DOWN SYNDROME
Semasa bergelar guru pendidikan khas aku pernah menerima seorang murid perempuan berbangsa Melayu berusia 11 tahun dan bermasalah down syndrome belajar di programku . Murid ini bertukar ke sekolahku kerana mengikut ibu bapanya yang berpindah di kampung berdekatan.
JADUAL FLEXIBLE
Seperti yang kujelaskan sebelum ini, bahawa aku telah menyusun jadual waktu yang flexible di programku. Pada waktu pagi sebelum P&P bermula aku akan menetapkan semua murid-murid perempuan tidak mengira apa juga masalah yang dihadapinya dilatih untuk membuat aktiviti kemahiran mengemas bilik darjah.
Setiap murid akan dibimbing oleh semua guru perempuan mengikut aktiviti tertentu. Ada yang menyapu lantai, mengelap lantai, menyusun peralatan, mengemas dapur, mengemas bilik tidur , menyusun kasut dan sebagainya.
Manakala murid lelaki pula akan ditugaskan bersama guru-guru lelaki di luar program. Mereka akan dilatih untuk mengemas dan menceriakan kawasan luar program pendidikan khas.
Aktiviti ini memberi kesan yang amat positif kepada perkembangan anak-anak muridku di dalam bidang kemahiran hidup mengurus rumahtangga. Ini adalah kerana ianya dilaksanakan berterusan dan bersesuaian dengan kehendak pembelajaran murid pendidikan khas.
KUGELAR N
Berbalik kepada murid baharu yang kusebutkan di atas. Dia kugelarkan N. Ternyata N berdegil dan langsung tidak mahu membuat segala aktiviti seperti rakan-rakan lain. Aku memahaminya . Itu adalah salah satu ciri yang ada pada murid bermasalah down syndrome. Walaubagaimanapun, ianya tidaklah boleh dibiarkan begitu sahaja kerana kesannya akan berpanjangan. Aku merasakan adalah amat perlu aku membantu agar dia mengikut arahan.
N murid yang petah berkata-kata. Aku dan rakan-rakan cuba menegurnya agar ia berubah. Setiap kali teguran dibuat, dia akan menjawab. “Aku bagi tahu bapak aku baru padan muka engkau”. Ayatnya jelas menunjukkan N faham akan kehendak kami tetapi dia tidak mahu melaksanakannya kerana sudah kebiasaan tidak suka mendengar arahan.
Aku sering menjawab semula. “Bagi tahulah cikgu tak takutpun” Adakalanya apabila N mendengar aku menjawab semula dia akan menjeling ke arahku. Apabila dipaksa juga melakukan tugasan dia akan meraung-raung seperti orang yang kena dera.
Keesokan hari selalunya sampai ke sekolah dia akan cakap padaku “ Aku dah bagi tahu bapak aku,padan mukakau”. Aku menasihatinya agar tidak bercakap kasar begitu kepada guru. Namun ianya tidak pernah dihiraukan.
Yang menghairankan aku ialah sikap bapanya yang turut berubah setelah kejadian itu. Rupanya bapanya tidak suka aku mendesak N walaupun pada hakikatnya ia adalah demi kebaikan. Setiap kali berselisih kereta denganku, bapa N akan memandang ke arah lain dan tidak menghiraukan aku yang cuba tersenyum kepadanya.
Dia juga tidak lagi menjemput N di hadapan kelas seperti biasa, sebaliknya hanya menanti di luar pagar sekolah seolah-olah tidak mahu bersemuka denganku . Ternyata dia memang betul-betul tidak menyukai tindakanku.
BUKAN EGO
Tindakan yang kubuat ialah setiap kali aku berselisih kereta dengannya, aku akan memandang ke arah lain terlebih dahulu mungkin sebelum dia bertindak demikian . Segala maklumat untuk bapa N hanya ku pesankan melalui surat di dalam beg N meskipun aku menemui ibubapa lain untuk menyampaikan maklumat.
Dia mungkin dapat membaca akan tindakanku setelah beberapa kali melihat aku bertemu ibubapa lain dihadapannya, sedangkan dia kutinggalkan begitu sahaja.
Lama juga kejadian serupa itu kulakukan. Bukan ego, tetapi perlu dilakukan sekali-sekala atas maksud yang baik. Apapun anaknya tetap kupujuk dan kadangkala kupaksa untuk mengikut arahan. Sebenarnya dalam situasai seperti ini kita jangan mengikutkan sangat kehendak ibubapa. Jika ianya adalah untuk kebaikan teruskan usaha dalam mencapai objektif yang telah disasarkan dalam RPI murid kita.
Sebenarnya bapa N tidak sedar akan kesannya jika masalah berterusan. Aku sebenarnya sentiasa bersedia menunggu untuk menjawab persoalan jika ditimbulkan oleh bapa N berkenaan tindakan yang kuambil terhadap anaknya. Malangnya dia tidak mahu bersemuka dan bertanya.
PERUBAHAN
Apapun aku dan rakan-rakan bangga kerana usaha kami nampak sedikit berjaya. Dalam keadaan yang agak tidak selesa itu N telah mula menunjukkan perubahan. Sedikit demi sedikit dia telah mula mengikut arahan dan mahu membuat tugasan yang diberikan.
Walau aku terpaksa jadi macam budak-budak dalam menghadapi kerenah bapa N tapi aku bangga kerana usahaku dan rakan-rakan akhirnya membuahkan hasil. Sebelum N ke sekolah menengah aku sempat memohon maaf pada bapa N atas segala masalah yang pernah berlaku.
TERKENANG PADA PAGI SYAWAL TAHUN LEPAS SEMASA MENZIARAHI PUSARA AYAHKU, AKU MENEMUI N DAN IBUNYA DISANA, RUPANYA BAPA N TELAH MENINGGAL DUNIA HAMPIR SETAHUN AKIBAT SERANGAN JANTUNG. KUDOAKAN SEMUGA ROHNYA DIRAHMATI ALLAH.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan