Rabu, 27 Februari 2013

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ CAT KASUT























Majlis pelantikan pengawas  akan  bermula bila-bila masa sahaja.
Beberapa  orang murid pendidikan khas terlibat dengan majlis
pelantikan tersebut.

Seorang  daripada murid perempuan yang sepatutnya terlibat
tidak lagi kelihatan.

Aku  merungut, "Berbuih mulut mengingatkannya sebelum balik
semalam, tak ingat  juga.Nak  kenalah lepas ni".

Sebaik  sahaja perasmi sampai, kulihat dia muncul  di pintu
pagar sekolah. Dari jauh wajahnya kelihatan takut.

Aku melambai ke arahnya .  Dengan lemah dia melangkah menuju
ke arahku. Tangannya kutarik kasar ke kelas. Kalau diikutkan hati
memang dah kena.

"Mengapa lambat?"  soalku geram.

Dia merenung mataku, minta simpati.

"Kasut basah cikgu, tunggu kering".

Mataku  tertumpu ke arah kasutnya.
Ada yang tidak kena. Aku membongkok dan menyentuh kasut
hitam yang dipakainya.

Subhanallah, cat hitam rupanya.

Perasaan marahku jatuh terjelepuk.  Terngaga melihat kebenaran
yang terjadi di hadapan mata.

"Mengapa cat kasut?" tanyaku inginkan kepastian

"Bapa tak ada duit nak beli kasut hitam cikgu" jawabnya  ketakutan.

Rasa macam nak tampar muka sendiri pada  masa itu. Teruknya aku.
Lemahnya pengurusanku.Tidak tahu betapa susahnya murid itu.

Betapa sedihnya kerana hanya untuk membeli sepasang kasutpun
dia  tidak mampu. Itu sahaja pilihan yang dia ada supaya tidak dimarahi. 

Kuharap tidak  berulang dalam sejarah kehidupan sebagai  seorang
guru pendidikan khas.




Isnin, 25 Februari 2013

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ ADAKALANYA

Sebelum menulis lebih panjang lagi inginku nyatakan
di sini bahawa karya di dalam blog ini bukan bertujuan
mengata sesiapa.

Ia  hanyalah hasil pembelajaranku dengan persekitaran
sepanjaang bergelar guru pendidikan khas.
Ia aku susunkan semula untuk jadi bahan bacaan
kita bersama.

Ingin  kujelaskan bahawa dengan menulis bukan bererti
aku cukup  sempurna. Menulis adalah hasil daripada
penilaian kepada kekurangan diri sendiri. Maka setiap
ayat yang mewakili KITA bererti ia  adalah nasihat
untuk diri   sendiri  dan rakan-rakan yang sudi memahami.


Atau dalam erti kata lain, ia  lahir daripada  hati, turun ke hati
dalam membentuk  peribadi sendiri agar dikasihi Ilahi .


Baca dan fahamilah:

Adakalanya kita bekerja kerana ingin dilihat,
bukan kerana pahala yang akan kita dapat.
Apabila ditegur kita susah hendak terima,
kerana merasa diri cukup sempurna.

Selalu salahkan orang lain.
Mengaku kesalahan sendiri adalah tidak mungkin.

Kerana tidak jujur kita selalu resah,
Kerana suka mengata kita selalu gelabah,
Terlalu banyak berbohong buatkan kita serba salah.
Terlalu banyak berdalih  buat kita tak tentu arah.

Pun begitu kita teruskan juga perbuatan mazmumah,
Meskipun  ianya tidak bermaruah.

Jujurlah  dalam tugas kita,
Betulkan  niat kita,
Baiki akhlak kita,

Tidak ada manusia yang sempurna,
Meskipun begitu, tidak salah jika kita sentiasa menerima,
Segala yang datang kepada kita,
Sebagai satu nasihat berguna,




















INSYAALAH






Ahad, 24 Februari 2013

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ PPM



HIDUP PERLUKAN PERUBAHAN. UBAHLAH DIRI SENDIRI
JIKA INGIN ORANG LAIN BERUBAH.

















PPM ADALAH singkatan daripada perkataan Pembantu
Pengurusan  Murid.  Jawatan ini diwujudkan dalam
Program Pendidikan Khas bermula pada tahun  2008.

Pada awal kehadiran mereka membawa banyak cerita
positif juga negatif. Dalam mesyuarat penyelaras selalu
dibincangkan.

Aku secara peribadi kurang bersetuju dengan kewujudan
jawatan ini  dalam Program Pendidikan Khas. Dengan  elaun
RM 250 yang diperolehi oleh guru pendidikan khas sahaja
berbagai versi cerita keluar daripada  setiap mulut guru-guru di
aliran perdana. Semua adalah ujian Allah  kepada yang bergelar
guru pendidikan khas.

Ditambah lagi dengan kemudahan PPM. Cerita tentang
guru pendidikan khas  semakin hebat dibincangkan.

Pun begitu, kata-kata  mereka memang ada kebenarannya.
Kesimpulan yang mereka buat tentang masalah guru pendidikan
khas sebenarnya berpunca daripada  sikap segelintir guru pendidikan
khas yang kurang rasa tanggungjawap.

Berbalik cerita tentang PPM.   Dalam satu sesi mesyuarat isu PPM
dibincang dengan begitu panjang lebar.  80% penyelaras /GPK PK yang
hadir dalam sesi mesyuarat itu memberi pandangan yang negatif
tentang PPM. Aku  dan  beberapa rakan lain mempunyai pandangan
yang berbeza.

"PPM sekolah saya tidak tahu buat kerja, semua tunggu arah"

"PPM sekolah saya berlagak"

"PPM sekolah  saya melawan guru-guru"

"PPM  sekolah  saya tidak mahu basuh berak kencing budak-budak"

"Dia orang memang tak minat buat kerja, sebab tak de kerja tu yang jadi
PPM"

"PPM  sekolah saya berlagak macam cikgu"

Ada banyak lagi yang tidak dapat nak dituliskan.

Selepas  mesyuarat aku bertemu  seorang GPK PK yang begitu
hebat bercerita tentang masalah PPMnya.

" Maaf cikgu , saya hanya nak beri pandangan," kataku memulakan
tajuk perbualan.

"Dari  cerita cikgu tadi, saya rasa PPM sekolah  cikgu itu
memang teruk  sangat".

"Betul, cikgu," jawabnya. 

"Satu perkara saya nak   tanya iaitu, cikgu dah siasat atau  tidak
sikap cikgu-cikgu pendidikan khas sendiri?".


"Saya tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak, tapi  saya
 harap nasihatkan dahulu  cikgu-cikgu untuk berubah sikap jika
ingin   PPM berubah."

"Jika tiada perubahan juga, panggil PPM tersebut dan berikan  nasihat.
Mereka terlalu baru , dan perlukan bimbingan daripada kita semua..
Insyaallah, jika kita ikhlas  perubahan pasti berlaku" .

Setelah kujelaskan kepada GPK PK tersebut tentang maklumat yang
aku tahu mengenai sikap  guru-guru di sekolahnya,  baru GPK itu
menyedari  kesilapannya .

Dia berjanji untuk berusaha menegur sikap  guru-guru pendidikan khas
supaya  mereka dihormati oleh PPM.

JIKA  INGIN  DIRI DIHORMATI, BELAJARLAH MENGHORMATI
ORANG LAIN.




Jumaat, 22 Februari 2013

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ IKHLAS


















Perasaan ikhlas adalah milik Allah. Tidak semudah
kata-kata untuk mendapatkan perasaan ikhlas dalam 
semua aspek kehidupan. Semuanya adalah dengan keizinan
Allah.

Kerja syaitan memburu kita  dengan berbagai muslihat setiap
kali ingin  melakukan sesuatu kebaikan agar ianya tidak
ikhlas lillahitaala. Adakalanya setelah berpenat lelah melakukan
sesuatu tidak ada pahala yang kita dapat .  Ini adalah kerana
bukan datang dari perasaan  ikhas.

Kita buat kerana ingin dilihat oleh  guru besar atau sesiapa
sahaja yang dirasakan boleh memberikan  seuatu sebagai
balasan kepada kerja kita.

Kita lupa bahawa rezeki datang daripada Allah, bukan daripada
manusia. Kita lupa  Allah yang menentukan segala-gala.

Mengenangkan seseorang menyebabkan aku menulis
tajuk  ini.

"Aku nak cakap kau marahtak Mah?" kata guru senior itu
semasa membantu aku menggantung gambar di dinding kelas.

(Kerana terlalu rapat dia memang selalu membahasakan diri
"aku" apabila kami berbual ).

Aku memandang wajahnya dengan penuh tandatanya.

"Cakaplah, saya tak marah" jawabku  dengan debaran.
Apakah yang ingin dikatakan guru itu.

Guru itu adalah seorang guru senior yang  amat komited.
Sebenarnya dia telah layak untuk menjadi seorang  penyelaras.
Tetapi dia menolak dengan berbagai alasan. Akhirnya aku
yang telah memegang jawatan itu.

Dia begitu banyak membantuku  dalam keceriaan kelas.
Terlalu banyak yang telah dilakukan. Tidak dapat hendak
dikira dengan jari.

"Kalau ikutkan hati, aku malas nak tolongkau  cantikkan kelas ni"
Katanya tanpa menoleh padaku.

"Kenapa pula" tanyaku kehairanan.

"Aku buat macam-macam untuk cantikkan kelas,
tapi nama dan anugerahnya engkau yang dapat"

Kebenaran memang ada dengan apa yang dikatakannya.
Banyak  anugerah  yang aku terima semasa bertugas
disekolah itu.

"Tapi". dia menyambung lagi. "Bila fikir-fikir balik,
aku buat bukan kerana engkau, tapi kerana Allah untuk
budak-budak ni" .

Sebak dada ini masih terasa  hingga sekarang.  Walaupun
ayat  itu telah diucapkan berbelas tahun yang lalu.

Aku belajar banyak perkara daripada guru ini tentang
keikhlasan. Semua anaknya sangat berjaya dalam pelajaran.
Dia masih sihat boleh berkebun hingga sekarang walaupun
telah berusia.

Jadikanlah diri kita seperti guru ini jika inginkan kebaikan
dunia dan akhirat.Belajarlah untuk ikhlas dalam semua perkara.

Insyaallah.




Rabu, 20 Februari 2013

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/DAPATKAH

Dapatkah dengan hanya bercuti 3 hari  dan  berjaga malam
untuk menjaga ibu  yang sakit membalas segala jasa insan
yang melahirkan?
Persoalan yang memang ada jawapan pada kita...
Semoga mak  akan sembuh.  insyaallah.


Selasa, 19 Februari 2013

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ IDOLA

UCAPAN KERAMAT DARIPADA  PN ROHANA ARIIFN
GURU BESAR SK DATUK PALEMBANG DALAM MAJLIS
PERSARAAN BELIAU. PADA 20 FEBRUARI 2013

PENAT LELAH  GURU BUKAN DIBAYAR DENGAN GAJI
TETAPI PENAT LELAH GURU DIBAYAR DENGAN KEJAYAAN
MURID-MURID.

UNTUK MAJUKAN SEKOLAH PERLU  PIMPIN  TANGAN DAN
SEIRING MELANGKAH KE HADAPAN.

INSYAALLAH...
"SELAMAT BERSARA PUAN..






   
 IDOLAKU.... PUAN ROHANA ARIFFIN 






















Isnin, 11 Februari 2013

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/TOLONGLAH CIKGU























"Tolonglah cikgu" Ibu  itu  terus  meminta aku mempertimbangkan
permohonannya. Berbagai alasan  aku berikan  sebagai tanda  menolak .
Bukan  tidak   mahu  membantu.   Bukan  hendak jual  mahal.
Sebaliknya  aku tidak  sampai hati.

Jarak  rumahnya dengan  rumahku  terlalu jauh. Hampir  45  minit
perjalanan  dengan kereta.  Rumahnya  terletak   di sempadan negeri
antara Melaka   dengan  sebuah  negeri  jiran.

Bagi  sampai kerumahku  semata-mata untuk  belajar  membaca
dan  menulis  memang tidak bebaloi.  Aku mencadangkan ibu
itu mencari  guru  yang berdekatan  dengan  tempat  tinggalnya
agar  anaknya  dapat  dibantu   dengan  lebih  baik  dan berkesan
lagi. Ternyata ibu itu  keberatan untuk menerima cadangan yang
diberikan.

Keputusannya seperti  sudah muktamad .  Dia tidak mahu 
berganjak  daripada terus merayu agar aku bersetuju  dengan
permintaannya.

"Saya  risau  cikgu,anak  saya  sudah  berumur  13 tahun, tapi
menulispun belum boleh. Dah 7 tahun di kelas Khas. Yang dibawa
balik selalunya ialah kertas gambar untuk diwarna" .jelasnya
dengan  nada sedih.

Aku menyelak buku-buku latihan yang dibawanya.  Penuh  dengan
tulisan huruf-huruf abjad yang cantik dan kemas.  Apabila kutanya
anak itu menjawap cikgu yang tolong tuliskan.


"Kalau  cikgu   dapat  tolong  setiap  hujung  minggu. saya  rasa
dia boleh juga  sikit-sikit.  Saya  bukan  nak  suruh pandai  sangat, boleh
baca perkara penting pun  dah  cukup"  katanya  lagi sebagai memujuk.

Akhirnya  setelah puas berbincang aku mengalah.  Anak lelakinya
itu aku terima juga untuk belajar membaca dan menulis di rumahku
pada setiap hari Sabtu  dan  Ahad daripada pukul 8.00 -10.00
pagi..

Setelah hampir 3 bulan  belajar ibunya telah mula merasa  senang hati .
Anaknya telah mula boleh menulis tanpa bantuan titik-titik
dan boleh membaca beberapa perkataan kvkv.

Pun begitu, Allah  lebih mengetahui  segala rahsia disebalik  setiap
kejadian. Anak itu dijemput  beristirehat   dengan tenang disampingnya
setelah berjaya menguasai hanya setitik ilmu daripadaku. Dia
ditemui ibunya telah meninggal dunia semasa dikejutkan untuk
bangun pada suatu  pagi.

Semoga anak itu aman dan bahagia di alam  sana.

Ahad, 10 Februari 2013

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ SUSAHLAH CIKGU...

"Susahlah cikgu, nak uruskan anak-anak kita ini (anak istimewa)
apabila mereka dan habis sekolah".
Luahan  hati ibu itu kepadaku.


Pertemuan petang itu  walaupun singkat memberi kepadaku
banyak maklumat tentang bekas-bekas muridku yang kini
telah menamatkan sekolah.

Jawapan kepada setiap soalan berkenaan bekas-bekas
muridku itu membuat aku tidak berhenti berfikir.

Apa lagi yang boleh aku bantu. Sedih memikirkannnya.
Ada murid yang berkahwin telah diceraikan dan kasihsayang
ibu dan anak dipisahkan. Alasan diberikan bekas muridku
gila.

Ada yang kini  tinggal sebumbung dengan pekerja Indonesia
tanpa ikatan yang sah kerana ibu berkahwin lain dan bapa
baru tidak mahu terima anak tiri istimewa.

Ibu yang kutemui itu pula cuba menghantar anaknya menjadi
sukarelawan di sebuah pusat jagaan.  Malangnya pula,  tenaga
anaknya disalah guna.


Adakah lagi mentari terbit buat anak-anak ini jika perkara
sebegini  berterusan?





Sabtu, 2 Februari 2013

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/AMAN SEKOLAH


Perasaan sayang  dan sebaliknya adalah  datang daripada Allah.
Dia  berhak memilih siapa yang ingin dilimpahkan rasa sayang
dihati dan siapa yang memiliki rasa benci.

Sayang   dan benci adalah 2 perasaan yang berbeza dan akan
melahirkan ucapan yang juga berbeza.

"Saya  nak tegur pasal disiplin murid pada waktu   rehat"
Kata  GPK HEM  dalam mesyuarat guru tengah hari itu.

"Dataran perhimpunan ini bukan tempat untuk berlari-lari pada
waktu rehat. Semua murid  tidak dibenarkan berlari-lari disini"
suaranya  tegas  sekali.

"Saya lihat budak-budak pendidikan khas yang selalu berlari-lari
kat situ masa rehat. Semalam  budak  pendidikan khas tak ada
AMAN SEKOLAH" sambungnya lagi.

(Hari sebelumnya kami ada aktiviti terapi  di luar)



















Semua mata tertumpu kepadaku.  Terguris hatiku
mendengar ucapan ringkas yang penuh penghinaan itu.  Hatiku
tertanya-tanya  adakah  selama  ini anak-anak istimewa ini
membawa huruhara kepada sekolah ataupun menaikkan  nama
sekolah kerana kejayaan  yang mereka bawa. 

Jawapan hanya ada pada orang yang kasih, bukan pada orang yang
membenci.


BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ KENAN
















 
" Berkenaan  guru pendidikan khas pula, mereka ini dapat elaun RM 250"

Ujar penyelia itu dalam taklimat perkhidmatan  kepada guru-guru  besar
pagi Rabu lalu.  Tumpuan yang tadinya kurang daripadaku berubah sebaliknya
apabila perkataan pendidikan khas itu disebut.

"Apa pula ceritanya ini" hatiku tertanya-tanya.

"Ramai guru yang cemburu dengan elaun ini , dan cuba nak dapatkannya."

"Seorang guru datang merayu-rayu ingin memohon jadi  guru pendidikan khas.
Apabila telah diluluskan dan surat dikeluarkan tiba-tiba dia menolak". Jelas
penyelia itu lagi.

Aku  ternanti-nanti akan penjelasan  seterusnya.

"Apabila ditanya mengapa ditolak permohonan untuk jadi guru pendidikan khas,
dia menjawap neneknya kata  takut nanti  dapat anak kenan"
sambung penyelia itu lagi.

"Yang peliknya guru itu bukan perempuan, tetapi lelaki, dia boleh fikir pasal
kenan walaupun bukan dia yang mengandung".

Seluruh  hadirin ketawa besar dengar cerita itu.

Allah  yang menentukan segalanya, anak istimewa bukan ada kuasa untuk
jadikan orang lain istimewa.







Khamis, 31 Januari 2013

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ MANA MILIK KITA






































































































































































































































BICARA GURU PENIDIKAN KHAS/MANA MILIK KITA


Mana milik kita
Tidak ada milik kita
Semua yang ada
Allah yang punya
Tidak ada kita punya
Kita hanya mengusahakan saja
Apa yang kita dapat
Allah sudah sediakannya

Kita Allah punya
Dunia ini ciptaan-Nya
Miliklah apa saja
Tidak terlepas dari ciptaan-Nya
Mana kita punya
Tidak ada kepunyaan kita
Kita hanya mengusahakan
Apa yang telah ada
Mengapa kita sombong
Memiliki Allah punya
Mengapa tidak malu
Kepada Allah yang empunya
Patut bersyukur kepada Allah
Yang memberi segalanya
Malulah kepada Allah
Kerana milik Ia punya
Janganlah berbangga
Apa yang ada pada kita
Kalau Allah tidak beri
Kita tidak punya apa-apa
Janganlah mengungkit
Mengungkit jasa kita
Jasa kita di sisi-Nya
Yang sebenarnya Allah punya
Marilah kita bersyukur
Bukan berbangga
Bersyukur kepada Allah
Bukan mengungkit jasa
Gunakanlah nikmat Allah itu
Untuk khidmat kepada-Nya
Selepas itu lupakan saja
Agar tidak mengungkit-ungkitnya
Tajuk Nasyid : Mana Milik Kita
Artis : Rabbani



BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ ISTIMEWA

Tidak   mudah  lupa   adalah  satu nikmat Allah. Nikmat
yang  sukar untuk  dicari jika telah  kehilangannya.
Tiada   siapa  yang ingin jadi pelupa.

Jika telah jadi  pelupa,semua perkara  akan tergendala.
Masa tidak  akan   dapat diurus  dengan  baik apabila
kerap terlupa.

Terlupa  parking  kereta  di mana, terlupa kasut susun di mana.
Itulah  yang  berlaku  semalam.  Berpusing  mencari tempat
parking kereta.  Merata  mencari  kasut yang tidak dijumpai.

Bila  diuji  dengan mudah  terlupa baru  terasa  diri  semakin berusia.
Teringat  akhirnya  bahawa  kita  semua  juga  akan  jadi
ISTIMEWA.





















Isnin, 28 Januari 2013

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/BUKAN KEBETULAN

4  hari  mengurus ibu mertua  adalah  satu pengalaman baru.
Menguruskannya ke tandas, menguruskan  dirinya mandi,
berpakaian dan makan minum memberi peluang kepadaku
beribadah  melalui cara yang berbeza.

Memang mencabar, pinggang jadi sakit, tubuh  terasa letih  dan
lenguh dimana-mana.  Meskipun bercuti, namun terasa rehat tidak
mencukupi. Inilah agaknya yang dilalui oleh kakak iparku selama
menguruskan ibu mertua.

Hari ini bangkit daripada tidur aku rasa seperti kehilangan sesuatu.
Ada kenangan  yang dia tingglkan meskipun dirinya telah kupulangkan
semula kepada kakak ipar  semalam.





 




Dilahirkan- bayi-kanak-kanak-remaja-dewasa-dan tua. Dari
insan yang sempurna kita juga akan istimewa. Bertongkat dan
berpampers. Buang air kecil  dan besar merata-rata.
Segalanya perlu bantuan penuh  dari orang sihat disekitar kita.


Fikirkanlah jika  hari ini kita tidak menunaikan tanggungjawap
dengan  sempurna  sebagai guru kepada anak-anak  istimewa.
Tugas yang sepatutnya kita lakukan  ditolak  dengan berbagai
alasan.

Jangan kesal jika tiba masa kita jadi OKU  anak-anak
pula akan membiarkan  kita sepertimana kita membiarkan
anak-anak  istimewa.

Putaran hidup  bukan satu  kebetulan. Itu adalah satu ujian ataupun
satu balasan.



Rabu, 23 Januari 2013

BICARA GURU PENDIDIKAN KHAS/ MAULIDUR RASUL

Selawat  dan  salam  ke atas  junjungan Nabi Muhammad s.a.w.
Semoga  kita dapat meneruskan usaha   mengamalkan segala sunnah
baginda  di dalam  kehidupan.

SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUR RASUL.