Isnin, 20 Mei 2013

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ REDHA DAN SYUKUR

Redha dan sentiasa bersyukur dengan ujian  Allah adalah satu sifat yang
terpuji. Bukan satu perkara mudah untuk kita memiliki sifat ini. Dengan
ujian berat yang Allah beri,  Bukan  semua orang boleh lalui.


Ibu muda itu adalah antara insan yang terpilih. Diberi  ujian oleh
Allah memiliki anak istimnewa .

Sebaik  sahaja dia telah mengenalpasti anaknya bermasalah haiperaktif,
doa ibu muda itu tidak pernah berhenti.  Surah yasin menjadi mainan dibibirnya.
Solat hajat menjadi amalan hariannya.

Meskipun adakalanya dia seperti  mengalah, namun usahanya tidak
pernah berhenti. Seawal 4  tahun anaknya telah dihantar belajar membaca
di rumahku pada hujung minggu. Meskipun jarak rumah kami jauh, tetapi
tidak pernah mengeluh.

Dia amat menitikberatkan soal solat dan mengaji anaknya itu. Meskipun
pahalanya Allah sahaja yang tahu, namun dia teruskan usaha. Rupa-rupanya
anak haiperaktif itu ada istimewanya.

Dia begitu mudah mengingat.  Quran telah khatam dibacanya semasa berusia
10 tahun. Meskipun bacaan tajwidnya tidak sempura, namun  Allah maha
menerima.

 Zikir selepas solat telah ada dihujung jarinya.  Azan sudah boleh
dilaungkannya.  Menjadi imam dirumah sudah jadi basahannya.

Itulah hasil daripada  redha dan sentiasa bersyukur  dengan apa yang dimiliki.
Setiap kali anak itu berselawat, mengaji, melaungkan azan , menjadi imam pada
rakan-rakannya sewaktu solat,  tidak siapa menduga anak ini sebenarnya 
sentiasa menimbulkan huru-hara di rumahnya.

Apa yang tidak pecah bila dipegangnya.  Apa  yang tidak hilang bila  diamanahkan
menjaganya. Siapa yang tidak jatuh bila dilanggarnya. Lauk mana yang tidak
tumpah bila dia menceduknya. Air mana yang tidak melimpah bila dia yang menuangnya.
Dan paling lucu,   siapa yang tidak ketawa kerana setiap kali kenduri dialah
orangnya yang sering jatuh terduduk di dalam dulang hidangan.

Pun  begitu, rasa syukur dan redha menghilangkan kemarahan. Ia juga jadi
penawar segala kesedihan. Menggantikan kedukaan kepada kegembiraan. 

Pernah sekali apabila anaknya yang normal buat perangai ibu itu berkata.
"Bila fikir-fikir semula, lebih senang lagi  saya  jaga yang istimewa"


Redhalah dengan ujian pasti kebahagiaan menjelma.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan