RUJUK
Pada suatu hari semasa mengajar di SKUP, aku ditemui oleh seorang lelaki lingkungan umur 30 an di pejabat PPKI. Setelah memikirkan yang lelaki ini ingin membuat pendaftaran anak ke program pendidikan khas, akupun meminta dia memberikan kepadaku surat-surat yang sepatutnya kuterima.
Kulihat pada wajahnya seperti ada yang tidak kena. “Tak ada surat cikgu” jawabnya. Aku melihatnya dengan wajah kehairanan.
Lelaki dihadapanku itu bukan orang sembarangan, tetapi macam orang terpelajar. Masalahnya mengapa dia agak sukar hendak menjelaskan kepadaku maksud kehadirannya yang sebenar jika bukan untuk mendaftar di PPKI.
Selang beberapa minit kemudian baru dia memberi penjelasan bahawa dia diminta merujuk masalah yang dihadapi oleh anaknya (berusia 7 tahun, dalam darjah 1) kepadaku oleh seorang guru daripada sebuah sekolah lain. Anaknya dikatakan oleh guru-guru sebagai haiper aktif.
Dia juga telah bertindak membawa anaknya untuk menjalani pemeriksaan doktor pakar. Keputusan masih belum diperolehi kerana doktor pun tidak tahu nak mengesahkan ketegori masalah yang dihadapi oleh anaknya.
OK SAHAJA
Oleh kerana aku ingin melihat sendiri anaknya, maka dia bergegas kekereta yang diletak di hadapan sekolah untuk menjemput anak dan isterinya menemuiku. Apabila tiba di pejabat aku meminta pasangan suami isteri itu duduk bersamaku untuk sesi perbincangan seterusnya dan kuminta dia biarkan anak perempuannya bermain sendiri.
Ku lihat anak comel itu tidak langsung menunjukkan dirinya ada masalah-masalah tertentu. Sambil berbual aku memerhatikan gelagatnya. Dia nampak cerdik dan OK sahaja.
DAPATKAN MAKLUMAT
Setelah mendapatkan maklumat tentang perkembangannya semasa belajar di pra sekolah samada dalam bidang pelajaran, motor kasar , motor halus, urusdiri dan tingkahlaku, aku meminta anak itu membuat Instrument Penentuan Penempatan (IPP) yang ada dipejabatku. Tidak sampai beberapa minit semuanya selesai.
Anak ini telah boleh menguasai 3M dengan baik. Semasa berumur 6 tahun pernah belajar di sebuah tadika swasta yang memang terkenal. Sebagai anak tunggal dia cuma nampak manja sedikit.
PENJELASAN
Aku mencongak dalam fikiran bagaimana anak ini boleh diCOP sebagai haiperaktif, sedangkan dari mata kasar macam pintar cerdas.
Menurut bapanya cikgu selalu kata dia ganggu orang lain dan tidak boleh duduk diam apabila telah selesai tugasan yang diberi oleh gurunya. Merayau-rayau di dalam kelas dan di kantin.
Ibu bapanya mula faham semua penjelasanku. Sebagai kanak-kanak cerdik dia akan buat hal untuk menarik perhatian guru . Oleh kerana semua yang diajarkan oleh gurunya telah diketahui, dia terasa bosan dan mula berjalan-jalan serta mengganggu rakan lain.
Guru yang tidak memahami terus mengatakan dia haiperaktif. Sepatutnya guru menyediakan bahan pembelajaran yang lebih mencabar sebagai pengayaan pada murid dan bukan yang sama dengan murid-murid lain yang belum boleh membaca dan mengira.
CADANGAN
Oleh kerana sekolah itu sekolah kecil yang hanya ada satu kelas maka aku mencadangkan ia dipindahkan ke sebuah sekolah berdekatan. Di sekolah tersebut muridnya ramai, anak ini dapat bertanding dalam pelajaran dengan lebih ramai murid-murid yang cerdik. Dari sini masalah suka ganggu orang tidak akan timbul kerana dia sibuk dengan tugasan sendiri yang lebih mencabar.
Kuberikan kepada pasangan ini nama GPK 1 di sekolah tersebut untuk berbincang tentang perkara yang kucadangkan. Kebetulan aku kenal rapat dengan GPK itu. Pesanku kepada meraka “Katakan pada puan GPK 1 aku yang cadangkan anaknya masuk sekolah tersebut dan kalau boleh tempatkan anak itu dalam kelas pertama daripada 5 buah kelas yang ada di sana.
BERHASIL
Alhamdulillah, cadanganku membuahkan hasil. Anak ini sebenarnya cerdik dan bukan haiperaktif. Dia menimbulkan masalah tingkahlaku kerana telah bosan dengan pelajaran yang telah diperlajarinya dan tidak mencabar mindanya. Sebenarnya dia inginkan sesuatu yang baru.
Selang beberapa minggu ibunya menemuiku. Dia mengucapkan terima kasih dan gembira kerana anaknya tidak jadi OKU.
JANGAN MUDAH OKUKAN ANAK ORANG. SEBAGAI GURU KITA MESTI FAHAM KEHENDAK PENDIDIKAN KEPADA SEMUA MURID-MURID YANG KITA TERIMA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan