Jumaat, 30 Disember 2011

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ HIJRAH



TIDAK  SUKA HIJRAH        

Sebagai  isteri  seorang tentera aku  terlalu kerap   berhijrah  mengikut suami .  Hijrah  dari negeri  Pahang, Kelantan,  Negeri   Sembilan  dan akhir sekali  ialah   Melaka, tanah tumpah darahku. 
 
Sekolah  yang   ada  sekarang  adalah   sekolah ke enamku  sepanjang 26 tahun  bergelar seorang  pendidik. Rasanya memang  penat   juga  dengan penghijrahan  ini.  

Walaubagaimanpun   ianya merupakan satu  daripada sunnah Rasullah s.a.w.  Apabila ianya adalah sunnah  pasti ada  ganjaran pahala apabila kita mengamal  dan menerimanya  dengan redha.

PERLU

Tahun 1996, sebaik  sahaja  suami  menamatkan  alam ketenteraannya,   berlaku penghijrahan  ku yang  ke 4  selepas, Pahang ,Kelantan dan Negeri  Sembilan. 

 Aku  balik ke kampong   dan  ditempatkan di sebuah  Program Pendidikan Khas   bersebelahan kampungku dan  merupakan sebuah  program  pendidikan khas terawal  di Melaka  iaitu  SKUP.

Meskipun program rintisku di SKKG  Port Dickson, namun  SKUP Melaka telah membawa  banyak kenangan  dalam perjalanan hidupku  dibumi   Allah ini sebagai guru Pendidikan  Khas.

Berkali-kali air mata tumpah,  tidak kurang senyum dan tawa  menyerlah.  Banyak yang aku belajar  disini  untuk menjadi guru Pendidikan Khas yang baik. 

Barisan pentadbiran, rakan-rakan guru lama  dan baru  samada di Pendidikan Khas mahupun perdana, ibubapa , murid-murid dan  komuniti   yang  sering  menjadikan  aku makin matang  dalam banyak perkara. Ternyata  hijrah  memang  perlu dalam kehidupan.

Masalah  yang timbul dan tenggelam  banyak  yang mendewasakan   aku. Hingga kadangkala aku hampir lemas dan mengalah. 

Disini telah  menjadikan  aku lali  dengan masalah.  Bagiku tidak  ada masalah yang tidak boleh selesai selagi  ada perbincangan dan keputusannya  banyak  kuserahkan pada yang  maha kuasa menentukannya.

PADAKU…

Semakin  ramai  yang  kutemui, semakin banyak masalah yang dibawa  dalam pengurusanku semakin  menjadikan aku  matang  dalam membuat keputusan. 

Disamping ianya juga adalah  satu titik mula aku memahami bahawa  untuk mudah berurusan  dengan orang lain janganlah dipandang keburukannya, tetapi  pandanglah pada kebaikannya walaupun sedikit.

Kadangkala aku buntu  juga,  tetapi   aku sering di temukan  dengan rakan-rakan    baik yang membantu  dalam  musafirku  sebagai guru Pendidikan Khas.

Setiap kali berhijrah aku kehilangan  insan-insan  yang kusayangi.  Kepastiannya  yang  patahkan   tumbuh,  yang hilang pasti  berganti.    Meskipun  tidak serupa ianya  perlu diterima   dengan  tangan  dan fikiran terbuka. 

Meskipun  banyak  kenangan  yang tidak  boleh dilupa ,  tetapi perjalanan tetap harus diteruskan. Masalah perlu diatasi, arahan mesti dipatuhi,  banyak urusan   yang perlu kuselesaikan dalam setiap pengijrahan ku ditempat baru.

BUKAN NOKTAH

Yang pasti  penghijrahanku  kali ini bukanlah  satu noktah. Ianya  baru bermula. Disekolah  aku adalah seorang ketua. Dalam  Pendidikan Khas  pula   aku  masih perlu berdiri dan berlari bersama  membantu anak-anak istimewa ini   dalam  menjadikan  mereka  insan  yang berdikari melalui blog ini.

 INSYAALLAH….


BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ MEREKA BOLEH





JANGAN KATA MEREKA TAK BOLEH 

Aku  sering  mengingatkan kepada  rakan-rakan guru melalui  sesi ceramah yang kuberi  iaitu sebagai  guru , jangan  sekali-kali mengatakan bahawa  anak-anak  istimewa ini tidak boleh   buat apa-apa.

Perkara   sama   juga  kujelaskan kepada ibubapa.  Ini  adalah kerana jika kita  sebagai orang yang terdekat   dengan  anak-anak ini  tidak  menghargai  keupayaan   yang   ada pada mereka,  apatah lagi orang lain?.

Orang  lain akan menghargai anak-anak ini,  jika kita  semua yang terlibat   sentiasa  menghargai   mereka .

PERLU   ADA  MATLAMAT

Mendidik   anak   istimewa perlu  ada  matlamat   yang perlu  dicapai terhadap setiap orang daripada mereka. Sebagaimana kita mensasar 5A  dalam UPSR  kepada anak-anak normal,  begitulah  jugalah  perlu ada sasaran pencapaian tertentu  kepada setiap anak-anak  istimewa.

Matlamat  yang hendak dibuat  bukanlah   berdasarkan kelemahan  yang  mereka ada,  tetapi sebaliknya ialah berdasarkan kekuatan yang mereka miliki. 

Mereka tidak mampu untuk  berbuat demikian .   Mereka  perlukan bantuan kita  samada  guru-guru Pendidikan Khas mahupun   ibubapa dalam mencapai matlamat tersebut. 

Tinggi  atau  rendah sesuatu matlamat yang hendak  dicapai banyak bergantung  kepada  keupayaan yang ada  pada diri  seseorang murid.  Meskipun begitu ianya tidak dapat  direalisasikan jika  guru-guru dan ibubapa tidak ada kesungguhan  dalam  membantu  mencapainya.  


RAMAI  TELAH  MELAKUKANNYA

Aku tahu ramai guru yang menyedari hal ini. Ini memang terbukti melalui berbagai pencapaian tertinggi terutama dalam bidang  ko-kurikulum  yang dicapai oleh anak-anak istimewa daripada setiap negeri di Malaysia . 

Begitu juga dalam peperiksaan-periksaan awam di sekolah rendah dan menengah. Dalam erti kata lain, guru-guru  yang terlibat   telah  berjaya  merealisasikan matlamat yang dibuat  kepada murid-murid tertentu dalam   bidang-bidang   tertentu. 


 PERSOALAN

Persoalan yang timbul  dalam benakku  sekarang ialah bagaimanakah  keadaannya  dengan murid-murid  yang menghadapi  masalah yang  severe  di sekolah .  Adakah matlamat tertentu dibuat keatas setiap daripada mereka? 

Yang lebih  penting  sejauhmanakah  kesungguhan guru-guru membantu mereka sehingga   matlamat  yang  ditetapkan  dapat direalisasikan.

AKU   PERNAH    DITANYA   OLEH  SEORANG   IBU  YANG  MEMPUNYAI  ANAK BERMASALAH  HAIPERAKTIF   MENGAPA  CIKGU  SELALU KATA ANAKNYA MEMANG TAK  BOLEH BUAT APA-APA.

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ SAYA AUTISME

 BOLEH  BELAJAR

Anak-anak  istimewa sebenarnya adalah insan yang boleh diajar dan  boleh belajar.  Bezanya  dengan anak-anak yang sempurna ialah,  tahap  perkembangan kognitif  mereka  yang terkebelakang ditinggalkan oleh anak-anak yang  sempurna.


Walaubagaimanapun,  ada ketikanya tindakan anak-anak istimewa ini adalah di luar jangkaan kita dan melebihi anak-anak normal.  Mereka yang kumaksudkan ialah anak-anak autisme.

AUTISME

Autisme  yang ketemui semuanya lelaki. Handsome-handsome belaka. Sepanjang 19 tahun bergelar   guru Pendidikan Khas aku  hanya ditemukan dengan seorang murid perempuan yang  menghadapi  masalah ini.

MN

Murid  autisme ini kugelarkan MN. MN seorang murid yang cerdik. Petah  berkata-kata .  Sudah boleh mengurus diri. Telah boleh memegang alat tulis dan menulis dengan baik.

Pada awal kedatanganya ke sekolah,  banyak perkataannya  yang kami  tidak fahami.  Disebabkan dia berminat  dengan siri  kartun Doremon, bahasanya memang mirip-mirip bahasa dari cerita tersebut. Berkat kerjasama guru-guru dan ibubapa, MN  kami  lihat,  semakin hari  semakin berkembang kemahiran pertuturannya.

UNTUNG

MN beruntung kerana ibubapanya seorang yang amat peka terhadap perkembangannya.

Perkembangan yang kumaksudkan ialah dari segi  kognitif,  fizikal  mahupun sosial.

Dia dihantar oleh ibunya pergi kelas kafa dan belajar bersama anak-anak normal yang lain. Jadi MN telah khatam quran dan pernah beberapa kali menjadi johan hafazan dan tilawah peringkat negeri.

Dari  segi pemakanannya pula ,  ibunya sentiasa menjaga pemakanannya. Dia sentiasa  membawa bekalan makan makanan yang berkhasiat ke sekolah. Makanan kegemaran MN ialah mi.

Aku rajin merasa bekalan makanan yang dibawanya.  Jika dia tidak mahu aku makan terlalu banyak belakan yang dibawanya,  dengan pantas dia akan membaca alhamdulillah sebagai  tanda  aku mesti  berhenti makan.

SUKA MELUKIS


MN paling suka melukis.  Pada awal kedatangannya ke sekolah banyak hasil lukisan yang dihasilkan olehnya. Bagi mengelakkan dia meninggalkan tempat duduk, kami akan menyelang nyelikan aktiviti melukis dengan aktiviti  pembelajaran.

Ini adalah salah satu daripada kaedah yang kami gunakan bagi mengatasi masalah tingkahlaku MN  yang suka meninggalkan tempat duduk semasa P&P dijalankan.

Hasil  lukisan MN selalunya adalah sebuah rumah.  Yang peliknya ialah. apabila lukisan itu kutunjukkan kepada ibunya, jelas menunjukkan ianya adalah ruang dan susun atur perabut yang ada dirumahnya.  Ianya dilahirkan kepada bentuk lukisan tanpa ada satu  peralatanpun  yang tertinggal. Begitulah cerdiknya MN


SUKA BERTANYA

Selain itu MN  juga amat suka bertanya.  Sebagai  tempat yang sering dilawati aku akan sering mengingatkannya supaya jangan suka bertanya perkara-perkara yang tidak penting kepada tetamu yang datang. Dia memang mudah faham.  Setiap kali  dia mula bertanya yang bukan-bukan,  aku akan menyebut namanya.  Dia terus  berhenti dan meminta maaf  kepadaku lalu berlalu dari situ.

Sekali  aku pernah dikunjugi pegawai daripada kementerian pelajaran.  Pegawai itu tidak memakai tanda nama.  Kebiasaannya sebagai salam perkenalan MN akan memperkenalkan  namanya sendiri dahulu dan kemudian membaca tag nama sesiapa sahaja yang  mengunjungi kami.

Tiba-tiba MN datang dekat kami dan bertanya "Puan bangsa apa?".  Aku boleh membaca apa yang terlintas dalam fikiran MN.  Dia keliru kerana pegawai tersebut memakai skirt paras lutut, bertindek  di hidung  macam orang India, tetapi begitu fasih  berbahasa Melayu.

Kulihat airmuka pegawai itu berubah. Walaubagaimanapun,  dia menjawap juga   bahawa dia orang Melayu.
Sebelum menyambung soalannya  lagi aku dengan cepat meminta MN memohon maaf    kepada  pegawai itu dan pergi dari situ.  Ini adalah kerana aku tahu MN akan bertanya pula mengapa pegawai  itu  berpakaian begitu sedangkan dia orang Melayu.

SAYA MURID  AUTISME

Pernah  sekali  beberapa orang rakan datang menemuiku di sekolah atas satu urusan.  Tiba-tiba MN datang dan  memperkenalkan diri. "Nama saya MN . Saya murid autisme.  Cikgu ada  anak autisme tak?"  Semua rakan-rakanku ketawa dengan gelagatnya.  Setelah dijelaskan oleh  rakan-rakanku bahawa mereka tidak ada anak autisme barulah MN beredar dari situ.

TELATAH  MEREKA MENGEMBIRAKAN HATI ......HANYA ORANG YANG CINTA  SAHAJA  BOLEH MEMAHAMI

Sabtu, 24 Disember 2011

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ DIA KATA SAYA BODOH


SELESAI   TUGAS
Dengan izin Allah dan berkat  kerjasama  daripada  rakan-rakan akhirnya  aku selesai  mengisi  borang  manual  dan  online  NKRA/ new deals  seperti  kehendak  nazir. 
   
Sebagai  orang  baru  dengan  bidang  ini,  aku rasa   seronok  juga   apabila dapat  menyiapkan tugasan  baru ini walaupun memakan masa  hampIr 3 hari  setengah.   Rasanya    dah ada   dalam  otakku   ,   kehendak tugasan   itu.

Sebenarnya  sesuatu  perkara  yang  dibuat  sendiri  lebih  banyak  membantuku  untuk lebih memahami    bidang   tugas  yang   baru  kupegang  ini,  daripada menyerahkan bulat-bulat kepada rakan-rakan untuk  melaksanakannya.   

Memang  memeningkan  kepala ,  tetapi   aku  rasa puas   hati  dan  gembira sebab  lebih faham   dengan  kehendak  transformasi   pendidikan  sekarang.

SAMBUNG   TUGAS

Seperti  yang  telah aku  janjikan,  sebaik  selesai  tugas aku  bergegas ke sebuah bilik khas   yang dalam proses  aku membersihkannya  bersama  seorang  pekerja  baru.  Dari   awal  minggu  kulihat   kerja  yang  kuamanahkan masih belum selesai.

Semua   peralatan   di dalam bilik  itu  telah  dibersih kan.   Walaubagaimanapun, aku boleh  memahaminya bahawa   dia  tidak  arif   untuk  menyusunnya   semula.   Perkara  ini  telah  menyebabkan  kulihat bilik  tersebut  nampak   begitu berserabut   sekali.

Dia   tersenyum  melihat aku masuk.   Aku  segera   mencapai  penyapu  dan menyapu   sampah  sarap  dan habuk  yang telah    dikeluarkan  olehnya  dari dalam almari dan laci-laci. Melihat   aku  berbuat  demikian  dia turut  membantu.

Setelah   selesai  menyapu,   aku   mengarahkannya  menyusun   semula   peralatan   yang  telah  dibersihkan.  Sambil  menyusun  peralatan, kulihat    dia  nampak macam hendak  menyatakan sesuatu  kepadaku. 

TAK  BOLEH  KERJA   DENGAN  DIA

Kuberi   ruang  kepadanya   untuk   bercakap.  Dia  bertanya  kepadaku. “Lepas   siap bilik  ini  saya   nak  buat kerja apa?”  Aku   memandang  kearahnya  dan   berkata   “Buatlah  kerja   di blok    yang    telah   diarahkan   oleh  penyelia  awak” 

Dia terkelip-kelip   mendengar   jawapan    yang  kuberikan.  Dari   raut  wajahnya  kulihat dia tidak berpuas hati  dengan   jawapan   itu.  “Tapi,  saya tak   boleh  kerja   dengan  dia “ (dia  yang  dimaksudkan ialah  2 orang pekerja  lama    disitu ) jawapnya  kembali.

Aku berhenti   menyusun   peralatan  dan   memanggilnya  rapat kepadaku.  “Boleh   cakap   dengan  saya  mengapa  awak   tidak  tidak  boleh  kerja   dengan  dia?” Kulihat   dia   teragak-agak   hendak  memberi   jawapan. 

Setelah  didesak  akhirnya  dia  menjawap “Dia   selalu   kata  saya bodoh, tu   sebab   saya   tak boleh  kerja  dengan dia”. 

KADANGKALA BEGITU   MUDAH   KITA  HENDAK  MENGATA  ORANG LAIN  BODOH,  SEDANGKAN    TINDAKAN   KITA  JUGA   MACAM  ORANG  BODOH .


Ahad, 18 Disember 2011

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ MASUK KERJA PUKUL 7.45 PAGI BERSARA PUKUL 12.10 TENGAH HARI


PERLU  MINAT

Untuk  menjadi  seorang  guru Pendidikan  Khas  yang baik sebenarnya, perlu  ada  minat dan  kesungguhan.  Tugas sebagai  guru Pendidikan Khas    adalah   amat  mencabar dan memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. 

Jika  di dalam  keadaan terpaksa  kerana tidak ada pekerjaan  lain,  maka hendaklah berusaha   bersungguh-sungguh untuk   menanamkan minat  kepada  profession  yang  telah diceburi.  Jika  tidak  mampu untuk berbuat  demikian adalah lebih baik jangan diteruskan  sahaja  kerana  ianya akan  menimbulkan banyak  masalah. 

Guru  yang bermasalah    adalah amat sukar  untuk  menjalankan amanah dengan baik dan cemerlang.  Adalah   mustahil   orang  yang  mempunyai  banyak masalah dapat  membantu menyelesaikan murid  yang memang   bermasalah.

GURU GANTI

Pernah   sekali  berlaku  di programku  seorang  guru    telah  bertukar  . Tempatnya  telah  digantikan  oleh  seorang   guru  sementara  lulusan  Ijazah  Sarjana   Muda  (aku  lupa   bidangnya).  

Semasa  melapur diri,   aku memberikan    taklimat kepadanya  dan  bidang   tugas  yang  seharusnya  dilakukan  apabila  menjadi  guru  Pendidikan  Khas.  Dia  nampak  faham,  walaupun  kulihat ada kerut   di dahinya. 

Kebetulan  pada  hari  itu  juga  ada  pula  seorang  guru  yang cuti  sakit. Kerana kekurangan guru ,  aku  telah  terus   mengarahkan  dia   masuk  kelas  untuk  mengajar. (Sepatutnya   dia kuarahkan melihat-lihat  dahulu  guru-guru  lain  mengajar)

BUAT  HAL

Malang  betul  nasib  guru itu.  Hari pertama  masuk   mengajar   seorang   murid down  syndrome  telah buat hal.  Buang  air besar  dalam kelas.   Masa itu  tiada PPM ,  jadi  kena  urus  sendirilah. Walaubagaimanapun,  pembelajaran  tetap  berjalan  seperti  biasa.   Itu   adalah   perkara  biasa bagi  kami  semua   sebagai  guru   Pendidikan  Khas.

DAH  BERSARA

Selepas  semua murid  balik,   (masa itu murid balik  pukul  12.10 tengah  hari) aku  tidak  terlihat langsung  kelibat  guru  tersebut.   Aku  bertanya   kepada  seorang   rakan  guru  kemana    perginya  dia.   Sepatutnya  dia  mesti  balik bersama  guru-guru pada pukul  1.10  tengah hari dan  bukan pukul 12.10  tengah hari.

Jawapan   daripada    rakan-rakanku  amat   memeranjatkan.   “Dia  dah balik kak,  tak mahu kerja lagi, sebab tak  minat,  emak dia yang paksa”

“Lah,  baru masuk  kerja  pukul  7.45  pagi,  pukul  12.10 tengah  hari  dah  bersara?’  kata-kataku  mencuit  hati   rakan-rakan.

Walaubagaimanapun,   aku  bangga  dengan  tindakan guru itu,  kerana  dia tidak  mahu  meletakkan  dirinya  terus  sebagai   guru  yang bermasalah.