Jumaat, 20 Januari 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ JOHAN BERCERITA

KURANG  SIBUK
Membuka  program  baru  memberi   ruang  kepadaku  melaksanakan  beberapa perkara .   Salah satu daripadanya ialah melatih murid-murid bercerita kisah nabi sempena  majlis tilawah pendidikan khas .

Ini adalah  kerana  kesibukan menerima tetamu  tidak  berlaku di program baru ini.  Aku dapat banyak masa bersama murid-murid.  Sebagai program  baru dan  bilangan  murid yang terhad  tidak memberi   aku peluang memilih murid yang terbaik.  Asalkan  mereka boleh membaca sedikit sudah memadai  untuk kuasah bakat mereka dalam bidang bercerita.

BARU BOLEH BACA PERKATAAN KVKVK.

2 orang murid  jadi pilihanku. Yang lelaki  berusia 11 tahun.  Baru boleh membaca perkataan kvkvk.  Murid yang perempuannya pula  telah berusia 12 tahun dan alhamdulillah   telah boleh membaca  dengan agak  baik.  Cuma perkataan-perkataan yang panjang sedikit perlukan bantuan daripadaku. 

Melihat  kemampuan  membaca yang ada pada murid lelaki  itu sebenarnya   memang sukar dipercayai yang  dia boleh pergi jauh dalam bidang ini.  Bagiku, tidak   ada yang mustahil jika  dapat keizinan Allah asalkan  tidak  mudah putus asa.

EDIT  CERITA 

Oleh kerana  aku bukan orang yang pakar untuk  menulis  cerita kisah nabi, maka bahan ceritanya  kuminta  daripada ustazah di aliran perdana. Langkah pertamaku ialah mengedit semula cerita  itu bagi  memudahkan murid pendidikan khas ini membacanya. 

Ku besarkan font tulisannya dan kugariskan setiap perkataan mengikut suku kata.  Setelah selesai semuanya,  dan aku telah berpuas hati, aku  akan memulakan latihan.  Cara latihanku amat  fleksible.  Aku akan  gunakan  setiap kali  ada masaku  ataupun masa murid  yang   terluang  untuk tujuan ini. 

Ibu bapa mereka  juga kulibatkan sama untuk membantu di rumah.  Semuanya berjalan dengan baik seperti yang kurancangkan. Walaupun baru hendak belajar mengeja, aku sering meyakinkan murid lelakiku  bahawa dia memang boleh melakukannya.
Bagiku  ini juga merupakan  satu sesi  pembelajaran untuk anak istimewa ini.  Latih tubi membaca, keyakinan diri untuk bercakap di khalayak ramai  dengan  sebutan  yang betul  banyak berlaku pada masa  sesi latihan ini. Sekali-sekala  aku akan meminta  mereka bercerita pula  di hadapan rakan-rakan  istimewa di dalam kelas selepas waktu rehat.

LATIHAN AWAL

Latihanku  akan bermula   paling lewat  awal bulan Februari.  Ini  adalah strategiku semenjak mula buka program.  Semua  pertandingan  yang akan  dijalankan di peringkat  zon  dan negeri tidak pernah  tidak mesti disertai oleh murid-muridku.  

Latihan  yang bermula  awal  selalunya membantu mereka lebih yakin  dan  tidak pernah balik dengan tangan kosong apabila  menyertai  sesuatu pertandingan. Apabila  telah hampir  waktu pertandingan  kedua-dua murid bercerita ini kuminta datang ke rumah pada hujung minggu bagi menyambung sesi latihan bersamaku.  

Sehari sebelum pertandingan murid-murid ini  akan  diberi  peluang  untuk  bercerita di waktu perhimpunan pagi di hadapan guru-guru dan murid-murid lain. Sebenarnya pada masa ini juga  memberi  peluang  kepada mereka  ini  merasakan  keadaan sebenar sesebuah pertandigan.   

Paling menggembirakan aku  apabila  di peringkat zon dan negeri Melaka  ke dua-dua murid yang kulatih ini telah menjadi johan dalam pertandingan tersebut.  Di peringkat kebangsaan pula,   murid lelakiku telah mendapat tempat ke tiga dan murid perempuanku   telah  mendapat tempat kedua .

Siapa sangka dengan hanya boleh membaca perkataan kvkvk pada permulaannya seorang murid istimewa boleh jadi johan bercerita.

KEJAYAAN  SESEORANG MURID ISTIMEWA BUKAN  SAHAJA TERLETAK PADA  KEKUATAN YANG ADA PADA DIRI MEREKA, TETAPI  LEBIH BANYAK BERGANTUNG KEPADA  KEKUATAN SEMANGAT DAN KESUNGGUHAN YANG ADA DALAM DIRI GURU-GURUNYA.
KUDOAKAN   SELAMAT  BERJAYA UNTUK  SEMUA GURU PENDIDIKAN KHAS


Tiada ulasan:

Catat Ulasan