Khamis, 26 April 2018

BICARA YB/ MENGAJAR MEMBACA KVKV

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.


Kali ini saya ingin kongsikan beberapa  tips yang boleh 
digunakan untuk mengajar kanak-kanak yang menghadapi 
Masalah Pembelajaran untuk membaca.

Contoh:

Kemahiran
Panduan
kvkv
Diperingkat awal mengajar murid mengenal perkataan kvkv, adalah lebih sesuai menggunakan kad sukukata dan kad perkataan. 

Tulisan yang besar di kad perkataan lebih menarik perhatian murid.

Ajarkan kepada murid perkataan kvkv sehingga
mereka boleh  membaca dan menulisnya.


Jangan ubah  kepada kemahiran kvk selagi kemahiran di atas tidak dikuasai sepenuhnya.

Berbagai kemahiran diajar serentak boleh menyebabkan murid berasa  sukar dan membantutkan minat mereka untuk terus belajar.


Latihan yang ada di dalam buku-buku  latihan
yang dijual di  pasaran kebanyakannya tidak
bersesuaian kerana dicampur  adukkan berbagai
tahap kemahiran sukukata. 

Ianya  boleh mengganggu pengecaman dan ingatan murid.


Diperingkat awal guru perlu bekerja lebih sedikit untuk menyusun perkataan dan membina lembaran kerja dengan perkataan kvkv.

Lembaran kerja perlu dimuatkan hanya dengan 4 atau  5 soalan sahaja.

Faktor banyaknya  soalan di dalam lembaran kerja  akan membuatkan fikiran mereka bercelaru dan akan membantutkan keinginan mencuba.


Wujudkan modul berdasarkan perkataan kvkv untuk memudahkan ibu bapa melakukan kesinambungan di rumah.


Sediakan paling kurang 50 patah perkataan kvkv untuk dikuasai oleh murid.


Tulisan di carta dan gantungkan di dalam kelas perkataan kvkv yang telah guru susun, supaya ianya boleh menjadi bahan  bantu pengukuhan ataupun latihtubi  semasa guru mengajar dan waktu relief guru lain.


Sediakan senarai semak pencapaian murid.


Murid dikira telah menguasai kemahiran apabila semua ataupun tiga perempat daripada 50 perkataan tersebut telah boleh dibaca dan ditulis.


Setiap kali ingin memulakan pengajaran berikan ejaan perkataan kvkv untuk menggalakkan murid berfikir dan mengingat.


Sediakan ganjaran positif untuk menarik minat mereka.


Guru boleh terus mengajar murid membaca ayat melalui perkataan kvkv yang telah diajar.


Akhir sekali guru boleh membina petikan mudah daripada perkataan kvkv dan melatih murid menjawab soalan kefahaman.

Boleh juga digunakan di kelas aliran perdana untuk murid  Pemulihan 
Khas dan murid yang terlibat dengan Program LINUS.

Banykkan berdoa. Allah sahaja yang boleh memberi kejayaan kepada 
mereka asbab daripada  usaha kita sebagai guru ataupun ibu bapa.

Rabu, 25 April 2018

BICARA YB/ SENARAI SEMAK

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.



Murid-murid yang mengalami masalah dalam pembelajaran sukar 
untuk mengingat apa yang telah mereka pelajari. Oleh itu mereka 
mengambil masa yang lama untuk menguasai sesuatu kemahiran.

Kadangkala, disebabkan masa untuk menguasai sesuatu kemahiran
terlalu lama,  guru sendiri kurang pasti tahap sebenar pencapaian
murid tersebut.

Untuk mengatasi masalah ini saya suka untuk mencadangkan agar 
guru menyediakan senarai semak untuk setiap murid.

Antara kebaikan senarai semak ialah:
i.                     Dapat membantu guru mengenalpasti tahap pencapaian murid.
ii.                   Merupakan  bahan bukti  pembelajaran dan pencapaian murid 
              serta bukti penilaian telah dibuat oleh guru.
iii.                 Merupakan bahan bukti bertulis yang boleh ditunjukkan
              kepada ibu bapa atau penjaga terhadap pencapaian murid.
iv.                 Mengelakkan guru daripada mengajar kemahiran yang serupa.
v.                   Menjadi panduan kepada guru yang baru mengambilalih 
              mengajar murid.
vi.                 Menjadi panduan kepada guru untuk mengenal pasti kemahiran
              yang perlukan pengayaan dan yang perlu pengukuhan.

Ada berbagai cara senarai semak ini boleh dibuat.

Salah satu cara yang mudah adalah seperti berikut:

Kelas: Harapan 1
Mata Pelajaran: Bahasa Melayu
Senarai semak pencapaian huruf vokal.
Tarikh mula mengajar:_____________

Nama/Kemahiran
   a
    e    
      i
     o
   u
1.Hamidah
/









2. Ravi
x









3. Siti
T









4.Ahmad
T









5. Musa
/









6. Aminah
x










Tanda tangan guru:                                         Tandatangan Guru Besar:
______________________                        _______________________ 

Petunjuk:
( /) Murid Telah Kuasai.  (X)  Murid Tidak Kuasai.  (T)Penguasaan Tidak Menentu


Tujuan saya menyediakan dua ruangan kosong di dalam setiap kemahiran
mengenal huruf vokal ini ialah untuk memudahkan guru menandakan 
tahap pencapaian pada kali kedua penilaian andai murid masih tidak
kuasai. Andai perlu boleh juga disediakan 3 ruangan kosong, untuk
memudahkan guru menilai kali ke tiga.

Boleh juga dituliskan tarikh penilaian dibuat pada pencapaian murid.

Guru boleh menulis senarai semak ini samada di bahagian belakang 
buku ringkasan mengajar ataupun  ditulis dimanila kad dan digantung
di dalam kelas supaya murid boleh melihat sama pencapaian mereka.

Banyakkan berdoa. Semoga Allah terangkan hati anak-anak ini
mengingati setiap yang dipelajari.





Isnin, 23 April 2018

BICARA YB/ MENGAJAR MEMBACA (PERALATAN)

Alhamdulillah. Diizinkan saya untuk menulis.


Di dalam tulisan sebelum ini saya ada menerangkan teknik yang pernah
saya gunakan untuk mengajar murid Pendidikan Khas Bermasalah
Pembelajaran membaca.

Saya juga ada menerangkan bahawa semakin banyak pancaindera yang
murid gunakan untuk belajar, ia dapat membantu murid mudah mengingat.

Kita lihat apa yang dikatakan oleh Mahfuzah Zainol dalam buku tulisan
beliau yang bertajuk Teknik Persediaan Sensori Dalam Pendidikan Khas.

Setiap manusia mempunyai tujuh (7) jenis deria yang terdiri daripada 
deria sentuhan, rasa, bau, pendengaran, penglihatan, keseimbangan dan
pergerakan.  Setiap komponen deria ini mempunyai peranan penting 
untuk meneriam segala input daripada persekitaran dan menghantarnya 
ke otak untuk diproses membentuk sesuatu perbuatan atau tindakbalas 
bermakna. (Mahfuzah Zainol 2014)

Saya berikan satu contoh di sini:

Diperingkat memperkenal huruf vokal atau konsonan, berbagai aktiviti 
boleh dijalankan dengan menggunakan berbagai bahan bantu mengajar 
yang boleh melibatkan   berbagai jenis deria murid.

Bil
Peralatan
 Deria yang digunakan semasa belajar
1
Kad huruf abjad dengan menggunakan kertas pasir.

i.     Penglihatan(Melihat huruf)
ii     Pendengaran (Mendengar nama
      huruf disebut oleh guru)
iii. Sentuhan( menyentuh huruf
     daripada kertas pasir)
iv.  Pergerakan (menggerakkan jari 
     mengikut bentuk huruf)

2
Puzzle huruf  (a-z) pecahan 2

i.                     Penglihatan
ii.                   Pendengaran
iii.                  Sentuhan

3
Puzzle huruf (a-z)
i.                     Penglihatan
ii.                   Pendengaran
iii.                  Sentuhan

4
Tanah liat untuk membentuk huruf

i.                     Penglihatan
ii.                   Pendengaran
iii.                  Sentuhan
iv.                 Pergerakan

5
Kad huruf abjad kecil 
i.                     Penglihatan
ii.                   Pendengaran
iii.                  Sentuhan
iv.                 Pergerakan



6
Huruf abjad ditulis di penyepit baju
i.                     Penglihatan
ii.                   Pendengaran
iii.                  Sentuhan
iv.                 Pergerakan

7
Video lagu mengenal huruf a-z
i.                     Penglihatan
ii.                   Pendengaran
iii.                  Pergerakan

8
Pasir
i.                     Penglihatan
ii.                   Pendengaran
iii.                  Pergerakan
iv.                 Sentuhan

9
Kad gambar huruf
i.                     Penglihatan
ii.                   Pendengaran
iii.                  Sentuhan

10
Lembaran kerja
i.                     Penglihatan
ii.                   Pendengaran
iii.                  Sentuhan


Kita dapat me lihat bagaiman peralatan yang digunakan oleh murid untuk belajar
melibatkan sekurang-kurangnya 3 deria. Ia sangat membantu murid mengingat 
huruf-huruf yang dipelajari.

Aktiviti yang pelbagai juga sangat penting untuk mengelakkan murid merasa 
bosan dengan satu aktiviti yang sama di dalam masa yang lama. Dalam erti kata 
lain, untuk mengajar huruf vokal ataupun  konsonan kita boleh melakukan 10 
aktiviti seperti saya cadangkan.

Walaubagaimanapun, guru-guru dan ibu bapa boleh juga memilih aktiviti dan
peralatan  lain yang bersesuaian dengan tahap kanak-kanak tersebut.

Banyakkan berdoa semoga anak yang dididik mudah menerima dan memahami.