Jumaat, 13 Januari 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ JKM KATA BOLEH

PUNGUT DERMA
Semalam semasa sedang sibuk memeriksa buku ringkasan mengajar dan Rancangan Pelajaran Tahunan guru-guru di pejabat, kudengar ada suara memberi salam.  Bila aku menoleh kebelakang kulihat seorang remaja lelaki berkaca mata dan bertopi  berdiri tercegat di belakangku.

Dari kenyataannya aku dapat tahu yang dia ingin menemuiku . Terus kutanyakan hajatnya. Jelas   dari gaya dan peruturannya dia juga insan istimewa. Dia lantas memberitahu bahawa  dia ingin meminta kebenaran dariku untuk memungut derma dari rakan-rakan guru di SKBC.

Kuajukan pertanyaan kepadanya darimana dia dapat kebenaran untuk berbuat demikian. Dia lantas menghulurkan kepadaku kad OKUnya.  Bila diteliti alamatnya  dia   berasal dari kampung berdekatana dengan sekolahku.  Di kadnya tercatat perkataan cacat anggota. 

JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT  KATA BOLEH

Dia agak gementar untuk menjawab persoalanku.  Akhirnya dia berkata  bahawa pegawai JKM yang benarkan. Aku merenung matanya, aku percaya dia berbohong. 

Kutanyakan lagi nama pegawai yang berbuat demikian. "Puan Syarifah"  jawabnya.
" Baiklah, saya kenal ramai pegawai di JKM , nanti saya telefon tanyakan" jawabku lagi.

Aku berjalan menuju ke meja tulis yang ada di pejabat untuk mengambil sedikit wang di dalam beg tangan bagi kudermakan kepadanya.  Dia  kelihatan begitu takut sekali. Mungkin dia menyangka  aku benar-benar ingin menelefon  pihak JKM untuk membuat pertanyaan.

Dengan suara ketakutan dia menjawap semula. "Jangan telefon puan, tak ada pegawai  JKM yang benarkan  saya pungut derma".

JANGAN BUAT LAGI

Aku lantas mencapai sehelai  wang kertas yang ada di dalam beg tangan dan menghulurkan kepadanya.
Sambil itu aku mengingatkannya agar jangan mengulangi perbuatannya itu.  Ianya salah dan tidak dibenarkan.

Setelah menerima wang dariku dia mohon kebenaran pula untuk memungut derma dari rakan-rakan lain.  Aku bertegas tidak membenarkannya. Padaku jika  kubenarkan dia akan rasa seronok pula.   Tidak mustahil dia akan pergi ke sekolah lain dan membuat perkara yang sama.


Dia nampak kecewa dengan keputusan yang kubuat. Bukan tidak rasa kasihan,  tetapi aku tidak ingin dia terus menjadi orang yang meminta-minta  sedangkan dari mata kasar kulihat dia masih boleh bekerja bagi menyara hidup.


Setelah mengucapkan terima kasih dia berlalu dari situ. Aku sempat juga mengingatkannya buat kali kedua agar jangan mengulangi apa yang telah dilakukannya.

Usaha  mendidik   biarlah dari sekolah rendah agar mereka dapat menjadi insan berdikari apabila dewasa.

KEPADA  AKAN-ANAK  ISTIMEWA,   LEBIH BAIK KITA  BERIKAN DIA JORAN DAN MATA PANCING DARIPADA MEMBERIKAN DIA IKAN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan