NAMUN KUPUNYA HATI
Ini adalah tajuk kepada sebuah lagu yang amat terkenal satu masa dahulu. Masa mula membuka program baharu inilah lagu pertama yang akan aku ajarkan kepada setiap murid di program pendidikan khas.
Kepada murid yang boleh bertutur mereka akan menghafal lagu tersebut dengan gayanya sekali. Kepada yang bermasalah pertuturan pula, aku akan memastikan mereka mengingat gayanya agar ianya seragam apabila persembahan dibuat.
Setiap kali ada persembahan di peringkat sekolah, semua anak muridku akan naik kepentas untuk menyanyikan lagu ini bersama-sama. Jika ada pelawat mengunjungi program, persembahan serupa akan dilakukan oleh mereka.
KEYAKINAN DIRI
Satu perkara yang aku nampak nyata melalui aktiviti ini ialah semua muridku makin yakin pada kebolehan diri sendiri. Meskipun pada permulaannya masih ada yang malu-malu dan menunjukkan ketidakyakinan diri, namun akhirnya perasaan itu semakin hilang apabila mereka semakin kerap membuat persembahan di khalayak ramai.
KENANGAN
Kenangan masih terpahat semasa aku mengajar seorang murid yang menghadapi masalah hydrocephalus menyanyikan lagu ini. Kalau dilihat dari fizikalnya tiada siapa akan menduga akan kebolehan yang Allah kurniakan kepadanya. Dia memiliki suara emas. Aku sendiri amat terharu dan tidak menduga langsung dengan bakat yang ada pada dirinya.
Dia tidak boleh membaca, tetapi punya daya ingatan yang kuat untuk menghafal. Kekuatan yang ada pada dirinya telah menyuntik semangatku untuk melatih dia menyanyi. Dia kulantik sebagai penyanyi solo dalam kumpulan ini.
Pandangan matanya juga tidak begitu jelas meskipun bebola matanya nampak besar dan sedikit terjojol keluar. Tidak terniat untukku menghina kejadian Allah. Cuma aku boleh mengingat kembali iaitu setiap kali mengajarnya menyanyi aku akan berkata kepadanya “pandang mulut cikgu, dengar betul-betul apa yang cikgu nyanyikan”.
Apabila aku mengajarnya menyebut “ tidak ku pinta lahir kedunia, tidak kupinta cacat begini” aku mengucapkan subhanallah di dalam hati minta Allah memelihara kandunganku sendiri yang sedang membesar. Memang mencabar perasaan keibuanku setiap kali aku mengajar dia menyanyi.
Pun begitu aku tetap teruskan usaha membimbingnya sehingga lagu Namun Ku Punya Hati ini menjadi satu lagu kegemarannya.
Akhirnya lagu itu telah menaikkan namanya. Ini adalah kerana dia sering dijemput untuk menyanyikan lagu tersebut di majlis-majlis yang dianjur oleh Jabatan Pelajaran Negeri mahupun Jabatan Kebajikan Masyarakat. Berkat lagu itu rezekinya juga murah. Dia sering mendapat sumbangan berbentuk wang apabila selesai membuat persembahan.
Jauh di sudut hati aku tidaklah terniat untuk melemahkan semangat insan istimewa melalui lagu ini. Apa yang aku fikirkan ialah biar masyarakat yang normal sedar bahawa insan istimewa ini juga punya bakat , punya hati dan perasaan yang sentiasa perlukan penghargaan.
TERINGAT SETELAH AKU BERTUKAR SEKOLAH, IBUNYA (KINI TELAH MENINGGAL DUNIA) TELAH DATANG KERUMAHKU. DIA MENANGIS SEDIH KERANA ANAKNYA TIDAK LAGI DIPILIH UNTUK MEMBUAT PERSEMBAHAN SEPERTIMANA YANG KULAKUKAN. PERSOALAN YANG AKU TAHU JAWAPANNYA. KECACATAN ANAKNYA TIDAKLAH MENGIZINKAN SEMUA GURU CUBA MENDEKATINYA .