Ahad, 5 Februari 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ AJARKAN MEREKA SOLAT DAN HAFAZAN SURAH


MEMBERATKAN

Dalam mendidik   anak-anak  istimewa  ini   memang  sejak  dari  awal  menjadi  guru  pendidikan  khas  aku  amat   menitikberatkan soal solat dan hafazan surah  keatas mereka.  Sebelum    adanya jawatan  ustaz  atau ustazah  di program pendidikan khas,  memang  semua   guru   termasuk aku  juga  terpaksa  mengajar  mata pelajaran  Pendidikan   Islam.

Berbekalkan   sedikit    pelajaran  agama yang   ada  dalam  diriku,  dibantu  oleh   ustaz  atau  ustazah   di  aliran  perdana ,   aku dan  beberapa   rakan lain  mendidik   setiap  anak-anak  Islam  yang datang  ke  programku  dengan amali  solat,  akidah  dan  juga  menghafaz  surah .
  
TIDAK  MEMBERATKAN

Aku  tahu  ramai  ibu bapa  yang  tidak  memberatkan  anak-anak  mereka  tentang  perkara ini.  Mereka  menganggap  anak-anak  ini  tidak  akan  dipersoalkan  oleh  Allah   tentang  dosa  dan pahala  apabila  meninggal dunia nanti  disebabkan  mereka    istimewa.

Aku  pula mempunyai  satu  padangan yang tersendiri.  Dipersoal  ataupun  tidak  adalah  perkara ke dua. Yang lebih utama ialah tanggungjawap ibu bapa dan guru membekalkan  mereka  ini  dengan didikan  asas agama.  Ianya  amat penting  bagi melahirkan  generasi   akan datang  yang  berdikari dan  tidak menyumbang  kepada   masalah sosial dalam  masyarakat.

Pengalamanku menunjukkan  bahawa  mendidik anak-anak  istimewa  yang  faham   asas-asas agama  adalah lebih mudah  berbanding anak-anak  yang  tidak mempunyai  asas  tersebut.  

Pandangan  dan penghormatan  anggota  masyarakat  juga  akan menjadi  berbeza   di antara   anak-anak  istimewa  yang  tahu solat dan  kesurau  apabila sampai waktunya     berbanding  anak-anak istimewa  yang hanya pandai lepak ,  ke pusat bowling  atau pusat membeli  belah  apabila ada masa  lapang.

USAHA   YANG SEDIKIT

Memang   usaha  yang  kami buat di sekolah amat sedikit.   Ini  adalah kerana  masa  mereka berada di sekolah adalah terhad.  Dengan berbagai  kemahiran  yang mesti  mereka  pelajari,  memang  tidak menang tangan  hendak  melaksanakannya.

Aku  ada caraku yang tersendiri.   Bagiku, disebabkan jadual  mereka ini fleksible,   aku  telah  mengatur jadual   berbeza   bagi  membolehkan  mereka  ini  setiap hari  dapat solat atau  mengaji  walaupun  sebentar.

Rakan-rakan  selalu melahirkan  kebimbangan  dengan  tindakanku  seolah-olah melebihkan agama dalam pembelajaran.  Setelah kuterangkan bagaimana solat adalah merupakan satu  terapi dan   menghafaz  surah adalah satu aktiviti yang terkandung di dalamnya  berbagai kemahiran  yang   melibatkan kognitif,  baru mereka  faham.

Alahamdulillah,  banyak surah-surah  daripada  juz  amma yang telah mereka  hafaz.  Mereka juga telah boleh solat dengan baik dan ada yang sudah boleh mengamalkan  zikir dan doa selepas solat lebih baik daripada  anak-anak  normal.

Apabila keadaan ini berlaku, usaha   membentuk  tingkahlaku  terhadap  murid-murid  Islam yang menghadapi masalah tingkahlaku  juga   menjadi lebih  mudah. Mereka  lebih  lembut hatinya dan mudah untuk menerima arahan.

Setiap  kali  membuat pemantauan  sempena  hari kualiti aku  akan meninggalkan pesan kepada guru-guru pendidikan  khas  yang kutemui  agar selalu memberatkan solat kepada semua  anak-anak istimewa  yang beragama  Islam. 

Aku  juga sering mengingtkan ibubapa  diprogramku supaya  membawa anak-anak mereka ke masjid atau surau untuk  solat  berjemaah atau mendengar ceramah agama.  Aku  ada pengalaman tersendiri tentang  kepentingan  mengajar solat  kepada anak-anak ini.


SEORANG DARIPADA  ANAK  BUAHKU  YANG ISTIMEWA  DAN  BERUSIA  38 TAHUN MENINGGAL DUNIA  DI MASJID  WAKTU  SEDANG  BELAJAR   AGAMA  KERANA DISERANG PENYAKIT  LELAH. DIA MEMANG  SENTIASA SOLAT  BERJEMAAH DI MASJID ATAU SURAU SETIAP  KALI  WAKTU  SOLAT  DAN KEMATIANNYA  TELAH  MENYEBABKAN   SEMUA MERASAKAN SATU KEHILANGAN KERANA  ORANG YANG SELALU MEMBERSIHKAN MASJID  DAN SURAU  TELAH   TIADA  LAGI.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan