Jumaat, 2 Disember 2011

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/BUDAK KUNCI

GELARAN BUDAK KUNCI
Sebenarnya cerita budak kunci ini telah berkali-kali inginku siapkan, tetapi setiap kali ianya bermula pasti ideaku mati begitu sahaja. Akhirnya ia hanya disimpan  sebagai draff.

Ini adalah kerana pengurusan tingkahlaku ke atas kes budak kunci tidak dapat kuselesaikan sehingga dia tamat di sekolah rendah. Aku sedikit hampa  kerana kurang dapat membantu mengatasi masalah yang dihadapi oleh budak kunci ini  disebabkan tidak ada  kesinambungan dirumah terhadap modifikasi tingkahlaku yang kami laksanakan di sekolah.

Rasanya hari ini aku perlu mengubah semula apa yang telah kutulis agar lebih mudah aku menghabiskannya untuk tatapan semua.

Aku gelarkan sahaja dia sebagai A. Gelaran  budak   kunci ini kami berikan kepada A  kerana anak ini suka bermain dengan anak  kunci. Selain itu,   A juga bermasalah tingkahlaku  haiperaktif yang  severe. Mempunyai tumpuan dan daya ingatan yang singkat, berrmasalah peruturan (pelat ) dan juling. A juga tidak boleh membaca atau menulis.

TIDAK BOLEH DUDUK LAMA

Di dalam kelas A tidak boleh duduk lama. Setiap kali tidak ada guru disebelahnya,  dia akan berlari pantas keluar kelas hingga kadangkala kami terjun tangga kelas dengan tidak berkasut  bagi mengejarnya.  Pernah sekali dia berlari masuk kedalam dapur kantin.  Mujur tidak masuk kedalam  periuk besar  berisi bubur RMT yang sedang dimasak.

Sejak itu dia tidak kami lepaskan di kantin.  Makan bersamaku atau rakan lain di dalam bilik darjah.

Setiap kali datang ke sekolah dia akan membawa anak-anak kunci di dalam saku seluarnya. Dia akan leka bermain anak-anak kunci itu tanpa ingin membuat aktiviti pembelajaran. Kerapnya dia akan pergi ke mana-mana pintu dan mengacu-acukan anak kunci yang dibawanya.

Yang paling pelik  ialah dia akan tahu dimana sahaja kunci disembunyikan walaupun dia tiada semasa kami menyembunyikannnya.  Boleh dikatakan semua almari atau laci berkunci di kelas, kami terpaksa pecahkan kerana kehilangan kunci. 


MASALAH BESAR

Ianya menjadi satu masalah besar apabila A terlepas pergi kekelas-kelas di aliran perdana  pada waktu rehat dan mengambil semua kunci-kunci di almari dan serahkan kepadaku atau rakan-rakan.  Boleh bayangkan sendiri bagaimana kami nak mencari tempat asalnya kunci ini jika ianya tidak berlabel. Pening kepala dibuatnya.

Lagi besar masalahnya dia akan meraba saku seluar setiap orang yang ditemuinya meskipun tidak dikenali bagi mencari anak kunci. Jika guru  perempuan pula,  dia akan menyelongkar beg tangan bagi mendapatkan anak kunci. Sebagai  tempat lawatan aku sering mengingatkan pelawat yang datang agar hati-hati dengan anak kunci masing-masing agar dapat masuk ke rumah apabila pulang.


Berbagai usaha kami  buat untuk membantu A membuang tabiat mengambil dan bermain dengan anak kunci . (Akan kuceritakan dalam satu tajuk nanti).  Untuk mengatasi masalahnya aku pernah bertermu bual dengan datuknya (dah jari allahyarham)untuk  mengetahui punca tingkahlaku itu berlaku.

RAMALAN

Jawapan dari datuknya tidaklah kena dengan ramalanku.  Adakah dia berbohong kerana menyembunyikan sesuatu,  aku sendiri tidak pasti.  Walaubagaimanapun , rakan-rakan lebih bersetuju dengan ramalan  yang kuberikan mengapa A suka bermain dengan kunci.

Ramalanku ialah,  kerana A seorang murid haiperaktif   yang severe, untuk mengelakkan dia berlari keluar dari rumah dia akan dikurung  dan dikunci di dalam bilik. Jadi, bagi A,  untuk  selamat  daripada   dikurung dia perlu mengambil  semua kunci. Tak tahulah ....ini  hanya ramalan.

Rasanya kini  A telah berumur 18 tahun. Apapun aku begitu risau dengan keadaan A kerana takut dipergunakan orang untuk kegiatan mencuri kerana ia begitu master dalam membuka  pintu walaupun berkunci.


SEBERAT-BERAT  MATA MEMANDANG,  BERAT LAGI BAHU YANG MEMIKUL...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan