1992
Pada tahun 1992, semasa baru melaksanakan program pendidikan khas, aku bersendirian telah menerima lebih kurang 13 orang murid bermasalah pembelajaran daripada berbagai kategori.
Mereka terdiri daripada yang menghadapi masalah haiperaktif, down syndrome, terencat akal , slowlearner, bermasalah pertuturan dan autisme.
KELAM KABUT
Hingga kini aku masih dapat membayangkan keadaanku yang kelam kabut pada masa itu. Dalam keadaan sarat mengandung, tidak ada langsung waktu rehat aku harungi semuanya seorang diri.
Setelah beberapa bulan bersendirian menerajui program , aku ditemankan oleh seorang guru pemulihan khas yang luhur hatinya dalam membantu anak-anak istimewa itu. Terubat sedikit keletihan yang kutanggung sebelumnya.
AUTISME
Murid autisme yang ada didalam programku pada masa itu berbangsa Cina. Aku gelarkan dia TS. Memang kami menghadapi kesukaran dengannya kerana TS tidak ada pertuturan. Dia juga tidak langsung memahami Bahasa Melayu. Oleh itu, segala arahan kami adalah dalam Bahasa Inggeris.
Dia tidak suka berkawan dan suka menyendiri. Dia jua tidak mahu berkongsi apa juga bentuk peralatan dan permainan.
Kelebihan yang ada pada TS ialah dia amat suka dengan permainan puzzle dan begitu cekap menyusun alat permainan ini. Dalam jangkamasa yang singkat puzzle yang paling kecil dan rumitpun pun dia boleh selesaikan.
Rakan-raknnya yang berbangsa Melayu pun hairan dan suka datang dekat untuk melihat kecekapannya. Malangnya TS langsung tidak boleh didekati, hanya guru-guru sahaja yang boleh berbuat demikian.
Dia akan menjerit sekuat- kuat hati dan boleh didengari oleh semua warga sekolah sebagai tanda marah jika ada rakan yang mendekatinya. Sebagai orang yang cetek pengalaman dan ilmu bagi mengatasi masalah TS pada masa itu terpaksa dia kubiarkan bersendirian.
MELAWAT RUMAHNYA
Aku memang bercadang melihat keadaannya di rumah. Bagiku didikan dirumah adalah salah satu faktor yang telah menjadikan TS begitu. Peluang terbuka kepadaku apabila suatu hari ibunya memaklumkan bahawa TS demam dan tidak boleh hadir sekolah untuk beberapa hari.
Pada hari berikutnya selepas waktu persekolahan aku dan rakan menuju kerumahnya. Baru terjawab segala persoalan yang berlegar dalam fikiranku selama ini.
Di rumah TS ibu bapanya menyediakan sebuah bilik khas untuknya. Di dalam bilik itu terdapat sebuah komputer dan bermacam-macam jenis puzzle. Daripada puzzle pecahan 4 hinggalah pecahan beratus-ratus. Semuanya tersusun dengan kemas sekali. Semasa kami datangpun, TS sedang menyusun puzzle dan kehadiran kami langsung tidak dihiaraukan .
Menurut ibunya, sebagai anak bongsu daripada dua orang adik beradik, TS tidak banyak menimbulkan masalah. Ibunya rasa ia mudah menguruskan TS kerana TS tidak banyak kerenah dan lebih banyak menghabiskan masa di bilik tersebut sendirian bagi menyusun puzzle. Abangnya sendiri tidak dibenarkan masuk dan bermain di dalam bilik itu.
KURANG TEPAT
Dengan rasa berat hati aku terpaksa menjelaskan kepada ibu TS bahawa tindakannya itu kurang tepat. Dia harus sedar bahawa apa yang TS lalui selama ini telah memberatkan lagi masalah yang dihadapinya.
Sebagai murid yang bermasalah autisme, TS perlu kepada persekitaran yang boleh membantu dia bersosial dengan orang lain. Segala kelengkapan dan kemudahan yang disediakan telah membuatkan TS lebih anti kepada sosial.
Kunasihatinya untuk bertindak segera agar masalah yang dihadapi oleh TS boleh dibantu dan diseleaikan dengan lebih berkesan.
BERUBAH
Selepas beberapa hari tidak tidak hadir ,TS hadir semula ke sekolah. Semasa menyambutnya pada waktu pagi, kami ternampak di tubuhnya ada banyak tulisan-tulisan Cina berwarna merah. Tulisan itu seperti menggunakan cop tertentu.
Hari itu juga perubahan besar berlaku pada TS. Dia tidak menjerit seperti selalu apabila didekati rakan-rakan. Kami begitu gembira dengan perubahan mendadak itu. Meskipun tidak mahu berkongsi tetapi TS boleh didekati .
Semasa balik kami menceritakan perubahan TS pada ibunya. Kami juga bertanyakan tentang cop-cop tulisan China yang ada pada tubuh TS. Penjelasan ibunya membawa kami faham bahawa ibunya telah membaca TS berubat di sebuah tokong pada hari sebelumnya.
ADALAH KEPERCAYAAN SETIAP PENGANUT APA JUGA AGAMA, SEGALA MASALAH ADALAH DATANG DARIPADANYA . OLEH ITU KEMBALI DAN MINTALAH SESUATU DARIPADANYA PASTI ADA JALAN PENYELESAIAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan