Sabtu, 31 Mac 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ NAMUN KUPUNYA HATI


        NAMUN KUPUNYA HATI 
            
Ini   adalah  tajuk  kepada  sebuah  lagu  yang  amat  terkenal  satu  masa  dahulu.   Masa  mula  membuka  program  baharu  inilah  lagu  pertama  yang  akan aku ajarkan  kepada setiap murid  di program  pendidikan  khas.
Kepada murid  yang boleh  bertutur mereka  akan menghafal lagu  tersebut  dengan  gayanya  sekali.  Kepada  yang  bermasalah  pertuturan  pula,  aku  akan memastikan  mereka  mengingat   gayanya  agar  ianya seragam  apabila    persembahan  dibuat.
Setiap  kali ada  persembahan  di peringkat  sekolah,   semua  anak muridku  akan  naik kepentas  untuk  menyanyikan  lagu  ini bersama-sama.  Jika  ada  pelawat  mengunjungi  program,   persembahan  serupa  akan  dilakukan  oleh  mereka.
KEYAKINAN DIRI
Satu  perkara yang  aku nampak nyata  melalui aktiviti  ini  ialah  semua  muridku  makin  yakin pada  kebolehan diri  sendiri. Meskipun  pada permulaannya masih  ada yang  malu-malu  dan  menunjukkan  ketidakyakinan  diri, namun  akhirnya  perasaan itu  semakin hilang  apabila  mereka  semakin  kerap membuat  persembahan  di khalayak ramai.
KENANGAN
Kenangan  masih  terpahat  semasa  aku  mengajar  seorang  murid yang  menghadapi  masalah hydrocephalus  menyanyikan  lagu  ini.  Kalau  dilihat dari fizikalnya  tiada  siapa  akan  menduga akan  kebolehan  yang Allah  kurniakan  kepadanya.   Dia  memiliki  suara  emas.  Aku  sendiri amat   terharu  dan  tidak menduga  langsung  dengan  bakat  yang  ada pada  dirinya.
Dia tidak boleh  membaca, tetapi  punya  daya  ingatan  yang  kuat untuk menghafal. Kekuatan  yang  ada  pada  dirinya  telah  menyuntik  semangatku  untuk  melatih  dia  menyanyi. Dia kulantik  sebagai  penyanyi  solo  dalam kumpulan  ini.
Pandangan matanya  juga  tidak   begitu  jelas meskipun  bebola  matanya  nampak  besar  dan sedikit  terjojol  keluar.  Tidak  terniat  untukku menghina  kejadian Allah.  Cuma aku  boleh  mengingat  kembali  iaitu setiap  kali mengajarnya  menyanyi  aku  akan berkata  kepadanya  “pandang   mulut  cikgu, dengar  betul-betul  apa  yang  cikgu  nyanyikan”.
Apabila  aku  mengajarnya  menyebut  “ tidak  ku pinta lahir  kedunia,  tidak kupinta  cacat begini”    aku  mengucapkan  subhanallah  di dalam  hati  minta Allah  memelihara  kandunganku  sendiri  yang  sedang  membesar.  Memang  mencabar  perasaan  keibuanku  setiap  kali  aku mengajar  dia  menyanyi.
Pun begitu   aku  tetap  teruskan  usaha  membimbingnya  sehingga  lagu  Namun  Ku Punya Hati  ini menjadi  satu  lagu  kegemarannya.
Akhirnya  lagu  itu     telah  menaikkan  namanya.  Ini  adalah  kerana dia  sering  dijemput untuk  menyanyikan  lagu  tersebut  di majlis-majlis  yang  dianjur  oleh Jabatan  Pelajaran  Negeri mahupun  Jabatan  Kebajikan Masyarakat.   Berkat  lagu  itu    rezekinya  juga  murah.  Dia sering  mendapat  sumbangan berbentuk  wang  apabila  selesai  membuat persembahan.
Jauh  di sudut  hati  aku  tidaklah  terniat  untuk  melemahkan semangat  insan  istimewa  melalui  lagu ini.  Apa  yang  aku  fikirkan  ialah  biar  masyarakat  yang normal  sedar  bahawa  insan  istimewa ini   juga  punya   bakat , punya hati  dan  perasaan  yang sentiasa  perlukan  penghargaan.
TERINGAT  SETELAH  AKU  BERTUKAR  SEKOLAH, IBUNYA (KINI  TELAH  MENINGGAL  DUNIA) TELAH  DATANG  KERUMAHKU. DIA  MENANGIS  SEDIH  KERANA ANAKNYA  TIDAK  LAGI  DIPILIH  UNTUK   MEMBUAT  PERSEMBAHAN  SEPERTIMANA  YANG KULAKUKAN.  PERSOALAN  YANG AKU  TAHU JAWAPANNYA. KECACATAN  ANAKNYA  TIDAKLAH  MENGIZINKAN  SEMUA  GURU CUBA  MENDEKATINYA .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan