Isnin, 19 Mac 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ ANGKAT RAK KASUT

Untuk  membuatkan  semua  warga  sekolah  memahami apakah itu   program pendidikan  khas  bukanlah   satu   perkara  mudah  buatku  di awal  proffesionku   dalam bidang  ini.   Jauh   sekali  untuk   memberi    kefahaman  kepada    mereka   tentang  ciri-ciri   murid  pendidikan  khas  yang  ada di programku.
Faktor pengalaman   dan ilmu  pengetahuan   yang  terlalu  cetek   menghadkan   tindakanku .   Untuk  bercakap   tentang  masalah  muridpun  aku  terpaksa merujuk  kepada  nota-nota  yang  dibekalkan  oleh  pensyarah.  
Contoh-contoh  persekitaran  juga  tidak  banyak   yang  boleh  aku gunakan sebagai  sumber  maklumat   kepada  warga   sekolah.  Ditambah  lagi   dengan  kurang  fasihnya  aku  memahami  Bahasa  Inggeris  kerana pada  masa  itu  bahan  rujukan  boleh  dikatakan  semuanya   adalah    dalam  bahasa  tersebut.
Maklumat    yang gagal    aku  sampaikan  ini  telah  menutup  ruang  kepadaku  untuk memberi   kefahaman   kepada  warga   sekolah tentang  tanggungjawab  mereka. Tanggungjawab  yang  kumaksudkan  ialah  tanggungjawab  dalam   membantuku menangani  masalah-masalah  tingkahlaku  anak-anak muridku  ketika   mereka berada   diluar  bilik   darjah  terutamanya  pada  waktu  rehat.
BIARKAN   SAHAJA
Tidak  kira  samada guru  atau  murid, mereka     akan  membiarkan  sahaja  jika   anak-anak muridku terlepas   masuk   dan  membuat   kacau  di  dalam  bilik darjah  di  aliran  perdana.   Ada  juga   yang   bertindak  sebaliknya.   Tetapi  tindakan  guru  itu  juga  tidak  tepat.  Aku  pernah   merasa  kecil  hati  apabila terlihat  anak muridku sedang  berlari  kerana dikejar oleh  seseorang  guru    dengan  menggunakan  pembaris  panjang  semata-mata  murid  itu  masuk  ke dalam  kelas  aliran  perdana  pada  waktu  rehat.
Selain  daripada  kisah  di atas,   aku  ingin menulis   satu  kisah  lagi. Ianya  tentang  seorang  murid  perempuan  yang  bermasalah  down syndrome.  Murid   ini  telah  mengangkat  rak kasut dan menghantarnya  kepadaku  yang  sedang  makan  dikantin.   Mungkin  pembaca boleh  membayangkan  keadaan pada  masa itu. Memang  agak  kelakar  membayangkan  murid  itu  membawa rak  kasut  berisi  beberapa  pasang  kasut  melintasi    2 buah  bilik  darjah,  sebuah  bilik guru  dan  sebuah pejabat  semata-mata  ingin  memberikannya   kepadaku yang   sedang   cuba  untuk   menghabiskan  baki  makanan  di  kantin sekolah.
Dalam  senyum  sebenarnya  pada  masa  itu  hatiku  menangis  sedih  kerana  adalah mustahil  tidak  ada seorangpun  warga sekolah  yang  melihat  dan cuba  menegur  murid  itu. Selera  makanku  terus berhenti. Ku arahkan  rak itu  dibawa semula ke  kelas. 
Memang  sedih apabila   apabila   mengenangkan  semua  itu.   Tetapi   seperkara   yang  aku  sendiri   menyedarinya  ialah  semua ini    berpunca   daripada  kesalahanku  sendiri.    Kegagalan   menyampaikan   maklumat  yang    tepat   telah   mengundang     masalah    kepadaku   dan  murid-murid  di  program pend  khas.  Sebenarnya    warga   sekolah  tidak   dapat   membantuku  kerana  mereka  tidak   memahami   apakah   sebenarnya  kehendakku   dan    murid-murid  ini.  

APABILA  MENCEBURI   SESUATU  BIDANG  KITA  PERLU MEMAHAMINYA   SECARA   LEBIH   MENDALAM…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan