Isnin, 6 Februari 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ AJARAN SESAT


CERITA  KAWAN LAMA
Suatu hari  seorang   rakan lama menemuiku .  Setelah  berpuluh  tahun  tidak berjumpa  cerita kami pada masa itu lebih kepada  profession  yang kami  ceburi dan kisah anak-anak.  Seronok  sekali-kali dapat bersembang   dengan rakan  lama.

Menyentuh   tentang  anak  perempuan  sulongnya  aku agak  tertarik  kerana menurut rakanku itu anaknya   sedang   menjadi  guru  sementara  di  sebuah  program  pendidikan  khas  rendah  yang bukan  terletak  di negeri   Melaka.

Dia  melahirkan  kegusaran  kerana  anaknya  telah menganggur  lama selepas mendapat  ijazah pertama  dalam bidang IT akibat   tidak mendapat pekerjaan yang sesuai.  Dia  sedang  berusaha  memujuk  anaknya untuk  meneruskan profession sebagai  guru pendidikan khas jika   mendapat peluang untuk mengikuti  samada  KPLI atau  Kursus  dalam cuti. 

MINAT
Aku menasihatinya   agar jangan memaksa jika anaknya itu  tidak berminat.  Risau  pula  akan menimbulkan   masalah  dalam  pendidikan khas. Ku  jelaskan kepadanya   bahawa   menjadi  guru pendidikan  khas perlu  ada  minat,  mesti ada   komitmen  yang tinggi  dan tidak boleh  sambil  lewa.

Ku biarkan   dia bercerita  lanjut  tentang  pandangannya.  Bagiku daripada  ceritanya  itu  dia  merasakan menjadi guru pendidikan khas amat mudah dan  semua orang mampu untuk melakukannya.   Menurutnya  lagi setiap   kali balik   daripada sekolah   anaknya  akan  bercerita  tentang  pengalaman semasa   bersama anak-anak istimewa  ini.

HAIRAN
Dia  hairan  mengapa   ceritaku amat berbeza daripada cerita  anaknya.   Baginya dia  selalu dengar  anaknya bercerita  bahawa menjadi  guru pendidikan khas  amat mudah.   Murid  hanya 6 orang dalam  satu kelas.  Tidak perlu periksa  buku banyak-banyak.  Kerja tidaklah  seteruk mana.

Jika murid  tidak suka belajar bukakan sahaja cd  atau televisyen dan boleh menonton sama-sama. Yang penting jangan biarkan  murid-murid itu tidak dikawal.  Urusan  ke tandas  atau makan  pula serahkan sahaja kepada PPM.   Itu bukan tugas guru. 

Jika terdapat murid-murid  yang menghadapi masalah yang severe, sediakan satu ruang atau bilik  untuk murid itu.  PPM  akan ditugaskan untuk menjaganya. Jangan sampai murid itu ganggu guru atau murid lain.  Memang murid  sebegini  tidak boleh dibantu apa-apapun.  Biarkan  sahaja.

Hatiku begitu tersentuh  dengan kenyataan  itu.  Tidak  langsung aku  menduga  perkara ini   masih menular lagi dalam program pendidikan khas. Mengapa  semudah itu  penyelaras program tersebut  mendidik guru-guru baru  untuk   menjadi  seorang  guru  pendidikan khas. 

Ternyata mereka  kurang  faham  akan kesannya kepada anak-anak istimewa ini  jika semua guru di program pendidikan khas bertindak  demikian.

Lebih  menyedihkan lagi bila ceritanya menyentuh   yang   murid-murid ini bukan boleh buat apa-apapun.   Tidak  perlu penekanan kepada  belajar  membaca dan menulis.   Latihan yang diberikan    hanya menyambung titik-titik  dan mewarna. Itupun  kalau  murid berminat, jika tidak  biarkan sahaja mereka bermain peralatan-peralatan lain. Bagi murid  yang belum tahu urus diri pula, minta ibu pakaikan lampin pakai buang.  Bukan tugas guru untuk  basuh berak kencing mereka. 
 
MULA MEMBERI CERAMAH
Aku mula  memberi  ceramah kepada rakanku itu.   Kujelaskan kepadanya peranan yang sepatutnya penyelaras dan guru-guru  pendidikan khas buat  di dalam progam.  Sebenarnya  ada banyak kaedah  yang boleh guru-guru gunakan untuk menyampaikan ilmu kepada anak-anak ini. 

Jika  perkara  diatas dibiarkan berlaku begitu  sahaja tanpa   apa-apa tindakan untuk cuba  membantu, kesannya   amat besar kepada semua murid yang bergelar istimewa.

Penyelaras  perlu kreatif dalam membantu guru-guru dan PPM di bawah pimpinannya agar  perjalanan program  menjadi  lebih baik dan teratur.   Dengan usaha yang lebih seharusnya penyelaras menjadi orang utama yang tahu kaedah-kaedah dalam menangani semua masalah samada guru , murid atau PPM dalam  memajukan program. 

Setelah mendengar penjelasanku,  rakanku  mula tersedar bahawa selama ini anaknya telah mendapat ilmu yang salah di dalam menuju cita-cita sebagai guru pendidikan  khas. 


TERINGAT  AKAN PESANAN YANG SELALU KUBERIKAN KEPADA RAKAN-RAKAN GURU DI SKUP. JANGAN  TUNJUKKAN  CONTOH  TIDAK BAIK  KEPADA GURU-GURU PELATIH YANG DATANG  LATIHAN MENGAJAR KERANA ILMU YANG DITERIMA  SEMASA  LATIHAN MENGAJAR ITU AKAN DIGUNAKAN APABILA POSTING.  TAKUT  KITA  AKAN TANGGUNG  DOSANYA JIKA IANYA  AJARAN  SESAT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan