Isnin, 6 Februari 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ JAWAB AZAN



Sepertimana   yang  aku nyatakan  bahawa  aku memang   menitikberatkan  soal  ibadah  dalam mendidik anak-anak istimewa ini.   Meskipun  aku tahu hasilnya tidaklah sebesar mana, namun ganjaran  yang  aku  dan rakan-rakan akan  dapat  di akhirat nanti amat diharapkan. 

Kata-kata nasihat dan galakan selalu aku berikan kepada ustaz atau ustazah  yang bertugas di program ku agar bersungguh-sungguh  dalam memberikan  didikan  agama  kepada  mereka  anak-anak istimewa  ini.

PERLU  LATIH TUBI

Pengalaman telah banyak  mengajar aku bahawa untuk memberi   kesan  yang   positif  dalam  apa juga  kemahiran yang diajarkan kepada mereka ini,  latihtubi perlu dilakukan secara berterusan.  Jangan sekali-kali berputus harap  dengan  apa yang telah kita  cuba mulakan. 

Usaha perlu  diteruskan  meskipun hasilnya  tidaklah  sehebat  mana.  Insyaallah jika sikap ini   tertanam dalam   diri  semua orang  yang terlibat dengan anak-anak ini , banyak   kemahiran  yang boleh  mereka  kuasai    dan  banyak  kejayaan  yang boleh mereka  kecapi.

KESAN POSITIF

Menyambung kisah  mengajar   amali solat,  aku terpanggil untuk bercerita tentang kehebatan rakan-rakan seperjuanganku  semasa  di SKUP.  Mereka  adalah insan-insan yang  gigih  dan tidak pernah kenal  jemu dalam  mendidik anak-anak istimewa  ini.  

Tanpa   ada rasa  pilih kasih setiap murid   dilatih dengan  bersungguh-sungguh.   Dari cara mengambil wudhuk,  mengalunkan  azan, membaca  doa  selepas  azan,  membaca  iqamah, dan keseluruhan  tertib solat telah diajarkan dengan  tidak  mengenal  jemu.  Semua kemahiran itu telah dikuasai dengan jayanya oleh sebahagian daripada anak-anak muridku. 

Ada  di antara mereka yang  telah  boleh mengimamkan rakan-rakan lain pada waktu solat.  Daripada  solat fardhu subuh  hinggalah ke solat fardhu  isya   sebahagian daripada mereka    telah  boleh kuasai. 

Jika  terdapat  sebarang  kesilapan, selalunya  mereka ini akan ditegur  dan dibantu untuk memperbetulkan  kesilapan oleh  ustaz dan ustazah pada masa itu juga. 

Melalui kaedah ini kudapati   hasilnya  begitu  memuaskan.   Ibubapa juga melahirkan  rasa syukur dan gembira melihat  anak-anak mereka  telah boleh mendirikan solat  dengan baik.

Seorang murid autisme yang pada asalnya  suka menutup  telinga  apabila mendengar bunyi  bising  akhirnya dapat solat dengan betul  tanpa menutup telinga walaupun  rakan-rakan  yang hampir 20  orang semuanya membaca  surat-surah dan zikir  di waktu solat  dengan kuat  sekali   disebelahnya.

Begitu  hebatnya Allah,   sentiasa  memberI  kita   jalan  keluar  daripada  sesuatu masalah , asalkan kita tidak jemu  berusaha dan memohon kepadanya. 

TERINGAT  KISAH  SEORANG MURID  AUTISME  YANG  MEMBACA  DOA MENJAWAB AZAN DENGAN KUAT  SELEPAS MENDENGAR  LAUNGAN  AZAN   DARIPADA  MASJID .  MASA ITU KAMI SEDANG  MENJALANKAN    MESYUARAT  BADAN  KEBAJIKAN  DAN TIDAK  MEMBERHENTIKANNYA WALAUPUN AZAN SEDANG DILAUNGKAN .MEREKA SEBENARNYA INGAT  SEMUA  PERKARA  YANG  DIAJARKAN  KEPADA MEREKA .



Tiada ulasan:

Catat Ulasan