SUAMI BERSARA
Sebaik sahaja suami bersara daripada angkatan tentera, aku membatalkan niat untuk terus berkhidmat di negeri N. Setelah memikirkan keadaanku yang sedang mengandung, bersama 3 lagi anak yang masih kecil suami telah membuat keputusan agar aku dan anak-anak pulang ke kampung. Rumah yang telah kami beli disewakan sahaja. Manakala suami pula akan meninggalkan aku selama 18 bulan kerana mengikuti kursus peralihan di PERHEBAT Sungai Buloh Selangor.
Kebetulan dipermudahkan oleh Allah, apabila dapat pulang ke kampong, aku ditempatkan di sebuah sekolah yang berdekatan dengan kampungku dan mempunyai sebuah program pendidikan khas.
Berdebar juga hati ini apabila memikirkan aku akan berada sekali lagi di tempat baharu. Meskipun ianya adalah sekolah ke limaku, namun aku tahu yang cabaran akan datang juga dalam aku menyesuaikan diri dengan orang baru sebagai guru pendidikan khas.
SEKOLAH BAHARU
Perjalanan daripada rumah ke sekolah tidaklah jauh . Aku hanya mengambil masa lebih kurang 10 minit untuk sampai ke destinasi. Pagi itu sebaik sahaja masuk ke dalam kawasan sekolah kulihat guru besar telah berada di koridor hadapan pejabat. Guru besar itu adalah orang yang biasa kukenali. Dia juga adalah sifu kepadaku sepanjang aku bergelar guru KBSR.
Setelah meletakkan kereta aku menuju ke pejabat untuk melaporkan diri. Setelah urusan di pejabat selesai, aku menuju ke bilik guru. Sesampainya di sana aku agak terkejut kerana bertemu dengan bekas guru Agama Islam yang pernah mengajarku di sekolah rendah. Terpancar cahaya gembira di wajah ustazah itu. Aku bersalam dan mencium tangnnya. Dengan wajah ceria dia berkata kepadaku. “Tahniah, awak ikut jejak saya, walaupun berlainan jurusannya, saya bangga dengan awak”.
Sebenarnya pada hari yang sama aku mendaftar merupakan hari mesyuarat guru kali pertama sekolah tersebut. Keadaan bilik guru riuh rendah dengan sembang guru-guru sebelum mesyuarat bermula. Aku cuma mendiamkan diri dan memerhati sahaja kerana belum biasa dengan mereka semua.
Sebaik sahaja guru besar masuk dan memberi salam, keadaan bilik guru menjadi sunyi sepi. Itu tandanya semua guru telah bersedia untuk mesyuarat dimulakan. Guru besar memberikan ucapan alu-aluan. Seterusnya dia memperkenalkan aku sebagai guru baharu melapor diri di Kelas Bermasalah Pembelajaran. (nama bagi PPKI sebelum ini)
Aku amat terkejut dengan sepotong ayat yang diucapkan olehnya semasa memperkenalkan aku. “Saya harap sebagai guru di Kelas Bermasalah , awak tidak akan menimbulkan masalah “. Semua guru ketawa besar.
Apakah ertinya…..
KERANA NILA SETITIK ROSAK SUSU SEBELANGA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan