ANAK ISTIMEWA
Bukan semua orang mahu berkongsi masalah dengan orang lain apabila ditimpa ujian dikurniakan akan istimewa. Selama terlibat dengan anak-anak ini dapat kurasakan bahawa ada diantara ibu bapa yang malu dan masih berselindung dalam berkongsi masalah. Sikap ini telah menghalang mereka daripada mendapat maklumat tepat tentang keperluan anak-anak istimewa.
Aku boleh memahaminya. Betapa mereka rasa begitu hampa, malu dan tertekan dengan kehadiran anak-anak ini. Walaupun mereka perlukan sokongan daripada ahli keluarga dan masyarakat sekeliling, namun tindakan mendiamkan diri ataupun membuat rujukan pada sumber yang salah telah menghalang mereka daripada mengetahui perkara yang sepatutnya yang di perlukan oleh anak-anak mereka.
SATU KISAH
Bercerita tentang membuat rujukan pada sumber yang salah, aku ingin menulis tentang satu kisah sepasang suami isteri yang mempunyai seorang anak istimewa.
Anak ini dirujuk kepadaku oleh ibubapanya melalui anak sulongku. Anak sulongku mengenali pasangan ibubapa ini di sebuah madrasah. Setelah menetapkan hari dan waktu yang sesuai, pasangan ini membawa puteranya bertemuku untuk tujuan ujian pengesanan.
TEMUBUAL
Selepas ujian pengesanan kulakukan ke atas anak lekaki yang berusia 10 tahun ini, aku dapati dia menghadapi masalah haiperaktif dan tumpuan serta daya ingatan yang amat singkat. Dia masih belum boleh menulis, tidak mengenal huruf serta nombor.
Bagiku, corak pendidikan yang diterima tidak bersesuaian dengan masalah yang dihadapinya. Tindakan pasangan ini menempatkan dia di sebuah madrasah kurang tepat. Aku memberi pandangan kepada pasangan ini bahawa untuk menghafal al-quran sekalipun, anak ini perlu dibantu mengatasi masalah tingkahlakunya terlebih dahulu. Dia tidak akan berjaya untuk menjadi seorang hafiz al-quran jika tingkahlaku haiperaktifnya tidak diubah .
HAIRAN
Aku agak hairan dengan tindakan pasangan ini menyimpan anaknya terlalu lama tanpa cuba menghantarnya ke program pendidikan khas. Ini adalah kerana dapatan melalui temubual dengan pasangan ini membuktikan mereka sebenarnya telah dapat mengesan awal putera mereka mempunyai masalah dalam pembelajaran.
Jawapan ikhlas daripada bapanya amat mendukacitakan hatiku. Menurut bapanya sebelum itu, dia ada bertemu dan bertanya kepada beberapa individu tentang apakah kesannya jika anak itu dihantar ke program pendidikan khas. Dapatan yang diterima ialah, anaknya akan jadi lebih teruk daripada keadaan yang ada jika perkara itu berlaku.
Ini adalah kerana di program pendidikan khas, anaknya akan ditempatkan bersama anak-anak cacat yang lain. Baginya jika ini berlaku pasti keadaan anaknya akan menjadi lebih serius daripada masalah sebenar.
BETULKAN
Aku membetulkan sangkaan yang ada pada ibubapa ini. Sekali lagi aku bersua dengan ibubapa yang masih kurang faham dengan program pendidikan khas. Setelah mendapat penjelasan panjang lebar daripadaku, akhirnya pasangan ini bersetuju untuk mendaftarkan anak mereka ke progam pendidikan khas .
Tindakan yang kuambil seterusnya ialah menyediakan lapuran bertulis berdasarkan ujian yang kubuat dan meminta pasangan ini membawa anak mereka ke hospital untuk mendapatkan pengesahan tepat daripada doktor.
Daripada kisah ini aku dapat merasakan bahawa anggota masyarakat masih kurang pengetahuan tentang program pendidikan khas. Oleh itu sebagai orang yang terlibat dengan insan-insan istimewa ini, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk menerangkan agar semua anggota masyarakat dapat memahami dengan lebih mendalam lagi tentang apakah itu PROGRAM PENDIDIKAN KHAS INTEGRASI PEMBELAJARAN.
TIDAK KENAL MAKA TIDAK CINTA….
Tiada ulasan:
Catat Ulasan