Isnin, 16 April 2018

BICARA YB/ MARAH


Alhamdulillah. Diizinkan untuk saya menulis.

Ini adalah kisah lama saya semasa bergelar guru Pendidikan Khas.

Perasaan  marah tidak mudah  untuk dibendung andai murid  
istimewa kita membuat “hal”. Adalah bohong andai saya berkata 
bahawa saya tidak pernah naik tangan ke atas mereka sepanjang 
bergelar guru Pendidikan Khas.

       Namun ada perkara yang ingin saya kongsikan andai kita 
benar-benar marah dengan kelakuan mereka.

      Pertama ialah saya sedaya mungkin cuba menukar emosi
marah dengan menuturkan ayat-ayat kelakar ataupun boleh
mencuit hati sendiri.

      Contohnya pernah sekali, seorang murid saya batuk sewaktu 
sedang makan di hadapan saya sehingga hingusnya jatuh berjurai
dan  masuk ke dalam pinggan makan beliau.

Allah. Hanya Dia yang tahu marah dan kembangnya tekak 
saya yang sedang berselera makan ketika itu.

“Cepat-cepat! Siapa hendak jem!  Cikgu beri, sedap ni!” 

     Itulah ayat yang keluar daripada mulut saya untuk mengubat
kemarahan hati dan keloyaan tekak, sementara tangan mencapai
tisu untuk diberi kepada murid tersebut.

Semua murid yang ada di meja makan  kelihatan geli geleman
dan  menjerit-jerit.

“Tak nak cikgu! Tak nak Cikgu! Tak nak cikgu!

     Ada yang bangun dan lari daripada meja makan. Saya juga turut
tergelak  melihat gelagat  mereka. Kemarahan saya terubat
dan  syaitan gagal mengapi-apikan saya untuk marah.

Begitulah. Adalah lebih baik saya membuat kelakar berbanding
marah, ataupun naik tangan ke tubuh mereka.

     Cara kedua pula ialah,  andai saya terlepas naik tangan juga,
saya akan memeluk mereka semula dan berbisik meminta maaf 
bersungguh-sungguh daripada hati kepada mereka dengan harapan 
mereka memahami.

“Cikgu terpaksa sayang, nak suruh kamu jadi baik.”
“Maafkan cikgu! Maafkan cikgu!

     Itulah saja cara yang saya ada, demi  memohon maaf atas 
kesalahan saya terhadap anak-anak yang tidak berdosa ini. 
Semoga mereka memaafkan saya.

     Saya dapat melihat kesannya. Meskipun saya tegas dan kadangkala
bertukar menjadi seperti “seekor singa”, namun mereka tetap manja
dengan saya.

     Malahan, seorang murid haiperkatif yang kini telah berusia 24
tahun masih menyebut nama dan memujuk nenek beliau 
berkunjung ke rumah saya setiap kali  Hari Raya. Sedangkan,
 dengan beliau saya kadangkala bertukar garang umpama singa.

     Sebagai manusia, saya juga ada sifat marah yang adakalanya 
tidak terbendung. Namun, saya dapat merasakan semakin saya
marah, menjadikan saya tidak tenang dan tidak gembira meskipun
telah pulang ke rumah.

     Andai saya tidak berusaha mengubah sikap diri sendiri,
sehingga bila-bilapun saya tidak akan tenang dan tidak 
gembira untuk mendidik mereka.

     Melalui mereka Allah mendidik saya menjadi seorang yang penyabar. 
Melalui mereka juga Allah mendidik saya untuk menjadi orang yang 
sentiasa bersyukur.

     Saya berdoa agar Allah menerima segala usaha saya mendidik
mereka dan menjadikannya sebagai sumber pahala untuk saya
ke syurga bersama mereka.

      Cadangan yang saya berikan ini mungkin sesuai untuk saya
 ataupun sesetengah guru. Tidak kepada yang lain. Jadi... terserah
 samada mahu digunakan ataupun sebaliknya.

     Namun, ada yang lebih penting untuk kita lakukan untuk mengawal
emosi marah kita.
Istighfar...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan