Sekitar awal tahun 90an kewujudan program pendidikan khas amat sedikit. Di setiap negeri jumIahnya boleh dikira dengan jari. Jika ingin membuat lawatan sambil belajar atau atas tujuan bertukar pengalaman dan penambahbaikan program yang sedia ada, ianya amatlah terhad sekali.
Mungkin disebabkan sudah tidak ada pilihan lain, maka guru-guru pelatih daripada sebuah maktab perguruan berdekatan telah memilih programku untuk tujuan lawatan sambil belajar. Memang berat hati untuk menerima kehadiran mereka. Ini adalah kerana keadaan kelas yang serba kekurangan dan masih belum menerima peruntukan bagi tujuan ubahsuai. Namun demi arahan daripada Jabatan Pelajaran Negeri, aku terpaksa akur.
PERSIAPAN
Persiapan menerima tetamu tetap kulakukan. Pada masa itu aku telah ditemankan oleh seorang guru pemulihan khas yang kugelarkan cikgu N. Cikgu N amat berminat dalam bidang ini. Keperihatinannya terhadap anak-anak ini amat membanggakan aku.
Kami menambah serba sedikit keceriaan kelas, menyemak semula RPI, fail-fail setiap mata pelajran dan semua buku latihan murid-murid. Ianya bertujuan memudahkan pelawat melihat perkembangan pembelajaran murid-murid kami. Cikgu N juga telah berurusan dengan pihak kantin bagi tujuan jamuan untuk yang akan hadir.
Sehari sebelum kehadiran pelawat, berkali-kali aku mengingatkan semua murid agar berkelakuan baik. Kuajarkan kepada mereka cara-cara bersalaman dan memberi hormat kepada tetamu yang akan hadir keesokan harinya.
Aku sedar bahawa ada sebahagian daripada murid-muridku tidak memahami langsung apa yang aku perkatakan. Terutamanya seorang murid perempuan yang bermasalah down syndrome. Dia kugelarkan Y. Y juga seorang murid haiperaktif yang agresif. Kegemarannya ialah berlari keluar daripada bilik darjah apabila pintu terbuka. Selain itu dia juga amat gemar menampar muka orang yang duduk berdekatan dengannya.
TETAMU TIBA
Saat yang dinantikan tiba. Aku terlupa jumlah ahli rombongan yang hadir kerana tidak ada mencacatkannya. Walaubagaimanapun yang kuingat mereka diiringi oleh dua orang pensyarah perempuan. Aku merasa sedikit lega kerana murid-muridku dapat melaksanakan semua pesananku. Ada juga diantara mereka yang nampak kehairanan mengapa ramai sangat orang yang masuk ke kelas mereka, sedangkan sebelumnya tidak ada sesiapapun yang berminat untuk mendekati mereka.
Pengalaman pertama menerima tetamu yang bilangannya yang agak ramai sedikit mencabar. Aku dan rakanku N begitu sibuk melayan segala pertanyaan guru-guru pelatih tersebut.
Y BUAT HAL
Sesekali aku menoleh kearah muridku yang kugelarkan Y. Aku risau dia akan terlepas keluar kerana pintu kelas terbuka luas tanpa ada grill. Walaubagaimanapun kerisauanku terubat apabila kulihat salah seorang daripada pensyarah tersebut telah memimpin Y dan duduk di sebelahnya. Aku agak lega dan mula menyambung semula perbualanku dengan guru-guru pelatih tersebut.
Melihat keadaan Y pagi itu tidaklah memungkinkan dia melakukan sesuatu yang diluar jangkaan. Rupa-rupanya dugaanku tidak tepat. Aku tergamam kerana pada masa yang sama aku memandang kearahnya kulihat dia sedang mengangkat tangan kanan dan menampar pensyarah yang melayaninya bercakap.
Aku berlari untuk tujuan menangkap tangan Y agar penampar kedua tidak berlaku. Aku memohon kemaafan bagi pihak Y kepada pensyarah tersebut. Y juga kuajarkan membuat perkara yang sama. Oleh kerana pensyarah tersebut kulitnya cerah, aku dapat melihat kesan merah bekas jari Y bertanda di pipinya.
Semua yang menyaksikan kejadian itu terpaku tanpa bicara. Ianya berlaku terlalu pantas. Aku rasa amat malu. Walaubagaimanapun, aku amat mengagumi pensyarah tersebut kerana tidak nampak riak kemarahan diwajahnya dengan kejadian itu. Aku memimpin tangan Y duduk disebelahku. Dia langsung tidak menunjukkan reaksi bersalah atas apa yang berlaku. Ini adalah kerana Y memang tidak faham apa-apa.
Inilah pengalaman pertama aku menerima tetamu. Tindakan membiarkan Y bersama orang lain meskipun aku tahu akan tindakan yang mungkin akan dilakukan adalah satu kesilapan besar. Ianya tidak pernah kuulangi lagi selepas itu apabila menerima tetamu.
BELAJARLAH DARIPADA KESILAPAN YANG PERNAH DILAKUKAN, PASTI IANYA TIDAK AKAN BERLAKU BUAT KALI KE DUA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan