JANGAN SALAH
Sebelum ini aku ada menyatakan bahawa semua guru tidak kira di aliran perdana mahupun di pendidikan khas jangan begitu mudah mengOKUkan anak-anak murid yang datang ke sekolah.
Usahakan sesuatu jika ianya boleh dibantu agar perkataan OKU tidak dilabel tersalah tempat. Jangan disebabkan kelemahan kita dalam pengajaran dan pembelajaran anak-anak ini yang menjadi mangsanya.
Mana ada ibubapa yang ingin anak mereka dilabel OKU. Perbincangan dengan mereka adalah perlu apabila guru-guru menghadapi anak-anak murid yang mempunyai masalah tingkahlaku di aliran perdana.
Guru di aliran perdana seharusnya tahu serba sedikit tentang masalah-masalah yang dihadapi oleh murid-murid yang baru masuk sekolah dan berusaha untuk mencari jalan penyelesaiannya jika boleh.
Mengenali ramai guru di pra sekolah kerajaan dan swasta telah memberi peluang kepadaku mengetahui bahawa ramai murid-murid yang berada di pra sekolah sekarang menghadapi berbagai masalah tingkahlaku tetapi hakikatnya mereka bukan OKU.
DIRUJUK
Jika sebelum ini aku dirujuk oleh sepasang suami isteri kerana masalah anak perempuannya yang dikatakan haiper, biacaraku kali ini ialah tentang sepasang suami isteri yang merujuk anak lelakinya pula yang dikatakan bermasalah pembelajaran “slow learner”.
Anak ini kugelarkan namanya F. F sedang belajar dalam tahun 1 di sebuah sekolah besar dan terkenal dengan kepandaian murid-muridnya. Dia telah boleh menulis tetapi lambat. Dia telah menganal abjad a-z serta boleh membaca perkataan kvkv.
Dalam matematik pula dia telah mengenal nombor 1-10 dengan tepat. Malangnya kerja-kerja bertulisnya di dalam buku memang tidak kemas. Banyak kerja-kerja yang tidak selesai serta ditandakan merah oleh gurunya. Selain itu dia juga memahami arahan dan dapat menjawap semua soalan-soalan lisan yang kuberikan kepadanya. Sepertimana biasa kuminta ibunya membiarkan F bermain atau melakukan aktiviti sendiri tanpa ditegur sementara perbincangan dibuat bersamaku. Aku memerhati gerak-gerinya. Dia tidak nakal. Semasa diberi Instrument Penentuan Penempatan kulihat F dapat buat semua soalan di dalam IPP itu dengan baik walaupun dia mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkannya.
MASALAH BESAR
Daripada perbualan yang kulakukan dengan ibubapanya aku dimaklumkan bahawa F tidak boleh berdikari. Tidak mahu masuk kelas pada waktu pagi. Kadangkala ibunya terpaksa menunggu di hadapan kelas. Kerja-kerja bertulis di dalam kelas tidak pernah berjaya disiapkannya. Pada waktu rehat ibunya terpaksa membantunya membeli makanan di kantin. Dia tidak tahu membeli makanan sendiri. Dia juga kerap buang air besar di dalam seluar.
Dengan segala masalah yang dia ada juga telah menyebabkan dia sering dibuli oleh rakan-rakan lain . F tidak tahu cara untuk mempertahankan dirinya.
RUMUSAN
Rumusan yang kudapati selepas sesi temuduga dengan ibunya, pemerhatian keatasnya lebih kurang satu setengah jam ,dilengkapi dengan merujuk buku-buku latihannya dan keputusan daripada IPP yang dilaksanakannya aku dapati F bukan murid pendidikan khas.
Semua masalah yang timbul itu berpunca daripada perbezaan penguasaan pencapaian kemahiran pembelajaran antara F dengan rakan-rakan sekelasnya. Sebagai sebuah sekolah besar yang muridnya memang pandai-pandai belaka menyebabkan F tidak dapat menandingi mereka dan menjadi tertinggal.
Guru-guru juga tidak dapat memberi perhatian kepada F disebabkan bilagan murid yang terlalu ramai.
Dia baru boleh membaca perkataan kvkv sedangkan kawan-kawannya telah boleh membaca petikan panjang.
F juga lambat semasa menulis, itu puncanya tulisan jadi tunggang terbalik kerana dia cuba menulis dengan cepat untuk menghabiskan latihan yang diberikan, padahal kesediaan untuk menulis dengan baik belum dikuasainya.
JIKA TERLAMBAT
Bagiku jika terlambat dibantu aku risau F akan berada di kelas pemulihan khas dan mungkin tidak mustahil akan berada di dalam program pendidikan khas. Setelah membuat perbincangan tentang kesediaan ibubapanya, aku memberi cadangan agar F dipindahkan ke sekolah kecil yang bilangan muridnya tidak ramai. Dari situ F boleh mendapat perhatian yang lebih daripada guru-guru. Sekaligus F dapat dibantu agar masalah yang dihadapinya tidak dapat menjadi semakin serius.
KEBENARAN GURU BESAR
Setelah membuat perbincangan dan mendapat kebenaran daripada guru besar akhirnya F dipindahkan ke sekolahku mengajar. Dalam taklimat ringkas kepada guru-guru yang akan mengajar F aku minta mereka berusaha untuk sama-sama membantu F dalam pelajaran dan cuba membantu F menangani masalah yang dihadapinya.
Aku juga minta mereka berbicang dengan ibu F dan merujuk kepadaku jika berlaku sebarang masalah di dalam bilik darjah.
BERJAYA
Alhamdulillah, respond yang amat positif aku dapat daripada guru-guru di SKUP tentang perkembangan anak ini. Segala masalah yang ada pada dirinya sebelum ini menurut guru-gurunya semakin berkurangan.
Dia terselamat daripada masuk ke program pendidikan khas. Perkembangan terkini daripada Fa tidak lagi aku ketahui kerana F telah dibawa berpindah ke negeri Selangor sebelum aku juga berpindah ke SKBC.
GEMBIRAKAN HATI ORANG LAIN, INSYAALLAH ALLAH AKAN GEMBIRAKAN HATI KITA SATU HARI NANTI.