MENDAFTAR
Program pendidikan khas tempat lamaku mengajar pernah satu ketika dahulu merupakan program tumpuan ibubapa untuk menghantar anak-anak istimewa. Oleh kerana bilik darjah di programku itu agak terhad, aku telah meminta Unit Pendidikan Khas menyekat kemasukan baru pada setiap awal tahun.
Hanya murid-murid yang mempunyai alamat terdekat sahaja yang boleh dihantar belajar di programku.
Rasanya masalah ini tidak berlaku lagi sekarang. Ini adalah kerana telah ada banyak program pendidikan khas yang baru telah dibuka di sekolah-selolah berdekatan.
NOMBOR TELEFON
Biasanya apabila mendapat murid baru, selain daripada dokumen-dokumen yang sepatutnya aku dapatkan daripada ibu bapa atau penjaga, aku juga mendapatkan nombor telefon samada nombor telefon rumah ataupun nombor telefon bimbit. Ianya amat penting buatku terutama jika berlaku kecemasan.
Suatu hari atas sebab-sebab tertentu aku terpaksa menghubungi nombor telefon bimbit ibu kepada seorang murid. Malangnya tidak berjawap. Aku menghubungi telefon rumahnya. Masa itu aku baru terperasan akan nombor awal yang ada pada nombor telefon itu.
Ianya amat berbeza dengan nombor telefon kawasan Melaka Tengah. Aku tidak terus menanyakan perkara tersebut kepada beliau. Setelah urusan selesai aku berpesan kepadanya agar menemuiku esok pagi semasa datang menghantar anak ke sekolah.
MINTA MAAF CIKGU BESAR
Esoknya dia agak terperanjat apabila aku bertanya kepadanya tentang alamat sebenar dia tinggal pada waktu itu. Aku menjelaskan kepadanya dalam pengetahuanku alamat itu sepatutnya bukan berada berdekatan dengan sekolahku. Jika lihat pada nombor telefon rumah, ianya terletak luar daripada kawasan Melaka Tengah.
Akhirnya dia mengakui kesalahannya kerana menipu alamat semata-mata untuk memberi peluang kepada anaknya belajar di programku. Berkali-kali dia minta maaf dan merayu agar aku tidak terus membawa perkara itu ke atas.
Dia ingin anaknya terus berada di programku kerana ramai kawan-kawannya yang memberi pandangan bahawa programku adalah antara program yang terbaik di negeri Melaka pada ketika itu.
Sebenarnya ibu itu tidak tahu bahawa aku tidak boleh buat apa-apapun sebagai tindakan kepada kesalahannya itu. Hakikatnya juga, dia tidak tahu bahawa telah ada banyak program yang lebih hebat dan lebih baik daripada SKUP.
TERKENANG KEMBALI IBU ITU BERKALI-KALI MERAYU DAN MENYEBUT ” MINTA MAAF CIKGU BESAR, SAYA HARAP CIKGU TIDAK BUANG ANAK SAYA” MASA ITU AKU HANYA SEORANG PENYELARAS. ADAKAH IANYA SATU DOA?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan