TIGA ORANG ANAK ISTIMEWA
Menjadi guru pendidikan khas selama 19 tahun telah membuka banyak ruang kepadaku mendengar luahan hati ibu bapa yang dikurnai Allah dengan ujian mendapat anak istimewa.
Suka duka mereka selalu dikongsikan bersamaku . Dari cerita yang aku dengar telah memberi pengajaran kepadaku betapa aku adalah insan paling beruntung kerana mempunyai anak-anak yang serba sempurna.
Kali ini ingin kunukilkan kisah sepasang suami isteri yang dirujuk oleh Ketua Unit Pendidikan Khas kepadaku. Dari ceritanya dapat aku membuat kesimpulan bahawa dia dikurnai Allah tiga cahaya mata lelaki. Ke tiga-tiga cahaya mata mereka telah menjadi pilihan Allah untuk menjadi insan istimewa.
TABAH
Aku mengagumi pasangan suami isteri ini. Meskipun semua anak itu bergelar istimewa namun mereka amat tabah menghadapinya. Senyuman dan gelak ketawa sentiasa menghiasai wajah mereka berdua. Aku amat terhibur setiap kali mereka berdua datang berbincang denganku berkenaan perkembangan pembelajaran anak-anak.
Lupa inginku jelaskan tentang masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka. Anak yang sulong bermasalah slowlearner dan sedang belajar di sebuah program pendidikan khas integrasi menengah. Yang kedua bermasalah autisme esperger dan yang bongsu bermasalah autisme yang severe juga. Kedua-duanya pernah belajar di program pendidikan khas tempat aku mengajar.
PENGORBANAN
Sebenarnya apa yang inginku gambarkan kepada pembaca di sini ialah pengorbanan pasangan ini dalam membesarkan mereka bertiga. Pasangan ini menghabiskan berpuluh ribuan ringgit di dalam membantu perkembangan anak-anak ini.
Setiap bulan anak-anak ini dirujuk kepada doktor pakar untuk memastikan pembesaran mereka sempurna. Apa sahaja rawatan yang dikhabarkan dapat membantu anak-anak ini, pasangan ini akan memastikan ianya dapat diberi kepada mereka bertiga meskipun perbelanjaannya amat mahal.
BELAJAR
Aku sendiri banyak belajar dari pasangan ini kaedah-kaedah yang boleh membantu anak-anak istimewa di dalam bilik darjah. Aku amat terharu apabila isterinya pernah menceritakan kepadaku bagaimana pengalaman beliau melayan kerenah ketiga- tiga anak ini. Aku dapat gambarkan kesukaran dan kepahitan yang mereka lalui meskipun aku sendiri tidak pernah mengharunginya.
Banyak idea yang dikongsikan bersamaku, aku kongsikan kembali kepada rakan-rakan guru melalui sesi ceramah yang kuberikan. Diluar sedar rupanya pasangan ini telah banyak membuka mindaku tentang kekurangan yang ada dalam diriku dan guru-guru pendidikan khas yang lain.
TEGURAN
Keikhlasannnya menegur menyebabkan aku jadi selesa berurusan dengan pasangan ini. Meskipun ada kalanya teguran itu agak keterlaluan , namun aku merasakan mereka berdua perlu lakukan demi maksud kebaikan. Sebenarnya seberat-berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Kita sebagai guru hanya boleh berkata-kata, yang melalui semua cabaran yang hebat ini adalah ibubapa.
Seikhlasnya kukatakan di sini bahawa pasangan ini selalu berkata benar tentang kelemahan yang ada pada guru-guru pendidikan khas. Oleh itu kita sebagai guru adalah tidak salah menerima teguran ibu bapa meskipun kadangkala ia amat memilukanan hati. Ini adalah kerana kadangkala teguran yang diberikan tidak membawa maksud seperti disangkakan oleh mereka.
Tidak kunafikan kesungguhan sesetengah guru pendiidkan khas dalam membantu perkembangan anak-anak istimewa ini. Pun begitu segala teguran yang kita terima perlu dipandang dari sudut yang positif dan bukan sebaliknya. Insyaallah kita akan jadi guru yang berjaya.
KRITIKAN ORANG LAIN ADALAH ASET PALING BERHARGA KEPADA INSAN YANG INGIN BERJAYA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan