Diberi tugas melaksana dan memajukan beberapa program telah mengajar aku banyak perkara tentang yang sepatutnya dilakukan oleh sesorang guru pendidikan khas.
Pernah sekali semasa melapor diri di sebuah sekolah aku rasa agak dukacita. Sebagai orang lama dalam bidang ini aku dapat merasakan kehadiranku di sekolah tersebut bukanlah sesuatu yang diinginkan oleh guru besar.
“Saya dah cakap dengan Ketua Unit Pendidikan Khas bahawa saya tidak mahu ada program pendidikan khas di sekolah ini kerana sekolah saya tidak ada bilik kosong.” Kenyataan yang amat memeranjatkan aku. Aku hanya diam. “Mengapa dihantarnya juga awak kesini, di mana saya nak letakkan awak?” Dia menyoal lagi.
Aku hanya membatukan diri dan buat-buat tersenyum memandang kearahnya. Hati ini bagai dihiris sembilu mendengar kata-katanya itu. Untuk menunjukkan aku faham akan luahan hatinya aku memberi sedikit respond” Saya pun tidak tahu cikgu, mengapa Ketua Unit Pendidikan Khas hantar juga saya ke sekolah ini, sedangkan cikgu dah maklumkan masalah yang ada, saya hanya ikut arahan” . Dia mengangguk faham
TUMPANG KELAS PEMULIHAN
Akhirnya aku ditempatkan di bilik pemulihan khas . Ku lihat pembantu am pejabat diarahkan menghantar sebuah meja dan kerusi guru ke bilik tersebut untuk kemudahanku.
Dalam otakku berfikir ligat bagaimana aku boleh memujuk guru besar itu memberi aku sebuah bilik sendiri walaupun kecil. Rasanya aku tidak mahu terlalu lama menumpang di bilik itu tanpa melakukan sesuatu yang boleh memberi manfaat kepadaku sebagai guru pendidikan khas.
BUKU REKOD MENGAJAR
Aku meminta buku rekod mengajar daripada guru penolong kanan 1 . Walau belum mempunyai seorang muridpun aku tetap menyediakan semua perkara yang sepatutnya ada di dalam sebuah buku rekod mengajar. Kuminta guru besar menandatanginya sepertimana yang dilakukan kepada guru lain.
Dimasa yang sama aku berbincang dengan guru pemulihan khas bagi mengenalpasti murid-murid yang boleh kuuji untuk kemasukan ke program pendidikan khas. Aku mentadbir ujian ke atas mereka.
Surat kebenenaran daripada ibubapa kusediakan juga bersama lapuran guru pemulihan khas tentang perkembangan murid yang telah dikenalpasti bagi tujuan pemeriksaan doktor.
Aku sendiri yang membawa murid-murid ini ke klinik kerajaan bagi mendapatkan rawatan dan pengesahan daripada doktor setelah mendapat kebenaran ibubapa.
Melihatkan kesungguhanku, akhirnya guru besar memberikan kepadaku sebuah bilik komputer lama berukuran 1 bay di tingkat 2 bagi tujuan dijadikan sebuah Program Pendidikan Khas. Aku benar-benar gembira. Mungkin dia boleh membaca hatiku yang tidak suka duduk-duduk sahaja.
SIKAP KITA SEBENARNYA MEMBERI GAMBARAN KEPADA ORANG LAIN SAMADA KITA SEORANG YANG BERKESUNGGUHAN ATAUPUN SEBALIKNYA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan