Alhamdulillah.
Saya menghantar satu barang ke sebuah pejabat
kerajaan melalui pos laju.
Apabila saya mengajukan pertanyaan kepada pegawai
yang sepatutnya menerima bungkusan tersebut, jawapan
sangat menghampakan.
Pegawai itu tidak menerima meskipun maklumat terkini
menunjukkan barang tersebut telah diterima oleh seorang
wanita bernama Ani ( bukan nama sebenar).
Kasihan juga saya kepada pegawai terbabit. Perlu menjawab
atas kecuaian orang lain.
Ketidak sampaian barang tersebut membuatkan saya
meramalkan beberapa kemungkinan.
1. Mungkin penerima barang itu telah TERbuka
bungkusan tersebut dan serbasalah untuk
memulangkan kepada pegawai berkenaan.
2. Mungkin barang itu menarik perhatian penerima
kerana boleh digunakan untuk jangkamasa panjang.
3. Mungkin tersalah letak. Namun satu perkara yang pasti
bungkusan pos laju itu tidaklah kecil sangat. Ia boleh
dilihat walaupun terselit di mana-mana.
4. Mungkin penerima tidak mengetahui bahawa pegawai
pos laju yang menghantar barang tersebut ada
menyimpan maklumat penerima dan dia sebenarnya
telah menjelmakan ketidak jujuran diri sendiri kepada
majikan.
Asalnya hati saya sakit juga. Namun apabila saya mengenangkan
sebuah kisah lama menyebabkan sakit itu terubat.
Masa itu di rumah ada majlis perkahwinan. Salah seorang
daripada abang saya membawa seorang rakan lelaki ke rumah kami.
Menjadi kebiasaan abah ialah, menggantungkan seluar
yang telah dipakai pada paku yang terlekat di dinding
di ruang tamu rumah.
Pagi itu sewaktu abah mengambil seluar untuk dipakai,
abah terkejut kerana mendapati duit abah telah hilang.
Jika tidak silap saya berjumlah RM 200. Pada masa itu,
jumlah tersebut sangat besar, tambahan kepada abah yang
bukannya orang berduit.
Setelah diselidek dengan beberapa bukti sokongan ternyata
wang tersebut diambil oleh kawan abang saya yang juga
bermalam dirumah kami.
Dia telah meninggalkan rumah kami sebelum subuh.
Salah seorang abang saya yang merupakan seorang anggota
polis bercadang untuk melaporkan kejadian tersebut di balai
polis. Namun abah melarang.
Suasana yang mulanya riuh tiba-tiba jadi sayu apabila
sambil menangis abah bekata.
"Tak apa, abah halalkan. Mesti dia betul-betul nak guna
duit, kalau tidak takkan dia sanggup mencuri".
Walaupun kisah ini telah hampir 20 tahun berlalu dan
abah juga telah lama meninggalkan kami, namun kami
adik beradik amat menyanjungi sikap abah.
Lembutnya hati abah. Seorang pemaaf dan amat
menyantuni orang susah meskipun masa itu dia juga
sangat memerlukan.
Saya juga ingin menjadi seperti abah. Memaafkan,
apa juga yang sebenarnya telah berlaku. Jika benar
wanita yang menerima barang tersebut memerlukan
barang yang saya hantar itu, saya juga telah menghalalkan.
Semoga barang itu dapat memberi manfaat kepada
kerjayanya dan menjadi asbab saya mendapat pahala.
SETIAP SESUATU YANG BERLAKU PASTI ADA HIKMAH. SAYA AMAT MEYAKININYA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan