Jumaat, 10 Februari 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ IKHLAS

Ikhlas adalah satu  perkataan yang  mudah  untuk disebut, tapi  sukar untuk laksanakan. Ikhlas adalah umpama semut hitam di  atas batu hitam di malam yang gelap gelita. Meskipun tidak dapat dilihat  dengan  jelas tetapi  ia  tetap boleh dirasa..... .

Keikhlasan dalam persahabatan  adalah amat besar ertinya  dalam kehidupan. Jangan dinodai keikhlasan kerana akan membawa kesan pada hubungan sesama insan .  Belajarlah ikhlas dalam semua perkara .......  meskipun kadangkala   ianya teramat sukar .

Isnin, 6 Februari 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ 3 BULAN SAHAJA

TRS
Adalah  singkatan  nama  kepada Taska  Raudhatul  Sakinah.  Nama  ini  yang   telah dipilih  oleh  kami selepas  semua  anggota  keluargaku  bermesyuarat.  Taska ini    telah beroperasi  sejak 1 Januari  2011. Kalau tahun 2011 ianya  beroperasi  di Jalan  Wakaf   Bukit Katil  Melaka, kini   ianya telah berpindah  ke Taman Bukit Katil  Damai. 

Aku  tertarik ingin menulis tentang  taska ini bukan  kerana ianya milik anakku. Sebaliknya  tentang kisah  seorang  murid  yang  mendaftar  di TRS.

Selalunya  apabila  tidak tahu bagaimana  ingin menyelesaikan masalah anak-anak murid di TRS ianya akan dirujuk  kepadaku.  Kalau tahun lepas  3 bulan pertama TRS dibuka, telefonku  jarang berhenti   daripada  menerima  panggilan  anak-anak.   Kini  alhamdulillah, mereka telah boleh menguruskannya  sendiri.

ANAKNYA BERMASALAH  SEDIKIT

Seorang  ibu muda telah merujuk  anakku tentang  masalah anaknya.  Dia menjelaskan anak lelakinya  telah berusia 5 tahun tetapi masih belum boleh bertutur dengan baik.  Masih memakai lampin  pakai buang  dan  tidak mahu ke taska.  Kini  anak ini hanya tinggal dengan pengasuh  kerana apabila ke taska dia menangis  dan tidak mahu turun daripada  kereta.

Sepertimana  biasa  ianya diserahkan kepadaku untuk menyelesaikannya.    Melalui perbualan dengan  telefon ibu tersebut   menjelaskan kerungsingannya  terhadap  anak itu.   Dia risau anaknya  akan melakukan  perkara yang  sama  dengan taska sebelum  ini  iaitu  menangis dan tidak mahu turun daripada kereta.  Aku meyakinkannya bahawa kami akan cuba membantu.

HARI   SUAIKENAL
Anak ini aku namakan  N.  Tiba hari suaikenal   aku  meminta  N  dihantar  ke TRS oleh ayahnya.  Setibanya di TRS dia langsung tidak mahu  turun  daripada kereta.  Menjerit  sekuat-kuat  hati.  Tindakan  ayahnya ialah mendukung  N  dan   meninggalkannya   dipintu  pagar serta  berlalu  . 

Setelah  gagal  dipujuk  akhirnya aku membiarkan sahaja  dia bermain  alat permaianan di hadapan taska  sehingga  ayahnya  datang  semula  untuk mengambilnya.

Anak-anakku  mula bimbang  dengan keadaan ini.  Mereka  khuatir  gagal   hendak menguruskan  N pada  hari-hari  berikutnya.    Apabila  melihat  aku tenang   sahaja  barulah  mereka  reda kerana   mereka  tahu  aku  mesti   ada jalan untuk  membantu .

SEDIAKAN BILIK
Setelah  kufikirkan, akhirnya   aku memutuskan pada  hari berikutnya,  apabila  N datang anak lelakiku  yang mesti  menyambutnya.  Dukung  sahaja N  masuk ke Taska  walaupun  dia menangis.  Di taska  aku minta  anak perempuanku mengosongkan satu bilik  khas  hanya  untuk meletakkan  N dengan  alat  permaian yang lengkap bagi  menarik perhatiannya. 

Aku  berpesan kepada anak-anakku  agar  jangan  biarkan N menangis  kerana  akan mengganggu murid lain.  Selain itu jika  dibiarkan berterusana  ianya akan jadi satu habit yang susah hendak dhentikan.

Hampir  1    bulan  kesukaran ini terpaksa  ditanggung oleh   anak-anakku. Mereka  terpaksa  berkorban tenaga  dan masa  untuk  memujuk  dan melayan N secara indiviu di dalam bilik itu tanpa mengenakan apa-apa  bayaran  lebih  atas semua perkhidmatan  tambahan.

Aku bersyukur   yang anak-anakku  berjaya  membantu N.  Mereka juga gembira  kerana  pada bulan ke  2  N telah boleh turun daripada kereta    dan masuk ke taska  sendiri. 

TOILET  TRAINING
Setelah  masalah masuk kelas dapat diatasi, aku meminta  anak-anak beralih kepada satu lagi perkara yang perlu kepada  N  untuk  diberikan  bantuan . Ianya adalah  toilet training. 
 
Latihan ini memang anak-anakku  telah  arif. Mereka selalu  dengar  aku bercerita  di rumah  bagaiman caranya  aku  membantu anak -anak istimewa di sekolah  berhenti daripada menggunakan lampin pakai buang.

Alhamdulillah  selepas   3 bulan dengan anak-anakku,    target   membantu N  tercapai.  N   telah tidak menggunakan lampin pakai buang lagi. Dia juga telah   boleh masuk kelas  dan belajar dengan rakan-rakan dalam kumpulan. Kami juga  paling  gembira  apabila   ibunya  bercerita  dia  pernah dengar  N membaca surah al-fatihah di rumah .

KECEWA
Sebenarnya  anak-anakku agak  kecewa selepas kejayaan ini kerana ibu N telah memberhentikan N dari TRS  dan menghantarnya ke sebuah Taska  yang lebih hebat.   Anak-anakku tertanya-tanya mengapa   selepas 3 bulan  baru N  dipindahkan?

JAWAPANNYA  ADA PADAKU.   SEMASA   DITANYA  OLEH IBUNYA  BERAPA  LAMA  N  BOLEH  PULIH DARIPADA  MASALAH YANG DIHADAPINYA.   AKU  YANG MEMBERI  JAWAPAN   SELALUNYA  3 BULAN.

Kadangkala  demi  kepentingan diri manusia lupa   dari  memahami perasaan orang lain. Aku menasihati  anak-anakku  agar tidak  kecewa kerana  semuanya  ada  hikmah  yang Allah lebih mengetahuinya.

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ AJARAN SESAT


CERITA  KAWAN LAMA
Suatu hari  seorang   rakan lama menemuiku .  Setelah  berpuluh  tahun  tidak berjumpa  cerita kami pada masa itu lebih kepada  profession  yang kami  ceburi dan kisah anak-anak.  Seronok  sekali-kali dapat bersembang   dengan rakan  lama.

Menyentuh   tentang  anak  perempuan  sulongnya  aku agak  tertarik  kerana menurut rakanku itu anaknya   sedang   menjadi  guru  sementara  di  sebuah  program  pendidikan  khas  rendah  yang bukan  terletak  di negeri   Melaka.

Dia  melahirkan  kegusaran  kerana  anaknya  telah menganggur  lama selepas mendapat  ijazah pertama  dalam bidang IT akibat   tidak mendapat pekerjaan yang sesuai.  Dia  sedang  berusaha  memujuk  anaknya untuk  meneruskan profession sebagai  guru pendidikan khas jika   mendapat peluang untuk mengikuti  samada  KPLI atau  Kursus  dalam cuti. 

MINAT
Aku menasihatinya   agar jangan memaksa jika anaknya itu  tidak berminat.  Risau  pula  akan menimbulkan   masalah  dalam  pendidikan khas. Ku  jelaskan kepadanya   bahawa   menjadi  guru pendidikan  khas perlu  ada  minat,  mesti ada   komitmen  yang tinggi  dan tidak boleh  sambil  lewa.

Ku biarkan   dia bercerita  lanjut  tentang  pandangannya.  Bagiku daripada  ceritanya  itu  dia  merasakan menjadi guru pendidikan khas amat mudah dan  semua orang mampu untuk melakukannya.   Menurutnya  lagi setiap   kali balik   daripada sekolah   anaknya  akan  bercerita  tentang  pengalaman semasa   bersama anak-anak istimewa  ini.

HAIRAN
Dia  hairan  mengapa   ceritaku amat berbeza daripada cerita  anaknya.   Baginya dia  selalu dengar  anaknya bercerita  bahawa menjadi  guru pendidikan khas  amat mudah.   Murid  hanya 6 orang dalam  satu kelas.  Tidak perlu periksa  buku banyak-banyak.  Kerja tidaklah  seteruk mana.

Jika murid  tidak suka belajar bukakan sahaja cd  atau televisyen dan boleh menonton sama-sama. Yang penting jangan biarkan  murid-murid itu tidak dikawal.  Urusan  ke tandas  atau makan  pula serahkan sahaja kepada PPM.   Itu bukan tugas guru. 

Jika terdapat murid-murid  yang menghadapi masalah yang severe, sediakan satu ruang atau bilik  untuk murid itu.  PPM  akan ditugaskan untuk menjaganya. Jangan sampai murid itu ganggu guru atau murid lain.  Memang murid  sebegini  tidak boleh dibantu apa-apapun.  Biarkan  sahaja.

Hatiku begitu tersentuh  dengan kenyataan  itu.  Tidak  langsung aku  menduga  perkara ini   masih menular lagi dalam program pendidikan khas. Mengapa  semudah itu  penyelaras program tersebut  mendidik guru-guru baru  untuk   menjadi  seorang  guru  pendidikan khas. 

Ternyata mereka  kurang  faham  akan kesannya kepada anak-anak istimewa ini  jika semua guru di program pendidikan khas bertindak  demikian.

Lebih  menyedihkan lagi bila ceritanya menyentuh   yang   murid-murid ini bukan boleh buat apa-apapun.   Tidak  perlu penekanan kepada  belajar  membaca dan menulis.   Latihan yang diberikan    hanya menyambung titik-titik  dan mewarna. Itupun  kalau  murid berminat, jika tidak  biarkan sahaja mereka bermain peralatan-peralatan lain. Bagi murid  yang belum tahu urus diri pula, minta ibu pakaikan lampin pakai buang.  Bukan tugas guru untuk  basuh berak kencing mereka. 
 
MULA MEMBERI CERAMAH
Aku mula  memberi  ceramah kepada rakanku itu.   Kujelaskan kepadanya peranan yang sepatutnya penyelaras dan guru-guru  pendidikan khas buat  di dalam progam.  Sebenarnya  ada banyak kaedah  yang boleh guru-guru gunakan untuk menyampaikan ilmu kepada anak-anak ini. 

Jika  perkara  diatas dibiarkan berlaku begitu  sahaja tanpa   apa-apa tindakan untuk cuba  membantu, kesannya   amat besar kepada semua murid yang bergelar istimewa.

Penyelaras  perlu kreatif dalam membantu guru-guru dan PPM di bawah pimpinannya agar  perjalanan program  menjadi  lebih baik dan teratur.   Dengan usaha yang lebih seharusnya penyelaras menjadi orang utama yang tahu kaedah-kaedah dalam menangani semua masalah samada guru , murid atau PPM dalam  memajukan program. 

Setelah mendengar penjelasanku,  rakanku  mula tersedar bahawa selama ini anaknya telah mendapat ilmu yang salah di dalam menuju cita-cita sebagai guru pendidikan  khas. 


TERINGAT  AKAN PESANAN YANG SELALU KUBERIKAN KEPADA RAKAN-RAKAN GURU DI SKUP. JANGAN  TUNJUKKAN  CONTOH  TIDAK BAIK  KEPADA GURU-GURU PELATIH YANG DATANG  LATIHAN MENGAJAR KERANA ILMU YANG DITERIMA  SEMASA  LATIHAN MENGAJAR ITU AKAN DIGUNAKAN APABILA POSTING.  TAKUT  KITA  AKAN TANGGUNG  DOSANYA JIKA IANYA  AJARAN  SESAT.

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ JAWAB AZAN



Sepertimana   yang  aku nyatakan  bahawa  aku memang   menitikberatkan  soal  ibadah  dalam mendidik anak-anak istimewa ini.   Meskipun  aku tahu hasilnya tidaklah sebesar mana, namun ganjaran  yang  aku  dan rakan-rakan akan  dapat  di akhirat nanti amat diharapkan. 

Kata-kata nasihat dan galakan selalu aku berikan kepada ustaz atau ustazah  yang bertugas di program ku agar bersungguh-sungguh  dalam memberikan  didikan  agama  kepada  mereka  anak-anak istimewa  ini.

PERLU  LATIH TUBI

Pengalaman telah banyak  mengajar aku bahawa untuk memberi   kesan  yang   positif  dalam  apa juga  kemahiran yang diajarkan kepada mereka ini,  latihtubi perlu dilakukan secara berterusan.  Jangan sekali-kali berputus harap  dengan  apa yang telah kita  cuba mulakan. 

Usaha perlu  diteruskan  meskipun hasilnya  tidaklah  sehebat  mana.  Insyaallah jika sikap ini   tertanam dalam   diri  semua orang  yang terlibat dengan anak-anak ini , banyak   kemahiran  yang boleh  mereka  kuasai    dan  banyak  kejayaan  yang boleh mereka  kecapi.

KESAN POSITIF

Menyambung kisah  mengajar   amali solat,  aku terpanggil untuk bercerita tentang kehebatan rakan-rakan seperjuanganku  semasa  di SKUP.  Mereka  adalah insan-insan yang  gigih  dan tidak pernah kenal  jemu dalam  mendidik anak-anak istimewa  ini.  

Tanpa   ada rasa  pilih kasih setiap murid   dilatih dengan  bersungguh-sungguh.   Dari cara mengambil wudhuk,  mengalunkan  azan, membaca  doa  selepas  azan,  membaca  iqamah, dan keseluruhan  tertib solat telah diajarkan dengan  tidak  mengenal  jemu.  Semua kemahiran itu telah dikuasai dengan jayanya oleh sebahagian daripada anak-anak muridku. 

Ada  di antara mereka yang  telah  boleh mengimamkan rakan-rakan lain pada waktu solat.  Daripada  solat fardhu subuh  hinggalah ke solat fardhu  isya   sebahagian daripada mereka    telah  boleh kuasai. 

Jika  terdapat  sebarang  kesilapan, selalunya  mereka ini akan ditegur  dan dibantu untuk memperbetulkan  kesilapan oleh  ustaz dan ustazah pada masa itu juga. 

Melalui kaedah ini kudapati   hasilnya  begitu  memuaskan.   Ibubapa juga melahirkan  rasa syukur dan gembira melihat  anak-anak mereka  telah boleh mendirikan solat  dengan baik.

Seorang murid autisme yang pada asalnya  suka menutup  telinga  apabila mendengar bunyi  bising  akhirnya dapat solat dengan betul  tanpa menutup telinga walaupun  rakan-rakan  yang hampir 20  orang semuanya membaca  surat-surah dan zikir  di waktu solat  dengan kuat  sekali   disebelahnya.

Begitu  hebatnya Allah,   sentiasa  memberI  kita   jalan  keluar  daripada  sesuatu masalah , asalkan kita tidak jemu  berusaha dan memohon kepadanya. 

TERINGAT  KISAH  SEORANG MURID  AUTISME  YANG  MEMBACA  DOA MENJAWAB AZAN DENGAN KUAT  SELEPAS MENDENGAR  LAUNGAN  AZAN   DARIPADA  MASJID .  MASA ITU KAMI SEDANG  MENJALANKAN    MESYUARAT  BADAN  KEBAJIKAN  DAN TIDAK  MEMBERHENTIKANNYA WALAUPUN AZAN SEDANG DILAUNGKAN .MEREKA SEBENARNYA INGAT  SEMUA  PERKARA  YANG  DIAJARKAN  KEPADA MEREKA .



Ahad, 5 Februari 2012

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ AJARKAN MEREKA SOLAT DAN HAFAZAN SURAH


MEMBERATKAN

Dalam mendidik   anak-anak  istimewa  ini   memang  sejak  dari  awal  menjadi  guru  pendidikan  khas  aku  amat   menitikberatkan soal solat dan hafazan surah  keatas mereka.  Sebelum    adanya jawatan  ustaz  atau ustazah  di program pendidikan khas,  memang  semua   guru   termasuk aku  juga  terpaksa  mengajar  mata pelajaran  Pendidikan   Islam.

Berbekalkan   sedikit    pelajaran  agama yang   ada  dalam  diriku,  dibantu  oleh   ustaz  atau  ustazah   di  aliran  perdana ,   aku dan  beberapa   rakan lain  mendidik   setiap  anak-anak  Islam  yang datang  ke  programku  dengan amali  solat,  akidah  dan  juga  menghafaz  surah .
  
TIDAK  MEMBERATKAN

Aku  tahu  ramai  ibu bapa  yang  tidak  memberatkan  anak-anak  mereka  tentang  perkara ini.  Mereka  menganggap  anak-anak  ini  tidak  akan  dipersoalkan  oleh  Allah   tentang  dosa  dan pahala  apabila  meninggal dunia nanti  disebabkan  mereka    istimewa.

Aku  pula mempunyai  satu  padangan yang tersendiri.  Dipersoal  ataupun  tidak  adalah  perkara ke dua. Yang lebih utama ialah tanggungjawap ibu bapa dan guru membekalkan  mereka  ini  dengan didikan  asas agama.  Ianya  amat penting  bagi melahirkan  generasi   akan datang  yang  berdikari dan  tidak menyumbang  kepada   masalah sosial dalam  masyarakat.

Pengalamanku menunjukkan  bahawa  mendidik anak-anak  istimewa  yang  faham   asas-asas agama  adalah lebih mudah  berbanding anak-anak  yang  tidak mempunyai  asas  tersebut.  

Pandangan  dan penghormatan  anggota  masyarakat  juga  akan menjadi  berbeza   di antara   anak-anak  istimewa  yang  tahu solat dan  kesurau  apabila sampai waktunya     berbanding  anak-anak istimewa  yang hanya pandai lepak ,  ke pusat bowling  atau pusat membeli  belah  apabila ada masa  lapang.

USAHA   YANG SEDIKIT

Memang   usaha  yang  kami buat di sekolah amat sedikit.   Ini  adalah kerana  masa  mereka berada di sekolah adalah terhad.  Dengan berbagai  kemahiran  yang mesti  mereka  pelajari,  memang  tidak menang tangan  hendak  melaksanakannya.

Aku  ada caraku yang tersendiri.   Bagiku, disebabkan jadual  mereka ini fleksible,   aku  telah  mengatur jadual   berbeza   bagi  membolehkan  mereka  ini  setiap hari  dapat solat atau  mengaji  walaupun  sebentar.

Rakan-rakan  selalu melahirkan  kebimbangan  dengan  tindakanku  seolah-olah melebihkan agama dalam pembelajaran.  Setelah kuterangkan bagaimana solat adalah merupakan satu  terapi dan   menghafaz  surah adalah satu aktiviti yang terkandung di dalamnya  berbagai kemahiran  yang   melibatkan kognitif,  baru mereka  faham.

Alahamdulillah,  banyak surah-surah  daripada  juz  amma yang telah mereka  hafaz.  Mereka juga telah boleh solat dengan baik dan ada yang sudah boleh mengamalkan  zikir dan doa selepas solat lebih baik daripada  anak-anak  normal.

Apabila keadaan ini berlaku, usaha   membentuk  tingkahlaku  terhadap  murid-murid  Islam yang menghadapi masalah tingkahlaku  juga   menjadi lebih  mudah. Mereka  lebih  lembut hatinya dan mudah untuk menerima arahan.

Setiap  kali  membuat pemantauan  sempena  hari kualiti aku  akan meninggalkan pesan kepada guru-guru pendidikan  khas  yang kutemui  agar selalu memberatkan solat kepada semua  anak-anak istimewa  yang beragama  Islam. 

Aku  juga sering mengingtkan ibubapa  diprogramku supaya  membawa anak-anak mereka ke masjid atau surau untuk  solat  berjemaah atau mendengar ceramah agama.  Aku  ada pengalaman tersendiri tentang  kepentingan  mengajar solat  kepada anak-anak ini.


SEORANG DARIPADA  ANAK  BUAHKU  YANG ISTIMEWA  DAN  BERUSIA  38 TAHUN MENINGGAL DUNIA  DI MASJID  WAKTU  SEDANG  BELAJAR   AGAMA  KERANA DISERANG PENYAKIT  LELAH. DIA MEMANG  SENTIASA SOLAT  BERJEMAAH DI MASJID ATAU SURAU SETIAP  KALI  WAKTU  SOLAT  DAN KEMATIANNYA  TELAH  MENYEBABKAN   SEMUA MERASAKAN SATU KEHILANGAN KERANA  ORANG YANG SELALU MEMBERSIHKAN MASJID  DAN SURAU  TELAH   TIADA  LAGI.



Sabtu, 4 Februari 2012

BiICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ CIKGU TANGGUNG SENDIRI ( 2)


GURU  BESAR

Aku  ingin  menyambung  cerita  tentang  guru   besar  baharu  di sekolahku .  Dia  seorang yang suka pada perubahan.  Sentiasa  berfikir  bagaimana  caranya untuk mencantikkan kawasan sekolah.
Tetapi  kadangkala  ada tindakan yang  diambilnya   menurut rakan-rakan yang telah lama mengajar berlawanan dengan peraturan.  Terutama   dalam soal  pengurusan kewangan.

Aku kurang arif tentang perkara  itu.  Ketenangan  sekolah sedikit  berkocak dengan  kehadirannya.  Walaubagaimanapun, aku dan rakan-rakan di program pendidikan khas  kurang sedikit merasa  kocakannya kerana  kami  ada rutin sendiri yang tidak dapat  dicampuri  oleh guru besar itu. 

TIDAK  MENGGANGGU

Dia memang  tidak  mengganggu  perjalanan  program kami.   Segalanya diserahkan kepadaku  untuk menguruskannya.  Sesekali   aku akan bertemunya  bagi  menyampaikan lapuran perkembangan program. 

Disebabkan  programku mempunyai   bangunan yang berasingan,  kadangkala perkara yang berlaku di aliran perdana  tidak sampai  ke pengetahuan kami.  Kalau   sampaipun  lambat sedikit.  Kami bertemu  apabila   waktu rehat,  waktu mesyuarat dan waktu kokurikulum.   Kadangkala   rasa seronok juga sebab dapat mengelakkan  dosa  ber gossip.

DAH MULA

Kalau pada permulaannya  guru besar itu tidak mengganggu perjalanan program pendidikan khas,  tetapi  ternyata  apabila  ada keperluan  dia terpaksa juga mengusik waktu mengajar  guru-guru di program ku. Aku dan rakan-rakan    dapat  merasakan  bahawa  dia dah  mula buat hal pula di programku . 

Seorang  rakan guru selalu dipanggil  untuk  membuat  kerja-kerja  keceriaan semasa  waktu mengajar.  Aku  terpaksa membuat  jadual  guru ganti  untuk  guru tersebut.    Banyak  kemahiran  yang sepatutnya diajar  kepada murid-murid  istimewa ini tidak dapat dilaksanakan.   Aku  dan  rakan-rakan   jadi  serba salah.

Aku  tahu guru pendidikan khas itu tidak akan membantah atas  arahan   yang diberikan kepadanya.    Ini adalah  kerana  dia   memang  suka  dengan tugasan  baru  itu.    Bagai  orang mengantuk  disorongkan bantal  jadinya.


BERTINDAK

Lama   juga   aku dan rakan-rakan lain memendam  rasa.    Aku  sebenarnya  masih lagi   takut  hendak    menegur   kerana    kisah   rokok baru   saja  selesai.  Walaubagaimanapun, masalah  tidak  akan selesai  jika  aku  tidak bertindak.

Kekurangan yang ada  pada diriku ialah tidak pandai  menyembunyikan  masalah.  Aku  rasa  amat tertekan  dengan  kejadian   itu.  Fikiranku selalu terganggu.  Aku  rasa  tanggungjawapku  tidak  tertunai.

MODAL

Akhirnya modal  yang   sama juga  aku gunakan  dalam  berhadapan  dengan guru besar ini.  Hari itu  semasa   hendak  pulang ke rumah kulihat  kawanku itu  sedang  sibuk membuat aktiviti keceriaan di hadapan  tapak perhimpunan.  Guru  besar   ada bersamanya.

Kugagahkan hati, kukuatkan semangat.  Aku  memberhentikan  kereta  dan berjalan  menuju  ke  arah mereka berdua.  “ Cikgu, maafkan saya,  boleh  saya  cakap sedikit?”  Tegurku. Kedua-dua  mereka  memandang    ke arahku.” Boleh,  cakaplah”,  kata guru besar itu.

“Saya nak bagi  tahu cikgu,   elaun  60 ringgit yang cikgu ini dapat adalah untuk mengajar murid-murid pendidikan khas, bukannya untuk membuat  aktiviti   keceriaan”.  (masa itu elaun ajar murid pendidikan khas  hanya   60 ringgit  sahaja. 

Guru besar itu  memandang ke arahku.  Aku terus  menyambung”  Kalau cikgu  teruskan juga  ambil  dia buat kerja lain waktu P&P  dosanya cikgu tanggung sendiri saya tak tahu”  .  Habis  bercakap  tanpa  menunggu apa-apa jawapan dari mereka berdua aku  terus  menuju  ke kereta.  

Aku  menghidupkan enjin kereta dan berlalu  dari situ dengan tangan serta kaki yang sejuk  seperti  air batu  kerana terlalu takut.

MEMANG  CARAKU  TIDAK  TEPAT, TETAPI  ITU  SAHAJA YANG  MAMPU  AKU  LAKUKAN DEMI ANAK-ANAK INI.  ALHAMDULILLAH,  MUNGKIN   AKU  BERKATA YANG BENAR, SEMUANYA BERJALAN DENGAN  BAIK  DAN  HINGGA  KINI   AKU   DAN GURU BESAR ITU TETAP   MENJADI  RAKAN.




BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ CIKGU TANGGUNG SENDIRI



GURU BESAR

Selama  27  tahun  menjadi  guru dan 19  tahun  bergelar  guru Pendidikan Khas aku  telah bertemu ramai guru besar silih berganti. Mereka  ini  telah   menjadi pemimpin di   enam  buah  sekolah yang  aku pernah  bertugas.

Rata-rata mereka  semuanya  bagus-bagus  belaka.  Sedikit kekurangan    adalah  perkara  biasa dalam  diri setiap manusia.  Banyak  perkara   yang   aku pelajari  daripada   mereka  semua.      Ada   yang masih  menjadi  amalan  dalam pengurusanku   sebagai  pentadbir   sekolah.   

Tidak kurang   juga ada  yang menjadi satu   garis sempadan  yang tidak boleh aku lakukan kerana  ianya  tidak  wajar  dalam pengurusanku. 

Bagiku   semua   manusia mempunyai  kekurangan  dan   kelebihan masing-masing.   Kita  sebagai orang  yang berada di bawah  perlulah  menapis mana yang baik mahupun yang buruk   sebelum   sesuatu  amalan itu hendak dijadikan  sebagai contoh.

GURU  BESAR   BAHARU

Menerima   seorang  guru besar  lelaki yang baru  di sekolah lama aku bertugas  agak mengembirakan   aku  dan rakan-rakan.   Dia  mempunyai   visi   dan misi   yang  jelas  dalam pentadbirannya. Banyak  juga  perubahan  yang  berlaku di sekolah semasa pimpinannya.

Semasa  kehadirannya,  sepertimana  biasa   yang kulakukan kepada setiap pentadbir baru yang datang ke sekolahku ialah  menemui   dan memberi   taklimat kepadanya  tentang  perjalanan  program  pendidikan khas. 

Memandangkan dia belum  begitu  mengenali  kategori  murid pendidikan khas  , aku  menjelaskan kepadanya  serba sedikit  tentang  perkara  tersebut.   Sedikit  mudah   buatku .   Dia mudah belajar dan memahami  perjalanan program pendidikan khas  kerana dia rajin meronda  di  programku.

SAHABAT

Guru  besar ini  suka bersahabat  dengan  seorang guru lelaki  yang mengajar di programku.   Aku mula   faham     kedua-dua  meraka  adalah perokok   tegar.   Kebetulan   programku berada di belakang  sekali dalam kawasan  sekolah  maka  ia  jadi   port  kepada  guru besar  dan  rakan guru itu  untuk merokok pada waktu rehat.

Aku  dan rakan-rakan telah mula rasa tidak puas hati atas apa  yang berlaku ini.   Mulalah kami chit chat di belakang  mereka berdua.   Aku   sendiri rasa  tidak  sedap  hati  kerana ramai murid-murid  istimewa  ini  telah terpandang  akan aktiviti  tidak sihat yang mereka lakukan. 

TANGGUNG   SENDIRI

Kadangkala  kita terpaksa  juga  menjelaskan  sesuatu perkara itu   biarpun  sukar.  Dalam  gurauan aku sering  mengenakan guru besar  dan rakanku itu. Aku jelaskan  kepada mereka akan tindakan  tidak wajar yang  sering mereka lakukan.  Nampaknya ke dua-dua  mereka  kurang  faham dan menganggap   ianya hanya satu gurauan.

Setelah   memerah  otak berfikir bagaimana  hendak  menyelesaikan masalah itu,  akhirnya satu hari aku gagahkan hati berhadapan  dengan mereka berdua.  “ Cikgu-cikgu,   saya rasa apa  yang cikgu buat ini   tidak  patut,  merokok di kawasan sekolah .”  Mereka berdua  agak terperanjat dan memandang kearahku.

"Saya tahu saya tidak layak  untuk menegur, tetapi  demi   anak-anak istimewa  ini saya kena buat juga”
Aku menyambung lagi. “Memang murid-murid  ini  tidak  faham dan  tidak  tahu  bercerita   tentang  apa yang cikgu-cikgu buat, tetapi  ditakdirkan  mereka  cuba  untuk  merokok kerana melihat apa yang cikgu-cikgu buat,  dosanya cikgu berdua  yang tanggung, tugas saya untuk menegur  dah selesai”

Aku  terus  berlalu  dari  situ.  Memang  aku  bersikap kurang  ajar  pada masa itu.   Berani  tegur  guru  besar.  Dalam  kotak  fikiranku, “nasiblah, kalau aku dikenakan  pada markah  prestasi  terpaksa  terima saja, nak  buat  macamana”.  Sebenarnya  selepas itu terasa  sejuk  satu badan,  menggigil  kaki  ketakutan.  Allah sahaja   yang tahu.

Sejak  peristiwa itu,  kedua-dua  mereka  tidak  lagi  merokok di belakang  program pendidikan khas.

KADANGKALA   TERPAKSA  BERKATA BENAR,  WALAUPUN  TERAMAT  SUKAR……