GURU BESAR
Aku ingin menyambung cerita tentang guru besar baharu di sekolahku . Dia seorang yang suka pada perubahan. Sentiasa berfikir bagaimana caranya untuk mencantikkan kawasan sekolah.
Tetapi kadangkala ada tindakan yang diambilnya menurut rakan-rakan yang telah lama mengajar berlawanan dengan peraturan. Terutama dalam soal pengurusan kewangan.
Aku kurang arif tentang perkara itu. Ketenangan sekolah sedikit berkocak dengan kehadirannya. Walaubagaimanapun, aku dan rakan-rakan di program pendidikan khas kurang sedikit merasa kocakannya kerana kami ada rutin sendiri yang tidak dapat dicampuri oleh guru besar itu.
TIDAK MENGGANGGU
Dia memang tidak mengganggu perjalanan program kami. Segalanya diserahkan kepadaku untuk menguruskannya. Sesekali aku akan bertemunya bagi menyampaikan lapuran perkembangan program.
Disebabkan programku mempunyai bangunan yang berasingan, kadangkala perkara yang berlaku di aliran perdana tidak sampai ke pengetahuan kami. Kalau sampaipun lambat sedikit. Kami bertemu apabila waktu rehat, waktu mesyuarat dan waktu kokurikulum. Kadangkala rasa seronok juga sebab dapat mengelakkan dosa ber gossip.
DAH MULA
Kalau pada permulaannya guru besar itu tidak mengganggu perjalanan program pendidikan khas, tetapi ternyata apabila ada keperluan dia terpaksa juga mengusik waktu mengajar guru-guru di program ku. Aku dan rakan-rakan dapat merasakan bahawa dia dah mula buat hal pula di programku .
Seorang rakan guru selalu dipanggil untuk membuat kerja-kerja keceriaan semasa waktu mengajar. Aku terpaksa membuat jadual guru ganti untuk guru tersebut. Banyak kemahiran yang sepatutnya diajar kepada murid-murid istimewa ini tidak dapat dilaksanakan. Aku dan rakan-rakan jadi serba salah.
Aku tahu guru pendidikan khas itu tidak akan membantah atas arahan yang diberikan kepadanya. Ini adalah kerana dia memang suka dengan tugasan baru itu. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal jadinya.
BERTINDAK
Lama juga aku dan rakan-rakan lain memendam rasa. Aku sebenarnya masih lagi takut hendak menegur kerana kisah rokok baru saja selesai. Walaubagaimanapun, masalah tidak akan selesai jika aku tidak bertindak.
Kekurangan yang ada pada diriku ialah tidak pandai menyembunyikan masalah. Aku rasa amat tertekan dengan kejadian itu. Fikiranku selalu terganggu. Aku rasa tanggungjawapku tidak tertunai.
MODAL
Akhirnya modal yang sama juga aku gunakan dalam berhadapan dengan guru besar ini. Hari itu semasa hendak pulang ke rumah kulihat kawanku itu sedang sibuk membuat aktiviti keceriaan di hadapan tapak perhimpunan. Guru besar ada bersamanya.
Kugagahkan hati, kukuatkan semangat. Aku memberhentikan kereta dan berjalan menuju ke arah mereka berdua. “ Cikgu, maafkan saya, boleh saya cakap sedikit?” Tegurku. Kedua-dua mereka memandang ke arahku.” Boleh, cakaplah”, kata guru besar itu.
“Saya nak bagi tahu cikgu, elaun 60 ringgit yang cikgu ini dapat adalah untuk mengajar murid-murid pendidikan khas, bukannya untuk membuat aktiviti keceriaan”. (masa itu elaun ajar murid pendidikan khas hanya 60 ringgit sahaja.
Guru besar itu memandang ke arahku. Aku terus menyambung” Kalau cikgu teruskan juga ambil dia buat kerja lain waktu P&P dosanya cikgu tanggung sendiri saya tak tahu” . Habis bercakap tanpa menunggu apa-apa jawapan dari mereka berdua aku terus menuju ke kereta.
Aku menghidupkan enjin kereta dan berlalu dari situ dengan tangan serta kaki yang sejuk seperti air batu kerana terlalu takut.
MEMANG CARAKU TIDAK TEPAT, TETAPI ITU SAHAJA YANG MAMPU AKU LAKUKAN DEMI ANAK-ANAK INI. ALHAMDULILLAH, MUNGKIN AKU BERKATA YANG BENAR, SEMUANYA BERJALAN DENGAN BAIK DAN HINGGA KINI AKU DAN GURU BESAR ITU TETAP MENJADI RAKAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan