Sabtu, 17 Disember 2011

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ KAU PERGI JUA

TERIMA  SMS

Menerima SMS  daripada  cikgu  Mahathir iaitu rakan guru dari  program  lamaku amat memeranjatkan.  Dia menyatakan bekas anak muridku Haikal  berada dalam ICU Hospital Melaka.

Hati  kecilku tiba-tiba rasa kurang tenteram apabila  mendapat berita itu. Berdebar-debar selagi tidak melihat sendiri keadaan murid itu. Memang aku tahu keadaannya semakin lemah semasa aku berpindah sekolah.
Tetapi,  rasanya tidaklah  sampai masuk ICU.

Aku mengambil  keputusan untuk keluar pejabat lebih awal.  Yang  merisaukan aku tentang melawat di Hospital Melaka ialah  parking.  Tambahan lagi kalau waktu melawat . Alhamdulillah kerana belum tiba waktu  melawat, parking agak mudah juga kudapati.

Sesampai sahaja di tingkat bawah hospital,  aku mengubungi telefon bimbit ibu Haikal. Aku tahu jika bukan waktu melawat,  aku takkan dibenarkan oleh pengawal keselamatan untuk masuk. Ibu Haikal menungguku di pintu masuk wad.


SEMAKIN LEMAH

Hiba hatiku melihat keadaannya. Telah terlalu lemah . Menurut ibu dan ayahnya keadaannya semakin kritikal sejak beberapa hari yang lepas. Degupan jantungnya juga telah semakin lemah .

Namanya kupanggil   tetapi tidak berjawap.  Anak matanya kulihat sudah tidak bergerak lagi. Kepalanya kuusap. Dahi  dan pipinya kucium berkali-kali. Dia langsung tidak memberi apa-apa respond  kepadaku. Sesekali dia mengangkat-angkat tangannya. Mungkin kesakitan.

Sebenarnya melihat keadaannya,  hati kecilku berkata bahawa Haikal  memang akan  pergi. Walaubagaimanapun,  tidak kulahirkan perasaan itu kepada ibubapanya.


KANAK-KANAK  NORMAL  YANG CERDIK

Sebenarnya Haikal asalnya adalah seorang kanak-kanak normal yang cerdik.  Semenjak berumur 10 tahun keadaan kesihatannya semakin merosot. Doktor tidak  dapat mengesahkan penyakit sebenar Haikal. Itulah yang menyebabkan dia dimasukkan ke Program  Pendidikan Khas.

Di awal kedatanganya ke Program kami,  dia masih boleh berjalan dan bercakap. Semakin  hari keadaan kesihatannya semakin merosot,  Pertuturannya juga hilang.  Dia hanya boleh menangis dan menjerit jika inginkan sesuatu.

BERBAGAI CARA KAMI LAKUKAN

Kami  letakkan dia di atas kerusi roda. Kami terpaksa mletakkan bantal di kepalanya kerana dia 
tidak   dapat mengawal kepalanya sendiri apabila telah terlentuk.  Cikgu Siti Zairin adalah orang yang paling bersungguh-sungguh membantu Haikal. Dia sanggup  membawa mesin urut dari rumah agar dapat meredakan tangisan Haikal.

Jika ditinggalkan seorang,  Haikal  akan menangis dan meraung. Selalunya apabila perkara ini berlaku aku lebih suka mengusap rambut dan mengucup dahinya.  Aku  akan bercakap-cakap dengannya sebentar walaupun aku tahu memang tidak akan ada apa-apa jawapan darinya.

Masa itu dia akan memandang mataku dengan satu pandangan  sayu yang sukar untuk dimengertikan.

Makan Haikal  juga bersuap. Memang cikgu-cikgu dan PPM yang ada di programku amat prihatin. Kulihat Haikal dilayan  dengan baik  sekali.

Berbagai usaha lain kami lakukan untuk membantunya. Antaranya  termasuklah pengajaran secara individu bagi kemahiran manipulatif. .

Melihat  keadaan Haikal kami rasa ia perlu kepada terapi anggota. Dalam  mesyuarat Badan Kebajikan Kelas Khas  kami mencadangkan agar Haikal dihantar ke PDK untuk mendapatkan perkhidmatan terapi.

 DIA PERGI JUA

Meskipun begitu  semua   itu  tidak sempat Haikal lalui.  Jam 3.45 pagi  keesokan hari selepas aku melawatnya dihospital sekali  lagi  aku menerima SMS. Kali ini  bukannya daripada  cikgu  Mahathir, sebaliknya daripada ayah Haikal . Haikal  pergi jua untuk selamanya meninggalkan kami semua.

Semuga sentuhan terakhirku ada terkesan di tubuh Haikal . Aku  sentiasa berharap Haikal akan mengingatiku lagi . Lebih  bahagia jika Haikal akan melambai dan memimpinku bersamanya di sana nanti. Aku tetap merinduinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan