Ahad, 12 November 2017

BICARA YB/BERSARA

Alhamdulillah. Diizinkan saya menulis.

Mengambil keputusan untuk bersara awal bukannya
satu perkara mudah.

Meskipun ianya adalah perancangan awal saya.

Namun setelah beberapa kali bermunajat kepada
Allah, memohon petunjuk,  saya akur dengan keputusanNYA.

Alam pekerjaan yang telah lebih 30 tahun sebati  dalam diri,
saya tinggalkan.

Ramai yang mempersoalkan.

Mengapa ye?

Pada awalnya, persoalan sama  sering bermain di kepala sendiri.

"Mengapa  Allah memilih saya untuk bersara sedangkan hati
 masih ada cinta".

Namun, setelah beberapa orang  saudara seagama,  tiba-tiba
muncul dihadapan saya,  memohon bantuan sebaik saya bersara,
persoalan terjawab  sendiri.


Pertama. Sebaik sahaja  bersara, saya diketemukan dengan
seorang wanita yang benar-benar mengharap bantuan untuk
mengajarkan beliau mendirikan solat.

Alhamdulillah. Telah berjalan lancar dan berjaya.

Kedua. Bulan Ramadhan tahun lepas,  seorang suami
menghantar ke rumah saya isteri keduanya yang baru memeluk Islam.

Seminggu wanita itu dirumah saya memperbaiki solatnya agar
lebih sempurna.

Ketiga. Semenjak bersara,   sahabat dan jiran tetangga mula
belajar mengaji di rumah saya.
Bermula daripada iqraq 1- 6. Seterusnya Al Quran.

Keempat. Kini saya menjadi penasihat kepada Taska, Tadika
dan Pusat Jagaan Kanak-Kanak yang diuruskan oleh anak-anak
dan menantu-menantu saya.

Tugas saya ialah,  sebulan sekali memberi ceramah dan bimbingan
kepada semua kaki tangan Taska, Tadika dan Pusat Jagaan. Agar 
mereka  berperanan sebagai guru yang sewajarnya.

Kelima. Sudah ada beberapa orang ibu bapa yang mempunyai 
anak istimewa merujuk kepada saya untuk program intervensi
anak mereka.

Hati saya berat.  Komitmen saya berbagai.
Saya tidak mahu terikat kuat dengan jadual kerja yang
melibatkan saya menerima  bayaran.

Sedangkan saya kurang kesempatan untuk menunaikannya
dengan baik.

Urusan dirumah, kelas  mengaji dan majlis-majlis ilmu
yang perlu saya hadiri, menulis dan kadangkala menghadiri
jemputan ceramah dan kenduri, sudah cukup buat saya terbaring lesu.

Namun. Allah mengetahui.

Saya memang cinta dengan bidang pendidikan khas.

"Sayang ilmu dan pengalaman saya tidak ada anak yang mewarisi"

Itulah perkara yang sering bermain di kepala saya.

Alhamdulillah. Seorang daripada anak perempuan saya bersetuju.
Ilmu ingin disambut daripada ibunya ini.

Tugas baharu ini sedang saya galas dengan berbesar hati.

Menyediakan bahan bantu dan menurunkan ilmu.

Masya Allah. Bila dikenang semula, hati saya mekar berbunga.

Benar. Keputusan Allah yang terbaik.

Usahlah dipersoalkan. DIA lebih mengetahui  tentang diri kita
 berbanding kita sendiri.

Allah mahu saya berhenti daripada menjadi penjawat awam.
Bukan berhenti daripada menjadi seorang guru.

Guru adalah dunia saya.
Dulu kini dan selamanya.
Alhamdulillah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan