Sabtu, 27 Februari 2016

BICARA YB/ ZIARAH

Alhamdulillah. Diizinkan untukku menulis.

ZIARAH.

Sembang  pagi itu aku mulakan dengan bertanya khabar.
Ternyata ibu tunggal yang sedang aku  ziarahi adalah seorang
penghidap penyakit diabetes yang serius. Bacaan kandungan
gulanya mencapai angka 16 meskipun beliau  mengambil insulin
4 kali sehari.

Kebimbangan hati diluahkan kepadaku. Tergambar  juga di wajahnya.

Aku menyarankan  beberapa petua yang dirasa dapat membantu
mengatasi masalah  berdasarkan pengalaman dan pembacaan sendiri.
Daripada penjelasannya,  dia telah mengamalkan sebahagian
daripada petua yang aku berikan. Alhamdulillah.

Kami rancak berbual meskipun pertemuan baru  kali ke dua.

Sebelum mengundur diri aku sempat menghulurkan nasihat.

"Yang memberi penyakit ialah Allah. Yang berhak untuk 
menyembuhkannya juga Allah".

Dia mengangguk tanda faham.Hanya menundukkan kepala.
Tidak memandang wajahku.

"Solat jangan ditinggalkan. Banyakkan solat sunat.  Cuba amalkan solat dhuha.
 Banyakkan berdoa". Aku menambah.

Tiba-tiba. dia  memandang kearahku dan  bersuara sambil menangis.

"Saya tidak tahu solat kak. Dari kecil tak pernah solat.
Saya jahil. Saya tak pandai, Saya banyak dosa".

Kenyataanya diulang beberapa kali dengan esak tangis.
Aku merasa sebak dan turut sama  mengalirkan airmata
melihatkan  keadaan itu.

"Syukur awak sudah sedar. Tidak mengapa nanti saya boleh
ajarkan". Ujarku. bagi meredakan kesedihannya.

Setelah tangisannya reda aku meminta nombor telefonnya untuk
mudah berurusan selepas itu.

"Saya tidak boleh membaca kak. Jadi akak jangan sms . Lebih 
baik call". Dia menerangkan sambil menghulur kepadaku secebis
kertas yang diambilnya diatas almari dan  telah tersedia bertulis
nombor telefon .

Sekali lagi aku terpana. "Kasihnnya," bisik hatiku .

Akhirnya aku meminta diri untuk pulang. Semasa bersalam dia memelukku
dan berkata.

"Dah lama saya berdoa. Minta  Allah hantar kepada saya orang
yang boleh ajar saya solat. Rupa-rupanya akak yang datang.
Terima kasih kak, terima kasih". luahan hati dibisikkkan kepadaku.

"Bersyukurlah,  sebab  Allah  perkenankan doa awak  walaupun
awak belum berdoa dalam solat" . Jawabku.

"Nanti saya akan telefon awak dan maklumkan waktu sesuai  
untuk  mula belajar solat" Aku menyambung.

Nampak jelas wajahnya kembali ceria. Aku melangkah menuju ke kereta.

"Allahuakbar!. Kau Maha Pengasih Ya Allah. Mengaturkan
pertemuan ini". Bisik hatiku dan terus memandu pulang kerumah.








Tiada ulasan:

Catat Ulasan