungkin kepada mereka. Hadir mereka adalah 
syurga untuk kalian.

Kepada guru-guru yang terlibat dengan anak-anak ini, kalian perlu berani
 di dalam memperkatakan hak mereka.

Jangan malu dan ragu-ragu. Bantu semaksima mungkin untuk menjadikan 
mereka boleh di terima dalam masyarakat.

Kepada ibubapa yang beruntung kerana tidak ada anak istimewa,
 terima kasih kerana memahami  dan 
boleh menerima keistimewaan mereka.

Namun kepada yang masih memandang hina. 
Ingat satu perkara,  mereka adalah ahli syurga,  sedangkan kita 
tidak tahu di mana tempat kita  di alam akhirat sana.

Semoga coretan ini memberi manfaat kepada kita semua.

In sya Allah.