Sabtu, 21 Januari 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS / KUASA DOA AYAH DAN IBU



PELUANG

Apabila dua orang muridku telah menjadi johan  bercerita kisah nabi di peringkat negeri Melaka,  pihak Unit Pendidikan Khas telah memberi peluang kepada guru besar sekolahku  untuk mengiringi kontigen tilawah  pendidikan khas ke peringkat kebangsaan.


Pada masa yang sama guru besar tidak ada di sekolah kerana pergi sambung belajar.  Maka GPK 1 meminta aku menggantikan tempat tersebut. Baginya ianya satu penghargaan kepadaku  yang  telah penat melatih ke dua-dua murid itu. 

Oleh kerana pemergianku adalah atas tiket guru besar,  maka tempat tinggalku adalah bukan dengan murid-murid dan guru-guru lain di asrama, tetapi sebaliknya di  tempat penginapan yang berdekatan . Kenderaan mengambil  dan menghantarku  ke tempat pertandingan akan disediakan  oleh pihak penganjur.

TIDAK  SELESA

Aku   tidak  selesa dengan keputusan itu.   Aku lebih suka jika dapat bersama anak-anak muridku  kerana dapat membantu  apa  yang perlu  sebelum mereka naik   ke pentas. Setelah membuat perbincangan,  akhirnya  aku  telah  dibenarkan  seasrama  dengan murid-murid  dan guru-guru  lain.

HARI PERTANDINGAN

Tiba   hari  pertandingan aku dan seorang lagi rakan guru mengiringi   peserta bercerita di bilik  yang telah ditetapkan.   Semasa   peserta lain  sedang  bercerita  kulihat murid lelakiku (kugelarkan  MI) kelihatan resah   sekali.

Tiba-tiba  dia  mengajak aku keluar dari bilik itu atas alasan ingin berlatih bercerita.  Aku bersetuju dan berjalan keluar.  Dia mengekoriku dari belakang.  Setelah menemui satu tempat  yang tidak  kelihatan orang lalu lalang aku pun meminta dia mulakan latihan bercerita.

AYAT   TUNGGANG  TERBALIK

Ku lihat dia semakin resah dan dahinya mula berpeluh.  Maksud-maksud ayat quran yang disebutkan  mula tunggang terbalik.  Aku  juga mula resah  melihat keadaannya.  

Aku cuba menenangkannya  dengan meminta dia banyak berselawat dan bertenang.  Berselawat ke atas nabi  adalah  penawar yang selalu kuberikan kepada anak-anak muridku apabila mereka ingin menyertai apa-apa pertandingan. Dari  sini insyaallah mereka boleh mengawal ketakutan.

HUBUNGI  IBU BAPA

Nampaknya ia kurang berhasil.  Aku berdoa dalam hati agar anak ini diberi kekuatan oleh Allah.  Tiba-tiba aku terfikir untuk menghubungi ibu bapa MI.  Setelah  dapat  menghubungi mereka kujelaskan  secara ringkas  apa yang sedang  berlaku.

Kuserahkan telefon bimbitku kepada MI  dan meminta  dia  berbual  sendiri  dengan ibubapanya.  Lama juga kubiarkan dia berbual.  Kulihat dia mengangguk-angguk  seolah-olah faham dengan apa yang dikatakan oleh kedua-dua ibubapanya.

KUASA  DOA IBU

Sebelum mematikan talian telefon aku sempat berpesan kepada  ibu bapa MI agar mendirikan solat hajat dan doakan agar MI dapat bercerita dengan baik  semasa  tiba   gilirannya sebentar lagi.

Setelah itu kulihat  peluh di dahinya telah mula berkurangan.  Oleh kerana  rungsing  gilirannnya akan sampai sebentar lagi aku terus mengajak MI masuk ke  dalam bilik pertandingan. 

Melihat dia bercerita di atas pentas  aku terbayangkan keadaan  yang baru berlaku sebentar tadi di luar bilik.  Betapa kuasa doa ibubapa telah membantu MI  menyudahkan ceritanya dengan baik dan tidak ada kesalahan langsung.  Dia mendapat  tempat ketiga dalam pertandingan itu dengan hanya ketinggalan satu mata dari peserta kedua.

DOA IBU BAPA ADALAH SUATU PERKARA YANG AMAT BERHARGA  KEPADA KITA SEMUA.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan