Rabu, 2 Mac 2016

BICARA YB/ SYUKUR

Alhamadulillah. Diizinkan untukku menulis.

Sebagai tanda bersyukur dia menadah tangan dan berkata
"Syukur Ya Allah. Terima kasih banyak-banyak kak".
Kelopak matanya  kelihatan bergenang air.

Telah puas dia menangis setiap kali gagal menghafal bacaan
tahiyat akhir . Setelah hampir 20 hari akhirnya dia berjaya.

Aku terkenang kembali.

"Susah betul  saya nak ingat bacaan ni kak. Rasanya dah
lebih 100 kali saya mengulangnya".

 Dia mula mengeluh. Telah beberapa kali ungkapan susah untuk
mengingat dilontarkan. Kekecewaan  tergambar  di wajahnya.

Aku merenung mukanya. Mencari idea untuk mengembalikan
semangatnya yang mula luntur.

Aku bersuara kembali setelah diberi ilham oleh Allah.

"Saya nak tanya satu perkara boleh ke"

"Boleh kak. Jawabnya

"Awak mula datang haid  semasa berumur berapa tahun?". 

"9 tahun kak". Pendek jawapan diberikan..

Aku mengambil telefon bimbit dan membuat kiraan. Dia nampak
kehairanan namun tidak pula mengemukakan soalan,

"Mengikut kiraan saya sehingga sekarang jika  awak  telah
mula bersolat semasa berusia 9 tahun  sepatutnya awak telah membaca
sebanyak 7,065  kali bacaan tahiyat awal dan 8,386 kali bacaan
tahiyat akhir". Aku menjelaskan kepadanya apabila selesai menghitung.

Dia nampak kehairanan dan mula bertanya.

"Apa maksud akak? Saya tidak faham"

"Maksud saya,  bacaan  tahiyat yang awak baca sepanjang belajar
dengan saya ini masih berlum dapat menampung bacaan yang awak
tinggalkan selama lebih kurang 42 tahun yang lalu"

"Jadi jangan risau kalau lambat mengingatinya. Semakin banyak kali
awak membaca semakin  banyak pahala yang awak dapat untuk
membayar semula hutang awak selama ini". Aku menambah.

Ternyata dia terkesan dengan penjelasanku. Sejak itu tidak jemu-jemu
dia mengulang bacaan yang tidak dikuasainya sehingga kadang
kala aku disebelahanya yang menyemak bacaan hampir terlelap.

"Terimalah Ya Allah, sedikit usaha hambaMU ini. 

"Bantulah kami Ya Allah. Selepas ini bacaan doa Qunut
yang lebih mencabar."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan