Rabu, 18 April 2018

BICARA YB/ KERENAH


Alhamdulilah. Diizinkan saya menulia.

Menghadapi kerenah anak-anak istimewa yang berbagai
kategori masalah memerlukan kemahiran yang unik 
serta kesabaran yang tinggi.

Pengalaman mengajar disamping pengetahuan dalam 
bidang Pendidikan Khas adalah faktor  yang boleh membantu
guru-guru ataupun ibu bapa menangani kerena mereka ini.

Satu contoh situasi saya berikan di sini.

Pernah sekali,  sewaktu melawat sebuah Program Pendidikan
Khas Masalah Pembelajaran Menengah,  saya terserempak 
dengan seorang murid istimewa perempuan yang bermasalah 
Down Syndrome yang sedang baring di lantai kelas, 
sedangkan rakan-rakan lain sedang  belajar bersama 
seorang guru lelaki.

Saya pun bertanya kepada guru berkenaan situasi sebenar 
murid Down Syndrome itu tersebut.

“Dia memang tidak mahu duduk di atas kerusi puan”.

Jelas  cikgu tersebut kepada saya.
“Dah lamake, dia begini?” Saya menyoal lagi.

“Lama juga puan”. Jawab beliau ringkas.

Saya cuba memujuk murid perempuan itu duduk. Namun gagal.

Tiba-tiba saya teringat akan teknik yang pernah saya lakukan 
kepada seorang murid lain yang mengalami masalah hampir sama.

“Nah, tengokni cikgu ambil gambar kamu. Cantiknya”.

Saya menunjukkan kepada beliau gambarnya sendiri daripada 
jauh selepas saya mengambilnya dengan menggunakan telefon
bimbit saya.

Dia nampak tertarik dengan muslihat saya itu. Tangannya menggamit
saya untuk duduk disebelahnya yang masih baring .

“Tak boleh tengok sambil baring. Bangun ye”. 

Pujuk saya sambil menarik tangan beliau.

Dia mula duduk bersila. Saya mencapai sebuah kerusi berdekatan.
Kemudian mempelawa dia  duduk untuk melihat gambar di telefon
bimbit saya.

“Allahu Rabbi”. Izin Allah juga.

Dia bangun dan duduk di kerusi serta memeluk pinggang saya. 
Lama.  Saya membiarkan sahaja.

Tidaklah saya dapat meneka akan perasaan sebenar murid
itu sehingga begitu erat memeluk saya.

Setelah dia melepaskan pinggang saya, satu persatu gambar
beliau saya tunjukkan. Daripada baring hinggalah beliau duduk. 

Beliau kelihatan begitu gembira sekali.

Dalam beberapa minit selepas itu, rakan-rakan yang lain sama
sibuk untuk bergambar. Tiba-tiba kelas itu menjadi meriah.

Kisah di atas adalah salah satu contoh tindakann yang  boleh 
kita ambil andai ingin memujuk murid yang banyak kerenah 
meninggalkan tabiat negatif  mereka.

Bukan untuk duduk belajar, namun duduk sendiri di atas kerusi
sebagai persediaan untuk belajar.  Terpulang kepada kita bagaimana 
untuk mengatasi masalah yang mereka hadapi, tidak semestinya 
seperti yang saya lakukan, kerana lain murid, lain cara memujuknya.

Menjadi guru Pendidikan  Khas dan ibu bapa yang ada anak 
istimewa perlu berani dan “try and error.”

Berusaha melakukan sesuatu untuk mengatasi masalah di peringkat 
awal, adalah lebih baik berbanding membiarkan masalah anak-anak 
istimewa ini menjadi semakin kritikal.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan