Sabtu, 3 Mac 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/KISAH IBU BAPA 3


PILIH  MURID
Apabila   melaksanakan program   baharu,  aku  terpaksa  memilih  sendiri   murid-murid  untuk  dimasukkan  ke programku.   Setelah  berbincang  dengan  guru  pemulihan  khas  dan guru kelas aku  berjaya mengenal  pasti     6   orang  murid yang layak  termasuk  seorang  murid  lelaki  berusia 10 tahun  untuk dimasukkan  ke program pendidikan khas.
Setelah   ujian saringan  dibuat  ke  atas  mereka  semua ,   aku  menghantar surat  kepada   ibu bapa   untuk   memohon  kebenaran  bagi pemeriksaan  dan pengesahan  doktor  diikuti  kebenaran  memasuki  progam  pendidikan khas.   Lima  orang  murid    telah memberikan jawapan  kecuali  murid  lelaki  ini. 
Di  suatu  awal pagi  aku  dikunjungi  oleh  bapa  kepada  murid  lelaki tersebut.  Persoalan yang  dikemukakan  kepadaku  agak  memeranjatkan juga.   “Kenapa  cikgu  nak masukkan  anak  saya  ke kelas  pendidikan  khas, sedangkan anak saya  tidak   cacat”?
Aku  agak  tergagam untuk  menjawabnya.  Walaubagaimanapun  aku cuba  bertenang  dan  mengeluarkan  semula bahan ujian  yang telah  kuberikan kepada anaknya.   Aku  meminta  bapa  tersebut  membuat  semula  ujian itu  kepada anaknya dihadapan kami berdua.
Setelah  beberapa  soalan  yang  tercatat  didalam ujian tersebut gagal  untuk dijawab oleh anaknya,  bapa  itu kulihat  mula mengalah.  Suaranya   yang tinggi  tadi  telah  mula  rendah.     Dia  dengan  rasa  agak keliru  bertanya  kembali  kepadaku  mengapa  anaknya  hendak ditempatkan di program pendidikan khas sedangkan  anaknya  tidak cacat. Dalam pemahamannya program pendidikan khas  itu hanya untuk  murid yang cacat.
PENERANGAN
Ternyata  bapa  ini sebenarnya  tidak faham  mengapa  anaknya  terpilih   untuk  memasuki  program pendidiikan khas.   Untuk  memberi   kefahaman kepadanya  sebelum dia bergerak balik aku  menerangkan   keadaaan  sebenar. 
 Kujelaskan   kepadanya  bahawa murid-murid  yang  dimasukkan ke program pendidikan  khas bukanlah  murid  yang cacat anggota sahaja.   Murid-murid yang lambat  menerima pelajaran  juga layak untuk  masuk   ke program pendidikan khas. 
Dari  penilaianku  umur  mental  anaknya pada masa ujian itu  dibuat  sama seperti  murid  tujuh tahun  walaupun umur  hayatnya  pada masa  itu telah menjangkau    sepuluh  tahun. Dia  dalam kategori  slowlearner.
Bapa itu  mula  faham  setelah  mendengar  penjelasanku.   Sebelum  beredar  pergi  dia  sempat berkata. “ Terima kasih  cikgu.   Saya  sudah  faham sekarang, jadi  saya  serahkan  anak saya  ini untuk diajar  oleh  cikgu.” Aku  lega  kerana  berjaya  menyelesaikan  satu masalah.
Dari   sini  membawa  aku  berfikir  bahawa  semua  perkara  akan  menjadi  lebih  mudah  jika  pelaksanaannya adalah mengikut  seperti  yang telah  ditetapkan.   Kita juga  perlu  faham  dengan tugasan yang sedang kita laksanakan disamping  perlu  membuat   dokumentasi  yang lengkap   agar ianya  mudah  dikemukan semula  apabila  perlu.

AKU  TERINGAT  BAHAWA  SELEPAS  SEBULAN  BERADA  DI PROGRAM PENDIDIKAN KHAS GPK KO-KURIKULUM  MEMBERITAHU  KEPADAKU BAPA  INI  TELAH  MENEMUINYA SEMASA MINUM  DI KEDAI KOPI  DAN MENGUCAPKAN  TERIMA  KASIH  KEPADA  SEKOLAH KERANA  ANAKNYA  TELAH  BANYAK BERUBAH.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan