GURU BARU
Aku pernah menerima seorang guru yang sudah mempunyai keluarga mengajar di programku. Penempatan guru ini memang dirancang oleh Unit Pendidikan Khas. Aku diminta memberi sedikit kerjasama membimbing guru ini yang dikatakan mempunyai sedikit masalah peribadi.
Sebenarnya jauh dilubuk hati aku terfikir akan kemampuanku dalam membantunya menjadi seorang guru pendiidkan khas yang baik. Tidaklah semudah yang dituturkan. Ini adalah kerana dia bukan merupakan orang baru dalam bidang pendidikan. Aku khuatir budaya yang telah diamalkan di sekolah sebelumnya sukar untuk ditinggalkan.
Demi arahan, aku memikul tanggungjawab itu dengan tangan terbuka. Setelah beberapa minggu berada bersamaku, aku telah mula mengenalinya dengan lebih dekat lagi. Orangnya sedikit sukar untuk ditegur, kerana walaupun nampak lembut tapi keras dan tidak suka menerima pandangan orang lain.
BUKAN MUDAH
Banyak tugasan yang diberikan kepadanya dibuat sambil lewa sahaja. Suka menolak kerja dengan kerap memberi berbagai alasan. Dia juga cuba mempengaruhi rakan-rakan lain untuk sama-sama tidak menjalankan tugas. Ternyata memang bukan mudah untuk melentur seseorang jika sudah bergelar buloh.
Banyak perkara yang cuba kulakukan. Teguran sambil bergurau, nasihat secara individu dan bimbingan berterusan di atas semua tugasan yang diberikan kepadanya. Ternyata guru ini lambat belajar . Dia agar sukar mengamalkan budaya kerja yang dilakukan olehku dan rakan-rakan.
Rakan-rakan lain sudah mula merungut. Aku cuba meredakannya walaupun aku sendiri sudah mula kurang sabar. Sikapnya yang tidak mahu bekerja dalam pasukan dan tidak suka bertanya apabila tidak faham telah menimbulkan banyak masalah hingga menyebabkan beberapa aktiviti yang telah kami rancang menjadi tergendala.
TEGURAN
Teguran demi teguran kubuat. Ternyata ianya bagaikan menyiram air ke daun keladi. Nampak nyata rakan-rakan lain makin sakit hati. Akhirnya mereka semua tidak mahu menegur guru itu lagi . Semua masalah yang ditimbulkan oleh guru itu diserahkan kepadaku bulat-bulat untuk menyelasaikannya.
Pada masa itu aku mula bertindak agak tegas. Rasanya aku sudah mula kurang bertolak ansur. Banyak tugasan yang kuberikan akan kususul berkali-kali hingga dia berjaya menyelesaikannya. Itu sahaja yang mampu kulakukan bagi membimbingnya. Walaupun ianya agak keras dan kuku besi tetapi terpaksa kubuat.
Pernah sekali soalan peperikaan yang dibuat tidak mendapat pengesahanku. Apabila peperiksaan dijalankan kebetulan aku bertugas menjaga kelas tersebut. Soalan yang dibina memang tidak mengikut format yang telah aku tetapkan.
Pada hari yang sama dia tidak hadir ke sekolah. Aku bertindak memberhentikan peperiksaan bagi mata pelajaran tersebut. Hari berikutnya apabila hadir ke sekolah dia kuminta membina semula soalan baru mengikut format yang kutetapkan. Kemudian kuarahkan dia menjalankan peperiksaan semula kepada murid- murid.
Memang tindakan itu agak keterlaluan. Aku dapat merasakan dia betul-betul marah dengan sikapku. Sekali lagi dia kupanggilkan. Aku memberi ceramah yang panjang lebar tentang sikap dan kesannya yang akan dihadapi oleh semua rakan guru yang lain.
Kujelaskan kepadanya dia boleh menjadi guru yang baik jika dia menghendakinya. Dia perlu banyak bertanya dan terima teguran. Sebenarnya dia tidak sedar bahawa ada banyak kelebihan dalam dirinya yang boleh diketengahkan. Semuanya amat bergantung kuat kepada keinginannya sendiri.
Apapun kunasihati diri sendiri dan rakan-rakan agar hubungan dengan guru itu jangan dibiarkan renggang. Waktu makan perlu bersama seperti biasa. Jangan bercerita mengenainya di belakang. Insyallah dia akan sedar akhirnya nanti mengapa semua tindakan itu dilakukan keatasnya.
Hampir setahun masalah yang ditimbulkannya semakin berkurangan. Perlahan-lahan rupanya budaya kami telah menyerap dalam dirinya. Dukacita akhirnya dia dipindahkan atas sebab lebihan guru dan alamat rumahnya berdekatan dengan sekolah baru tersebut.
AKU TERKENANG KEMBALI APABILA TELAH DITUKARKAN DIA KERAP BERTEMUKU BAGI MENYAMBUNG ILMU YANG TIDAK HABIS DITUNTUT . RUPANYA DIA BARU HENDAK BELAJAR MENJADI GURU PENDIDIKAN KHAS YANG BAIK.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan