KENANGAN MENGUSIK JIWA
Kenangan tetap mengusik jiwa apabila mengimbas kembali saat-saat mula membuka program pendidikan khas pada tahun 1992. Kadangkala aku tersenyum sendiri memikirkan betapa ceteknya ilmu dan pengalamanku pada masa itu.
Banyak perkara terutama dari segi pengurusan tingkahlaku gagal aku tangani. Segala yang kupelajari selama satu tahun di MPIK terasa kurang membantuku dalam bidang ini. Ini ditambah lagi dengan terhadnya sumber rujukan yang boleh kubuat pada masa itu.
Meskipun begitu, dapatan daripada percubaanku menyelesaikan sesuatu masalah tingkahlaku yang ditimbulkan oleh anak-anak ini amat bermakna dan berharga dalam kehidupanku sebagai guru pendidikan khas. Memang ada kebenarannya pepatah pujangga mengatakan bahawa pengalaman adalah guru paling baik dalam kehidupan.
MURID HAIPERAKTIF
Tulisanku kali ini adalah bagaimana cara aku menangani seorang murid yang mempunyai masalah tingkahlaku haiperaktif agresif dan suka mencederakan diri sendiri. Murid perempuan berbangsa Melayu ini telah berusia 9 tahun semasa mendaftar di programku. Dia kugelarkan F.
F adalah anak sulong dari sebuah keluarga yang agak berada juga. Sikap haiperkatifnya amat mencabar kesabaranku. Dia sering memukul dan menarik rambut rakan-rakannya sebaik sahaja berpeluang. Jika dia ditegur atau dimarahi dia akan meludah pula. Aku juga sering menerima ludahannya.
Apabila time out kubuat ke atasnya dia akan bertindak mencederakan diri sendiri . Dia akan menggigit tangannya sendiri hingga berdarah. Dia sentiasa memerlukan perhatian 100% daripadaku. Dalam ertikata lain, dia memang tidak boleh lepas langsung daripada pandangan mataku walaupun seminit.
Aku terpaksa meletakkan dia disebelahku sepanjang waktu persekolahan. Mulut tidak pernah berhenti menegurnya. Tanganku pula tidak dapat berhenti menghalangnya daripada mengganggu rakan lain. Aku tidak dapat mengajar sambil berdiri sebaliknya hanya boleh duduk di atas kerusi disebelahnya, Ini adalah kerana apabila aku berdiri dia juga akan bangun daripada tempat duduknya dan bertindak agresif kepada sesiapa sahaja yang berdekatan dengannya.
Bagi mengatasi masalah ini aku akan menyediakan bahan pembelajaran terlebih dahulu sebelum sesi pembelajaran bermula. Ini dapat mengelakkan aku daripada meninggalkan tempat duduk. Murid lain akan bergilir datang kepadaku untuk mendapatkan bantuan manakala F akan sentiasa berada disebelahku sepanjang masa pembelajaran.
Kalau aku ke pejabat dia akan ikut serta dan kalau ke tandas juga perkara yang sama akan berlaku. Dari dalam tandas namanya sesekali akan kupanggil bagi memastikan dia tidak berlari keluar. Aku akan memberi dia pujian atau pelukan jika dia dapat mengawal diri dari berlari keluar daripada tandas semasa aku sedang membuang air.
Memang terpaksa kulakukan meskipun Islam tidak menggalakkan bercakap di dalam tandas. Demi keselamatan murid-murid lain aku terpaksa berbuat demikian. Ini adalah kerana pada masa itu aku hanya seorang diri mengajar anak-anak ini daripada 7.45 pagi sehingga 12.05 tengah hari.
Sebenarnya kepantasan F amat mengagumkan aku. Dia akan berlari tanpa arah tujuan jika terlepas daripada tanganku. Aku khuatir juga kerana sekolah tempatku bertugas itu dekat dengan jalan besar.
Pernah terjadi semasa aku sedang berbincang dengan seorang rakan guru atas urusan sekolah, tangannya terlepas daripada tanganku. Dalam sekelip mata dia telah hilang dari padanganan , Selepas puas mencari , dia kutemui telah berada di kantin sekolah.
Puas aku memikirkan bagaimana hendak membantu F. Jika ditinggalkan dalam kelas jika aku ada urusan lain, dia akan mencederakan rakan-rakannya. Kelas akan jadi huruhara dibuatnya. Jika kubawa pula kadangkala terlepas lari.
Akhirnya aku mendapat satu idea. Aku telah meminta F memegang bajuku setiap kali aku ada urusan di luar kelas. Aku nyatakan kepadanya bahawa aku akan lari kalau dia tidak berbuat demikian.
Ruapanya usahaku ini berjaya dan F tidak lagi terlepas apabila aku membawanya ke mana-mana di luar bilik darjah. Dia asyik memegang bajuku kerana menyangka aku benar-benar akan lari jika dia tidak berbuat demikian.
KADANGKALA SESUATU TINDAKAN TERPAKSA DIBUAT MESKIPUN TIDAK PATUT ATAS MAKSUD KEBAIKAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan