Ahad, 18 Disember 2011

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ MASUK KERJA PUKUL 7.45 PAGI BERSARA PUKUL 12.10 TENGAH HARI


PERLU  MINAT

Untuk  menjadi  seorang  guru Pendidikan  Khas  yang baik sebenarnya, perlu  ada  minat dan  kesungguhan.  Tugas sebagai  guru Pendidikan Khas    adalah   amat  mencabar dan memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. 

Jika  di dalam  keadaan terpaksa  kerana tidak ada pekerjaan  lain,  maka hendaklah berusaha   bersungguh-sungguh untuk   menanamkan minat  kepada  profession  yang  telah diceburi.  Jika  tidak  mampu untuk berbuat  demikian adalah lebih baik jangan diteruskan  sahaja  kerana  ianya akan  menimbulkan banyak  masalah. 

Guru  yang bermasalah    adalah amat sukar  untuk  menjalankan amanah dengan baik dan cemerlang.  Adalah   mustahil   orang  yang  mempunyai  banyak masalah dapat  membantu menyelesaikan murid  yang memang   bermasalah.

GURU GANTI

Pernah   sekali  berlaku  di programku  seorang  guru    telah  bertukar  . Tempatnya  telah  digantikan  oleh  seorang   guru  sementara  lulusan  Ijazah  Sarjana   Muda  (aku  lupa   bidangnya).  

Semasa  melapur diri,   aku memberikan    taklimat kepadanya  dan  bidang   tugas  yang  seharusnya  dilakukan  apabila  menjadi  guru  Pendidikan  Khas.  Dia  nampak  faham,  walaupun  kulihat ada kerut   di dahinya. 

Kebetulan  pada  hari  itu  juga  ada  pula  seorang  guru  yang cuti  sakit. Kerana kekurangan guru ,  aku  telah  terus   mengarahkan  dia   masuk  kelas  untuk  mengajar. (Sepatutnya   dia kuarahkan melihat-lihat  dahulu  guru-guru  lain  mengajar)

BUAT  HAL

Malang  betul  nasib  guru itu.  Hari pertama  masuk   mengajar   seorang   murid down  syndrome  telah buat hal.  Buang  air besar  dalam kelas.   Masa itu  tiada PPM ,  jadi  kena  urus  sendirilah. Walaubagaimanapun,  pembelajaran  tetap  berjalan  seperti  biasa.   Itu   adalah   perkara  biasa bagi  kami  semua   sebagai  guru   Pendidikan  Khas.

DAH  BERSARA

Selepas  semua murid  balik,   (masa itu murid balik  pukul  12.10 tengah  hari) aku  tidak  terlihat langsung  kelibat  guru  tersebut.   Aku  bertanya   kepada  seorang   rakan  guru  kemana    perginya  dia.   Sepatutnya  dia  mesti  balik bersama  guru-guru pada pukul  1.10  tengah hari dan  bukan pukul 12.10  tengah hari.

Jawapan   daripada    rakan-rakanku  amat   memeranjatkan.   “Dia  dah balik kak,  tak mahu kerja lagi, sebab tak  minat,  emak dia yang paksa”

“Lah,  baru masuk  kerja  pukul  7.45  pagi,  pukul  12.10 tengah  hari  dah  bersara?’  kata-kataku  mencuit  hati   rakan-rakan.

Walaubagaimanapun,   aku  bangga  dengan  tindakan guru itu,  kerana  dia tidak  mahu  meletakkan  dirinya  terus  sebagai   guru  yang bermasalah.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan