Jumaat, 3 Februari 2012
BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ SARUNG TANGAN
PENGURUSAN TINGKAH LAKU
Ianya adalah satu perkara penting dan mesti dipelajari oleh sesiapa sahaja yang terlibat dengan anak-anak istimewa. Bagiku, secara kasarnya PTL bukanlah berdiri sebagai satu mata pelajaran, tetapi ianya berbentuk merentas kurikulum .
Ini adalah kerana proses menguruskan tingkahlaku murid-murid istimewa bukan pada waktu-waktu tertentu sahaja. Sebaliknya ia boleh berlaku di mana-mana waktu mata pelajaran tanpa mengira samada di dalam mahupun luar bilik darjah.
Ramai yang tidak sedar bahawa pengurusan tingkahlaku sebenarnya adalah perkara pokok yang perlu diselesaikan terlebih dahulu apabila murid-murid ini mendaftar di program pendidikan khas. Perkara-perkara lain akan menjadi lebih mudah apabila pengurusan tingkahlaku telah berjaya.
CERITA TENTANG T
Menyambung cerita mengenai murid haiperaktif yang bernama T, sebenarnya bukanlah satu perkara mudah aku dan rakan-rakan hendak membantunya. Seperti yang kukatakan banyak perkara yang cuba kami lakukan. Kejayaan yang nampak, masih terlalu sedikit .
Semakin lama aku berhadapan dengannya semakin aku nampak apa yang boleh kulakukan. Itulah nasihat yang selalu kuberikan kepada rakan-rakan guru iaitu jika ingin membantu mengatasi masalah tingkahlaku murid pendidikan khas selalulah berdamping dengan mereka. Inysaallah, akan ada jalan terbaik untuk mengatasi semua masalah yang mereka timbulkan.
SARUNG TANGAN
Allah memberi ilham kepadaku. Untuk mengelakkan dia terus menerus merosakkan peralatan dan memukul orang lain, aku telah memikirkan satu kaedah baru. Aku meminta anak buahku menjahitkan sarung tangan
( macam sarung tangan bayi ) untuknya. Setiap kali dia merosakkan peralatan atau memukul rakan lain aku akan menyarungkan tangannya dengan sarung tangan itu .
Selalunya dia akan merayu agar aku membukanya. Dari sini aku membuat perjanjian dengannya iaitu jika dia melakukan tingkahlaku yang negatif , maka tangannya akan disarungkan dan dia tidak akan dapat membuat apa-apa aktiviti.
Sebaliknya ,jika dia tidak melakukan tingkahlaku tersebut, tangannya tidak akan kusarungkan dan dia bebas melakukan aktiviti pembelajaran pada hari tgersebut.
HAMPA
Kaedah ini nampaknya berjaya juga mengurangkan sedikit masalah yang sering dilakukan. Setelah beberapa bulan tingkahlaku yang negatif ini semakin berkurangan. Walaupun mengambil masa yang agak lama juga , tetapi T semakin mudah untuk dikawal dan lebih mematuhi arahan.
Walaubagaimanapun aku dan rakan-rakan sedikit hampa kerana kami tidak mendapat kerjasama daripada ibubapanya. Kesinambungan di rumah tidak berlaku. Kini tingkahlaku itu masih ada.
Aku faham dengan masalah yang dihadapi oleh rakan-rakan di sekolah menengah dalam menangani masalah T yang rasanya semakin kritikal. Ada beberapa cadangan yang kuberikan kepada rakanku itu . Aku harap dia akan cuba laksanakan dan semuga dia berjaya menyelesaikan masalah yang memang besar itu.
ITULAH CABARAN MENJADI GURU PENDIDIKAN KHAS. NASIHATKU TERUSKAN USAHA. INSYAALLAH AKAN BERJAYA.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan