Telah 26 tahun diary ku untuk menjadi penulis kututup rapi. Sunyi, sepi....tidak ada coretan suka mahupun duka. Hanya yang ada ialah sekolah dan rumah tangga. Tahun 2006 apabila menyambung kembali pengajianku dalam ijazah sarjana muda aku mula menulis tetapi hanya dalam bentuk tugasan. Selalunya aku sendiri dapat rasakan bahawa ayat-ayat dalam tugasan amat mudah untuk kunukilkan. Cuma bezanya bukan dalam bentuk yang puitis tetapi adalah berbentuk ilmiah.
Memang aku minat menulis. Memang mungkin ada sedikit bakat yang diberi Allah untukku menghasilkan karya. Mengenang kisah silam semasa di dalam maktab 26 tahun dahulu ada juga karya ku yang tersebar di dada-dada akhbar mahupun majalah. Terdapat juga yang disiarkan di corong-corong radio. Apabila telah berumahtangga keinginanku telah mula pudar . Ada sesuatu yang menghalangku dari terus menulis .Aku pasrah dengan semua itu.
Entah mengapa bulan lalu ada sesuatu yang membuka hatiku kembali untuk mencoret bait-bait ayat sebagai tanda ianya lahir dari hati. Allah yang menyusunkan semua itu. Dia yang lebih tahu apa yang telah dan bakal berlaku. Bermula dengan ayat-ayat puitis yang ku drafkan didalam handphone waktu free kusalin semula untuk dibaca sendiri berkali-kali dan kadangkala kuminta anak-anak yang juga berminat untuk meng hayati.Terima kasih peminat-peminat kecilku yang saban hari membaca hasil tulisanku samada dilaman facebook, mahupun didraf handphoneku, Kalian adalah sumber inspirasiku...
Aku pada mulanya menyimpan rasa resah juga dalam hati. Takut-takut dengan sibuknya menulis aku akan lalai dalam ibadah mahupun urusan sekolah atau rumah. Tapi salah seorang dari sikecilku ada mencelah rasanya lebih baik kerana masaku lebih terisi dan aku lebih nampak happy. Aku berdoa muga bakat yang ingin aku asah kembali ini tidak menjauhkan aku dengan Allah. Muga amalan harianku untuk kubawa kealam yang kekal tidak akan berkurangan Muga hasil-hasil penulisanku ini boleh memberi manfaat kepada pembacanya dan dijadikan bekal hingga ke alam yang kekal abadi.
Doakan aku, wahai peminat-peminat kecilku agar boleh terus menulis. Muga boleh kukongsikan kisah sepanjang perjalanan hidup ku untuk panduan kalian semua. Insyaallah..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan