Jumaat, 30 Disember 2011

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ SAYA AUTISME

 BOLEH  BELAJAR

Anak-anak  istimewa sebenarnya adalah insan yang boleh diajar dan  boleh belajar.  Bezanya  dengan anak-anak yang sempurna ialah,  tahap  perkembangan kognitif  mereka  yang terkebelakang ditinggalkan oleh anak-anak yang  sempurna.


Walaubagaimanapun,  ada ketikanya tindakan anak-anak istimewa ini adalah di luar jangkaan kita dan melebihi anak-anak normal.  Mereka yang kumaksudkan ialah anak-anak autisme.

AUTISME

Autisme  yang ketemui semuanya lelaki. Handsome-handsome belaka. Sepanjang 19 tahun bergelar   guru Pendidikan Khas aku  hanya ditemukan dengan seorang murid perempuan yang  menghadapi  masalah ini.

MN

Murid  autisme ini kugelarkan MN. MN seorang murid yang cerdik. Petah  berkata-kata .  Sudah boleh mengurus diri. Telah boleh memegang alat tulis dan menulis dengan baik.

Pada awal kedatanganya ke sekolah,  banyak perkataannya  yang kami  tidak fahami.  Disebabkan dia berminat  dengan siri  kartun Doremon, bahasanya memang mirip-mirip bahasa dari cerita tersebut. Berkat kerjasama guru-guru dan ibubapa, MN  kami  lihat,  semakin hari  semakin berkembang kemahiran pertuturannya.

UNTUNG

MN beruntung kerana ibubapanya seorang yang amat peka terhadap perkembangannya.

Perkembangan yang kumaksudkan ialah dari segi  kognitif,  fizikal  mahupun sosial.

Dia dihantar oleh ibunya pergi kelas kafa dan belajar bersama anak-anak normal yang lain. Jadi MN telah khatam quran dan pernah beberapa kali menjadi johan hafazan dan tilawah peringkat negeri.

Dari  segi pemakanannya pula ,  ibunya sentiasa menjaga pemakanannya. Dia sentiasa  membawa bekalan makan makanan yang berkhasiat ke sekolah. Makanan kegemaran MN ialah mi.

Aku rajin merasa bekalan makanan yang dibawanya.  Jika dia tidak mahu aku makan terlalu banyak belakan yang dibawanya,  dengan pantas dia akan membaca alhamdulillah sebagai  tanda  aku mesti  berhenti makan.

SUKA MELUKIS


MN paling suka melukis.  Pada awal kedatangannya ke sekolah banyak hasil lukisan yang dihasilkan olehnya. Bagi mengelakkan dia meninggalkan tempat duduk, kami akan menyelang nyelikan aktiviti melukis dengan aktiviti  pembelajaran.

Ini adalah salah satu daripada kaedah yang kami gunakan bagi mengatasi masalah tingkahlaku MN  yang suka meninggalkan tempat duduk semasa P&P dijalankan.

Hasil  lukisan MN selalunya adalah sebuah rumah.  Yang peliknya ialah. apabila lukisan itu kutunjukkan kepada ibunya, jelas menunjukkan ianya adalah ruang dan susun atur perabut yang ada dirumahnya.  Ianya dilahirkan kepada bentuk lukisan tanpa ada satu  peralatanpun  yang tertinggal. Begitulah cerdiknya MN


SUKA BERTANYA

Selain itu MN  juga amat suka bertanya.  Sebagai  tempat yang sering dilawati aku akan sering mengingatkannya supaya jangan suka bertanya perkara-perkara yang tidak penting kepada tetamu yang datang. Dia memang mudah faham.  Setiap kali  dia mula bertanya yang bukan-bukan,  aku akan menyebut namanya.  Dia terus  berhenti dan meminta maaf  kepadaku lalu berlalu dari situ.

Sekali  aku pernah dikunjugi pegawai daripada kementerian pelajaran.  Pegawai itu tidak memakai tanda nama.  Kebiasaannya sebagai salam perkenalan MN akan memperkenalkan  namanya sendiri dahulu dan kemudian membaca tag nama sesiapa sahaja yang  mengunjungi kami.

Tiba-tiba MN datang dekat kami dan bertanya "Puan bangsa apa?".  Aku boleh membaca apa yang terlintas dalam fikiran MN.  Dia keliru kerana pegawai tersebut memakai skirt paras lutut, bertindek  di hidung  macam orang India, tetapi begitu fasih  berbahasa Melayu.

Kulihat airmuka pegawai itu berubah. Walaubagaimanapun,  dia menjawap juga   bahawa dia orang Melayu.
Sebelum menyambung soalannya  lagi aku dengan cepat meminta MN memohon maaf    kepada  pegawai itu dan pergi dari situ.  Ini adalah kerana aku tahu MN akan bertanya pula mengapa pegawai  itu  berpakaian begitu sedangkan dia orang Melayu.

SAYA MURID  AUTISME

Pernah  sekali  beberapa orang rakan datang menemuiku di sekolah atas satu urusan.  Tiba-tiba MN datang dan  memperkenalkan diri. "Nama saya MN . Saya murid autisme.  Cikgu ada  anak autisme tak?"  Semua rakan-rakanku ketawa dengan gelagatnya.  Setelah dijelaskan oleh  rakan-rakanku bahawa mereka tidak ada anak autisme barulah MN beredar dari situ.

TELATAH  MEREKA MENGEMBIRAKAN HATI ......HANYA ORANG YANG CINTA  SAHAJA  BOLEH MEMAHAMI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan