Ahad, 22 Januari 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/TUKAR SEKOLAH KURANG MURID

JANGAN  SALAH
Sebelum  ini aku ada menyatakan bahawa semua  guru tidak kira di aliran perdana mahupun di pendidikan khas  jangan begitu mudah   mengOKUkan anak-anak murid yang datang ke sekolah.
Usahakan sesuatu jika ianya boleh dibantu agar perkataan OKU  tidak dilabel tersalah tempat. Jangan disebabkan  kelemahan kita dalam pengajaran dan pembelajaran anak-anak ini yang menjadi mangsanya.
Mana  ada ibubapa   yang ingin   anak  mereka dilabel  OKU.  Perbincangan  dengan  mereka  adalah perlu  apabila guru-guru  menghadapi  anak-anak murid  yang  mempunyai  masalah tingkahlaku di aliran perdana.
Guru di aliran perdana seharusnya tahu serba sedikit tentang masalah-masalah yang dihadapi oleh murid-murid yang baru masuk sekolah dan berusaha untuk  mencari jalan penyelesaiannya jika boleh.
Mengenali ramai guru di pra sekolah kerajaan dan swasta telah memberi  peluang kepadaku mengetahui bahawa ramai murid-murid   yang berada di pra sekolah sekarang menghadapi berbagai masalah tingkahlaku tetapi  hakikatnya mereka bukan  OKU.

DIRUJUK

Jika sebelum ini  aku dirujuk  oleh sepasang suami isteri kerana  masalah anak perempuannya  yang dikatakan  haiper, biacaraku kali  ini ialah tentang sepasang suami isteri  yang merujuk anak lelakinya pula  yang dikatakan  bermasalah pembelajaran “slow learner”.
Anak  ini kugelarkan namanya F. F sedang belajar dalam tahun  1 di sebuah sekolah besar dan terkenal dengan kepandaian murid-muridnya.   Dia telah boleh menulis tetapi lambat.  Dia telah menganal abjad a-z serta boleh  membaca perkataan kvkv.
Dalam  matematik pula dia telah mengenal nombor 1-10 dengan tepat.  Malangnya kerja-kerja bertulisnya di dalam buku memang tidak kemas.  Banyak  kerja-kerja   yang tidak selesai   serta  ditandakan merah oleh gurunya. Selain itu dia  juga memahami arahan dan  dapat menjawap semua soalan-soalan lisan yang kuberikan kepadanya. Sepertimana biasa kuminta ibunya membiarkan F  bermain  atau melakukan aktiviti sendiri  tanpa ditegur  sementara perbincangan dibuat  bersamaku.  Aku memerhati gerak-gerinya.  Dia tidak nakal. Semasa diberi  Instrument Penentuan Penempatan kulihat F dapat buat semua  soalan di dalam IPP itu dengan baik walaupun dia mengambil  masa yang agak lama untuk menyiapkannya.

MASALAH BESAR
Daripada perbualan yang kulakukan dengan ibubapanya  aku dimaklumkan bahawa F tidak boleh berdikari.  Tidak  mahu  masuk kelas pada waktu pagi.  Kadangkala ibunya terpaksa menunggu di hadapan kelas.  Kerja-kerja   bertulis di dalam kelas tidak pernah berjaya disiapkannya. Pada waktu rehat ibunya terpaksa membantunya membeli makanan di kantin.   Dia tidak tahu membeli makanan sendiri.  Dia juga  kerap  buang air besar di dalam seluar.

Dengan segala  masalah yang dia ada juga telah menyebabkan dia sering dibuli oleh rakan-rakan lain . F tidak tahu cara untuk mempertahankan dirinya.

RUMUSAN
Rumusan yang kudapati selepas sesi temuduga dengan ibunya, pemerhatian keatasnya lebih kurang satu setengah jam ,dilengkapi dengan merujuk buku-buku latihannya dan  keputusan daripada IPP  yang dilaksanakannya aku dapati F bukan  murid pendidikan khas.
Semua  masalah  yang timbul itu berpunca daripada perbezaan penguasaan pencapaian kemahiran pembelajaran antara F dengan rakan-rakan sekelasnya.  Sebagai sebuah sekolah besar yang muridnya memang pandai-pandai belaka menyebabkan F tidak  dapat menandingi mereka dan menjadi  tertinggal.

Guru-guru juga tidak dapat memberi perhatian kepada F disebabkan bilagan murid yang terlalu ramai.
Dia baru boleh membaca perkataan kvkv sedangkan kawan-kawannya telah  boleh membaca petikan  panjang.

F juga lambat semasa menulis, itu puncanya tulisan jadi tunggang terbalik kerana dia cuba menulis dengan cepat untuk menghabiskan latihan yang diberikan, padahal  kesediaan untuk menulis dengan baik belum dikuasainya.

JIKA  TERLAMBAT
Bagiku  jika terlambat  dibantu aku risau F akan berada di kelas pemulihan khas dan mungkin tidak mustahil akan berada di dalam program pendidikan khas.  Setelah  membuat perbincangan tentang kesediaan ibubapanya,  aku memberi cadangan agar F dipindahkan ke sekolah kecil  yang bilangan muridnya tidak  ramai. Dari situ F boleh mendapat perhatian yang lebih daripada  guru-guru. Sekaligus  F dapat dibantu  agar masalah yang dihadapinya tidak dapat  menjadi semakin serius.

KEBENARAN GURU BESAR
Setelah  membuat perbincangan dan mendapat kebenaran daripada  guru besar akhirnya  F dipindahkan ke sekolahku mengajar.  Dalam taklimat ringkas kepada guru-guru yang akan mengajar F aku minta mereka berusaha untuk sama-sama membantu F dalam pelajaran dan cuba membantu F menangani masalah yang dihadapinya.

Aku  juga   minta mereka berbicang dengan ibu F dan merujuk kepadaku jika berlaku sebarang masalah di dalam bilik darjah.

BERJAYA
Alhamdulillah,  respond yang amat positif  aku dapat daripada guru-guru di SKUP tentang perkembangan anak ini.   Segala masalah yang  ada pada dirinya  sebelum ini  menurut guru-gurunya semakin berkurangan.

Dia  terselamat  daripada masuk  ke program pendidikan khas.  Perkembangan terkini daripada Fa  tidak lagi aku ketahui kerana F telah dibawa berpindah ke negeri  Selangor  sebelum aku juga berpindah ke SKBC.


GEMBIRAKAN HATI ORANG LAIN, INSYAALLAH ALLAH AKAN GEMBIRAKAN  HATI KITA SATU  HARI NANTI.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan