Rabu, 18 Mei 2011

AKU SEBAGAI GURU PENDIDIKAN KHAS

Dipilih  oleh Allah menjadi Guru Pendidikan  Khas adalah kurnia setinggi  gunung buatku.  Mertabat yang  tinggi  ini tidak akan kucemari  dengan sikap negatif  terhadap tugas yang telah diamanahkan. Aku akan cuba   berusaha   bersungguh-sungguh  untuk memenuhi amanah yang tergalas dibahu ini selagi hayat dikandung badan, itulah azamku.  Muga diperkenankan oleh Allah.
Aku   memahami  kehidupan  sebagai seorang  Guru Pendidikan Khas memang untuk menghadapi cabaran.  Aku akan cuba  bersedia dengan dada dan fikiran terbuka menghadapi  setiap perkara dan cabaran yang telah dan akan berlaku.  Ini  sudah pasti akan membawa makna  yang lebih besar dalam  kehidupanku.
Kalau hendak  dibandingkan syukurku selama ini,   tidak akan pernah  setanding dengan nikmat pekerjaan yang  telah diberikan oleh Allah kepadaku.  Diberikan lagi nikmat   elaun yang lebih dari  orang lain. 

Sebagai  HambaNYA aku teramat  menyedari hal tersebut. Aku berazam dan akan cuba  menunaikan    amanah  yang diterima dengan rasa rendah hati  dan ikhlas  sebagai ungkapan syukur kepada  nikmat yang begitu bermakna ini.  Muga diperkenankan olehmu YA ALLAH.
Mendidik  dengan penuh rasa kasih sayang,  memberikan aku  satu kepuasan yang tidak dapat kulahirkan melalui perkataan. Ianya memenuhi  ruang hati yang tidak  pernah berhenti.


Aku cuba untuk keluar dari  sikap  mementingkan diri, belajar untuk  bersyukur dan menghargai  nikmat yang telah dikurniakan oleh Ilahi.  Aku  akan berusaha untuk  menyumbang  tenaga  tanpa berkira,  kepada yang insan yang  serba kekurangan ini.
Kerapkali aku  diuji dengan musibah dan cabaran dalam mengharung  arus kehidupan bagi mendidik anak-anak ini. Kerapkali airmata duka menyirami wajahku, tetapi pergantunganku padaNYA   membuatkan aku  menjadi lebih redha dan tawakkal.  

Aku cuba amalkan sifat terbuka apabila berhadapan dengan masalah, samada dengan guru-guru, pembantu pengurusan murid  juga  ibubapa yang  mempunyai anak  istimewa di Program Pendidikan Khas   yang kuterajui.  Dengan cara ini kurasakan tugas ini   lebih  membawa erti.
Menjadi  Guru  Pendidikan Khas  tidak pernah membezakan aku  dalam   menjalankan tugas di dalam kelas.  Tidak kira kelulusan atau pangkat  apa yang dimiliki, walaupun telah punya ijazah   tapi tanggungjawapnya  tetap sama.  Antara ijazah,  diploma  mahupun hanya memiliki sijil perguruan  apa  yang penting ialah memikul  dan menyempurnakan  amanah yang telah diberi.
Waimah kita anak pengarah  sekalipun,   apabila telah bergelar  Guru Pendidikan Khas memang berat  tanggungjawapnya.  Hingus  dan najis murid  bukan hanya  kerja  pembantu pengurusan murid  sahaja,  itu juga tugas kita bersama  untuk membantu mereka  cara  bagaimana untuk menguruskan diri.
Mengejar  anak-anak ini apabila  terlepas lari juga  adalah tanggungjawap kita.  Apapun aku  selalu memegang  nasihat  Ketua Unit Pendidikan Khas ku  iaitu,  dimana ada murid disitu ada guru dan juga  pembantu pengurusan murid .  Bukan di mana ada murid disitu ada guru tapi  pembantu pengurusan muridnya  dimana?  Atau dimana ada murid disitu hanya ada pembantu pengurusan murid, gurunya  pula dimana?  

Kedua-dua  insan ini   samada guru atau pembantu pengurusan  murid  adalah orang  yang  dipertanggungjawapkan  untuk membantu murid-murid ini.
Manfaatkanlah elaun yang kita dapat agar ianya setimpal dengan kerja kita. 
Terlalu banyak coletahku tentang peranan yang perlu ada sebagai guru pendidikan khas.  Diharap sudi kalian membacanya.  Sebenarnya  tiada apa  lebih berharga dari apa yang kita miliki sekarang ini iaitu menjadi  Guru  Pendidikan Khas atau Pembantu Murid di Program Pendidikan Khas. 

Kita sering merungut  setiap kali tidak dapat apa yang dipinta tetapi kita sering lupa untuk bersyukur dengan apa yang kita telah ada. Lihat-lihatlah kekurangan yang  ada pada anak-anak didik kita,  pasti kita akan jadi orang yang lebih berusaha untuk berkorban   kerana mereka. Dan  sentiasalah  bersyukur kerana  tidak diuji Allah dengan memiliki anak   istimewa.......

Aku menulis bukan untuk mengata sesiapa .  Jauh dari sudut hati untuk mencari  kelemahan orang lain. Aku juga insan yang serba dalam kekurangan. Aku juga bukan guru yang terbaik untuk mereka kerana aku sendiri sedang belajar mencari kekurangan  diri sendiri melalui pengalaman bersama  mereka,  insan-insan istimewa.

Yang sempurna hanya milik Allah.  Ini adalah peringatan dan nasihat untuk diriku sendiri  insan  yang bergelar Guru Pendidikan Khas.    7 tahun bergelar guru di tahap satu di aliran perdana  dan 19 tahun bergelumang dengan cabaran sebagai Guru  Pendidikan Khas  banyak mendewasakan aku dan memberi  ruang  padaku untuk menjadi orang yang lebih suka memberi nasihat dan menerima pandangan walaupun dari guru-guru muda.  

Terlalu bertolak ansur dengan semua  pula bukan bermakna aku takut dalam mengurus.  Menegur bukan  bermakna aku terlalu cerewet.  Memuji seseorang   bukan bermakna aku pilih kasih. Aku cuba bersikap adil  dengan semua samada guru mahupun pembantu pengurusan murid. 

Hingga kini dalam diary hidupku sebagai seorang penyelaras mahupun GPK Pendidikan Khas  tidak ada istilah kawan rapat  buatku.  Semua kena sama. Dalam tugas kena professional , luar tugas kita adalah sahabat atau ahli keluarga.   

Tujuanku ialah  ingin melahirkan guru dan pembantu  pengurusan murid  yang dedikasi, komited, faham dengan tugas sendiri , bekerjasama,  mudah untuk kubawa berbincang serta bertolak ansur. Itulah azamku. Cuma kadangkala aku keliru  dan terfikir  juga bahawa apa yang aku fikir  tidak semestinya sama dengan orang lain fikir dan apa yang aku hajati tidak sama dengan yang orang lain ingini.
Hanya harapanku apa yang kucoret dalam blog ini dapat  menjadikan aku insan  yang  memikul amanah memberi peringatan sesama kita  dalam menjadikan program yang dipimpin, murid yang dibimbing  berjaya selaras dengan Falsafah Pendidikan Khas. Insyaallah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan