Sabtu, 4 Februari 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ CIKGU TANGGUNG SENDIRI



GURU BESAR

Selama  27  tahun  menjadi  guru dan 19  tahun  bergelar  guru Pendidikan Khas aku  telah bertemu ramai guru besar silih berganti. Mereka  ini  telah   menjadi pemimpin di   enam  buah  sekolah yang  aku pernah  bertugas.

Rata-rata mereka  semuanya  bagus-bagus  belaka.  Sedikit kekurangan    adalah  perkara  biasa dalam  diri setiap manusia.  Banyak  perkara   yang   aku pelajari  daripada   mereka  semua.      Ada   yang masih  menjadi  amalan  dalam pengurusanku   sebagai  pentadbir   sekolah.   

Tidak kurang   juga ada  yang menjadi satu   garis sempadan  yang tidak boleh aku lakukan kerana  ianya  tidak  wajar  dalam pengurusanku. 

Bagiku   semua   manusia mempunyai  kekurangan  dan   kelebihan masing-masing.   Kita  sebagai orang  yang berada di bawah  perlulah  menapis mana yang baik mahupun yang buruk   sebelum   sesuatu  amalan itu hendak dijadikan  sebagai contoh.

GURU  BESAR   BAHARU

Menerima   seorang  guru besar  lelaki yang baru  di sekolah lama aku bertugas  agak mengembirakan   aku  dan rakan-rakan.   Dia  mempunyai   visi   dan misi   yang  jelas  dalam pentadbirannya. Banyak  juga  perubahan  yang  berlaku di sekolah semasa pimpinannya.

Semasa  kehadirannya,  sepertimana  biasa   yang kulakukan kepada setiap pentadbir baru yang datang ke sekolahku ialah  menemui   dan memberi   taklimat kepadanya  tentang  perjalanan  program  pendidikan khas. 

Memandangkan dia belum  begitu  mengenali  kategori  murid pendidikan khas  , aku  menjelaskan kepadanya  serba sedikit  tentang  perkara  tersebut.   Sedikit  mudah   buatku .   Dia mudah belajar dan memahami  perjalanan program pendidikan khas  kerana dia rajin meronda  di  programku.

SAHABAT

Guru  besar ini  suka bersahabat  dengan  seorang guru lelaki  yang mengajar di programku.   Aku mula   faham     kedua-dua  meraka  adalah perokok   tegar.   Kebetulan   programku berada di belakang  sekali dalam kawasan  sekolah  maka  ia  jadi   port  kepada  guru besar  dan  rakan guru itu  untuk merokok pada waktu rehat.

Aku  dan rakan-rakan telah mula rasa tidak puas hati atas apa  yang berlaku ini.   Mulalah kami chit chat di belakang  mereka berdua.   Aku   sendiri rasa  tidak  sedap  hati  kerana ramai murid-murid  istimewa  ini  telah terpandang  akan aktiviti  tidak sihat yang mereka lakukan. 

TANGGUNG   SENDIRI

Kadangkala  kita terpaksa  juga  menjelaskan  sesuatu perkara itu   biarpun  sukar.  Dalam  gurauan aku sering  mengenakan guru besar  dan rakanku itu. Aku jelaskan  kepada mereka akan tindakan  tidak wajar yang  sering mereka lakukan.  Nampaknya ke dua-dua  mereka  kurang  faham dan menganggap   ianya hanya satu gurauan.

Setelah   memerah  otak berfikir bagaimana  hendak  menyelesaikan masalah itu,  akhirnya satu hari aku gagahkan hati berhadapan  dengan mereka berdua.  “ Cikgu-cikgu,   saya rasa apa  yang cikgu buat ini   tidak  patut,  merokok di kawasan sekolah .”  Mereka berdua  agak terperanjat dan memandang kearahku.

"Saya tahu saya tidak layak  untuk menegur, tetapi  demi   anak-anak istimewa  ini saya kena buat juga”
Aku menyambung lagi. “Memang murid-murid  ini  tidak  faham dan  tidak  tahu  bercerita   tentang  apa yang cikgu-cikgu buat, tetapi  ditakdirkan  mereka  cuba  untuk  merokok kerana melihat apa yang cikgu-cikgu buat,  dosanya cikgu berdua  yang tanggung, tugas saya untuk menegur  dah selesai”

Aku  terus  berlalu  dari  situ.  Memang  aku  bersikap kurang  ajar  pada masa itu.   Berani  tegur  guru  besar.  Dalam  kotak  fikiranku, “nasiblah, kalau aku dikenakan  pada markah  prestasi  terpaksa  terima saja, nak  buat  macamana”.  Sebenarnya  selepas itu terasa  sejuk  satu badan,  menggigil  kaki  ketakutan.  Allah sahaja   yang tahu.

Sejak  peristiwa itu,  kedua-dua  mereka  tidak  lagi  merokok di belakang  program pendidikan khas.

KADANGKALA   TERPAKSA  BERKATA BENAR,  WALAUPUN  TERAMAT  SUKAR……



Tiada ulasan:

Catat Ulasan