Memaparkan catatan dengan label dia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label dia. Papar semua catatan

Jumaat, 16 November 2012

bICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ JAWAPAN



Aku ditemui oleh  2 orang guru pelatih IPG Kampus
Perempuan Durian  Daun Melaka. Mereka bertanya
tentang pengurusan  tingkahlaku  murid istimewa.
Bagi mereka ianya  sukar untuk dilaksanakan kerana
anak-anak  istimewa itu  sukar untuk  didekati.

Jawapan yang aku  berikan:

Lahirkan rasa sayang, simpati  dan keinginan untuk 
membantu dengan  hati  yang ikhlas dan bukan
dipaksa-paksa.  Ianya memang sukar tetapi perlu 
diusahakan sehingga berjaya.

Merapati mereka hendaklah bermula  dengan
kehadiran mereka di   awal pagi bukan hanya  sewaktu
pengajaran danp pembelajaran.

Hendaklah lupakan  segala masalah peribadi 
yang mengganggu diri, berikan tumpuan sepenuh
hati dalam tugas yang sedang dihadapi.

Sentuhan, belaian perlu  selalu diulangi agar anak 
istimewa ini  dapat merasakan  diri mereka dihargai.

Jangan  mudah kecewa jika pada mulanya kita 
tidak dipeduli, kerana mereka hanya mendengar 
arahan orang yang telah lama dikenali.

SELAMAT  MENCUBA …MEREKA TAHU MEMBACA KEIKHLASAN KITA. 



BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/DIPILIH


Dipilih oleh Allah untuk memperolehi anak istimewa
punya rahsia yang tidak siapa pun mengetahuinya.

Dipilih  oleh Allah untuk  menjadi guru pendidikan khas
juga punya rahsia yang tidak   siapa pun mengetahuinya.



Allah yang lebih tahu mengapa kita yang terpilih untuk
menjadi ibu/bapa anak  istimewa ini.

Allah yang lebih tahu mengapa kita yang terpilih untuk
menjadi guru kepada anak istimewa ini,

Siapapun kita yang telah dipilih Allah lakukanlah
yang terbaik untuk mereka yang istimewa kerana
rahsianya juga mungkin istimewa.

insyaallah.
















Sabtu, 20 Oktober 2012

Tidak ada yang lebih membahagiakan seorang pemimpin di sebuah sekolah selain daripada mendapat sokongan dan kerjasama yang amat padu dikalangan orang yang dipimpinnya.

Khamis, 11 Oktober 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ PESANAN

Sebagai salah seorang panel penilai Hari Kualiti Pendidikan
Khas 2012, aku diberi peluang memantau kali ke 2 sebuah program
pendidikan khas integrasi menengah.

Program ini telah terpilih untuk 4 kategori yang dipertandingkan.
Persediaan yang dibuat memang hebat. Pada padanganku,
Guru dan PPM telah  cuba membuat yang terbaik.

Semua kategori layak untuk aku berikan cemerlang. Dua
perkara yang aku pesankan sebelum aku meninggalkan
program,

1. RPI 
Hendaklah dibuat dengan lebih teliti dan lengkap
kerana ia adalah tempat rujukan guru untuk mencapai
objektif pembelajaran.

RPI yang tidak lengkap tidak dapat membantu guru menjalankan
P&P dengan baik dan berkesan.

RPI   adalah satu perjanjian bertulis antara guru dan ibubapa
tentang objektif  yang perlu dicapai oleh murid .

2.P&P
Dalam mengejar anugerah untuk program guru jangan lupa
tentang tanggungjawap  P&P murid.

Segalanya  akan dipersoalkan oleh ALLAH kelak. Sejauhmana
kita bersungguh-sungguh membantu mereka  dalam menguasai
3 M disamping mata pelajaran lain yang telah ditetapkan.

Tekankan kepada  mereka tentang kewajipan solat dan lain-lain
perkara fardu ain yang patut mereka ketahui.

TAHNIAH... SEMUGA BERJAYA

Jumaat, 21 September 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ SUKAR

Terasa  amat sukar untuk  menerima jika keikhlasan
di nodai oleh orang yang kita percayai.  Dalam
mengurus sebuah sekolah ini  adalah kelemahan  yang
sukar untuk  diperbaiki.

Ujian... atas  segala kelemahan dan kekurangan diri.
Muga  mendapat keampunanmu ILAHI.

Jumaat, 7 September 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ TERIMA KASIH

Dengan  lafaz  bismillah aku menulis pada pagi  ini. Inginku
hulurkan rasa terima kasih  yang tidak seberapa  kepada
rakan-rakan  guru yang mengajar di  tahun 6 SK  Semabok
Melaka.

Sesungguhnya dalam penilaianku  sebagai  hamba yang
serba lemah dan kekurangan, kalian  telah terlalu banyak
berkorban untuk  anak-anak di  sekolah ini.

Ketika  guru lain  telah berada di  rumah bersama anak-anak
dan  suami/isteri,  kalian masih di kelas memerah keringat demi
keputusan yang cemerlang untuk anak-anak ini.

Ketika guru lain bercuti pada hari Sabtu kalian di  sekolah
tanpa menghitung waktu untuk anak-anak ini juga.  Ketika
guru lain bergelak ketawa gembira, kalian menghitung markah
yang dirasakan masih belum sempurna.

Di bulan  Ramadhan ketika guru lain telah berehat di rumah
keletihan, kalian masih di kelas mencurahkan ilmu di dada.

Sungguh mulia hati budi kalian.  Terlalu banyak pengorbanan yang
telah kalian lakukan.  Tidak  dapat  dibayar  dengan wang ringgit.
Hanya kuserahkan pada Allah membalasnya.

Akhir kata, sebagai usaha   terakhir kita semua,
aku begitu mengharapkan keredhaan, keikhlasan dan doa  daripada
kalian untuk mereka. Minta di halalkan ilmu yang telah dicurahkan,
minta dimaafkan jika mereka telah melukakan hati kalian.  Doa kalian,
akan membawa erti bermakna dalam perjuangan mereka pada
11 hingga 13 September ini.


Terima kasih   semua...






Rabu, 5 September 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ INKLUSIF 2


SUKAR
Bukanlah  satu perkara  mudah untuk   mendapatkan bantuan ikhlas  daripada guru yang tidak terlibat  secara langsung dengan anak-anak istimewa ini  dalam program inklusif.

Tidak  ada sesiapapun harus dipersalahkan apabila cadangan untuk program inkusif murid pendidikan khas ditolak mentah-mentah samada oleh pihak pentadbir mahupun guru-guru di aliran perdana,

"Mereka yang dapat elaun RM 250 mengapa kita  yang kena ajar murid-murid itu" Ini adalah persoalan yang penah aku  dengar  daripada  rakan-rakan guru di aliran perdana. Kata-kata  ini  memang ada kebenarannya. 

PERANAN KITA

Kita di sini termasuk saya perlu  berperanan agar program inklusif  boleh berjaya jika tidak sepenuhnya biarlah  walaupun hanya sebahagian. Kita perlu melakukan  sesuatu agar usaha membantu oleh  guru-guru  di  aliran perdana dapat  dilaksanakan dengan ikhlas tanpa memikirkan soal elaun.

Banyak faktor mengapa program inklusif tidak dapat mencapai tahap  yang diinginkan.  Terdapat juga  beberapa cadangan mengatasi yang inginku tuliskan disini.

KURANG PENGETAHUAN.
Guru  di aliran perdana kurang atau langsung tidak ada pengetahuan tentang program inklusif.  Oleh itu:

1.      Guru aliran perdana perlu diberi pendedahan tentang mengapakah perlu   program inklusif  kepada murid-murid   bekerpeluan khas.
       Contoh:
-         Keperluan  social
-         Keperluan untuk membina keyakinan diri
-         Keperluan untuk berdikari
-         Keperluan untuk diterima sama dalam  masyarakat
-         Keperluan menguruskan diri
-         Keperluan belajar dengan guru  lain selain daripada guru pendidikan khas sendiri.

2.   Guru di aliran perdana perlu diberi pendedahan
      tentang tugas lain guru pendidikan khas semasa  
      ketiadaan  murid kerana mengikuti progam inklisuf.
      Ini dapat mengelakkan prasangka  yang tidak 
      diingini  berlaku.
       Contoh:         
-Menjalankan pengajaran individu untuk
      murid-murid yang  severe samada dalam
      pengurusan diri  mahupun  pengurusan
      tingkahlaku.
-         Membina RPI
-         Membuat keceriaan kelas

                  3. Pentadbiran dan  guru-guru lain di aliran perdana perlu
                      diberi pendedahan tentang pelaksanaan  sebenar
                      program inklusif.  ( boleh dibuat dalam, bentuk kertas
                     kerja dan  dibentangkan semasa mensyuarat kurikulum)

                4. Guru pendidikan khas  perlu sentiasa memantau
                    perjalanan program inklusif ini dari segi:
                   -Pencapaian murid
                   -Kehadiran murid
                   - Kesihatan murid
                   -Tingkah laku  murid
                   -Masalah yang dihadapi oleh guru perdana apabila
                    murid-murid ini diinklisufkan dan membantu untuk
                    mengatasinya. 
           
               5.  Berikan penghargaan      kepada guru-guru di aliran
                    perdana  yang terlibat juga pentadbiran yang   memberi
                    sokongan kepada  pelaksanaan  inklusif ini dengan
                     cara:
                   - Memberi  sijil/surat  penghargaan
                   - Memberi cenderahati  semasa sambutan  hari guru atau
                     hari penyampaian hadiah.
                   -Merakamkan  ucapan terima kasih  kepada guru-guru
                     yang terlibat dalam majlis resmi  sekolah.

             6.  Guru  di aliran perdana perlu diberi taklimat tentang
                  tahap pencapaian murid  di program pendidikan khas sebelum 
                  mereka mengajar anak-anak ini. 

             7.   Guru pendidikan khas perlu menyediakan laporan
                   perkembangan pembelajaran murid  dengan bantuan
                   guru di aliran perdana .  Selain  daripada untuk diberi
                   kepada ibubapa,  laporan perlu     dibentangkan dalam
                   mesyuarat kurikulum supaya keberhasilan pelaksaan
                   inklusif dapat dikerahui  semua.


 MUGA TULISAN  INI   DAPAT  SEDIKIT MEMBANTU PELAKSANAAN PROGRAM INKLUSIF  DI SEKOLAH
                   -



BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ INKLUSIF


DEFINISI
INKLUSIF  dalam bahasa  yang mudah untuk  difahami ialah menempatkan murid-murid bekeperluan khas di aliran perdana semasa pembelajaran samada di luar atau dalam bilik  darjah .  Kurikulum  yang digunakan ialah kurikulum perdana  dengan tenaga pengajarnya juga  adalah  terdiri  daripada  guru-guru  di aliran perdana. 

Inklusif  terdiri  daripada  dua    jenis  iaitu inklusif  penuh  dan  inklusif separa.  Inklusif penuh membawa erti murid bekeperluan khas berada  sepenuh masa di aliran perdana mengikuti  semua kurikulum di sana. 

Inklisuf separa pula ialah murid ini berada di aliran  perdana pada waktu  mata pelajaran  tertentu berdasarkan kemampuan pencapaian  mereka. 

Inklusif   bukan  sahaja difokuskan  kepada  mata pelajaran  teras   malahan  boleh dilaksanakan  pada  mata pelajaran bukan teras.

 JADUAL KEHADIRAN
Satu perkara yang perlu   diingatkan bahawa apabila murid bekerpeluan khas mengikuti program inklusif penuh, jadual kehadiran murid tetap berada di program pendidikan khas.  Guru pendidikan khas bertanggungjawap menanda kehadiran tersebut meskipun mereka tidak belajar di program pendidikan khas.

Kaedah  yang boleh digunakan  untuk memastikan kehadiran mereka ialah dengan meminta murid tersebut melapor  diri ke program pendidikan khas setiap pagi  atau minta PPM mendapatkan maklumat  tersebut  apabila  guru ingin menandatangani jadual kedatangan.

KEMAHIRAN
Kemahiran  penting  yang perlu dikuasai oleh murid bekepeluan khas sebelum mereka ditempatkan di program inklusif ialah pengurusan tingkahlaku  dan pengurusan diri.

Selain itu,  murid juga perlu dipastikan telah menguasai kemahiran asas  membaca dan menulis.  Guru pendidikan khas juga harus mengenalpasti tahap umur mental mereka. Ianya perlu  setaraf atau hampir sama taraf dengan murid  di kelas  aliran perdana,  dimana murid ini hendak diinklusifkan.
  
PEMANTAUAN /PERBINCANGAN

Pemantauan oleh guru pendidikan khas terhadap perkembangan dan pencapain murid ini haruslah berterusan. Perbincangan  dengan  guru-guru yang terlibat juga  perlu dilaksanakan. Perkara ini dapat membantu program pendidikan inkulisf ini   berjalan dengan lebih berkesan lagi.


SELAMAT    MENCUBA.. .

Rabu, 29 Ogos 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ TAHNIAH

Pemantauan  program  pendidikan  khas sempena  Hari  Kualiti Pendidikan  Khas
2012  sedang dilaksanakan  sekarang.  Aku  diberi amanah memantau sebuah
program  baru  yang  agak  jauh  dari  kawasan  Melaka  Tengah. Dengan izin
Allah dan atas bantuan  suami,  aku  sampai   juga ke sekolah  tersebut setalah
beberapa  kali  berhenti  untuk  bertanya.

Aku  disambut  oleh  guru  besar dengan ramah  sekali. Apabila aku  dibawa
ke program  pendidikan  khas aku  berpeluang beramah  mesra  dengan
penyelaras  program  tersebut.  Orang muda  yang mempunyai  komitmen
yang  amat  tinggi.

Tahniah, walaupun  daripada  ceritanya  banyak  halangan yang  dia  hadapi,
ternyata dia tabah  dan tidak  mudah  mengalah.  Ada  beberapa  tips
yang  sempat  kuberikan kepadanya  dalam  menjalankan amanah  di
sebuah program baru. Antaranya  ialah:

1. Buat semua kerja dengan  yang  terbaik,meskipun kita  tidak  dihargai.
2. Pembelajaran  murid perlu  diteruskan  meskipun  kelengkapan  dan 
    kemudahan  tidak  mencukupi.
3. Keceriaan kelas perlu  dititikberatkan,  kerana  ianya  salah  satu
    daripada cara  untuk kita mendapat  perhatian  daripada   pentadbir  sekolah.
4. Adakan  hubungan  baik  dengan  warga sekolah   kerana ia amat
    penting jika  inginkan sokongan dalam  memajukan program pendidikan khas.
5. Kerap   ke bilik  kemahiran  hidup  dan  bilik  seni  kerana  banyak  kemudahan
    dari bilik   tersebut  yang  boleh  digunakan.
6.  Jangan  berkira  sangat  dengan  wang  ringgit  dan  tenaga  jika  ingin
     memajukan  program.
7. Rezeki  yang  tidak  disangk-sangka pasti  akan  datang apabila kita
    lakukan  semua  dengan ikhlas  dan  tidak berkira.

Muga  peringatan   ini  bermanfaat  untuk diriku   dan  rakan-rakan guru
pendidikan  khas  yang  lain.

Tahniah...teruskan  usaha.



Ahad, 12 Ogos 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ SMS

SALAM KAK, SY  BARU CHECK SLIP GAJI... 
GAJI MAKIN  MENINGKAT TP KERJA MACAM 
MAKIN KURANG... RISAU LAH  SY KAK...
BERI NASIHAT SIKIT....

Ini  adalah sebuah coretan  sms yang aku  terima  daripada
seorang rakan lama pada 10 hb  Ogos 2012. 

Semasa  semua kakitangan kerajaan  dalam suasana  gembira
kerana menerima bonus daripada kerajaan,  tanpa kuduga 
ada juga insan mulia yang berada dalam kerunsingan  melihat 
wang imbuhan yang banyak  tanpa tugas yang setimpal  dilakukan. 

Semuga Allah membalas  baik  segala apa yang terlintas di 
hati  guru ini.  

BUDAYA  SUKA BEKERJA PERLU DILAKSANAKAN, 
BUKAN  HANYA DIPERKATAKAN ....


Rabu, 1 Ogos 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ SEDAR/TIDAK SEDAR

KEJAYAAN

Melihatkan gambar-gambar yang dipaparkan di face book
tentang kejayaan  murid-murid pendidikan khas dalam
bidang  ko-kurikulum telah membuat   aku terpanggil
untuk menulis sedikit  coretan pada petang penuh barakah ini.


Sepanjang bergelar guru  pendidikan khas memang aku sedia
maklum bahawa murid-murid istimewa ini di beri   berbagai peluang
untuk menunjukkan kebolehan dan kemampuan mereka dalam
semua bidang terutamanya  bidang ko-kurikulum dan
ko-akademik.

Berjaya  ataupun  tidaknya  mereka  banyak bergantung  kepada
kesungguhan  guru-guru membimbing  dan melatih. 


SEDAR/TIDAK  SEDAR

Tedapat ramai guru pendidikan khas yang  sedar akan  tanggungjawab
mereka  dalam  melatih anak-anak  istimewa ini. Negeri  Melaka  antara
negeri yang melahirkan ramai jaguh-jaguh ko-kurikulum di peringkat
kebangsaan mahupun antarabangsa. Semuanya  adalah hasil  daripada
kesedaran  dan  kesungguhan guru  dalam melatih  murid-murid.



Malangnya, terdapat kalangan guru yang tidak  sedar tentang satu lagi
tanggungjawab yang juga tidak kurang besarnya.  Ianya adalah  tentang
tanggungjawab mendidik  anak-anak yang severe  samada dalam bidang
pengurusan diri   mahupun  bidang pengurusan tingkahlaku .

Kerapnya mereka ini diabaikan apabila semua guru sibuk
dengan sesuatu aktiviti.  Lebih  mendukacitakan ialah  murid 
bermasalah tingkahlaku  yang severe akan diberi dicuti.

Siapa yang sudi untuk  melatih  anak-anak  ini? Persoalan yang kita
sendiri boleh menjawabnya.  Jika dilatihpun   hanya bagai melepaskan
batuk ditangga.  Tanpa aktiviti dan  bahan bantu  yang   boleh  membantu
perkembangan mereka.

Aku  tahu  bukan  semua guru bersikap demikian.Mungkin cuma segelintir.
Tetapi   fikirkanlah jika memang berlaku, perlu ada perubahan dan
penambahbaikan.  Ini adalah  kerana mereka  sebenarnya mengharapkan
kita .  Bukan  hanya  yang  boleh memahami arahan sahaja yang perlu  dididik,
malahan yang severe adalah pelanggan  utama yang memerlukan lebih banyak
pengorbanan daripada  kita  semua.  



Seorang  ibu  memberitahuku, anaknya yang bermasalah autisme yang  
severe  dibiarkan  tidur  dari awal persekolahan hingga persekolahan tamat  
di sebuah  bilik kerana  guru-guru tidak tahu kaedah untuk membantu... 
sedar/tidak sedar

Selasa, 24 Julai 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ FIKIRKANLAH..

 LUAHAN  HATI

Seorang  bapa  menghubungiku  semalam.  Luahan hatinya   adalah berkaitan
masalah anak lelakinya yang  kini  berada  di  tahun  1  di  sebuah  sekolah
negeri  Melaka  ini.


Menurutnya, setelah seorang guru di sekolah anaknya bertukar,
pembelajaran  anaknya sedikit merosot. Jika sebelum ini  ada   dibekalkan kerja
rumah, kini  semuanya tidak  berlaku .Tidak ada latihan yang baharu di  buku tulisnya.

Dia  telah   cuba menghubungi guru mata pelajaran/guru kelas,
namun panggilan telefonnya  tidak pernah dijawab.  Dia rasa  dukacita
atas  kejadian yang berlaku.  Dia  menyedari akan  kekurangan  yang   ada
pada anaknya. Aku  sedih  mendengar  ceritanya tambahan bapa ini dan isterinya
juga adalah golongan  OKU.

Pernah sekali bapa ini   menyusun buku dan  alatulis  di dalam beg sekolah anaknya.
Apabila  pulang ke  rumah, dia  dapati  buku  dan  alatulis tersebut berada  dalam
keadaan yang   sama, seolah-olah tidak  digunakan langsung.

Anaknya juga   telah dihantar  belajar  dengan seorang guru  yang pakar
dalam mengajar murid bermasalah pembelajaran membaca  dan menulis.
Hasilnya amat memberansangkan. Walaubagaimanapun dia kesal kerana
kebelakangan ini guru-guru di sekolah langsung tidak membantu
perkembangan pembelajaran anaknya.

Kesimpulan daripada   ceritanya dia   merasakan anaknya terbiar begitu
sahaja  semasa berada di sekolah.



CADANGAN

Aku  memang pernah  dibawa bertemu   anak  ini  untuk  beberapa  kali. Cadangan
yang  kuberikan setelah  membuat penilaian  ialah, dia   masih  boleh dibantu dan
tidak  perlu  di tempatkan  di  program pendidikan khas. Walaubagaimanapun  anak
 ini masih  memerlukan tumpuan lebih  daripada guru mata pelajaran serta perlu
diberi perhatian individu  secara berterusan walaupun untuk beberapa  minit di dalam
satu-satu  sesi pembelajaran.

Anaknya boleh  berutur  dengan baik, boleh  mengurus diri, telah  mengenal  abjad
serta  nombor .  Masalah yang  ada  padanya ialah tidak  boleh menulis   dan  yang
amat  ketara  ialah menghadapi  masalah tumpuan yang singkat   serta  mudah terganggu.
Semua kerja bertulis yang dilakukan olehnya perlukan  perhatian dan bantuan
daripada guru. 

Dia  juga telah didiagnos  oleh  pakar perubatan sebagai menghadapi masalah disleksia
yang  ringan.   Bapanya  telah membawa anak ini menjalani program intervensi  di sebuah
pusat intervensi di  ibu negara.  Laporan  yang aku baca dari program intervensi ini
menunjukkan  anak  ini telah melalui perkembangan pembelajaran yang  semakin baik.

HAJAT

Sebagai  seorang yang bergelar OKU bapa ini memang berhajat anaknya  tidak menerima
nasib yang sama dengannya. Untuk  mencapai hasrat ini dia perlukan guru-guru di aliran
perdana yang ada inisiatif  serta komited dalam P&P. Aku  memahaminya.
Memang sukar untuk merealisasikan  harapan bapa  ini  jika guru  tidak ada
pengetahuan dalam  bidang  tersebut.

Tetapi  sebenarnya  kini  terdapat  banyak  cara untuk membantu anak  serupa
ini didalam  kelas  aliran   perdana.  Rujukan  boleh di buat kepada guru-guru
yang  mengajar  di program pemulihan dan pendidikan khas. Rujukan  di media
elektronik juga tidak pernah kurang.  Apa  yang amat  penting adalah keinginan
dan kesungguhan dalam membantu. 


Kita  amat beruntung  kerana serba sempurna juga memiliki  anak-anak
yang bijaksana. Walauapapun, sesekali, cubalah selami hati insan istimewa.
Cubalah buat sesuatu untuk anak-anak yang  boleh kita selamatkan daripada
bergelar OKU. 

FIKIR-FIKIRKAN TENTANG TANGGUNGJAWAB KITA...













Isnin, 23 Julai 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ PENGURUSAN TINGKAHLAKU

Sedikit tip  ingin aku  catatkan sebagai panduan
kepada guru-guru yang menghadapi kanak-kanak
bermasalah tingkah laku  di program pendidikan khas.

Biasanya kanak-kanak yang belajar  di program
pendidikan khas sangat  bermasalah dalam kehadiran.
Para  guru  biasanya akan merasa gembira  dan 
sedikit lega   apabila kumpulan ini tidak  hadir ke  sekolah.

Ini  adalah kerana kehadiran  mereka selalunya dirasakan
menjadi  satu beban kepada guru-guru dan PPM yang tidak 
mempunyai  minat  dan kesungguhan.

Seperkara yang perlu diingat  bahawa, syarat untuk
menjadikan objektif pengurusan tingkah laku dapat dicapai
dengan jayanya ialah ianya perlu dilakukan secara
istiqamah (berterusan).

Oleh  itu  jika ada  guru  yang gembira dengan ketidakhadiran
murid  bermasalah  tingkahlaku  di sekolah ianya  adalah
satu perkara yang amat  mendukacitakan.

Guru  perlu  berusaha untuk  menarik perhatian mereka  
untuk  hadir ke  sekolah jika ingin objektif  tercapai  dengan
baik. Perlu diingat bahawa untuk  mengurus  tingkahlaku  
kanak-kanak  di program pendidikan khas bukanlah  satu 
perkara mudah.

Latih  tubi  yang berterusan disertai  dengan pengukuhan 
samada negatif atau positif adalah amat  perlu demi membantu
mereka meninggalkan tingkahlaku yang  tidak  diingini .

Tidak kurang  juga terdapat ibubapa yang suka  menyimpan  anak
yang bermasalah  tingkahlaku  di  rumah.  Mereka perlu diingatkan 
bahawa kesukaran semakin dekat,  apabila anak-anak
itu  semakin membesar.  Tingkahlaku  negatif  yang telah menjadi
darah daging bukanlah  satu  perkara  yang mudah  untuk  ditinggalkan.

Program  pengurusan tingkah laku   yang berterusan  perlu  dilakukan
oleh  guru-guru juga ibubapa demi membantu  mereka  berkembang  
dengan  menyeluruh serta  dapat  diterima oleh masyarakat.

Memang penat,  memang sukar,  memang memerlukan   kesabaran
apabila membuat modifikasi  tingkah laku.  Tetapi  hasilnya....
Allah  yang lebih  mengetahui  . Bagiku, kejayaan mengurus tingkahlaku
murid  pendidikan khas adalah  lambang kejayaan seorang guru 
pendidikan khas.

" Berakit-rakit  ke hulu, berenang-renang  ke tepian"

Ahad, 22 Julai 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ SEMUGA BERJAYA



PROGRAM LAWATAN PENANDA ARAS  DAN  PERBANDINGAN PEMBELAJARAN
GURU PENDIDIKAN KHAS

TARIKH:  11 JULAI 2012
TEMPAT:  SK  SEMABOK  MELAKA.
PESERTA: GURU PELATIH PISMP PEND. KHAS AMBILAN JAN 2010
IPG KAMPUS PEREMPUAN MELAYU  MELAKA.
Semuga  semua perkongsian ilmu  dapat  dimanfaatkan agar   kita   semua  akan  menjadi
guru  pendidikan khas  yang cemerlang.

 SELAMAT  BERJAYA....
Insyaallah.


BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/PERSOALAN

Terasa  kerdil  diri  ini apabila  diberi  ruang  untuk
bercakap  berkenaan  tajuk "Pengurusan Tingkah  Laku"
kepada  pegawai-pegawai yang terlibat  menguruskan
guru-guru  di  program pendidikan khas.

Jika  sebelum  ini ruang  lingkup  ceramah agak
bebas kerana peserta  adalah  rakan-rakan  guru
atau guru-guru  pelatih, namun kali  ini ianya amat
mencabar.

Dimaklumkan kepadaku  bahawa  peserta  kursus
kali ini adalah terdiri daripada Ketua Sektor,
Ketua Unit   Pendidikan Khas , pensyarah IPG dan
pegawai-pegawai  daripada Bahagian Pendidikan Khas.

Persediaan  walaupun telah kubuat dengan begitu
teliti, namun hati berdebar-debar risau objektif  ceramah
tidak  dapat  dicapai  dengan jayanya.

Sebelum ceramah  bermula, sepertimana  biasa  aku
memberi beberapa  soalan  untuk  dijawab oleh peserta
kursus.

Antara soalan yang kuuturakan ialah
"Pada pandangan dan pemerhatian anda adakah
guru-guru  di program pendidikan  khas berminat
dan menjalankan tugas  mereka   dengan sungguh-
sungguh  dan komited?

Jawapan yang kuterima ialah separuh  daripada  peserta
mengatakan "tidak". Persoalannya mengapa perkara  ini
 berlaku? 
Jawapannya pasti  ada pada  kita  semua  guru-guru
pendidikan  khas  sendiri.

Tepuk  dada  tanya  selera.



Ahad, 17 Jun 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/PESANAN

Jadilah guru pendidikan  khas yang suka cuba membuat  
yang  terbaik, untuk anak-anak  istimewa  yang dididik. 
Janganlah  jadi guru  yang sambil lewa kerana  yang 
terbaik  itu akan kembali  kepada kita semua jika 
tidak  di  dunia,  pastinya  di akhirat  sana.

Pengalaman mengajarku  tentang perlunya 
lakukan  sesuatu yang  terbaik meskipun anak-anak istimewa 
ini  tidak  tahu  menilai, namun Allah  adalah penilai  utama
atas  segala  kebaikan.


Rabu, 6 Jun 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ TAKUT

Seorang  rakan  lama  menghubungiku bertanya  khabar  setelah  lama  berpisah.
Sebagai  seorang  penyelaras  dia  merasakan  tugasnya  di  sekolah semakin
mencabar.  Ini  adalah  kerana  ramai  murid  baharu  yang  masuk  ke programnya
bermasalah  tingkah  laku  yang severe.  Terdapat  juga  murid yang menghadapi
masalah kritikal  yang  perlukan  bantuan penuh  daripada  guru.

Sebagai  orang  yang  telah lama menceburi bidang ini, aku  hanya menasihatinya
supaya  bersabar dan teruskan  usaha.  Bagiku,  jika   semua  guru memberikan
kerjasama,   segala  masalah  yang berat  akan  menjadi  ringan. Dia  menerima
nasihatku   dengan tangan  terbuka.

Masalah    lain yang dihadapi  olehnya  adalah  lebih  mencabar  lagi.  Menurutnya
guru  besar  baru  yang  bertukar  ke  sekolahnya  seorang  yang  amat  hebat.
Cemerlang   dalam semua  bidang  tugasnya.  Malangnya guru besar itu dikatakan
takut  dengan murid pendidikan  khas. TAKUT  dipukul  atau diganggu jika dekat
dengan murid-murid ini .

Kelakar  pula  bunyinya.  Persoalannya   ialah  dia  TAKUT  pada  murid
pendidikan  khas lebih  daripada  TAKUT  pada Allah  yang  telah mengamanahkan
dia  menjadi  pemimpin  kepada  guru-guru  dan murid-murid  pendidikan  khas.


PENGALAMAN  YANG PERNAH  KULALUI  IALAH,   MURID PENDIDIKAN
KHAS DAPAT MERASAKAN  KEIKHLASAN  SESEORANG YANG MENDEKATINYA.
TIDAK PERLU  TAKUT...  

Selasa, 22 Mei 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ HORMAT

Mematuhi apa juga keputusan  yang  telah  dibuat  melalui   sesebuah perbincangan
adalah  amat  penting  sebagai satu tanda hormat antara rakan setugas.

Peringatan  kepada  diri  sendiri....insan  yang lemah

Isnin, 21 Mei 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/TAHNIAH



Tahniah  kepada  barisan  guru SK  Semabok  yang terlibat
secara  langsung  dan tidak langsung melatih murid  pasukan
bola jaring yang telah  berjaya  menjadi johan bola jaring
Zon Ayer Keroh 2012.

TANPA  KEMUDAHAN PADANG MEREKA DIBAWA
KEPUNCAK KEJAYAAN. HENDAK  SERIBU DAYA...
TERUSKAN USAHA.

Sabtu, 19 Mei 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ BAHAGIA


Tidak   ada  yang  lebih  membahagiakan  seorang  pemimpin    di sebuah sekolah  selain  daripada  mendapat  sokongan  dan  kerjasama  yang amat padu dikalangan orang yang dipimpinnya.