Setelah melalui banyak rintangan disebabkan tidak mendapat kerjasama daripada guru-guru di aliran perdana aku mula sedar akan tanggungjawab sendiri. Aku tidak sepatutnya menuding jari kepada orang lain sedangkan memang masalah hadir disebabkan kelemahan diri sendiri.
Akhirnya aku membuat keputusan untuk memberi pendedahan kepada semua guru tentang perkara baru yang aku sedang bawa itu . Setelah berbincang dengan pentadbir sekolah telah ditetapkan satu hari dimana aku diberi peluang untuk menyampaikan maklumat kepada semua guru tentang perjalanan program pendidikan khas, ciri-ciri murid, dan peranan warga sekolah dalam membantu perjalanan program pendidikan khas.
MUDAH
Alhamdulillah, setelah guru-guru menerima maklumat sebenar tentang program pendidikan khas dan apa yang perlu mereka lakukan untuk membantuku, banyak masalah yang dapat aku selesaikan. Kesukaran walaupun tidak hilang semua, tetapi tetap berkurangan.
Untuk murid-murid pula, aku gunakan waktu perhimpunan resmi pada hari Isnin untuk memberi penjelasan kepada mereka tentang apa itu pendidikan khas dan bagaimana murid-murid di aliran perdana dapat membantu aku terutama dalam bidang pengurusan tingkahlaku anak-anak ini apabila mereka berada diluar bilik darjah.
Berkat pendedahan yang aku berikan aku telah mula boleh menginklusifkan murid-muridku ke aliran perdana bagi mata pelajaran pendidikan seni, pendidikan muzik dan juga pendidikan jasmani. Memang terasa sedikit lega apabila aku mendapat kerjasama daripada warga sekolah.
Pada masa rehat juga apabila murid-murid ku menimbulkan apa-apa masalah tingkahlaku, murid-murid di aliran perdana akan memaklumkannya kepadaku. Itu adalah satu petanda telah mula terjalin satu hubungan baik di antara murid-murid perdana dengan murid-murid pendidikan khas.
Banyak perkara yang aku pelajari daripada semua peristiwa yang aku pernah lalui ini.
PENGALAMAN ADALAH GURU PALING BAIK DALAM KEHIDUPAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan