MENGADU
Pagi tadi selepas program yang dianjurkan oleh PPD berakhir, aku bergegas ke sebuah sekolah Jenis Kebangsaan Cina di BB . Bermula 31 Januari 2012 hingga 2 Februari 2012 perlawanan badminton Zon Bukit China belangsung di dewan sekolah tersebut. Sekolahku bersama sebuah sekolah menengah berdekatan telah dipilih menjadi sekolah pengelola.
Setibanya di sana, aku bertemu rakan lama yang sedang mengajar di sebuah sekolah menengah. Dia mengadu hal padaku tentang kisah seorang murid perempuan berbangsa Cina yang sebelum ini adalah bekas murid pendidikan khas sekolah lama aku bertugas.
Murid itu kugelarkan T. Menurut rakanku, guru-guru di sekolahnya telah mati akal dan tidak tahu bagaimana hendak membantu T . T memang murid haiperaktif . Telah berusia 14 tahun. Memiliki tubuh yang tinggi dan berisi. Menurutnya lagi, tindak tanduk T semakin merbahaya dan boleh mencederakan diri dan orang lain. Dia semakin agresif dan perlukan perhatian seratus peratus daripada guru.
CERITA
Serba sedikit kuceritakan kepada guru itu bagaimana aku menangani T sepanjang dia belajar di program lamaku. Di awal kedatangannya (waktu itu dia berumur 7 tahun) dia telah mencabut dan mengoyakkan semua carta-carta yang ada di dinding.
Tangannya juga begitu pantas memukul orang yang ada berdekatan dengannya. Tidak boleh ada peralatan dihadapannya, pasti akan diambil samada untuk dirosakkan atau dibalingkan begitu sahaja.
Selalunya dia kutempatkan di tengah-tangah antara guru dengan seorang murid lain. Apabila hendak mengajarnya semua bahan bantu telah disediakan awal dan aku tidak akan bangun daripada duduk di sebelahnya semasa P&P dijalankan.
Murid-murid lain yang ada dalam kumpulannya kuarahkan datang kepadaku mengikut giliran apabila ingin menjalankan pengajaran. Ini adalah kerana jika aku bangun, T juga akan bangun dan mengganggu orang lain serta merosakkan segala peralatan yang ada.
TUMPUAN SINGKAT
Tumpuannya amat singkat. Dia hanya berminat kepada sesuatu aktiviti dalam masa lebih kurang lima minit sahaja. Oleh itu untuk menarik perhatiannya, bahan bantu memang terpaksa dipelbagaikan.
Hanya dengan cara ini aku dan rakan-rakan dapat mengawalnya. Itupun bukan dalam jangkamasa yang lama. Hanya lebih kurang 15 minit .
Selepas tempoh itu, dia mula buat hal. Selalunya apabila dia telah bosan, dia akan bangun daripada tempat duduk. Aku akan melayaninya. Ku biarkan dia berjalan-jalan di dalam kelas dengan pemerhatianku lebih kurang lima minit.
Selepas itu aku akan memujuknya untuk duduk kembali bagi menyambung aktiviti pembelajaran. Biasanya dia akan akur . Begitulah caranya T diajar pada permulaan kedatanganya ke sekolah.
KESABARAN TERUJI
Memang amat menguji kesabaran apabila berhadapan dengannya. Persediaan awal seperti bahan bantu dan aktiviti-aktiviti yang sesuai untuknya perlulah dibuat. Kalau semua itu tidak dilakukan, huru hara kelas dibuatnya. Murid-murid lain juga pasti akan terganggu dengan kerenahnya.
Aku dan rakan-rakan sentiasa berbincang bagaimana caranya untuk membantu T. Terlalu banyak ikhtiar yang kami cuba lakukan demi mengatasi masalah yang dihadapinya.
Alhamdulillah,walaupun pada masa itu jawatan PPM masih belum wujud, tetapi berkat kerjasama semua rakan guru, sedikit demi sedikit usaha kami membuahkan hasil.
RAKANKU TERKEJUT APABILA KUBERITAHU BAHAWA PIPIKU INI ADALAH PIPI PERTAMA DI SKUP YANG PERNAH DISEPAK OLEH T SEMASA DI HARI PERTAMA MENDARTAR DIRI. KENANGAN.... TINGGAL....... KENANGAN.....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan